Wednesday, January 2, 2013

TUNTUT HARTA SEPENCARIAN

Berita Harian, 16 September 2011 

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Tuntut harta sepencarian

Demi, hak, keadilan poligami pada masa depan






HARTA sepencarian lazimnya, dituntut suami atau isteri selepas perceraian atau kematian.
Namun, bagi wanita yang dimadukan, perlu tahu hak menuntut harta sepencarian di Mahkamah Syariah ketika perkahwinan, walaupun tidak bercerai.

Hakikatnya, masih ramai yang tidak tahu mengenai hak itu, meskipun Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan dan juga negeri lain) sudah dipinda sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Naim Mokhtar, berkata di bawah pindaan rang undang-undang, membenarkan isteri pertama menuntut harta sepencarian, walaupun tidak diceraikan atau suami berpoligami.

Naim berkata, tuntutan harta sepencarian boleh dibuat ketika tempoh perkahwinan mengikut Seksyen 23(10)(b) yang memperuntukkan isteri memohon perintah mahkamah supaya pembahagian harta sepencarian dibuat terlebih dulu sebelum permohonan poligami.  

Dengan pindaan itu, tuntutan harta sepencarian suami isteri di Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan ketika tuntutan selepas perceraian, ketika perkahwinan dan selepas kematian.    

Malah, Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut sebelum mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan itu berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Sebelum ini, isteri hanya menuntut harta sepencarian di Mahkamah Syariah selepas diceraikan, tetapi apabila pindaan itu dilaksana, isteri boleh membuat tuntutan walaupun tidak bercerai.

“Melalui pindaan rang undang-undang itu isteri tidak menunggu berlaku perceraian bagi menuntut harta sepencarian. Tuntutan harta pencarian boleh dibuat sama ada isteri pertama, kedua atau pun ketiga jika suami ingin berpoligami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, di bawah undang-undang itu, suami yang mahu berpoligami dikehendaki membawa isteri, bakal isteri dan waris termasuk wali memberi keterangan di mahkamah. Langkah ini bertujuan mengetahui kemampuan suami dalam menguruskan kehidupan berumah tangga khususnya nafkah dan sebagainya.

Justeru, Naim menasihatkan isteri yang bakal dimadukan walaupun berat hati untuk melangkah ke mahkamah, sebaik-baiknya perlu pastikan menghadirkan diri. Ini penting supaya hak mereka diketahui dan difahami dengan lebih jelas sebelum poligami. Malah, ini lebih baik dan memberi jaminan untuk isteri, pada masa hadapan.      

Naim berkata, pindaan mengenai tuntutan harta pencarian itu dibuat antara lain bertujuan melindungi kepentingan serta hak isteri pertama dan anaknya di samping memberi keadilan dalam berpoligami.

Katanya, tindakan itu juga boleh memperjelaskan status suami yang memohon untuk berpoligami, sama ada dia mampu atau tidak dalam urusan pemberian nafkah kepada isteri pertama dan anaknya, selain memberi penjelasan mengenai hak bakal isteri.

“Dalam satu kes, suami berkahwin baru dan mengamalkan poligami. Tetapi seminggu selepas melangsungkan perkahwinan, suami meninggal dunia. Dalam hal ini, isteri kedua yang baru dikahwini layak mendapatkan pembahagian faraid. Harta sepencarian antara isteri pertama dan suami tidak dibahagikan sebelum perkahwinan kedua itu,” katanya.

Dalam banyak keadaan ramai isteri tahu bahagian faraid ialah 1/8 jika mereka mempunyai anak dan 1/4 bahagian jika tidak mempunyai anak, tetapi ramai wanita yang terlepas pandang, contohnya mempunyai dua isteri maka bahagian 1/8 isteri berkenaan akan dibahagi dua menjadi 1/16 bersama isteri yang baru atau dibahagi tiga jika suami berkahwin tiga.



Senario itu menyebabkan bahagian isteri pertama menjadi kian mengecil. Walaupun isteri pertama boleh mendapatkan bahagian tambahan melalui tuntutan harta sepencarian, namun ia tetap tidak dapat mengelakkan nama isteri kedua dan anaknya dalam geran harta dimiliki.


Apabila berhadapan situasi sebegini, isteri mempunyai suami yang berpoligami mungkin kecewa dan akan menyalahkan hukum faraid serta berasa dianiaya. Padahal, kedangkalan mereka dalam menggunakan kaedah itulah yang menyebabkan hak sedia ada terlepas pada pihak lain.

Bagaimanapun, kata Naim, dalam membuat tuntutan harta sepencarian mahkamah syariah hanya mengambil kira harta sepencarian yang dikumpul sepanjang perkahwinan suami isteri itu, iaitu sebelum berlaku poligami dan jika isteri sudah dikahwini mengemukakan tuntutan.

“Saya percaya, jika isteri membuat tuntutan harta sepencarian bagi suami yang ingin berkahwin lagi, tentu dia akan memberikan kerjasama sepenuhnya supaya lebih cepat mendapat kebenaran mahkamah untuk berpoligami. Ini kerana selagi kes tuntutan harta sepencarian tidak selesai, mahkamah tidak akan membenarkan suami terbabit berpoligami,” ujarnya.

Naim berkata, apa yang membimbangkan tuntutan harta sepencarian semasa perkahwinan tidak dinafikan boleh memberi kesan kebahagiaan perkahwinan yang sudah dibina. Ini termasuk berlakunya timbul salah sangka dan tergugat kepercayaan antara satu sama lain antara pasangan.



Pada masa sama, ada isteri yang serba salah untuk berbuat demikian kerana bimbang dengan pandangan masyarakat dan keluarga yang mungkin menuduhnya terlalu berkira atau tamak harta.

Bagaimanapun, tegas Naim tuntutan pembahagian harta sepencarian sewajarnya dilihat secara rasional dan perlu dibuat bagi menuntut hak dan menjaga kebajikan isteri serta anak hasil perkahwinan sebelum itu.
     
Tindakan itu bagi memastikan sumbangan isteri pertama yang bersama-sama bersusah payah dengan suami bagi tempoh yang lama dapat dilindungi apatah lagi, hukum syarak menyediakan banyak instrumen yang boleh diamalkan bagi menghargai sumbangan isteri dalam perkahwinan.  

Selain itu, Naim turut mencadangkan, klausa baru pada undang-undang keluarga yang sedia ada ini ditambah iaitu isteri juga boleh membuat tuntutan harta sepencarian apabila mengetahui suami berkahwin lain di sempadan secara senyap tanpa pengetahuannya.

Ini adalah kerana peruntukan sedia ada hanya membenarkan tuntutan harta sepencarian dibuat tatkala suami yang berkahwin secara poligami di luar negara dan bertentangan dengan undang-undang memohon untuk mendaftarkan perkahwinan berkenaan.

Dengan lain perkataan sekiranya suami itu tidak membuat permohonan sedemikian, isteri sedia ada tidak boleh membuat tuntutan harta sepencarian berkenaan.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...