Saturday, January 19, 2013

BUSANA MUSLIMAH BEKERJAYA

Berita Harian, Khamis 15 Oktober 2009


Oleh Nor Affizar Ibrahim

Busana Muslimah bekerjaya

Wanita seharusnya ada falsafah tersendiri dalam mematuhi lunas Islam ketika bergaya


HARI ini, semakin ramai wanita menyertai sektor pekerjaan dan jumlah mereka yang menyandang jawatan tinggi, khususnya pada peringkat pengurusan serta profesional juga kian meningkat.

Sebagai individu yang mempunyai kerjaya mantap, mereka seharusnya perlu membina imej masing-masing dan sentiasa memastikan diri kemas bergaya apabila kaki melangkah ke pejabat atau ke tempat kerja. Ini kerana cara wanita menampilkan diri ketika bekerja dikatakan, mempunyai fungsinya sendiri dalam menentukan sejauh mana keupayaan sebenar mereka memikul tanggungjawab yang diberikan.

Seorang wanita yang menyandang jawatan tinggi misalnya, akan kelihatan lebih berwibawa jika dia memakai pakaian yang sesuai dengan tugasnya kerana pakaian dan cara berpakaian adalah suatu tambahan untuk membantu menyerlahkan kewibawaan seseorang wanita bekerja, khususnya yang menyandang jawatan tinggi atau pun mempunyai kedudukan.

Jika mengimbas kembali sekitar 1970-an, dunia fesyen menyaksikan wanita Barat yang bekerja senang sekali mengenakan jaket, blaus kolar tinggi dan skirt sebagai pakaian yang paling kerap digayakan ke pejabat. Fesyen seperti itu seolah-olah menggambarkan wanita bekerja mahu dirinya dipandang sama dan setanding dengan keupayaan pekerja lelaki.

Perubahan dunia kerjaya

Ketika itu jumlah wanita bekerja memang tidak ramai. Bagaimanapun, perubahan dalam dunia pekerjaan berikutan peningkatan jumlah wanita bekerja turut memberi kesan tersendiri dalam fesyen yang dipakai.

Hakikatnya, wanita yang bekerja adalah penggerak utama dunia fesyen. Golongan itu sentiasa memberi perhatian terhadap penampilan diri masing-masing kerana selain kecekapan dan kebolehan bekerja, kerjaya juga mengutamakan gaya dan personaliti.

Bagaimanapun, bagi wanita Islam berkerjaya, dalam memenuhi dan mencari-cari penampilan fesyen yang bersesuaian, mereka seharusnya ada falsafah tersendiri dan sewajarnya dijadikan panduan.


Tidak salah bergaya

Perunding Imej wanita Muslimah dan Pengarah Atim-Agoy Boutique, Hamadah Datuk Ghazali, berkata wanita berkerjaya yang bertudung tidak salah bergaya ke tempat kerja, malah ia satu keperluan bagi memperlihatkan keindahan dalam Islam apabila berpakaian.

Bagaimanapun, katanya prinsip kesederhanaan seharusnya dijadikan panduan untuk melahirkan penampilan diingini, di samping mengambil kira kesesuaian pakaian itu sendiri yang semestinya mengikut syariat Islam dan sudah ditentukan serta suasana sekitar.

“Tidak kira apa yang kita lakukan, ia perlulah kelihatan sempurna. Begitu juga apabila berpakaian ke tempat kerja, sebaik-baiknya perlulah menonjolkan gaya yang bersesuaian dan kena pada tempatnya. Lagipun, tidak ada sebab wanita Muslimah menjadi tidak cantik semata-mata kerana bertudung.

“Wanita Islam tetap hebat dan ada martabat tersendiri tanpa perlu mendedahkan apa yang tidak sewajarnya. Selain berpakaian sederhana, kesopanan harus dititikberatkan, manakala keanggunan pakaian juga perlu diambil kira. Ini bermakna, untuk kelihatan anggun dan mendapat keredaan Tuhan, kedua-dua itu hendaklah berjalan seiring,” katanya.

Hamadah turut menegaskan, menutup aurat bukan bermakna seseorang Muslim itu akan kelihatan suram, tidak punya cita rasa atau memburukkan wajah sebaliknya jika pandai mengenakan pelbagai gaya, mereka tetap terserlah.

Katanya, imej bukanlah segala-galanya, tetapi tanpa imej, tidak akan wujud sesuatu yang bernilai pada diri seseorang itu. Justeru, apa yang penting seseorang itu harus memahami dan seterusnya menghayati konsep pemakaian pakaian mengikut lunas Islam.

Kreativiti serlah gaya

“Pengetahuan asas dalam berpakaian adalah penting dan ini tidak terkecuali dalam aturan bagi pemakaian wanita Muslimah yang bekerja. Perlu juga diingatkan bahawa dengan bertudung, seseorang wanita Muslim bukan saja dapat menutup segala kekurangan mereka, tetapi juga dapat menambah kejelitaan kepada mereka sedia jelita.

Saya juga percaya, dengan sedikit kreativiti, keanggunan akan menyerlah setiap kali anda pergi ke tempat kerja dan berjumpa atau berurusan dengan orang lain,” katanya.

Berkongsi mengenai fesyen dan gaya pakaian sesuai untuk wanita bertudung yang berkerjaya, Hamadah yang juga pengasas Atim-Agoy Boutique dan banyak mengetengahkan koleksi fesyen busana khusus untuk wanita Muslimah berkerjaya, berkata kebanyakan wanita menggemari baju kurung kerana ia kelihatan sopan dan sesuai untuk ke pejabat. Namun, tidak kurang juga yang memilih fesyen pakaian Barat untuk ke pejabat.

Katanya, sama ada wanita berusia mahupun anak muda boleh memilih apa saja gaya mengikut keselesaan masing-masing seperti baju kurung, blaus dan jaket yang digandingkan bersama celana panjang atau sarung serta gaun labuh potongan kontemporari.

Setaraf imej korporat

“Paling penting, fesyen kualiti pemakaian mestilah setaraf dengan gaya korporat. Misalnya, jika memakai baju kurung dan ingin menampakkan gaya profesional atau korporat, ia boleh digandingkan dengan jaket labuh separas atau pun melepasi paras baju kurung dipakai. Barulah nampak lebih anggun.

Jangan sekali-kali menggayakan baju kurung dengan jaket pendek kerana gandingan seperti itu tidak menampakkan gaya profesional.

“Selain itu blaus labuh gaya potongan jaket labuh juga menarik digayakan dengan sarung. Anak muda juga menarik menggayakan jaket potongan pendek, tetapi pastikan ia melepasi bawah paras punggung kerana ia lebih menepati untuk menurut syariat Islam,” katanya.

Hamadah berkata, untuk tampil lebih bergaya sebaik-baiknya pilih fabrik yang bercorak minimum atau polos. Meskipun kain berkenaan langsung tidak bercorak, ia tetap menampilkan kehebatan si pemakai dengan syarat, penggunaan tudung yang bersesuaian perlu diberikan keutamaan.

Mengenai pilihan warna pula, katanya, asalkan individu berkenaan tahu prinsip asas berpakaian dalam Islam, ia menjadikannya mudah memilih dan menyesuaikan warna yang digemari. Apatah lagi, pada masa kini wanita bertudung juga sudah berani memilih rona garang dan ceria. Pemilihan seperti itu, secara tidak langsung membantu menampilkan personaliti lebih tegas dan matang si pemakai.


INFO: 

Panduan untuk gaya lebih anggun bagi wanita kerjaya yang memilih gaya menutup aurat

*  Pakaian yang sesuai dipakai untuk wanita kerjaya tidak seharusnya melebihi tiga warna, tetapi dua warna adalah yang paling baik. Ingatlah, memakai pakaian melebihi tiga warna, kesannya adalah kurang.

* Tekstil yang sesuai dipakai ke pejabat juga tidak boleh daripada jenis kain berkilat seperti satin atau sifon kerana jenis kain itu mengikut bentuk badan. Lebih baik jika memilih fabrik yang memberi keselesaan

*  Pakaian tradisional seperti baju kurung hendaklah dengan kombinasi warna yang sesuai. Pakaian ini menjadi pilihan yang baik untuk mereka yang enggan memakai pakaian Barat.

*  Pilihan pakaian tidak seharusnya terikat dengan fesyen tertentu atau warna tertentu saja kerana ia akan membuat dunia fesyen untuk ke pejabat menjadi hambar dan tidak mendatangkan semangat ketika bekerja.

* Warna semula jadi akan membuat anda tampak lebih anggun. Pilihan yang sesuai antaranya ialah krim, hitam, coklat, kelabu ataupun biru tua.

* Sebaik-baiknya hindari motif flora untuk busana muslim ke pejabat. Motif polos dengan warna tegas akan memberikan kesan lebih profesional dan juga mudah untuk di suai padan.

*  Fesyen turut membabitkan bukan saja pakaian tetapi juga pemilihan aksesori yang tepat dan warna kasut yang sesuai serta gaya ikatan tudung dan gaya mengemaskannya..

*  Untuk penutup kepala, sebaiknya hindari motif yang serabut. Tetapi tidak harus yang polos kerana anda tetap memerlukan variasi agar tidak kelihatan membosankan. Sebagai pilihan pilih saja yang ada sedikit motif di tepinya.

* Untuk tudung pilih warna yang lembut dan hindari warna putih polos kerana akan membuatkan anda seperti memakai seragam sekolah di samping cepat kotor.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...