Berita Harian, 14 Julai 2011
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Pilih ketam terbaik
KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkulit keras dan perlu dipatahkan bahagian tertentu sebelum dapat dinikmati isinya dan digemari ramai kerana mempunyai rasa yang sedap.
Apatah lagi, jika kena dengan cara masakan sudah tentu hidangan laut itu dapat dihabiskan dengan cepat dan penuh berselera terutama bagi penggemarnya.
Bagaimanapun, berapa ramai antara kita yang tahu memilih dan membezakan ketam segar atau tidak sebelum dibawa pulang ke rumah serta memasaknya dengan resipi digemari.
Sekali pandang, melihat ketam belum dimasak yang dilambakkan depan mata dan dijual di pasar basah atau pasar raya, kelihatan sama saja. Tetapi apabila dibawa pulang ke rumah dan memasaknya, barulah anda tahu ketam itu tidak lagi segar kerana sudah hilang kemanisan rasanya.
Cara Pilih Ketam
Pemilik Restoran Mee Ketam, Usamah Makmun yang berpengalaman menyajikan hidangan ketam, berkata untuk memilih ketam yang elok dan segar perkara pertama perlu dilakukan ialah meneliti bahagian belakangnya.
Usamah berkata, jika keadaannya putih macam awan, ketam berkenaan masih segar, ada isi dan manis rasanya tetapi jika ada tompok atau tanda hitam kesegarannya sudah berkurangan.
“Jangan tengok bahagian hadapan saja kerana hampir semua kulit ketam mempunyai warna sama, malah kalau cantik di depan belum tentu ia ada isi atau segar. Untuk tahu elok atau tidak, cara mudah teliti pada bahagian belakang ketam itu,” katanya yang membuka restoran di Kompleks Anjung 7, Seksyen 7 di Shah Alam.
Usamah berkata, ketam boleh disimpan lama tetapi cara penyimpanannya perlu betul supaya kesegarannya tidak terjejas dan mesti disimpan dalam bahagian sejuk beku.
Katanya, ketam yang hendak disimpan dalam peti sejuk sewajarnya dibalut dengan plastik terlebih dulu atau dalam bekas kedap udara sebelum disimpan bagi mengelakkan isinya daripada kecut.
“Kesegaran ketam boleh bertahan sehingga seminggu jika disimpan dengan cara yang betul. Kalau cara penyimpanannya tidak betul, ia boleh menyebabkan isinya kecut dan berasa kurang manis,” jelasnya.
Jenis Ketam
Tidak seperti ikan rasa isi antara ketam kecil dan besar, kedua-duanya tiada perbezaan cuma saiz saja yang membezakan manakala mengenai perbezaan jenis ketam, isi ketam bunga atau ketam laut berasa lebih manis berbanding ketam nipah. Bagaimanapun, ketam nipah lebih mahal harganya kerana sukar diperoleh dan mempunyai isi yang padu.
“Ketam nipah berbau hanyir dan lumpur tetapi lazimnya, mempunyai peminatnya sendiri. Jika dimasak dengan cara yang betul dan sesuai dengan resipi, rasanya juga sedap seperti ketam bunga.
Untuk hilangkan bau lumpur dan hanyir, ketam nipah lebih sesuai dan sedap dimasak resipi menggunakan cili sebagai bahan utama dan sama seperti kambing yang sering dimasak masala bagi menghilangkan bau hamis dagingnya.
“Untuk ketam laut pula ia sedap juga dimasak dengan cili tetapi lebih enak dibuat sup atau kari bagi menikmati rasa manisnya. Malah, ketam laut yang dimasak sup dikatakan penawar bagi mereka yang menghidap penyakit denggi,” katanya lagi.
Cara Bersih
Bagi membersih dan menyiang serta memasak ketam pula, Usama menyarankan ia dibasuh bersih, kemudian direbus hanya atau tiga hingga lima minit. Apabila sudah masak, barulah buka celah cengkerang. Cara demikian dapat memastikan isi ketam berkenaan tidak kecut.
Bagaimanapun, bagi ketam nipah oleh kerana ia berlumpur agak leceh untuk membersihkannya. Justeru, cengkerang perlu dipisahkan terlebih dulu bagi menjaminnya bersih.
“Ketam boleh di masak pelbagai cara tetapi jika ingin mencampurkan dengan bahan lain seperti tambahan sayur, lebih baik letak sedikit saja.
Ini kerana apabila ketam bercampur dengan bahan lain dalam masakan ia boleh menyebabkan hilang keenakan rasanya.
Satu lagi yang anda perlu tahu, ketam betina yang ada telur biasanya lebih sedap berbanding ketam jantan,” katanya.
Resipi:
Bee Hoon Sup Ketam
Cara menyediakannya:
Ketam dibersihkan dan diketepikan. Tumis bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan halia. Masukkan air, kemudian masukkan ketam rebus sehingga masak. Kemudian masukkan daun bawang dan beberapa titik minyak bijan.
No comments:
Post a Comment