Oleh Nor Affizar Ibrahim; Fatin Hafizah Mohd Sahar; Mahani Ishak
Dunia hitam pelacur
Terjebak di lembah hina, ia pengalaman hitam yang sukar dipadamkan dalam hidup. Biarpun pahit untuk ditelan dan kisah silam itu terus menghantui diri, kekuatan dalam diri sentiasa dicari bagi meneruskan hari yang mendatang.
Pengalaman inilah dilalui dan dikongsikan Suria (bukan nama sebenar) yang pernah menjalani kehidupan sebagai pelacur sebelum ini, yang ditemui FAMILI, di ibu negara, baru-baru ini
Pulang ke pangkal jalan dan lupakan kisah lalu serta mengharapkan masyarakat memahami apa yang dilakukan bukan kemahuan diri, sesuatu yang tidak mudah bagi mereka. Namun, Suria yakin masih ada sinar dan taubat mereka diterima yang Esa.
Mangsa tipu daya suami
Tidak masuk akal dan sukar untuk mempercayainya. Seorang wanita perlu melayan nafsu serakah lebih 10 lelaki dalam sehari.
Bagaimanapun, itulah realiti kehidupan dunia hitam pernah dilalui Suria sebelum ini.
Tidak pernah sekali menyangka hidupnya akan terpalit dengan kehidupan yang penuh kotor dan menjijikkan, tetapi Suria reda dengan apa yang sudah berlaku serta bersyukur, kini dirinya sudah bebas daripada kancah kemaksiatan dan penderitaan.
Berkongsi cerita, Suria memberitahu, dia terjebak dalam dunia pelacuran angkara bekas suami durjana yang bukan saja bermulut manis ketika memika
t, tetapi penuh dengan tipu muslihat hingga dirinya terpedaya.
Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, dia mengenali bekas suami melalui rakan ketika menuntut dan berada di semester dua di sebuah pusat pengajian tinggi. Jarak usia antara mereka ialah enam tahun.
"Selepas berkenalan tiga bulan, suatu hari, rakan meminta saya dan teman lelaki (bekas suami) menemaninya dan menjadi saksi untuk dia dan kekasihnya bernikah di Thailand. Kami pun pergi ke sana dan memasuki negara itu secara haram. Selepas rakan dinikahkan, tiba-tiba teman lelaki memaksa saya untuk berkahwin dengannya.
"Saya enggan kerana ketika itu memang belum ada perancangan berkahwin. Teman lelaki mengugut jika enggan, saya tidak boleh balik lagi ke Malaysia. Saya memberontak tetapi akhirnya apabila tiada pilihan, saya akur bernikah," katanya.
Tahu status suami
Suria berkata, selepas bernikah, dia dibawa balik ke kampung suami di selatan tanah air, pada petang hari sama, untuk diperkenalkan kepada keluarganya dan ketika itu baharu dia tahu, rupa-rupanya kekasihnya itu adalah duda beranak tiga.
Lebih menggerunkan, suaminya kaki judi dan turut dikenali sebagai 'lombong emas' iaitu lelaki yang memakan hasil perempuan.
Ketika baru berkahwin, Suria mengambil alih menjaga ketiga-tiga anak tirinya dan dilayan dengan baik. Malah, setahun lamanya Suria merahsiakan perkahwinannya daripada ibunya di kampung.
Bapanya seorang anggota tentera dan berpangkat mejar sudah lama meninggal dunia iaitu sejak usia Suria sembilan tahun, manakala ibunya adalah guru besar di sekolah agama.
Malu dan bimbang diketahui rakan lain mengenai perkahwinan itu menyebabkan Suria terpaksa berhenti daripada pengajiannya dalam bidang perniagaan.
"Apabila rahsia terbongkar, ibu tidak dapat terima perkahwinan kami, manakala adik-beradik pula menyisihkan saya. Jadi, saya pun tidak balik ke kampung lagi," katanya mengakui sememangnya kurang mendapat kasih sayang ke luarga sejak kecil.
Dunia hitam bermula
Selepas setahun berkahwin, suatu hari, bekas suami memaksanya bekerja. Lalu Suria dibawa ke bandar dan ditinggalkan di dalam bilik hotel bajet bersama pemiliknya.
Tauke hotel itu cuba melakukan perkara tidak elok, Suria melawan dan berjaya melarikan diri serta cuba mendapatkan bantuan. Malangnya, orang yang membantu Suria pula mengambil kesempatan dan memperkosanya.
Apabila balik ke rumah, bukan simpati diterima, sebaliknya Suria dipukul oleh suaminya kerana lari daripada 'pelanggan'. Suami Suria kemudian membuatkannya pasport, katanya untuk membolehkan dia bekerja di Singapura.
"Rupa-rupanya kerja saya di Singapura ialah melayan nafsu lelaki setiap hari, dari jam 10 pagi hingga jam 12 tengah malam. Sehari saya perlu melayan lebih 10 lelaki dari pelbagai peringkat usia dan golongan. Pelanggan saya paling muda berusia 17 tahun, manakala yang berusia ada sudah mencapai lebih 70 tahun.
"Cukup sengsara, tetapi hasilnya lumayan dan semuanya diambil suami. Ketika itu, dalam dua minggu saya boleh dapat kira-kira S$5,000 (kira-kira RM10,000 ketika itu). Apabila enggan, teruk saya dipukul. Malah, saya pernah cuba melarikan diri tetapi gagal.
"Akibatnya saya dibelasah hingga lembik. Saya hanya dibenarkan balik ke Malaysia, dua minggu sekali. Tapi di Malaysia, bukannya boleh berehat, biasanya ada tugasan khas melayan VIP dengan bayaran antara RM800 hingga RM1,200 sehari.
"Saya langsung tidak dibenarkan pegang duit. Segala keperluan termasuk pakaian dan alat mekap disediakan suami. Mintalah apa saja, semua akan diberi. Lagipun, suami ingin saya sentiasa pasang badan untuk tarik perhatian pelanggan. Sembilan tahun bekerja di Singapura, akhirnya suami menyuruh saya bekerja di Malaysia," katanya.
Punca cerai
Suatu hari, ketika baru pulang dari bekerja, Suria mendapati suaminya berselingkuh dengan orang gaji mereka. Remuk hati Suria, sudahlah dijadikan 'hamba seks', suami pula bersenang-lenang dengan perempuan lain. Suria bergaduh besar dengan suami dan akhirnya berlaku perceraian, lalu tanpa rasa takut lagi, dia nekad keluar dari rumah.
Bagaimanapun, tidak lama selepas perceraian, pada tahun 2009, Suria disahkan positif HIV. Kali ini, hatinya benar-benar berkecai dan hilang arah serta mula mengambil dadah.Namun, Tuhan masih sayangkan Suria apabila dia diselamatkan insan lain yang prihatin dengan kehidupan lara dilaluinya.
"Saya tidak berdendam dengan bekas suami. Mungkin apa yang sudah terjadi adalah takdir kehidupan saya. Tetapi apa yang lebih menyedihkan, apabila saya dapat tahu rupa-rupanya selama ini bekas suami sebenarnya menggunakan khidmat bomoh untuk menguasai kehidupan saya," katanya yang kini hidup bersama tiga anak tiri dan dua anak kandung.
Jangan prejudis, bantu mereka keluar 'penjara'
Masyarakat tidak wajar menghukum, sebaliknya hulurkan tangan dan bantu golongan ini dalam dunia hitam yang mereka lalui. Apatah lagi, kebanyakan wanita terjebak dalam dunia pelacuran bukan atas kemahuan diri, sebaliknya dipaksa atau terperangkap dengan tipu daya.Eksekutif Kanan, Pengurusan Sukarelawan dan Latihan Yayasan Salam Malaysia (SALAM), Nor Zakiah Senin, berkata memberikan sokongan moral kepada golongan ini adalah penting dan pihaknya percaya, sikap putus asa harus diketepikan dalam usaha 'menyelamatkan' mereka ini dari dunia pelacuran.
Nor Zakiah berkata, berdasarkan pengalaman SALAM menerusi Suri@Salam, sepanjang membantu golongan wanita ini, didapati kebanyakan yang menjadi pelacur adalah disebabkan terpedaya dengan lelaki yang memang mempunyai niat tidak baik, termasuk kekasih, rakan mahupun suami.
"Bagaimanapun, ada juga yang terjebak akibat ditipu kenalan wanita, tetapi paling menyedihkan, ada ayah kandung sanggup menjual anak perempuan sendiri kepada lintah darat semata-mata kerana wang.
"Mereka terbabit dengan kerja pelacuran ini terdiri pelbagai peringkat usia dari awal usia 20-an hingga 60-an. Mungkin juga ada berusia belasan tahun, tetapi licik menyembunyikan identiti mereka. Ada antaranya sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki dengan menjual diri melalui cara ini. Ia memang menyedihkan," katanya.
Faktor melacurkan diri
Nor Zakiah berkata, sejak terbabit secara langsung mendekati golongan ini lebih setahun lalu, didapati ada pelbagai faktor menyebabkan mereka menjadi pelacur. Antaranya, termasuklah desakan hidup kerana kemiskinan, terbabit penagihan, dadah dan sebagainya.
Beliau berkata, masalahnya apabila sudah terjebak, ada yang sukar keluar dari dunia itu, khususnya bagi mereka terbabit mengambil najis dadah.
"Kerjaya sebagai pelacur adalah antara cara mudah untuk golongan penagih ini mendapatkan duit. Bagi mereka, setiap kali melacur, dapatlah habuan untuk membeli dadah.
Selain itu, terdapat pelanggan yang digelar sebagai 'payung' mereka akan membekalkan dadah kepada wanita ini. Bagaimanapun, pendapatan diperoleh golongan pelacur ini bukanlah banyak, malah ada yang dibayar RM10 saja bagi satu layanan.
"Lebih malang lagi, jika wanita itu sudah lanjut usia dan sukar untuk mendapatkan pelanggan, mereka ini akan terima berapa saja bayaran daripada pelanggan walaupun jumlahnya amat rendah," katanya.
Ikhlas bantu
Nor Zakiah berkata, bukan mudah untuk 'menarik' golongan pelacur ini meninggalkan kerjaya mereka. Namun, beliau percaya, lambat atau cepat, suatu hari nanti pasti akan ada sinar bagi golongan ini kembali ke pangkal jalan.
Katanya, ada pelbagai strategi digunakan oleh Suri@Salam di dalam membawa golongan ini ke pangkal jalan. Antaranya, memberi tanggungjawab kepada mereka yang sudah meninggalkan kerjaya itu 'memujuk' dan meyakinkan golongan yang masih terperangkap keluar dari dunia hitam ini.
Selain itu, Suri@Salam turut menyediakan dan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan minat golongan ini, khususnya yang benar-benar ingin berubah serta bersedia menjalani proses perubahan.
Terdapat juga bantuan makanan dan keperluan harian untuk meringankan beban ketika mereka amat memerlukannya.
Bagi memastikan tiada sesiapa dalam kalangan golongan ini terlepas daripada sebarang maklumat, khususnya berkaitan khidmat ini, sukarelawan Suri@ Salam kerap turun padang untuk mendekati dan bertemu dengan golongan ini. Melalui cara ini, sukarelawan mampu mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, seterusnya memberi sebarang nasihat dan pandangan yang bersesuaian.
"Kita tidak tahu bila hidayah itu akan datang, tetapi kami percaya, selagi hati mereka percaya bahawa Allah itu ada, Insya-Allah suatu hari nanti akan terdetik juga di hati mereka untuk bertaubat. Yang penting, kita yang diberikan amanah dan tanggungjawab ini perlu berusaha untuk meletakkan nilai ikhlas di dalam hati. Jangan prejudis terhadap mereka, jangan hukum mereka sebelum mengetahui latar belakang hidup mereka sebaliknya betulkan persepsi dan percayalah bahawa mereka ini mahu keluar dari 'penjara' itu, namun tidak tahu bagaimana caranya atau kabur dalam menemui jalan yang betul," katanya.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDelete