Wednesday, April 15, 2015

BATIK MALAYSIA TIDAK POPULAR?

Berita Harian, Jumaat, Januari 12, 2001


Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Batik Malaysia tidak popular?


BATIK adalah seni kraftangan yang begitu sinonim dengan budaya Malaysia. Perkembangan batik bermula daripada industri desa atau kampung hingga berk
embang menjadi industri yang memberi pulangan pada ekonomi negara.
  
Batik juga dianggap kraftangan evergreen yang bernilai komersial dan terus diminati ramai. Bagaimanapun, apa yang pasti sentuhan nafas baru perlu diberi dalam kraftangan batik supaya ia dapat diperluaskan dan diterima pakai oleh pelbagai masyarakat tempatan dan juga pelancong luar negara sebagai fabrik bermutu yang digemari.

Masa depan batik negara bergantung penerimaan dan sikap keterbukaan individu yang terbabit dalam industri ini. Terutama dalam usaha menghasilkan fabrik bermutu tinggi dengan kombinasi corak tradisional dan kontemporari bagi memenuhi permintaan dan cita rasa pada masa kini.

Selain itu, individu terbabit juga mesti ada strategi dan daya saing yang kuat serta peka dengan perkembangan teknologi moden.

Pandangan seumpama itu antara yang disuarakan di Seminar Industri Batik Dalam Era Globalisasi, diadakan di Kompleks Karf, Kuala Lumpur baru-baru ini. Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu dihadiri lebih 100 peserta, terdiri daripada kalangan pengusaha batik tempatan dan juga individu yang terbabit dalam industri berkenaan.
  
Objektif utama seminar, memberi pendedahan dan pengetahuan khususnya kepada usahawan batik tentang perkembangan teknologi dalam pembuatan batik, masa depan, cabaran dan keperluan yang akan dihadapi pada pada alaf baru.

Ini berikutan, pelbagai bentuk cabaran bersifat global menjadi faktor penentu masa depan industri batik.
  
Kelemahan yang ada

Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh yang membentangkan kertas kerja, Kesediaan Usahawan Batik Menerokai Pasaran Eksport berkata, terdapat beberapa kelemahan pengusaha tempatan untuk berdepan dengan pasaran eksport.


  
     "Teknik sistem pengeluaran yang tradisional menyebabkan kuantiti keluaran terhad pada skala kecil. Kualiti pula tidak konsisten. Manakala corak serta motif hanya berorientasikan permintaan tempatan. Pengusaha tempatan juga tidak mempunyai maklumat tentang permintaan batik pada peringkat global," katanya.
  
  Menurut Mohd Nadzmi, pendekatan baru perlu diambil untuk berdepan dengan pasaran eksport. Antaranya, dengan menekankan pembangunan produk, reka cipta yang berteraskan arah aliran semasa iaitu menggabungkan reka cipta antarabangsa mengikut kesesuaian permintaan di samping mengekalkan identiti tempatan.
  
  "Industri batik tempatan perlu disusun supaya pengusaha dapat bersaing dengan sempurna, tersusun dan cekap untuk bersedia berdepan dengan pasaran global yang sangat bersaing," ujarnya.
  
  Beliau turut berpendapat, keyakinan masyarakat dunia terhadap imej keluaran batik Malaysia dapat ditingkatkan dengan adanya kegiatan promosi dan kempen agresif yang sesuai dengan permintaan dan cita rasa semasa.
  
 
Tingkatkan kualiti

Sementara, Pengarah Pembangunan Kraf Negeri Kelantan, Mohamad Awang Teh berkata, kesedaran terhadap amalan penjagaan kualiti dalam pengeluaran perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan masa dan kesedaran pengguna terhadap kualiti.
  
  "Pengusaha hendaklah mengeluarkan produk yang disahkan baik kualitinya dan bukan sekadar dirasakan bahawa kualiti produk yang dikeluarkan adalah baik," tegasnya.
  
  Beliau yang mengutarakan kepentingan penggunaan teknologi dalam industri batik berkata, sesuatu yang sukar dielakkan ialah perubahan kerana ia adalah sebahagian daripada perkembangan kehidupan.
  
  Katanya, kegagalan membuat atau mengikut perubahan boleh menyebabkan berlakunya kepupusan. Hal ini dibimbangi akan berlaku di dalam industri batik. Dan bagi mengatasinya, pengusaha batik tempatan mesti membuat perubahan atau mengikut arus perubahan ke arah yang lebih baik.
  

Pereka tidak berminat

Pereka tempatan, Rizalman Ibrahim yang membicarakan reka corak batik dalam fesyen pakaian turut melahirkan rasa kecewanya dengan pengusaha batik tempatan yang tidak boleh bertolak ansur dalam menghasilkan corak kontemporari.
  
"Pereka fesyen tidak berminat menggunakan batik tempatan kerana pengusaha batik terlalu terikat dengan reka corak batik tempatan yang tidak sesuai untuk pasaran global.
  

Rizalman turut memberitahu, pengalamannya dalam rekaan fesyen mendapati, reka corak batik tempatan di peringkat global tidak begitu popular penggunaannya. Sebaliknya, fabrik batik dari Indonesia, fabrik sutera dari Thailand dan Burma menjadi pilihan pereka fesyen, dalam dan luar negara.
  
  Katanya, antara faktor yang menyebabkan batik tempatan tidak mendapat perhatian adalah kerana sikap sesetengah penggemar fesyen yang lebih mengagungkan fabrik dari negara luar. Di samping itu, batik tempatan juga tidak begitu dikenali kerana kurang promosi dilakukan untuk mengetengahkannya dalam persada fesyen.
  
  "Selain itu, pada pandangan pereka fesyen, mutu pembuatan batik tempatan tampak murah, tidak halus di segi bunga dan material serta bernatarkan warna hambar. Kualtili murah seumpama itu dan berlakunya pengeluaran lambakan reka corak batik yang tidak terkawal dan langsung tidak ada identiti tersendiri, sekali gus menjatuhkan maruah batik tempatan. Pereka fesyen tempatan terpaksa mengenepikan penggunaan fabrik batik tempatan dalam rekaannya bagi menjamin mutu fesyen yang ditampilkan," tegas pereka muda itu.
  
Menurut Rizalman, batik tempatan ada keistimewaannya dan boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Pengusaha batik dan pereka fesyen boleh berganding bahu bagi merealisasikan usaha ke arah itu.







Bagaimanapun katanya, kelemahan paling ketara di antara pereka fesyen dan pengusaha batik, masing-masing tidak bersatu. Berbanding di negara Barat yang ada persatuan khusus, mengikat dan menjalinkan peranan bagi kepentingan pereka fesyen dan pengusaha tekstil. Hubungan dan jalinan kukuh menerusi penyatuan persatuan itu, mampu meningkatkan secara seiring, industri tekstil dan fesyen.
  
  "Melalui penubuhan persatuan khusus itu, peranan dan kepentingan pengusaha tekstil dan pereka fesyen diiktiraf secara adil. Mereka bertemu dan berbincang dari masa ke semasa untuk mendapatkan kata sepakat mengenai warna, rekaan corak dan sebagainya untuk diketengahkan pada masa akan datang. Cara ini telah terbukti dapat memastikan industri fesyen dan tekstil berkembang seiring dan mencapai matlamat masing-masing," jelasnya dan berharap persatuan seumpama itu dapat direalisasikan di Malaysia.
  
Prospek baik

Sementara, Wan Norma Wan Daud yang mewakili Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bahagian Amerika dan Eropah pula berkata, walaupun terdapat beberapa kelemahan di dalam industri tekstil dan pakaian, prospeknya adalah baik bagi kumpulan industri yang tersenarai di dalamnya termasuk industri batik tempatan untuk berkembang.
  
Menurutnya, ia boleh dicapai menerusi beberapa strategi tertentu seperti memperkembangkan rekaan khusus dengan identiti tersendiri dan merangka publisiti serta pengiklanan yang lebih hebat bagi mewujudkan keprihatinan lebih meluas.
  
  Beliau turut menyarankan, pengusaha batik memberikan tumpuan pengkhususan produk seperti dalam pembuatan pakaian untuk ke pantai, pareo, skirt, kaftan dan hiasan yang menggunakan kraftangan batik.
  
  "Pasaran eksport batik tempatan di Eropah mendapat saingan hebat dengan Indonesia, India dan Thailand di samping Sri Lanka dan Pakistan. Oleh itu, pengusaha batik harus melipatgandakan usaha untuk mengetengahkan keluaran mereka. Pengusaha batik juga perlu mengenalpasti agen dan pembeli bagi memudahkannya meluaskan pasaran," katanya.
  

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...