Oleh Nor Affizar Ibrahim
Gaya nuansa putih
TANPA warna, hidup hambar. Itulah rencam kehidupan. Begitu juga dengan fesyen, warna berperanan penting untuk membentuk penampilan diri dan menyuntik keceriaan. Pemilihan warna tepat dalam bergaya juga dapat menghidupkan suasana dan mewujudkan keharmonian jiwa.
Bagaimanapun, berbicara mengenai pemilihan rona dalam fesyen, sukar anda hendak menolak warna putih. Suka ataupun tidak, putih sudah pasti harus ada dalam daftar warna baju anda. Wajib hukumnya! Demikian pandangan bagi kebanyakan pereka atau perunding fesyen.
Putih sememangnya warna yang boleh digunakan dalam pelbagai kesempatan. Saingannya, sudah tentu warna hitam.
Kedua-dua warna berkenaan boleh diaplikasi secara semula jadi sama ada untuk suasana formal, semi formal atau pun santai.
Warna putih boleh diserapkan dalam motif apapun termasuk floral, abstrak atau geometri. Berbanding dengan hitam, anda perlu berhati-hati kerana warna itu bukan saja dapat menghidupkan warna dan motif tetapi jika tidak serasi, ia boleh `mematikan' atau menenggelamkan motif itu sendiri.
Satu lagi kelebihan warna putih ialah bersifat melampaui dan transformasi. Secara tidak langsung, putih mudah disuai padan dengan apa juga warna lain. Kombinasi warna putih dengan pilihan rona bertentangan, lazimnya lebih menyerlahkan penampilan.
Putih juga cocok untuk anda yang tidak ingin tampil keterlaluan tetapi tetap tampak bergaya. Warna yang dikaitkan dengan simbol kesucian ini juga mampu menonjolkan imej rapi dan kemas pada penampilan anda. Bagaimanapun, tidak dinafikan apabila asyik menjadikan putih sebagai salah satu gaya busana, anda mungkin berasa `mati' gaya. Untuk itu, beberapa hal perlu dilakukan supaya anda tidak bosan dengan warna putih.

Banyak lagi yang boleh dilakukan bagi menghilangkan rasa bosan pada warna putih. Bagi memberikan anda inspirasi dan lebih bergaya kreatif, Ekspresi Gaya kali ini memperlihatkan beberapa gaya fesyen dalam nuansa putih. Selamat bergaya!
INFO

* Warna putih bukan untuk mereka yang langsing saja. Anda yang bertubuh besar juga boleh mengenakannya tetapi pilihlah yang tidak terperinci di sekitar pinggang atau dibiarkan tampak longgar.

* Anda yang kurus dan memiliki bidang dada kecil, putih boleh `menutupnya' dengan mengenakan baju lengan panjang dengan kerutan di sekitar dada.
* Jika ingin menggayakan busana serba putih dan tampak anggun cuba pilih fesyen leher potongan V dengan kerut ala bohemian.
* Jika ingin tampil dengan nuansa putih bagi acara semi formal, pilih baju putih mengikut potongan badan dan padankan dengan warna senada. Pakai aksesori tambahan seperti kerongsang pada kemeja putih bagi untuk memperlihatkan gaya feminin.
No comments:
Post a Comment