Thursday, May 23, 2019

FASA BARU KEHIDUPAN BEKAS MENANTU SUHARTO

Berita Harian, Sabtu. 26 Mei 2007

Fasa baru kehidupan bekas menantu Suharto


Oleh Nor Affizar Ibrahim



BEBERAPA tahun lalu, kisahnya diburu media apabila bekas suaminya, anak bongsu Presiden Suharto, Hutomo Mandala Putra atau Tommy diberkas kerajaan atas pelbagai dakwaan. 

Namun, Raden Ayu Ardhia Pramesti Regita Cahyani Bambang Tjahjo Soerjobandoro atau lebih dikenali sebagai Tata, mengambil sikap berdiam diri.
   
Pertama kali bertemu dan berbual dengannya, penulis berasa senang sekali. Sememangnya, wajah manis dan jelita dimiliki pasti membuatkan sesiapa saja senang mendekati dirinya. 

Apatah lagi gaya dan tutur kata wanita yang pernah mengalami tekanan serta melalui kisah duka dalam hidup ini begitu sopan dan lemah lembut.
   


Sebenarnya, pertemuan yang diaturkan tengah hari itu bukanlah bertujuan untuk mencungkil kehidupan peribadi sebaliknya, mengenai pembabitan beliau sebagai peneraju dan usaha dilakukan bagi menjayakan misi serta memenuhi aspirasi Yayasan Cahaya Aden Tujuh.
   
Malah, kunjungan Regita ke Malaysia sebagai wakil delegasi bagi Forum Antarabangsa Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak 2007 yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini bertujuan untuk memperluaskan jalinan rangkaian kerja Yayasan Cahaya Aden Tujuh pada peringkat global.
   
Oleh itu, sejak dari awal lagi penulis diberi `amaran' agar tidak bertanyakan soalan yang menjurus peribadi. Namun, kesempatan bertemu dengan Regita hari itu sedikit sebanyak pastinya terdetik perasaan ingin mengetahui perjalanan hidup yang dilaluinya kini.
   
Lebih-lebih lagi, tidak banyak kisah mengenai beliau sebagai menantu Suharto mahupun bekas isteri Tommy didedahkan media dan wanita ini sendiri lebih bersikap berprofil rendah.
   
Sejak bercerai dengan Tommy yang dikahwininya pada April 1997 dan menetap di Singapura bersama kedua-dua anaknya setahun lalu, Regita hakikatnya melalui fasa kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.
   
"Kini saya melalui fasa baru dalam kehidupan. Saya pernah berkahwin dengan anak seorang pemimpin yang paling berkuasa di Indonesia, tetapi kini saya melalui kehidupan baru. 

Bagaimanapun, bekas suami saya tetap dan sampai bila-bila akan menjadi bapa kepada kedua-dua anak saya.
   
"Pada masa ini saya melihat masa depan bagaimana untuk membesarkan anak dan memastikan mereka berada bersama saya. Keutamaan saya ialah menguruskan mereka dengan baik dan meluangkan masa dengan mereka," katanya.
   
Regita berkata, sehingga kini beliau masih bersendirian dan belum ada pengganti Tommy. Keputusan untuk tinggal di Singapura bersama-sama dua anaknya, Dharma Mangkuhulur Hutoma dan Radhyana Gayanti Hutami terpaksa diambil demi masa depan mereka.
   
Beliau mengakui, di Singapura tiada sebarang pekerjaan atau perniagaan yang dilakukan, sebaliknya lebih senang menumpukan tugas sebagai ibu sepenuh masa dan memberi perhatian kepada putra dan puterinya, termasuk mengambil dan menghantar mereka setiap hari ke sekolah.
   
Bagaimanapun, beliau menegaskan Indonesia kampung halamannya dan ia akan tetap menjadi tanah tumpahnya dan anak-anak. 

Namun, akibat kisah hidup dan isu yang tercetus di Indonesia, dengan hati berat membuatkan beliau terpaksa meninggalkan seketika negara itu dan kini tabah serta lebih kuat untuk mengharungi kehidupan masa depan.
   
"Saya mahu berikan anak kehidupan baik dan membesar dengan persekitaran yang normal serta tidak berdepan dengan publisiti media. Ini adalah cara yang saya mahu lakukan. Saya rasa tidak adil bagi mereka membesar dengan kehidupan tertekan.
   
"Ada perkara yang mereka faham dan apa sebenarnya berlaku, tetapi ada kala kita harus terangkan kepada mereka. Bagaimanapun, apa yang dijelaskan mestilah pada tahap kefahaman dan sesuai dengan usia mereka," katanya.
   
Beliau turut tidak menafikan memang ada cabaran menjadi ibu tunggal, tetapi ia sesuatu yang sudah berlaku dan ditakdirkan dalam hidupnya. 

Justeru, beliau akan terus melangkah dan memandang ke hadapan di samping memastikan kedua-dua anaknya dapat melalui kehidupan dan persekitaran lebih baik.
   
"Sememangnya sukar menjadi ibu tunggal dan menjaga anak yang sedang membesar. Lazimnya, kedua-dua ibu bapa berkongsi masalah, tetapi dalam keadaan sekarang saya harus membiasakan," katanya.
   
Ketika ditanya adakah dirinya kesal terhadap apa yang sudah berlaku, Regita berkata, ia sesuatu agak lucu apabila memperkatakan mengenai perkara itu.
   
Katanya, kekecewaan memang sentiasa ada, tetapi dirinya akan cuba fokus untuk melihat masa depan yang cerah dan dirinya semakin faham bahawa itulah yang ingin selalu dilakukan.
   
Melalui pembabitan diri secara aktif dalam bidang sosial kemasyarakatan bersama Yayasan Cahaya Aden Tujuh, Regita berkata dirinya ingin menerapkan dan mengamalkan nilai murni kepada kedua-dua anaknya. 

Ini termasuk, mengenai bagaimana pentingnya berbuat baik dengan orang lain, di samping berharap apabila dewasa, mereka dapat membawa nilai itu.
   
Berbicara mengenai masa depan dan haluan hidup kedua-dua anaknya apabila meningkat dewasa, beliau berkata, dirinya tidak akan sekali-kali menghalang apa yang disukai dan dicita-citakan mereka. 

Seandainya, Dharma atau Radhyana berminat dengan dunia politik, beliau tidak akan membantah sebaliknya akan sentiasa menyokong dan memberi dorongan.
   
"Lebih baik mereka (anak) sendiri menentukan apa yang disukai. Buat masa ini saya lihat anak lelaki saya lebih menunjukkan minatnya bermain go kart dan aktif bermain bola sepak, manakala anak perempuan cenderung kepada sesuatu yang berkaitan seni dan suka meluangkan masa melukis," katanya.
   
Selain memberikan perhatian kepada anak dan aktif dalam bidang kemasyarakatan, Regita sebelum ini sudah pun mempunyai perniagaan sendiri. Bersama adiknya yang menjadi rakan kongsi, beliau memperkenalkan label fesyen khusus untuk wanita hamil dikenali sebagai 9months.
   
Perniagaan itu diusahakan sejak 2000 dan jenama diketengahkan semakin dikenali dan boleh didapati di beberapa pusat beli-belah terkenal serta pasar hiper di Indonesia. 

Bagaimanapun, pembabitannya dalam yayasan membuatkan beliau mempertimbangkan semula peranannya dalam syarikat fesyen berkenaan.
   
Beri kasih sayang kepada kanak-kanak malang
   
MEMBANTU kanak-kanak malang untuk mengharungi kehidupan dengan lebih baik, itulah harapan besar disandarkan oleh Yayasan Cahaya Aden Tujuh yang ditubuhkan di Jakarta, dua tahun lalu.
   
Bermula dengan sekumpulan 40 wanita yang mahu mempelajari dan mendekatkan diri dengan Islam, akhirnya yayasan itu dibentuk dan kini bergerak menjadi satu badan aktif dalam bidang sosial kemasyarakatan.
   
Regita yang bertindak selaku presidennya berkata, melalui hasrat mahukan sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat, ahli kumpulan berkenaan sependapat bahawa yayasan itu perlu ada fokus bagaimana untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada kanak-kanak.
   
"Teras aktiviti yang dilakukan yayasan melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk membantu anak yatim Aceh melalui trauma tsunami dan kesan psikologi selepas bencana alam itu.
   
"Untuk itu, yayasan berusaha mewujudkan suasana pembelajaran lebih sesuai untuk mereka serta program pendidikan awal.
   
"Selain memberikan penekanan terhadap peluang pendidikan, yayasan juga mengambil berat mengenai penjagaan dan pemakanan kanak-kanak berkenaan supaya mereka sentiasa sihat dan cergas," katanya.
   
Regita berkata, pada dasarnya rantau Aceh bukanlah pilihan pertama untuk yayasan itu menghulurkan bantuan dan membela nasib berjuta-juta kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Indonesia.
   
"Apabila tsunami berlaku, kami dapati ada kanak-kanak yang perlu diberi makan dan rumah, jadi kami fikir perlu lakukan sesuatu untuk mengubah nasib dan membantu mereka. Jadi, di situlah segala-galanya bermula," katanya.
   
Sepanjang melaksanakan program itu, yayasan bernasib baik dapat bekerjasama dan bergabung dengan pertubuhan lain termasuk Fajar Hadayah serta PTC Parent, Teacher Child Learning School bagi sama-sama membantu kanak-kanak yang dilanda krisis.
   
Antara kejayaan besar yang menjadi realiti ialah tersergam bangunan asrama dan sekolah, Fajar Hidayah Lok Ngah di Acheh Besar yang dibina serta dibiayai oleh Cahaya Aden Tujuh, manakala pengurusan harian oleh Fajar Hidayah.
   
Pada mulanya, 60 kanak-kanak yang berusia bawah lima tahun ditempatkan di situ. Kini jumlahnya mencapai 120 kanak-kanak dan jumlah itu dijangka akan terus bertambah. 

Program anak angkat, `Anak Aceh Anak Kita' yang diperkenalkan bagi membantu kanak-kanak itu mendapat pembiayaan persekolahan hingga ke sekolah menengah ternyata memberikan perubahan besar kepada kanak-kanak terbabit untuk kehidupan lebih baik dan masa depan lebih terjamin.
   
"Sebenarnya, kejadian tsunami di Aceh sesuatu yang luar biasa kerana ia memusnahkan segala-galanya. Tetapi ketika kami tercari-cari lokasi untuk membina Fajar Hidayah ada satu kawasan lembah yang cantik kedudukannya. 

"Di kawasan itu satu daripada bangunan masih elok dan kerja ubahsuai pun dilakukan kerana kami perlu memulakan persekolahan kanak-kanak itu dengan segera," katanya. 

Mengenai sumber kewangan, Regita berkata, yayasan itu walaupun bergerak secara kecil-kecilan cuba mendapatkan peruntukan melalui beberapa tabung kebajikan. Pada awalnya, sumbangan datang dari Aceh dan sekitar Indonesia. 

Bagaimanapun, selepas program `Anak Aceh Anak Kita' diperkenalkan keluarga angkat yang membiayai pendidikan kanak-kanak berkenaan amat dialu-alukan.
   
Beliau berkata, perkembangan daripada mulut ke mulut turut menyebabkan bilangan ibu bapa angkat yang membiayai perbelanjaan kanak-kanak itu terus meningkat dan membolehkan program itu diteruskan dan dilaksanakan dengan lancar.
   
"Kini ada lebih 100 keluarga angkat dan ada yang jadi seumur hidup. Mereka tidak hanya membiayai material saja, tetapi juga memberikan kasih sayang dan sentiasa mengambil berat terhadap kanak-kanak. 

"Program ini kini diperluaskan di luar Aceh, tetapi bagi yang ingin membela sendiri dan menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak angkat dan duduk bersama mereka, ada prosedur lain yang perlu dipatuhi.
   
"Pada masa kini tumpuan yayasan ialah untuk memastikan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak berkenaan.
   
"Walaupun sekadar menjadi ibu atau bapa angkat yang membiayai pendidikan kepada kanak-kanak itu ada di antara mereka mempunyai sentuhan hubungan kasih sayang erat. Ini dilakukan mereka melalui kiriman surat dan saling bertanya khabar. Malah, ada ibu bapa angkat yang sekali kala meluangkan masa melawat kanak-kanak berkenaan," katanya.
   
Regita berkata, yayasan memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 setahun bagi pembiayaan seorang kanak-kanak itu, termasuk dalam urusan menyediakan pakaian, pendidikan dan makanan. 

Justeru, dengan memperluaskan program di luar negara dan pada peringkat global diharap lebih ramai kanak-kanak yang mengalami krisis dapat dibantu.
   
"Isu pendidikan penting bagi kanak-kanak dan bencana tsunami membawa perhatian global terhadap rantau Aceh. Banyak NGO yang menyumbang dan banyak kerja amal boleh dilakukan. 

"Selain mengharapkan kerajaan memberikan perhatian terhadap isu ini, yayasan turut menaruh harapan mewujudkan rangkai kerja di Malaysia. Kami yakin ada banyak lagi organisasi yang ada satu matlamat dengan kami.
   
"Kami tidak boleh melakukan semuanya bersendirian, tetapi jika kita bersatu lebih banyak yang boleh dilakukan. Lagipun, buat masa ini yayasan hanya ada seorang tenaga kerja sepenuh masa dan selebihnya adalah sukarelawan, katanya.
   



Info  

Yayasan Cahaya Aden Tujuh
   
* Diasaskan oleh 40 ahli yang bergerak aktif dalam bidang sosial kemasyarakatan sejak 2003.
   
* Sejak 2003 hingga kini yayasan memberikan bantuan material dan sokongan moral kepada mangsa bencana, anak yatim piatu, anak jalanan dan wanita yang didera.
   
* Yayasan Cahaya Aden Tujuh didaftarkan dan tubuhkan secara rasmi pada 2005.
   
* Mulai 2006 hingga kini yayasan menjalankan program `Anak Aceh Anak Kita' sebagai program pendidikan dan penjagaan di Fajar Hidayah, Lok Nga Aceh Besar.
   
 * Berpusat di 9Months Building, Jl Kemang Raya 83H, Jakarta, Indonesia
   
 * Laman web: www.adn7.adn7.or.id
   
 
Profil
   
Raden Ayu Ardhia Pramesti Regita Cahyani Bambang Tjahjo Soerjobandoro
   
* Dilahirkan pada 2 April 1975 di Jakarta, Indonesia.
   
* Anak sulung daripada pasangan RM Bambang Sutjahjo Adli Surjosubandoro dan Nyonya Yani.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...