Oleh Nor Affizar Ibrahim
Program manfaat warga emas
JUMLAH warga emas atau penduduk berumur 60 tahun dan ke atas di Malaysia pada masa kini hampir mencecah 2 juta iaitu 7.1 peratus daripada keseluruhan 26.7 juta penduduk. Perangkaan itu sekali gus menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah penuaan penduduk. Malah, bilangan warga emas dijangka akan melebihi 10 peratus pada 2025 dan akan meningkat 15 peratus pada 2035.
Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata jumlah perangkaan itu diperoleh daripada hasil kajian yang dibuat LPPKN pada 2004 dan membabitkan warga emas sebagai responden.
Beliau berkata, seiring dengan fakta bahawa negara sedang menuju ke arah penuaan penduduk, persediaan awal perlu dibuat.
Beliau berkata, hakikatnya penuaan tidak wajar dilihat dan diberi gambaran hanya dari perspektif negatif, sebaliknya apabila mencapai peringkat usia itu ia boleh dijadikan `dividen' bagi golongan terbabit untuk mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dan baik.
"Berdasarkan kajian didapati, satu daripada empat warga emas menyatakan keadaan kesihatan mereka tidak memuaskan. Lebih-lebih lagi, wanita yang kebanyakannya menghidapi masalah penyakit darah tinggi dan jantung.
Ini tidak mustahil kerana apabila wanita menopaus akan berlaku pengurangan hormon yang tinggi dan boleh menyebabkan masalah pada kesihatan.
"Justeru, persediaan untuk menghadapi situasi negara yang sedang menuju ke arah penuaan perlu bagi memastikan warga emas hidup selesa, yakin dan dihargai walaupun mencapai umur melebihi 60 tahun," katanya pada sidang media bagi memperkenalkan program, Golden Third Age (G3A): Anggun dan Sihat yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.
Program khas itu mensasarkan pembabitan golongan umur 40 tahun ke atas dan akan diadakan di Sunway Resort Hotel & Spa. pada 11 April depan.
Aminah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui LPPKN menganjurkan program berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran penjagaan kesihatan serta kesejahteraan individu dalam persediaan menempuh usia emas.
Beliau berkata, program itu juga adalah antara usaha bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengoptimumkan kebajikan warga emas seperti mana yang diwartakan dalam Dasar Warga Emas pada 1995.
"Hasil kajian juga mendapati, hanya 30 peratus warga emas melabur dalam pelaburan yang boleh memberikan keuntungan dan mendatangkan punca pendapatan, manakala selebihnya mengharapkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau pencen bulanan.
"Melalui program itu diharapkan ia dapat memberikan panduan kepada warga emas untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran individu mengenai pengurusan kewangan, harta serta kemahiran tertentu sebagai persediaan menempuhi warga emas," katanya.
Aminah berkata, program sehari itu juga diharapkan dapat meningkatkan semangat dan penyertaan warga emas dalam aktiviti sukarelawan supaya dapat terus menyumbang kepada masyarakat. Apatah lagi, LPPKN kini sedang mendapatkan maklumat daripada golongan warga emas mengenai minat dan kemahiran yang mereka miliki untuk disumbangkan kepada masyarakat atau industri tertentu.
"Kita harap dapat kumpul warga emas yang ingin menawar bakti kepada negara atau bersedia dilatih semula oleh jabatan di bawah kementerian ini untuk mana-mana program di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia agar peluang dapat diberi kepada golongan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment