Wednesday, January 9, 2013

Sebumbung tapi tidak sejiwa

Kisah dari Mahkamah Syariah: Sebumbung tapi tidak sejiwa


Berita Harian, 11 Disember 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/12/11


Suami isteri elak bertegur sapa sejak empat tahun lalu

TINGGAL sebumbung tetapi tidak bertegur sapa. Bukan sehari dua, sebulan atau pun setahun tetapi bertahun-tahun dan kini hampir mencecah empat tahun lebih. Bukan kisah yang diada-adakan tetapi benar-benar berlaku dan inilah juga derita jiwa dilalui Siti Zalikah.

Puas sudah memendam rasa dan kadang-kadang hampir gila dibuatnya kerana terpaksa berdepan dengan situasi itu. Ditelan mati emak, diluah mati ayah. Begitulah yang dirasakan Siti Zalikah yang juga sudah berputus asa untuk memperbaiki dan menyelamatkan rumah tangga yang dibina sejak 14 tahun lalu.

Dengan pandangan kosong, ibu muda dua anak itu tiba-tiba melepaskan satu keluhan panjang. Namun, itu bukanlah keluhan pertamanya kerana seingat penulis, hampir 45 minit berlalu pertemuan itu dan sudah dua tiga kali keluhan dilepaskannya.

Wajah tampak tidak berseri dan sukar sekali melontarkan senyuman, membuatkan tidak sukar penulis membaca gelodak hati resah dan kekecewaan yang melanda wanita itu.

Siti Zalikah berkata, hingga kini tidak pasti mengapa suaminya masih enggan menceraikannya sekalipun keadaan mereka berdua sudah lama tidak seperti suami dan isteri lagi.

“Anak sulung saya yang berusia 12 tahun juga dapat merasai perubahan itu dan sering mengadu, tidak rasa hidup seperti sebuah keluarga. Malah, pernah suatu hari anak saya itu berkata - Mama dan Papa lebih elok berpisah saja,” katanya dalam nada hampir berbisik di hujung bicara.

Siti Zalikah berkata, kata-kata dan pandangan anak sulungnya mungkin betul kerana sejak kira-kira empat tahun lalu beliau dan suami hanya tinggal serumah, tetapi tidur dan makan berasingan, malah berkomunikasi hanya menerusi nota atau anak, sebagai perantara.

Penulis cuba mengorek, apakah punca semua itu berlaku tetapi Siti Zalikah memohon maaf kerana tidak mahu berkongsi cerita mengenai hal itu. Dengan alasan, tidak mahu mengaibkan sesiapa dan perlu menjaga hati ramai pihak, di samping tidak mahu menuding jari siapa yang salah dan siapa betul.

Bagaimanapun, Siti Zalikah mengakui, dirinya mempunyai banyak kekurangan dan bukanlah seorang isteri yang baik untuk dijadikan contoh.

Katanya, sebelum tidak bertegur sapa tidak dinafikan perkelahian antaranya dan suami kerap juga berlaku tetapi tidaklah sehingga naik tangan atau berlaku insiden yang keterlaluan sehingga mendatangkan kecederaan.

“Keadaan rumah tangga kami bertambah buruk sejak 1996, terutama apabila saya memfailkan tuntutan fasakh untuk bercerai. Suami saya benar-benar marah dengan tindakan saya itu dan berkata, jangan harap dia akan melepaskan saya,” katanya.

Siti Zalikah berkata, selepas beberapa kali turun naik mahkamah syariah, tiada penyelesaian yang dapat dibuat kerana suami tetap dengan keputusan dan tidak mahu serta tidak bersedia untuk bercerai.

Kata Siti Zalikah, sejak itu hubungannya dengan suami menjadi semakin hambar dan sehingga akhirnya membawa episod langsung tidak bertegur sapa. Di dalam rumah, Siti Zalikah sering mengelak untuk bersua muka dengan suami.

Meskipun, makan minum untuk suami masih disediakannya tetapi mereka tidak pernah duduk semeja mengadap rezeki. Bahkan, pada hujung minggu sekalipun kedua-duanya tidak ke mana-mana, masing-masing terus dengan hal sendiri. Waktu malam pula, Siti Zalikah akan tidur di bilik utama sedangkan suami lebih senang masuk ke bilik tamu.

“Jika ada hal benar-benar penting, kami akan menulis nota dan biasanya di paparkan pada pintu peti sejuk. Jika tidak pun, anak sulung kami yang akan menjadi ‘mangsa’ untuk menjadi perantara,” cerita Siti Zalikah lagi.

Siti Zalikah sedar, sebagai isteri sikap tidak taatnya pada suami adalah dosa dan boleh membawa kepada nusyuz. Tetapi yang nyata dirinya memang tiada cinta lagi dengan suami sebab itulah sebelum ini pernah memohon cerai fasakh.

Katanya, disebabkan suami masih enggan menceraikan dia mengambil keputusan untuk menukar permohonan kepada perceraian khuluk di Mahkamah Rendah Syariah.

“Di mahkamah, saya memberitahu tidak sanggup hidup dengan suami dan ingin bercerai. Saya juga mengakui, tidak boleh menjadi isteri yang baik dan taat, malah tidak mahukan suami kerana tidak cinta lagi,” katanya berterus terang.

Namun, Siti Zalikah di mahkamah suaminya masih dengan keputusannya dan berkata, masih ada ruang untuk berdamai. Sehingga kini, kes perceraian itu masih belum diputuskan dan perbicaraan ditangguh pada bulan depan.

Kata Siti Zalikah, dilema dihadapi itulah menyebabkan tidur malamnya tidak pernah lena dan sering diburu igauan mimpi yang menambahkan lagi kekusutan fikiran.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...