Tuesday, October 9, 2018

TEGAK KEADILAN

Berita Harian, 22 Julai 2010
Oleh: Nor Affizar Ibrahim



Tegak keadilan

Rafidah dan Surayah ikrar tiada pilih kasih atau berat sebelah

MELIHAT kedua-dua wanita itu sekali imbas, ada persamaan. Apatah lagi, kedua-duanya berkaca mata berbingkai nipis dan sentiasa menunjukkan wajah redup wanita penuh berhemah.

Penampilan ditonjolkan pula cukup sederhana, malah kedua-duanya lebih senang membiarkan wajah polos tanpa sebarang warna solekan. Justeru, tidak hairan jika ada yang tidak mengenali mereka, malah mungkin tidak menyangka kedua-dua wanita itu menggalas tugas berat dalam sistem perundangan syariah di Malaysia.

Walaupun tidak banyak bicara, yang pasti mereka tidak pula lokek dengan senyuman. Apa pun, jangan dinilai dari segi luaran saja.
Ini kerana apabila bertutur dan melontarkan pandangan, ada nada ketegasan serta keyakinan tinggi terserlah dalam diri kedua-dua wanita berkenaan.

Dua wanita yang dimaksudkan itu ialah Rafidah Abdul Razak, 39, dan Surayah Ramli, 31, yang berjaya melakar sejarah baru dunia kehakiman negara, khususnya dalam bidang syarie apabila keduaduanya dilantik sebagai hakim syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuah Kuala Lumpur dan Putrajaya pada pertengahan Mei lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.


Cipta sejarah

Pelantikan itu, sekali gus mencipta sejarah baru pencapaian wanita di negara ini dan turut melakarkan peningkatan kejayaan kerjaya Rafidah mahupun Surayah dalam diari peribadi masing-masing.
Tidak dapat tidak, pelantikan itu juga satu pengiktirafan besar dan mengangkat martabat wanita di negara ini ke tahap lebih tinggi dalam kerjaya kehakiman syarie yang selama ini didominasi lelaki.
Pelantikan kedua-dua hakim syariah wanita itu juga dilihat satu keperluan kerana terdapat pertambahan kes mahkamah syariah, iaitu kira-kira 5,000 kes setahun di sesebuah negeri.
Peluang bertemu dengan keduadua hakim syarie itu pada sidang media diadakan di Putrajaya, baru-baru ini jelas memperlihatkan Rafidah dan Surayah sudah bersedia sepenuhnya untuk memikul tugas serta tanggungjawab berat itu.
Kesudian kedua-duanya meluangkan masa dan ditemu ramah media, dalam ruang masa serta skop topik terbatas sedikit sebanyak memperlihatkan sikap keter bukaan dan kesediaan mereka berdepan dengan khalayak.

Berupaya imbang emosi

Membuka bicara pada pertemuan itu, Rafidah yang memegang jawatan terakhir sebagai pegawai penyelidik, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, manakala Surayah, sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), buat sekalian kalinya memanjatkan kesyukuran terhadap kepercayaan, amanah dan tugas digalas di pundak mereka kini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada jabatan kerana memberi pe luang dan kepercayaan kepada saya menjawat jawatan ini. Insya-Allah, saya akan jalankan tugas dengan baik mengikut hukum syarak dan undang-undang Islam yang ditetapkan di negara ini," kata Rafidah turut menganggap pelantikan itu membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.


Surayah yang duduk di sisi, mengangguk beberapa kali dan turut menyatakan perkara sama serta bertekad, memikul tugas berkenaan sebaik mungkin, sekali pun menyedari ada cabaran yang sudah pastinya sedia menanti, apabila mula bertugas sepenuhnya nanti.

Menilai secara zahir, biarpun kata-kata itu dilontarkan dalam nada lembut dapat dirumuskan, kedua-dua wanita itu mampu untuk meyakinkan umum betapa hakim wanita tetap berupaya mengimbangi emosi dengan kewarasan dalam keputusan mereka.

Bagi Rafidah yang sudah mendirikan rumah tangga, keyakinan dan kekuatan dalam diri semakin utuh kerana suaminya, sekalipun berlainan bidang iaitu kejuruteraan sentiasa memberikan sokongan dari awal kerjayanya hinggalah kini.

"Cita-cita saya pada asalnya ingin menjadi peguam. Malah, saya pernah bertugas sebagai peguam syariah di syarikat guaman swasta selama lima tahun sebelum ini. Saya berminat menjadi peguam kerana dulu saya suka tengok satu siri cerita yang memaparkan kerjaya peguam. Saya suka caranya berhujah. Saya dapati apabila jadi peguam, berhujah ada fakta dan bukan cakap kosong," kata Rafidah.


Persepsi silap

Surayah yang masih solo turut memberitahu, bidang perundangan memang menjadi minatnya sejak kecil. Minat itu dipupuk melalui kegemarannya yang suka membaca novel sejak di bangku sekolah.
"Bidang undang-undang menjadi cita-cita sejak kecil sebab itulah apabila melanjutkan pelajaran ke Mesir, saya pilih bidang itu dan minat berkenaan berkekalan hinggalah sekarang," kata Surayah pula.
Surayah berkata, baik teman wanita mahupun lelaki, rata-rata menyokong dan memberikan suntikan semangat kepadanya dalam memikul tugas yang berat itu.

"Apabila tengok gambar saya tersiar dalam akhbar mengenai perlantikan sebagai hakim syariah, ada yang menelefon dan mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS). Terima kasih, kepada kawan-kawan yang memberi sokongan," katanya telus meluahkan rasa hati gembira.

Bagaimanapun, dalam pertemuan singkat itu Rafidah dan Surayah sempat meluahkan kegusaran hatinya terhadap persepsi silap dan harapan tinggi masyarakat, khususnya wanita serta badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan serta membela nasib wanita di negara ini mengenai `kehadiran´ mereka sebagai hakim syariah.

Kedua-duanya mahu masyarakat memahami, jawatan hakim syarie wanita tidak bermakna wanita diberi kelebihan dalam penghakiman. Selain itu, ia tidak menunjukkan banyak kes diadili sebelum ini tidak memihak kepada wanita disebabkan alasan penghakiman tidak munasabah diputuskan hakim lelaki.

"Saya tengok dalam akhbar, pelantikan kami seolah-olah pembelaan terhadap wanita. Sebenarnya, dengan perlantikan ini sekalipun wanita sebagai hakim, kenalah bertindak adil. Apabila sudah adil, ertinya kita tidak boleh menyebelahi manamana pihak dan pilih kasih. Itu yang penting. Perlu ingat, apabila berada di depan dan mengadili sesuatu kes, semua pihak adalah sama. Keadilan tetap kita tegakkan. Ertinya, kita akan merujuk kepada peruntukan undang-undang dan hukum syarak. Sekarang ini bukan soal untuk pilih kasih, tetapi untuk kita berlaku adil," jelas Rafidah.


Tiada perbezaan lelaki dan wanita

Surayah di sisi berkata, tiada perbezaan lelaki atau wanita. Pada dasarnya, setiap kes diadili masih bergantung kepada undang-undang dan hukum syarak. Fakta perlu ada dan barulah hakim boleh menentukan atau memberi keputusan.

Kata Rafidah lagi, apabila dibawa kepada hakim, sama ada lelaki atau wanita, individu terbabit mesti mengemukakan fakta. Contohnya, jika ibu tunggal hendak tuntut nafkah, perlulah ada fakta - apa dan berapa yang hendak dituntut.

Justeru, tiada masalah hakim lelaki tidak mendengar, manakala hakim wanita lebih mendengar kerana hakim wanita juga akan mendengar kes itu dari segi persepsi yang sama dengan hakim lelaki.

"Begitu juga dengan perbezaan bidang kuasa antara hakim lelaki dengan wanita. Kami percaya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak jabatan dalam menentukan bidang kuasa itu termasuklah apa yang boleh didengar atau kes bagaimana boleh didengar oleh hakim wanita," kata Rafidah yang turut mewakili Surayah bagi menjawab pertanyaan itu.

Hakikatnya, pelantikan kedua-dua hakim wanita syariah itu pastinya membuatkan pembelaan terhadap kes membabitkan kepentingan wanita menjadi lebih `menarik dan hangat´. Ini termasuklah, antara kes popular yang banyak dan tertunggak bertahun-tahun seperti tuntutan harta sepencarian, hadanah (hak menjaga anak), keingkaran suami membayar nafkah anak serta isteri digantung tidak bertali (fasakh).

Tidak mustahil juga, keputusan penghakiman kedua-dua hakim syarie wanita itu dalam kes pertama yang mereka kendalikan kelak pasti ditunggu-tunggu.



Rafidah Abdul Razak

* Umur: 39 tahun
* Asal: Balik Pulau, Pulau Pinang
* Status: Berkahwin

* Pendidikan:
- Sekolah Kebangsaan Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang (1978 - 1983)
- Sekolah Menengah Agama (P) Al-Manshorr, Pulau Pinang (1984 - 1990)
- Ijazah Sarjana Muda Syariah Kepujian, Akademi Islam, Universiti Malaya (1991 - 1995)
- Diploma Amalan dan Undang-undang Syariah, Universiti Islam Antarabangsa (1998)

* Pengalaman:
- Peguam Syarie (1995 -2000)
- Penolong Pengarah Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (2003 -2008)
- Pegawai Penyelidik, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (2008 - 2010)



Surayah Ramlee
* Umur: 31 tahun
* Asal: Kampung Kelanahan, Papar, Sabah

* Pendidikan:
- Sekolah Menengah Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu, Sabah ( 1991 -1996)
- Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Syariah Islamiah) Kepujian, Universiti Al-Azhar, Cawangan Alexandaria, Mesir (1998-2001)
- Diploma Undang-undang dan Pentadbiran Kehakiman Syariah Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa (2003)

* Pengalaman:
- Pensyarah College Cosmo Point, Kota Kinabalu
- Tutor Sambilan (Universiti Malaysia Sabah)
- Pegawai Penyelidik Hakim Mahkamah Rayuan

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...