Berita Harian, 27 Disember 2012, Jumaat
Oleh Nor Affizar Ibrahim
SENGKETA HARTA
AMINAH mempunyai anak angkat lelaki dipelihara sejak bayi. Anak angkat itu diambil Aminah daripada keluarga saudara jauh yang tidak mampu menjaganya kerana desakan kemiskinan.
Apabila anak angkat itu dewasa dan bekerja, Aminah membeli rumah dan membuat pinjaman bersama dengan nama anak angkat berkenaan. Walaupun pinjaman itu dibuat bersama, wang deposit dan bayaran pinjaman bulanan, semua dibayar Aminah.
Bagaimanapun, sebaik saja hutang pinjaman rumah itu langsai, anak angkat Aminah meninggal dunia disebabkan kemalangan. Kemelut timbul apabila adik-beradik kepada anak angkat Aminah menuntut rumah itu sebagai harta peninggalan adik kandung mereka.
Sebelum ini keluarga kandung anak angkatnya tidak pernah ambil tahu dan bertanya khabar. Kini tiba-tiba muncul selepas kematian anak angkatnya dan menuntut hak pembahagian harta.
Aminah sedar, sebagai ibu angkat dia tiada hak faraid terhadap pusaka anak angkatnya. Malah, jika berdasarkan perjanjian rumah dibeli dengan pinjaman bersama anak angkatnya dulu, bermakna haknya cuma ada 50 peratus manakala 50 peratus lagi dimiliki anak angkatnya. Itulah bahagian harta dituntut daripada Aminah oleh adik-beradik anak angkatnya yang sememangnya bersifat tamak.
Dalam usia Aminah semakin lanjut dan tiada sesiapa lagi boleh diharapkan, di manakah dia akan menumpang berteduh jika rumah itu dituntut oleh adik-beradik anak angkatnya.
Kisah Aminah antara teladan kepada masyarakat mengenai perebutan harta. Disebabkan harta, ada yang berkelahi, bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Waris masih hidup berebut sesama sendiri harta ditinggalkan itu.
Perunding Perancangan dan Pengurusan Harta Pusaka Islam di Wasi Pusaka Sdn Bhd, Marsilla Mohd Noor, berkata dalam kes dihadapi Aminah, nasibnya mungkin lebih terbela jika anak angkatnya membuat hibah semasa hayatnya bagi mengelakkan keadaan seperti itu timbul.
Marsilla berkata, hibah mungkin asing dan jarang berbanding wasiat, wakaf, zakat, sedekah atau hadiah. Namun, hibah bukanlah instrumen perancangan baru kerana sudah wujud sejak zaman Rasulullah SAW.
"Islam menyarankan umatnya membuat perancangan harta semasa hayat. Selain pembahagian mengikut faraid di dalam al-Quran, ada kaedah perancangan lain dibenarkan seperti wasiat, wakaf, amanah dan hibah," katanya.
Hibah semasa hidup
Marsilla berkata, hibah ialah pemberian sesuatu benda bernilai melalui akad yang memberi milik kepada seseorang semasa hidup secara sukarela dengan balasan kasih sayang.
Tegasnya, hibah adalah instrumen paling tepat untuk bahagi harta kepada waris kerana ia tiada had dan harta hibah terkeluar daripada pusaka si mati.
"Ramai membahagikan harta melalui dokumen wasiat, namun kaedah ini kurang tepat kerana hak waris ditetapkan di dalam faraid. Justeru, perlu mendapatkan persetujuan daripada semua waris selepas kematian pembuat wasiat.
"Hibah juga boleh dibuat kepada bukan waris seperti anak angkat, keluarga yang bukan Islam, saudara-mara malah badan kebajikan. Walaupun pemberian kepada golongan ini boleh dilakukan melalui wasiat, ia terhad kepada satu pertiga daripada harta pusaka si mati. Pemberian hibah perlu dibuat ketika hidup dengan menepati syarat dan rukun yang ditetapkan syarak. Sebaik-baiknya, hibah dibuat secara bertulis untuk mengelakkan salah faham di antara waris," jelasnya.
Pertikaian selepas mati
Marsilla berkata, berdasarkan pengalaman menguruskan pusaka, ada beberapa insiden atau kes lain yang boleh dijadikan iktibar apabila sesuatu harta itu tidak dihibahkan sehingga memutuskan tali persaudaraan.
Katanya, contoh lain pernah berlaku seorang bapa, Ahmad (bukan nama sebenar) membuat pinjaman bank menggunakan nama anak lelakinya yang belum berkahwin untuk membeli rumah. Ahmad membayar pinjaman rumah berkenaan setiap bulan. Anak lelaki itu kemudian berkahwin dan Ahmad mencadangkan mereka tinggal di rumah baru dibeli itu.
Sebaik saja rumah itu siap dan pasangan muda itu berura-ura hendak berpindah, anak Ahmad meninggal dunia secara mengejut dan meninggalkan isteri yang sedang hamil tiga bulan. Ahmad mengambil keputusan tinggal di rumah baru itu.
Mengetahui rumah itu di bawah nama menantu, besan Ahmad menggesa anaknya menuntut rumah berkenaan. Ahmad tidak mahu melepaskan rumah itu kerana dia yang melunaskan semua bayaran pinjaman.
Alasan lain Ahmad, menantu itu masih muda dan belum tentu dia akan terus hidup bersendirian. Jika suatu hari nanti menantu itu berkahwin lain, suami barunya akan mempunyai hak ke atas rumah berkenaan andai si isteri tadi meninggal dulu. Adakah ini adil untuk Ahmad yang bersusah payah dan menanggung semua hutang?
Sengketa rebut harta
"Hal itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati besan kepada Ahmad. Mereka tetap berpendapat, rumah itu milik anak perempuan mereka tambahan dia mengandungkan anak lelaki cucu Ahmad. Persengketaan dan perebutan harta ini berpanjangan dan akhirnya, masing-masing bermasam muka.
"Hubungan dua keluarga yang dulunya jernih menjadi keruh. Perkara seumpama itu boleh dielakkan jika anak lelaki Ahmad menghibahkan rumah itu kepada bapanya.
Hibah sekiranya dilakukan dengan betul dan selaras dengan kehendak syarak, boleh mengelakkan pertikaian berpanjangan dan menjadi titik noktah perebutan harta itu," kata Marsilla.
Pentingkan kasih sayang
Melihat kebaikan dan manfaat hibah dan mempunyai tempatnya tersendiri, Marsilla menyarankan gunakan instrumen itu sebaik-baiknya dalam perancangan harta.
Katanya, antara golongan yang digalakkan membuat hibah ialah pasangan yang tidak mempunyai anak, tidak mempunyai anak lelaki berpoligami atau bermadu, mualaf, tidak berkahwin (bujang), tiada waris dan yang memelihara anak angkat.
Menjelaskan hibah bagi pasangan yang tidak mempunyai anak lelaki, Marsilla berkata, mengikut sistem pembahagian faraid, anak perempuan tidak boleh menghabiskan pusaka itu, melainkan berkongsi dengan waris ganti seperti datuk atau adik beradik sebelah bapa dan ibu.
Beringat ketika hidup
Kesedaran umat Islam membuat hibah masih rendah dan menganggap ia bukan satu perkara utama dalam pembahagian harta
Justeru, Marsilla menasihatkan orang ramai supaya beringat ketika masih hidup untuk melakukan perkara itu untuk mengelak perkelahian dengan waris terutama mereka yang mempunyai banyak harta.
"Bagaimanapun, tidak semestinya orang yang memiliki harta yang banyak saja perlu membuat hibah. Malah ada kes yang sedikit tetap menjadi rebutan.
"Tujuan utama membuat hibah ialah untuk mendapatkan keredaan Allah kerana niat yang baik untuk memelihara keharmonian keluarga dan memastikan tiada fitnah di kemudian hari.
"Bukan sukar membuat hibah, hanya perlu penuhi rukun dan syarat ditetapkan. Lazimnya, kalau seseorang itu mati jarang orang hendak menghitung jasanya, sebaliknya harta yang ditinggalkan menjadi perkiraan. Itulah yang harus difikirkan semula dalam apa saja tindakan dan keputusan yang kita buat," katanya yang boleh dihubungi melalui wasipusaka@gmail.com
INFO
Maksud hibah
* Suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan. Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.
* Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, kepada bukan Islam.
* Empat Rukun hibah;
i. Pemberi hibah
ii. Penerima hibah
iii. Barang atau harta yang dihibahkan.
iv. Ijab dan kabul.
(Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu)
* Penerima hibah yang belum akil baligh, kanakkanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.
INFO
Perkara berkaitan hibah
* Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam.
* Jika berlaku kematian antara salah satu pihak (pemberi atau penerima) sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.
* Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad.
* Wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang tidak berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.
* Deklarasi hibah perlu secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang.
* Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.
* Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu dibuat di mahkamah syariah. Bagaimanapun, masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.
No comments:
Post a Comment