Showing posts with label FESYEN. Show all posts
Showing posts with label FESYEN. Show all posts

Friday, March 23, 2018

TARIKAN SUPERMODEL 81 TAHUN

Berita Harian, Isnin Feb 23, 2015

Susunan Nor Affizar Ibrahim

Tarikan supermodel 81 tahun


Kulit depan, edisi khas terbaharu majalah New You, menampilkan sesuatu yang istimewa dan di luar kebiasaan.
    Biasanya, model lelaki atau wanita muda yang terpampang dan menjadi daya pemikat tersendiri untuk pembaca. Namun, untuk edisi terkini, kulit majalah gaya hidup itu menampilkan bekas supermodel berusia, Carmen Dell'Orefice, 83, yang tampak glamor bergaya mengenakan busana bersahaja dengan dominasi warna gelap.

  Busana hitam disarungkan Dell'Orefice kian menonjolkan keanggunan apabila dipadankan dengan aksesori mutiara, sarung tangan panjang dan menampilkan dandanan rambut yang menerapkan gaya klasik nan anggun.
  Walaupun sudah berusia, penampilan gaya diserlahkan pada kulit depan majalah itu tidak memudarkan kecantikan nenek yang masih aktif sebagai model.
 


Kembali kuasai wilayah

 
Dell'Orefice mengakui, tahun lalu beliau masih mencari jalan bagaimana untuk melakukan pekerjaan itu.

Namun, pengalaman bekerja sebagai model selama 70 tahun memberikan inspirasi hingga tercipta gaya anggun yang menarik perhatian dan membuktikan sekali lagi, beliau masih berada di atas dalam lapangan itu.



  Supermodel legenda ini juga mengakui, beliau sering diminta menjadi penghias kulit depan majalah selama 25 tahun terakhir kerjayanya.

"Saat ini saya berada di wilayah perniagaan yang menginginkan pemasaran yang bukan menjadi kelaziman; umur senja dan rambut putih. Saya kini, perlahan-lahan kembali hadir dan mulai 'menguasai' wilayah itu sedikit demi sedikit, sekali gus mewakili model seusia saya," kata Dell'Orefice kepada New You.









Bukan hanya bergaya untuk majalah, supermodel kelahiran New York pada tahun 1931 itu, baru-baru ini juga berjalan di atas pentas peragaan, Singapore Digital Fashion Week. Pada peragaan minggu fesyen itu, beliau mengenakan busana yang menyempurnakan penampilannya dan kelihatan anggun, matang dan mempesona.
  Apa yang pasti, sebagai mantan supermodel, wanita ini memang belum kehilangan kecantikan masa mudanya. Meskipun waktu berlalu membuat rambutnya memutih dan wajahnya mulai dipenuhi kedutan, Dell'Orefice masih sering tampil sebagai model untuk produk fesyen terkenal di dunia.
  Wajahnya masih fotogenik dan karismanya masih terpancar sebagai seorang supermodel. Bahkan, sebagai supermodel senior, beliau tidak dinafikan tampak awet muda dibanding kebanyakan wanita seusianya.
 

Bakat mula terserlah

 
Bakat Dell'Orefice dalam dunia model mula dikesan ketika usianya 13 tahun. Ketika menaiki bas untuk ke kelas balet, beliau didatangi oleh isteri jurugambar, Herman Landschoff yang menawarkannya menjadi model.

    Dell'Orefice kemudian menjalani uji bakat sebagai model di Pantai Jones. Pada tahun 1946, bapa angkatnya memperkenalkan beliau kepada Vogue dan ketika berusia 15 tahun beliau menandatangani kontrak peragaan untuk RM30 ($7.50) sejam.
  Dell'Orefice menjadi model kegemaran jurugambar, Erwin Blumenfeld yang juga merakamkan gambar pertamanya untuk kulit depan Vogue pada tahun 1946. Melalui beberapa cabaran, dari tahun ke tahun kerjaya beliau sebagai model akhirnya terus bersinar. -AGENSI

Wednesday, April 15, 2015

BATIK MALAYSIA TIDAK POPULAR?

Berita Harian, Jumaat, Januari 12, 2001


Oleh Nor Affizar Ibrahim

 Batik Malaysia tidak popular?


BATIK adalah seni kraftangan yang begitu sinonim dengan budaya Malaysia. Perkembangan batik bermula daripada industri desa atau kampung hingga berk
embang menjadi industri yang memberi pulangan pada ekonomi negara.
  
Batik juga dianggap kraftangan evergreen yang bernilai komersial dan terus diminati ramai. Bagaimanapun, apa yang pasti sentuhan nafas baru perlu diberi dalam kraftangan batik supaya ia dapat diperluaskan dan diterima pakai oleh pelbagai masyarakat tempatan dan juga pelancong luar negara sebagai fabrik bermutu yang digemari.

Masa depan batik negara bergantung penerimaan dan sikap keterbukaan individu yang terbabit dalam industri ini. Terutama dalam usaha menghasilkan fabrik bermutu tinggi dengan kombinasi corak tradisional dan kontemporari bagi memenuhi permintaan dan cita rasa pada masa kini.

Selain itu, individu terbabit juga mesti ada strategi dan daya saing yang kuat serta peka dengan perkembangan teknologi moden.

Pandangan seumpama itu antara yang disuarakan di Seminar Industri Batik Dalam Era Globalisasi, diadakan di Kompleks Karf, Kuala Lumpur baru-baru ini. Seminar anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu dihadiri lebih 100 peserta, terdiri daripada kalangan pengusaha batik tempatan dan juga individu yang terbabit dalam industri berkenaan.
  
Objektif utama seminar, memberi pendedahan dan pengetahuan khususnya kepada usahawan batik tentang perkembangan teknologi dalam pembuatan batik, masa depan, cabaran dan keperluan yang akan dihadapi pada pada alaf baru.

Ini berikutan, pelbagai bentuk cabaran bersifat global menjadi faktor penentu masa depan industri batik.
  
Kelemahan yang ada

Pengerusi Eksekutif Nadicorp Holdings Sdn Bhd, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh yang membentangkan kertas kerja, Kesediaan Usahawan Batik Menerokai Pasaran Eksport berkata, terdapat beberapa kelemahan pengusaha tempatan untuk berdepan dengan pasaran eksport.


  
     "Teknik sistem pengeluaran yang tradisional menyebabkan kuantiti keluaran terhad pada skala kecil. Kualiti pula tidak konsisten. Manakala corak serta motif hanya berorientasikan permintaan tempatan. Pengusaha tempatan juga tidak mempunyai maklumat tentang permintaan batik pada peringkat global," katanya.
  
  Menurut Mohd Nadzmi, pendekatan baru perlu diambil untuk berdepan dengan pasaran eksport. Antaranya, dengan menekankan pembangunan produk, reka cipta yang berteraskan arah aliran semasa iaitu menggabungkan reka cipta antarabangsa mengikut kesesuaian permintaan di samping mengekalkan identiti tempatan.
  
  "Industri batik tempatan perlu disusun supaya pengusaha dapat bersaing dengan sempurna, tersusun dan cekap untuk bersedia berdepan dengan pasaran global yang sangat bersaing," ujarnya.
  
  Beliau turut berpendapat, keyakinan masyarakat dunia terhadap imej keluaran batik Malaysia dapat ditingkatkan dengan adanya kegiatan promosi dan kempen agresif yang sesuai dengan permintaan dan cita rasa semasa.
  
 
Tingkatkan kualiti

Sementara, Pengarah Pembangunan Kraf Negeri Kelantan, Mohamad Awang Teh berkata, kesedaran terhadap amalan penjagaan kualiti dalam pengeluaran perlu dipertingkatkan selaras dengan perkembangan masa dan kesedaran pengguna terhadap kualiti.
  
  "Pengusaha hendaklah mengeluarkan produk yang disahkan baik kualitinya dan bukan sekadar dirasakan bahawa kualiti produk yang dikeluarkan adalah baik," tegasnya.
  
  Beliau yang mengutarakan kepentingan penggunaan teknologi dalam industri batik berkata, sesuatu yang sukar dielakkan ialah perubahan kerana ia adalah sebahagian daripada perkembangan kehidupan.
  
  Katanya, kegagalan membuat atau mengikut perubahan boleh menyebabkan berlakunya kepupusan. Hal ini dibimbangi akan berlaku di dalam industri batik. Dan bagi mengatasinya, pengusaha batik tempatan mesti membuat perubahan atau mengikut arus perubahan ke arah yang lebih baik.
  

Pereka tidak berminat

Pereka tempatan, Rizalman Ibrahim yang membicarakan reka corak batik dalam fesyen pakaian turut melahirkan rasa kecewanya dengan pengusaha batik tempatan yang tidak boleh bertolak ansur dalam menghasilkan corak kontemporari.
  
"Pereka fesyen tidak berminat menggunakan batik tempatan kerana pengusaha batik terlalu terikat dengan reka corak batik tempatan yang tidak sesuai untuk pasaran global.
  

Rizalman turut memberitahu, pengalamannya dalam rekaan fesyen mendapati, reka corak batik tempatan di peringkat global tidak begitu popular penggunaannya. Sebaliknya, fabrik batik dari Indonesia, fabrik sutera dari Thailand dan Burma menjadi pilihan pereka fesyen, dalam dan luar negara.
  
  Katanya, antara faktor yang menyebabkan batik tempatan tidak mendapat perhatian adalah kerana sikap sesetengah penggemar fesyen yang lebih mengagungkan fabrik dari negara luar. Di samping itu, batik tempatan juga tidak begitu dikenali kerana kurang promosi dilakukan untuk mengetengahkannya dalam persada fesyen.
  
  "Selain itu, pada pandangan pereka fesyen, mutu pembuatan batik tempatan tampak murah, tidak halus di segi bunga dan material serta bernatarkan warna hambar. Kualtili murah seumpama itu dan berlakunya pengeluaran lambakan reka corak batik yang tidak terkawal dan langsung tidak ada identiti tersendiri, sekali gus menjatuhkan maruah batik tempatan. Pereka fesyen tempatan terpaksa mengenepikan penggunaan fabrik batik tempatan dalam rekaannya bagi menjamin mutu fesyen yang ditampilkan," tegas pereka muda itu.
  
Menurut Rizalman, batik tempatan ada keistimewaannya dan boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa. Pengusaha batik dan pereka fesyen boleh berganding bahu bagi merealisasikan usaha ke arah itu.







Bagaimanapun katanya, kelemahan paling ketara di antara pereka fesyen dan pengusaha batik, masing-masing tidak bersatu. Berbanding di negara Barat yang ada persatuan khusus, mengikat dan menjalinkan peranan bagi kepentingan pereka fesyen dan pengusaha tekstil. Hubungan dan jalinan kukuh menerusi penyatuan persatuan itu, mampu meningkatkan secara seiring, industri tekstil dan fesyen.
  
  "Melalui penubuhan persatuan khusus itu, peranan dan kepentingan pengusaha tekstil dan pereka fesyen diiktiraf secara adil. Mereka bertemu dan berbincang dari masa ke semasa untuk mendapatkan kata sepakat mengenai warna, rekaan corak dan sebagainya untuk diketengahkan pada masa akan datang. Cara ini telah terbukti dapat memastikan industri fesyen dan tekstil berkembang seiring dan mencapai matlamat masing-masing," jelasnya dan berharap persatuan seumpama itu dapat direalisasikan di Malaysia.
  
Prospek baik

Sementara, Wan Norma Wan Daud yang mewakili Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bahagian Amerika dan Eropah pula berkata, walaupun terdapat beberapa kelemahan di dalam industri tekstil dan pakaian, prospeknya adalah baik bagi kumpulan industri yang tersenarai di dalamnya termasuk industri batik tempatan untuk berkembang.
  
Menurutnya, ia boleh dicapai menerusi beberapa strategi tertentu seperti memperkembangkan rekaan khusus dengan identiti tersendiri dan merangka publisiti serta pengiklanan yang lebih hebat bagi mewujudkan keprihatinan lebih meluas.
  
  Beliau turut menyarankan, pengusaha batik memberikan tumpuan pengkhususan produk seperti dalam pembuatan pakaian untuk ke pantai, pareo, skirt, kaftan dan hiasan yang menggunakan kraftangan batik.
  
  "Pasaran eksport batik tempatan di Eropah mendapat saingan hebat dengan Indonesia, India dan Thailand di samping Sri Lanka dan Pakistan. Oleh itu, pengusaha batik harus melipatgandakan usaha untuk mengetengahkan keluaran mereka. Pengusaha batik juga perlu mengenalpasti agen dan pembeli bagi memudahkannya meluaskan pasaran," katanya.
  

Wednesday, March 19, 2014

KAIN SARUNG WARISAN BANGSA

Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002
Oleh Nor Affizar Ibrahim


Kain sarung warisan bangsa


SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat tempatan di Malaysia. Pemakaian sarung dipercayai sudah bertapak di bumi ini sejak kurun ke-15.

Apa yang difahamkan, kain sarung ialah sebidang kain lebar yang dijahit atau dicantum di kedua-dua punca sisi kain sarung.
  
Namun, ada juga definisi lain mengenai kain sarung. Siti Zainon Ismail, dalam buku Busana Melayu Johor (1997), menyatakan bahawa kain sarung ialah kain yang dipakai dengan melilit bahagian anggota badan, iaitu dada atau pinggang, diikat simpul atau memakai tali pinggang dan dibiarkan melabuh hingga paras lutut atau buku lali kaki.


Sementara Kamus Dewan, Dewan Bahasa Pustaka Edisi Ketiga 2000 pula mentafsirkan, kain sarung ialah kain yang hujungnya dijahit bersambung.
  


Pemakaian perllihatkan ciri khas

Bagaimanapun, apabila memperkatakan mengenai kain sarung lazimnya, ia lebih banyak dikaitkan dengan orang Melayu. Ini berikutan, sejak zaman dulu sarung ialah bahan pemakaian asas bagi wanita dan lelaki Melayu.  


Pemakaian kain sarung di kalangan orang Melayu memperlihatkan ciri khas, iaitu dipakai secara menyarung kain meliliti bahagian pinggang atau berkemban menutup labuh ke bawah lutut hingga ke buku lali.
  
Kedua-dua punca sisi kaki sarung biasanya akan dijahit terlebih dBaba Nyonya dan Ceti Cetia juga berkain sarung yang turut mencerminkan kehidupan tradisi mereka sudah dipengaruhi budaya Melayu.

ulu. Selain masyarakat Melayu,

Bagi lelaki, kain sarung dipakai dengan baju Melayu. Kain sarung dilipat ke depan (dari sisi kiri dan kanan) dan digulung. Kaki kain sarung dilepaskan hingga ke buku lali. Jika kain sarung dipakai bersama-sama seluar, kaki kain sarung disingkatkan hingga ke paras lutut dan menjadi samping. Ia melengkapkan lagi bentuk berpakaian cara Melayu lelaki ataupun beberapa gaya dalam pakaian wanita seperti pakaian Puteri Perak.
  
Wanita Melayu, Nyonya dan Cetia pula memakai sarung bersama baju kurung atau baju kebaya. Kain sarung diikat atau dililit di pinggang dengan pelbagai cara.

 Antaranya, membuat satu lipatan yang ditindan ke depan badan ataupun dengan lipatan kecil yang dikumpulkan pada salah satu sisi badan dan ini dikenali sebagai ombak mengalun. Untuk mengemaskan atau memastikan kain sarung tidak terlucut, tali pinggang atau pita digunakan untuk mengikatnya.
  
 
Fungsi lain sarung

Selain daripada itu, kain sarung juga berfungsi sebagai kain kelubung, selendang wanita, ikat kepala dan selempang.
  
Dari sudut adat, kain sarung turut dijadikan bahan hantaran perkahwinan ataupun dijadikan sebagai sebai atau tetampan dengan cara lipatan panjang dan disangkutkan di leher dan kedua-dua hujungnya dijatuhkan ke dada. 


Sebagai alat kemudahan dan kelengkapan rumah tangga, kain sarung juga dijadikan selimut, buai atau mengendong bayi dan barang keperluan. Begitulah pentingnya kain sarung dalam budaya kehidupan masyarakat Melayu dan etnik lain di negara ini.
  

Pelbagai jenis

Sebenarnya, ada pelbagai jenis sarung antaranya sarung batik, tenun songket, sarung tenun bercorak, sarung limar dan sarung tenunan masyarakat etnik Sabah dan Sarawak. Semua jenis sarung ada keunikan dan keistimewaan tersendiri malah, fungsinya juga ada yang berbeza.

  misalnya, mempunyai asal usul yang menarik. Mengikut sejarah, batik berasal daripada perkataan Melayu, iaitu `titik' dan perkataan Jawa `amba' (tulis), gabungan ini membawa maksud `tulisan bertitik'. Perusahaan batik bermula pada abad ke-12 dan batik ketika itu hanya dipakai oleh raja dan bangsawan khasnya, kaum Jawa.
Sarung batik
  
  Setiap suku kaum ada cara tersendiri dalam penghasilan batik. Justeru, batik dipanggil mengikut nama sesuatu suku negeri. Antara yang terkenal di kepulauan Melayu adalah Jawa, Batik Betawi, Batik Cerebon, Batik Kelantan dan Batik Terengganu.
  
 Ada dua jenis kain batik, iaitu batik lepas dan batik sarung. Batik lepas dipakai dengan kain sarung dan wiron Di samping itu, ia juga digunakan sebagai kain tutup jenazah. Batik sarung pula dijadikan kain kelubung wanita, ketika keluar rumah. Kain ini dipakai dengan cara memegang pertemuan kain di dagu. Wanita yang memakai kain kelubung ini, memakainya hanya menampakkan muka saja.
  
Sarung telepuk satu lagi sarung yang menjadi kebanggaan warisan bangsa Melayu. Seni telepuk adalah satu bentuk seni tekstil Melayu yang hampir pupus. 

Kewujudannya dianggarkan bermula abad ke-17 atau ke-18 dan dipercayai dibawa masuk oleh pedagang Bugis dan Sulawesi. Telepuk mengikut sastera lama bermaksud bunga-bungaan dan lain-lain yang diperbuat daripada emas.
  
 Sementara, sarung tenunan songket adalah sejenis tekstil fabrik atau fabrik Melayu yang dihasilkan daripada teknik proses `sungkit' iaitu menyungkit benang emas. Perkataan bersungkit (songket) atau sulam benang emas dan perak dikenali juga sebagai kain jong sarat, teluk berantai atau berpakan emas.
  
Masyarakat Sarawak juga mewarisi kepakaran menenun songket daripada kerajaan Melayu Brunei. Susur galur masyarakat Brunei ada hubungan dalam masyarakat Melayu Sarawak menerusi seni tenunan dan sulaman yang menggunakan bahan kilau benang emas, kelingkam dan perhiasan barang kemas.
  
Sarung tenunan bercorak pula begitu terkenal di Pahang, Terengganu dan Kelantan. Tenunan bercorak ialah hasil jalinan tenun benang pakan dan loseng berwarna. Ia dibahagikan kepada tenun benang kapas dan benang sutera. Kepelbagaian dan keindahan sarung tenunan bercorak dibahagikan kepada kain corak melintang, memanjang, ragi dan seperti corak kain Rawa atau kain Bugis, Muar, Samarinda, Sambas dan Palembang (kain Gebeng).
  

  

Friday, July 19, 2013

GAYA NUANSA PUTIH

Berita Harian, Sabtu, Jun 24, 2006
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Gaya nuansa putih

  
 TANPA warna, hidup hambar. Itulah rencam kehidupan. Begitu juga dengan fesyen, warna berperanan penting untuk membentuk penampilan diri dan menyuntik keceriaan. Pemilihan warna tepat dalam bergaya juga dapat menghidupkan suasana dan mewujudkan keharmonian jiwa.
  
  Bagaimanapun, berbicara mengenai pemilihan rona dalam fesyen, sukar anda hendak menolak warna putih. Suka ataupun tidak, putih sudah pasti harus ada dalam daftar warna baju anda. Wajib hukumnya! Demikian pandangan bagi kebanyakan pereka atau perunding fesyen.
  
  Putih sememangnya warna yang boleh digunakan dalam pelbagai kesempatan. Saingannya, sudah tentu warna hitam.

Kedua-dua warna berkenaan boleh diaplikasi secara semula jadi sama ada untuk suasana formal, semi formal atau pun santai.

  
  Warna putih boleh diserapkan dalam motif apapun termasuk floral, abstrak atau geometri. Berbanding dengan hitam, anda perlu berhati-hati kerana warna itu bukan saja dapat menghidupkan warna dan motif tetapi jika tidak serasi, ia boleh `mematikan' atau menenggelamkan motif itu sendiri.
  

  Satu lagi kelebihan warna putih ialah bersifat melampaui dan transformasi. Secara tidak langsung, putih mudah disuai padan dengan apa juga warna lain. Kombinasi warna putih dengan pilihan rona bertentangan, lazimnya lebih menyerlahkan penampilan.
  
  Putih juga cocok untuk anda yang tidak ingin tampil keterlaluan tetapi tetap tampak bergaya. Warna yang dikaitkan dengan simbol kesucian ini juga mampu menonjolkan imej rapi dan kemas pada penampilan anda. Bagaimanapun, tidak dinafikan apabila asyik menjadikan putih sebagai salah satu gaya busana, anda mungkin berasa `mati' gaya. Untuk itu, beberapa hal perlu dilakukan supaya anda tidak bosan dengan warna putih.
  
  Antaranya, jika berasa pakaian anda kelihatan sangat polos, tidak menonjol dan tiada keistimewaan sama sekali, cuba gandingkan dengan tambahan sedikit aksesori. Penambahan aksesori membuatkan anda kelihatan tidak terlalu datar dan hambar. Selain itu, anda boleh menggayakan pakaian putih dengan jaket, atau rompi yang berwarna lain.
  
  Banyak lagi yang boleh dilakukan bagi menghilangkan rasa bosan pada warna putih. Bagi memberikan anda inspirasi dan lebih bergaya kreatif, Ekspresi Gaya kali ini memperlihatkan beberapa gaya fesyen dalam nuansa putih. Selamat bergaya!
  
  INFO
  
  * Warna putih bukan untuk mereka yang langsing saja. Anda yang bertubuh besar juga boleh mengenakannya tetapi pilihlah yang tidak terperinci di sekitar pinggang atau dibiarkan tampak longgar.
  
  

* Warna putih sesuai bagi mereka yang sedang dalam kekeliruan. Pun begitu, elakkan warna putih jika anda berasa tidak bersemangat kerana mungkin anda akan cepat bosan.
  
  * Anda yang kurus dan memiliki bidang dada kecil, putih boleh `menutupnya' dengan mengenakan baju lengan panjang dengan kerutan di sekitar dada.
  
  * Jika ingin menggayakan busana serba putih dan tampak anggun cuba pilih fesyen leher potongan V dengan kerut ala bohemian.
  
  * Jika ingin tampil dengan nuansa putih bagi acara semi formal, pilih baju putih mengikut potongan badan dan padankan dengan warna senada. Pakai aksesori tambahan seperti kerongsang pada kemeja putih bagi untuk memperlihatkan gaya feminin.


AURA EMPAT KOTA FESYEN


Berita Harian, Rabu April 3, 2013 
Oleh Nor Affizar Ibrahim


Aura empat kota fesyen


NEW YORK, London, Milan dan Paris terkenal sebagai kota fesyen. Saban tahun menganjurkan minggu fesyen yang menjadi tumpuan fashionista dan pereka antarabangsa mempamerkan rekaan kreatif mereka.

Pengalaman penulis, yang pernah mengikuti Minggu Fesyen di London dapat menyaksikan sendiri aura ditimbulkan dalam acara itu. Tanpa undangan rasmi atau bukti kad jemputan, tetamu tidak akan dibenarkan masuk berikutan, keterbatasan tempat dan cirinya sebagai acara eksklusif.

Keunggulan minggu fesyen menghimpunkan perancang busana atau rumah fesyen mempamerkan koleksi pakaian terbaru mereka. Acara dinanti-nantikan ini, biasanya menentukan aliran busana apa saja yang in dan out di seluruh dunia sepanjang tahun.
  
 Menariknya, setiap kali Minggu Fesyen dianjurkan ia bukan saja menghimpunkan perancang dan pereka fesyen tetapi turut dihadiri mereka yang terbabit sama ada secara langsung atau tidak, dalam industri fesyen.

Mereka termasuklah, individu hanya di belakang tabir atau juga yang sering mengikuti perkembangan fesyen seperti selebriti, editor fesyen, jurugambar, penulis blog, penata gaya, jurusolek, pembeli dan sebagainya.
  
 Lazimnya, Minggu Fesyen diselenggarakan beberapa hari dan diadakan dua kali setahun iaitu Januari hingga April untuk mempamerkan koleksi busana musim luruh/dingin serta September hingga November bagi busana musim bunga/panas.
    
Kiblat mode dunia
  
  Keempat-empat kota itu yang juga dikenali, The Big Four menjadi `kiblat' mode kelas dunia. Dari dulu hingga kini, keempat-empat pusat busana itu terus menunjukkan kekuatannya sebagai kota fesyen unggul dan utama di peringkat dunia. Justeru, setiap kali tiba acara hebat ini, masing-masing memperlihatkan inspirasi mode dan penuh variasi gaya.
  
 Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Minggu Fesyen dianjurkan di beberapa negara Asia kini turut mendapat perhatian. Antara yang mula diintai pengikut dan peminat fesyen ialah di Shanghai. Ini berikutan, ledakan fesyen di China semakin mencuri tumpuan dunia.


Tumpuan turut beralih ke Australia, Jakarta, Berlin, Barcelona, Seoul, Tokyo, Los Angeles, Dubai, Hong Kong dan Madrid mempamerkan matlamat sama.
  

  Di Malaysia ada Minggu Fesyen Kuala Lumpur walaupun tidak gah di peringkat dunia, sedikit sebanyak ia mewujudkan fenomena baru dalam dunia peragaan fesyen di negara ini.
  
  Impak besar
  
  Bagi pereka terkenal dan mempunyai nama teguh dalam arena fesyen antarabangsa, Minggu Fesyen memberikan cabaran tersendiri dalam menghasilkan rekaan lebih kreatif dan perlu bersedia dengan kritikan. Ini berikutan, pengkritik fesyen terma
suk editor fesyen akan memberikan reaksi atau komen mereka sama ada positif atau sebaliknya, bagi setiap koleksi rekaan baru diketengahkan.
  
  Pandangan pengkritik fesyen mampu memberi impak besar sebab itulah ada pereka tersohor mengakui berdebar setiap kali mempersembahkan koleksi terkini. Antara pengkritik fesyen disegani atau terkenal adalah Anna Wintour dari majalah Vogue dan penata gaya selebriti, Steven Cojocaru.
  
  Sepanjang acara Minggu Fesyen berlangsung, rumah fesyen terkemuka seperti Louis Vuitton, Chanel, Prada, Mulberry, Comme des Garcons Homme Plus, Dior Homme, Valentino, Paul Smith dan banyak lagi akan mempersembahkan himpunan terbaru masing-masing.  

Minggu Fesyen memacu landasan untuk mengiklankan dan meningkatkan penjualan untuk pereka fesyen terkenal. Lazimnya, model terbaik seiring dengan jenama akan ditampilkan untuk menjayakan catwalk atau pertunjukan peragaan fesyen diadakan.
Sekali gus menunjukkan,
  
  Bagaimanapun, Minggu Fesyen bukan saja menjadi medan untuk pereka terkenal yang sudah mempunyai label jenama dan nama kukuh mempamerkan kreativiti terbaru mereka tetapi juga menjadi landasan kepada pereka baru bertatih serta pelajar fesyen untuk mengutip pengalaman dan pengetahuan baru.
  
  Difahamkan, mereka berharap penampilan ditonjolkan dapat menarik
perhatian individu berkaitan dalam industri fesyen. Ini termasuklah, mereka yang bercitacita untuk menjadi model, berhasrat mencipta nama sebagai jurugambar fesyen dan sebagainya.

Bahkan, ada yang mengambil peluang `mengedarkan' kad nama atau portfolio mereka, sebagai salah satu cara memperkenalkan diri mereka. Justeru, tidak menghairankan kawasan sekitar tempat acara itu diadakan, bagaikan runway tidak rasmi.
  
  Medan selebriti
  
  Kehadiran selebriti dalam Minggu Fesyen pula memberi makna tersendiri. Lazimnya, kemunculan mereka bukan hanya sebagai penonton, sebaliknya banyak daripada mereka yang juga mencuba menunjukkan bakat lain sebagai perancang.
  
  Antara selebriti popular yang berjaya `strateginya' sebagai perancang atau pencetus aliran fesyen ialah Victoria Beckham, MaryKate dan Ashley Olsen.
  
  Satu lagi hakikat tidak boleh dinafikan, siapa yang mampu mempromosikan koleksi busana jika bukan selebriti? Justeru, pereka atau penata busana tidak `segan' menjemput selebriti sebagai tetamu VIP untuk duduk di barisan hadapan, setiap kali acara peragaan fesyen berlangsung.

Apabila selebriti berkenaan mendapat liputan wartawan dan banyak memuatkan foto selebriti terbabit berikutan komen mereka mengenai persembahan yang mereka hadiri, secara tidak langsung meningkatkan profil pereka.
  
  Sementara itu, acara seperti ini juga menjadi kesempatan bagi selebriti untuk mencari busana yang sesuai untuk dikenakan di karpet merah acara tayangan perdana filem atau majlis penganugerahan. Selain itu ada yang sememangnya mahu memberi sokongan kepada pereka yang menjadi sahabat mereka.
    
Empat kota fesyen utama:
  
  * Paris
  

  Perkembangan fesyen Paris bermula pada 1914. Ketika itu, Paris adalah cahaya fesyen terkemuka dan tanpa rekaan dari negara itu, sama ada untuk dibeli atau ditiru, maka tidak akan ada fesyen di Amerika dan tiada apa-apa untuk mengisi muka surat Vogue.  

Ketua dan Editor Vogue, Amerika, Edna Chase mengambil inisiatif menggalakkan pereka pakaian yang terbaik tampil dengan rekaan mereka untuk menunjukkannya pada pameran amal di dewan Ritz-Carlton. Chase memujuk wanita kelas atasan untuk membeli tiket dan pergi pertunjukan itu. Beliau juga membawa model ke kedai pakaian dan mengajar mereka untuk berjalan cat walk dan mendandan cantik rambut mereka.

Bagaimanapun, pada tahun 1943, dunia fesyen di kota itu malap, berikutan tercetusnya Perang Dunia Kedua. Akibat pendudukan Nazi di bandar, pekerja fesyen pekerja tidak dapat masuk ke Paris. Ini menyebabkan, perhatian dunia fesyen beralih ke Amerika Syarikat (AS). Selepas perang tamat dan beberapa tahun kemudian, Paris bangkit kembali dalam industri fesyen. Rumah fesyen utama seperti seperti Louis Vuitton, Comme des GarÁons, Christian Dior, Balenciaga, dan banyak lagi mewarnai industri fesyen negara itu. Minggu Fesyen Paris dikatakan, bermula secara rasmi pada 1973.
  
  * Milan
  

  Itali menubuhkan Minggu Fesyen Milan pada 1958 dan sekali gus terkenal sebagai fashionista antarabangsa terkenal di seluruh dunia.. Milan juga mempunyai sejarah yang panjang dalam industri fesyen, pakaian dan tekstil.

Sepanjang abad ke-19, ia menjadi salah satu kuasa industri dan ekonomi utama negara serta pusat pengeluaran utama dalam perdagangan. Minggu Fesyen Milan diMilan mempunyai beberapa pereka handal termasuk, Giorgio Armani, Valentino Garavani, Gianni Versace, Miuccia Prada, Moschino, Etro, Trussardi, Missoni, dan Dolce & Gabbana. Kebanyakan label dan jenama fesyen Itali berpusat di Milan walaupun kebanyakannya diasaskan di bandar lain.

Antaranya ialah Prada, Valentino SPA, Armani, Dolce & Gabbana, Versace, Missoni, Moschino, Luxottica dan Trussardi.miliki oleh Italian Fashion Chamber, sebuah persatuan bukan keuntungan yang mengendali dan menggalakkan pembangunan fesyen Itali serta bertanggungjawab untuk menganjurkan acara fesyen. Fesyen Milan walaupun mengambil inspirasi daripada reka bentuk terkemuka Paris tetapi ia membangun dengan pendekatan tersendiri.
  
  * New York
  
 Sebagai pusat fesyen di Amerika Syarikat (AS), kota ini dikatakan, sebagai tempat kelahiran Minggu Fesyen. Menelusuri sejarah, Minggu Fesyen mula diadakan di kota Big Apple itu pada 1943, bertujuan mengalihkan perhatian gaya fesyen Perancis. Apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua, pekerja di industri fesyen tidak dapat melakukan perjalanan ke Paris.

Justeru, saat yang tepat pereka di AS membuktikan kehebatan mereka selepas berabad bergantung pada Perancis sebagai inspirasi. Di sinilah aliran Minggu Fesyen bermula, kemudian menjalar di seluruh Pereka fesyen, Eleanor Lambert menganjurkan acara itu di New York dan menampilkan pereka AS, khusus untuk disaksikan wartawan fesyen yang sebelumnya mengabaikan karya mereka. Acara itu awalnya dikenali Minggu Wartawan dan berjaya dianjurkan.

Bermula detik itu, majalah seperti Vogue yang biasanya diisi dengan rekaan Perancis mula menampilkan inovasi rekaan fesyen Amerika.
dunia.
  
  * London
  
Selepas New York, Minggu Fesyen beralih ke ibu kota Inggeris. Minggu Fesyen London pertama diadakan di tempat letak kereta di West London pada 1984 dengan mempersembahkan catwalk bertenaga dan pameran yang menggabungkan fokus dan kekukuhan industri serta dikekalkan hingga ke hari ini. Ia diselenggarakan oleh British Fashion Council (BFC).

London juga dikatakan kota mode teratas di dunia. Beberapa aliran fesyen diilhamkan dan menyaksikan kemunculan ikon fesyen seperti Betty Jackson, David Fielden dan John Galliano. London kota mode pertama yang dapat dilihat secara digital pada 2010 dan memungkinkan orang ramai berasaskan seperti duduk tepat di barisan depan kerana membolehkan pereka menyiarkan rekaan busana mereka secara langsung di internet.

Tuesday, July 9, 2013

PINGGANG KERENGGA

Berita Harian, Sabtu, Julai 21, 2007
Oleh Nor Affizar Ibrahim



Pinggang kerengga

PEMAKAIAN korset dan bengkung dikatakan mampu membentuk potongan badan seseorang itu supaya kelihatan lebih seksi dan menggiurkan. Malah, ada yang berpendapat, wanita mengenakan pakaian dalam itu akan membuatkan tubuh tampak semakin segaris pinggul dengan pinggang dan ia akan membuat jejaka semakin tertarik.


Menariknya, sekitar kurun ke-16, korset hakikatnya digunakan untuk meleperkan payu dara kerana wanita yang menonjolkan dadanya dianggap satu dosa besar.
   Hanya beberapa ratus tahun kemudian barulah masyarakat Eropah tidak lagi menganggap pendedahan payu dara sebagai satu kesalahan, sekali gus penggunaan korset turut berubah.
    Selain itu, korset bukan saja dipakai untuk membentuk tubuh bagi memenuhi estetika tetapi juga tujuan perubatan. Untuk itu, selain wanita korset juga dipakai lelaki.
  
Melicinkan lebihan lemak

Perunding fesyen tempatan, Norma Norell dalam satu tulisannya mengenai fungsi pakaian dalam wanita di zaman dulu turut menyatakan, memakai kendit, korset dan coli yang ketat adalah untuk menekan serta melicinkan lebihan lemak perut (spare tyre) di badan.

   Bersesuaian dengan fungsinya untuk merampingkan pinggang atau membentuk struktur tubuh, korset sering digunakan terutama apabila seseorang wanita itu memakai pakaian yang ketat. Pemakaian korset bukan saja menampakkan susuk badan tetapi memastikan lebihan lemak dapat di selindungi.

   Sejak tahun kebelakangan ini, terma korset juga dipinjamkan oleh industri fesyen. Bagaimanapun, ini tidak menghairankan kerana pada kurun ke-19, bagi kebanyakan wanita Eropah tidak ada apa yang boleh dianggap seksi, selain mempunyai buah dada besar.

   Sehubungan itu, wanita Eropah dulu memakai korset untuk menolak payu dara ke atas. Dengan cara itu, dada akan menjadi lebih bidang dan payu dara pula kelihatan lebih besar.
   Walaupun ahli perubatan pada masa itu mengisytiharkan pemakaian pakaian dalam terbabit boleh menyebabkan pemakainya pitam, patah tulang rusuk dan mungkin juga paru-paru serta jantung pecah disebabkan tekanan, kebanyakan wanita tidak menghiraukannya.

   Norma dalam tulisannya lagi berkata, apabila seseorang itu memakai korset walaupun pinggang kelihatan ramping, payu dara akan membonjol ke atas dan pinggul pula tertekan ke bawah.



   Ini membuatkan mereka kelihatan kekok dan sudah pasti tidak selesa apabila duduk terlalu lama. Pemakaian korset turut memberi kesan terhadap keseluruhan fizikal si pemakainya termasuk cara berjalan. 

Asalnya untuk meleperkan dada

Oleh kerana ketika mula diperkenalkan korset berfungsi untuk meleperkan dada, ia tidak begitu menyakitkan dan lazimnnya, diperbuat daripada fabrik lembut dan selesa seperti kain kanvas atau kulit binatang yang direbus seperti yang digunakan dalam pembuatan pakaian dalam atau coli.
   Apabila fungsinya berubah, pembuatan korset menjadi lebih canggih yang mana batang kayu atau batang besi digunakan untuk membuat kerangka korset. Penggunaan bahan keras seperti kayu dan besi termasuk tulang ikan paus untuk membuat korset adalah bersesuaian bagi memberi sokongan pada badan supaya si pemakainya tidak bongkok dan secara tidak langsung, pinggang kelihatan ramping.

 Sehinggalah penghujung kurun ke-19, kebanyakan tukang jahit di Eropah begitu ghairah untuk menghasilkan pakaian dalam wanita yang selesa serta mampu menyerlahkan kecantikan tubuh.
 
Kini, hasilnya korset menjadi pakaian dalam wanita yang indah.

Potongan struktur pada perut dan pinggang pula bertindak menghalang lelemak mengalir ke belakang di samping memecahkan lelemak pada bahagian atas perut.
   Potongan struktur pakaian dalam turut membantu menguatkan rahim mengemaskan perut dan menghilangkan kesan regangan kulit terutama bagi wanita yang lepas bersalin.
   Tetulang pada bengkung pula mengatasi masalah tulang belakang seperti bongkok, slipdisk, sakit pinggang dan pengaliran darah. Malah, fabrik yang digunakan lebih baik dan lembut berbanding sebelumnya. Antara pilihan fabrik ialah taffeta, sutera, satin dan baldu yang dihiasi renda.
   


Aliran fesyen turut memperlihatkan korset bukan lagi sekadar pakaian dalam untuk membentuk badan, sebaliknya ia dipadankan bersama seluar, skirt dan kebaya atau dalam pelbagai gaya lain.

Kerangka korset tidak lagi menggunakan bahan yang keras sehingga menyakitkan badan. Korset juga direkacipta dengan mengambil kira struktur susuk badan wanita secara terperinci. Misalnya, potongan mangkuk pakaian dalam itu berbentuk piramid dan dapat menampung payu dara agar tidak jatuh serta memastikan puting dalam kedudukan betul.

Monday, May 27, 2013

HIASAN ANTING-ANTING BOLEH SERLAH PENAMPILAN

Berita Harian, Sabtu, April 28, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim
 
Hiasan anting-anting boleh serlah penampilan


SESEORANG yang berpakaian cantik dan menarik, masih tampak tidak lengkap jika tidak diserikan dengan perhiasan diri. Malah, perhiasan diri bukan sekadar menambahkan gaya, tetapi juga memberikan kesan psikologi kepada pemakai supaya berkeyakinan diri dan memberi kepuasan hati.





  
Lazimnya, perhiasan apakah terlintas pada fikiran anda apabila setiap kali ingin menyesuaikan dengan baju yang melekat di badan? Salah satu daripadanya tentu saja mengenakan rantai pada leher, tetapi sebelum melangkah keluar sebaik-baiknya perhatikan telinga anda, sudahkah ia dihiasi sepasang anting-anting?
  
Memakai sepasang anting-anting mampu membuatkan wajah lebih menonjol. Hiasan anting-anting pada telinga boleh menyerlahkan perubahan penampilan secara drastik, meskipun saat itu anda hanya memakai jeans dan baju T-shirt.
  
Bagaimanapun, anda masih perlu berhati-hati apabila menggayakan anting-anting kerana pemakaian perhiasan itu sepatutnya boleh disesuaikan dengan jenis baju yang dipakai dan perlu ada gandingan serasi dengan perhiasan lain.
  
Misalnya, jika anda memakai anting-anting yang besar, pastikan aksesori lain seperti kerongsang dan rantai kecil. Bagaimanapun, perbezaan saiz mungkin tidak begitu menjadi persoalan untuk dijadikan gandingan sesuai seandainya perhiasan yang ada didatangkan dalam satu set koleksi.



Sesuaikan dengan pakaian
  
Anda juga perlu bijak menyesuai padankan pilihan anting-anting dengan busana yang digayakan. Pastikan gaya rekaan anting-anting senada dengan konsep atau imej yang ingin dipaparkan. Contohnya, anting-anting panjang bergaya vintage atau klasik dan eksotik tampak cocok apabila fesyen pilihan anda ialah bohemian atau victoria yang tampak feminin.
  
Selain itu, seperti memilih kacamata dan potongan rambut yang sesuai dengan bentuk wajah, begitu juga dengan pilihan anting-anting digemari. Ini kerana tidak semua anting-anting juga cocok dengan bentuk wajah anda.
  
Bagi yang mempunyai raut wajah oval atau lonjong anda dianggap paling bertuah kerana memiliki paras wajah semula jadi dan boleh menggayakan apa saja bentuk anting-anting dari yang berjurai, bergelang-gelang, berangkaian dan sebagainya.





Ikut bentuk wajah

Untuk gaya rambut tiada banyak syarat sebenarnya, tetapi apabila rambut diikat ke belakang, rekaan berjurai tampak terletak akan membuat anda lebih cantik, manakala rambut yang dibiarkan terurai akan semakin eksotik dengan anting-anting yang bergelang-gelang.
  
Anda yang berbentuk wajah persegi mungkin agak sukar kerana tampak `keras', tetapi untungnya, pemakaian anting-anting dengan reka bentuk bergelung-gelung dan berbuai boleh menyerlahkan kelembutan wajah.
  
Bagi yang mempunyai raut bulat dan ingin memperlihatkan impak bentuk wajah lebih panjang, pilih saja anting-anting yang berjurai. Rekaan model yang panjang apabila tergantung pada telinga sudah tentu `melangsingkan' wajah.
  


 

 FAKTA
  
  Penjagaan anting-anting agar kekal lama
  
  * Bersihkan anting-anting yang sudah dipakai dengan tisu lembut untuk menghilangkan peluh dan mencegah kusam serta karat. Peluh boleh cepat merosakkan anting-anting perak dan emas.
  
  * Simpan anting-anting dalam kotak tertutup dan pada suhu yang kering.
  
  * Jauhkan anting-anting dari peralatan tatarias dan jangan sampai terkena air.
  
  * Hindarkan anting-anting dari pada semburan minyak wangi dan semburan rambut kerana kedua-duanya mengandung alkohol dan zat kimia lain yang sangat cepat merosakkan perhiasan.
  
  * Sebelum memakai anting-anting, lebih baik berhias terlebih dulu agar terhindar dari percikan alat solekan yang disapukan pada wajah atau badan.
  

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...