Berita Harian, Khamis Februari 25, 2016
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Kimono terus dipertahan
Suatu ketika dulu, kimono menjadi pakaian harian masyarakat Jepun. Tetapi kini, ia lebih dikenali sebagai pakaian tradisional bagi Negara Matahari Terbit itu.

Seiring dengan peralihan zaman dan kemajuan dicapai negara itu, kebanyakan generasi baharu di negara itu lebih senang mengenakan pakaian moden.
Apatah lagi, ibu negaranya iaitu Tokyo dikenali sebagai antara kota fesyen gah di Asia dengan menampilkan pelbagai rekaan dan gaya fesyen, termasuk yang unik serta pelik.
Biarpun diasak dengan arus kemodenan dan dipengaruhi dengan budaya Barat, pembuatan baju tradisional ini masih terus dikekalkan. Walaupun tidak ramai lagi pengusaha berminat untuk bertahan dalam industri ini kerana permintaannya semakin berkurangan, masih ada yang gigih dan terus mempertahankannya.
Kekalkan kaedah tradisional
Generasi ketiga pusat tenunan, Usui Shokufu di Ise Momen yang terletak di Shenshuji, wilayah Mie Prefecture di Nagoya, Jepun antara yang kekal dan memberikan komitmen tinggi bagi menghasilkan kimono.
Presiden Usui Shokufu, Naruo Usui, berkata ia bukan sekadar meneruskan legasi perniagaan keluarga tetapi kecintaannya terhadap warisan seni budaya dan tradisional negara. Justeru, perniagaan tradisi dan warisan keluarga itu menjadi satu kebanggaan dalam mengekalkan warisan budaya masyarakat di negara itu.

Sememangnya unik, pembuatan kimono di sini dilakukan secara kaedah tradisional, bermula daripada pintalan benang hinggalah ditenun menjadi kain. Lalu, terhasil kimono yang cantik dan anggun untuk digayakan.
Malah, kilang tenunan Usui Shokufu juga masih mengekalkan konsep rumah kedai tradisional daripada kayu yang menjadi pusat tenunan memintal benang, proses mencelupkan warna, membuat kimono, menyimpan stok kain kapas dan produk siap.

Katanya, malah sebelum ini banyak pengusaha gulung tikar dan beralih kepada perniagaan lain yang lebih memberikan pulangan lumayan.
Kepakaran membuat kimono diwarisi daripada generasi kepada satu generasi dan pada masa kini, golongan mahir kebanyakan sudah pun berusia.
Corak tenunan
"Usui Shokufu adalah satu-satunya perusahaan tenunan fabrik di Ise Momen yang menghasilkan kimono pada masa kini. Kami menghasilkan kimono daripada 100 peratus kain kapas dan ia bermutu tinggi, licin serta lembut dan cukup selesa dipakai. Selain dipakai masyarakat tempatan, ada juga pelancong luar yang berminat memiliki kimono kami," katanya.

Hingga kini, terdapat lebih 100 corak dihasilkan dan bilangannya ditambah dari semasa ke semasa.
Corak moden jadi pilihan
Katanya, corak moden dan menggunakan warna cerah menjadikan pemakai kelihatan muda dan aktif, manakala yang rona samar, sesuai untuk mereka sudah berusia, memperlihatkan kelembutan pemakainya.
"Ada pelbagai jenis kimono seperti formal yang dipakai untuk acara tertentu, manakala kain kapas yukatas, dipakai di rumah untuk hari-hari. Dulu, mungkin kimono dipakai setiap hari, tetapi kini lazimnya, ia pakai untuk menghadiri majlis atau acara tertentu seperti perkahwinan atau hari perayaan," katanya.

Harga untuk satu kimono yang diperbuat daripada kain kapas kini dijual pada har harga lebih RM800 sehelai.
No comments:
Post a Comment