Kepayahan jadikan Mazlina bersemangat kental
Oleh Nor Affizar Ibrahim
KEJAYAAN Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir sebagai
wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo pada malam 29
Disember lalu sudah pun diketahui ramai. Malah, sebahagian besar rakyat
Malaysia turut berbangga dengan kejayaan yang dicatat oleh pensyarah
Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara
(UiTM) berusia 39 tahun itu.
Kepayahan mengharungi ekspedisi sejauh 1,100 kilometer dengan kaedah
ski di persekitaran yang mempunyai suhu jauh di bawah paras beku, sudah
tentu bukan sesuatu yang mudah. Bagaimanapun, wanita yang berjiwa cekal
dan bersemangat kental itu berjaya mengharungi semua cabaran serta
sudah pun mendapat pengiktirafan Antarctic Logistics & Expedition
(ALE) kerana kejayaannya merentasi Antartika dalam tempoh 22 hari,
terpantas pernah dilakukan seorang wanita. Di sebalik kejayaan besar
itu, tentunya Sharifah Mazlina memerlukan sokongan dan bantuan kerana
untuk melakukan ekspedisi seumpama itu, segala-galanya memerlukan
perancangan rapi serta teliti demi memastikan cita-cita menjadi realiti.
Mungkin masih ramai yang tidak ketahui tetapi umumnya, Persatuan Wanita
Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (Peniagawati) adalah
antara tulang belakang terhadap kejayaan yang dicipta Sharifah Mazlina.
Ini diakui sendiri oleh Sharifah Mazlina yang amat berterima kasih dan
sekali-kali tidak akan melupakan segala bantuan di samping, kerjasama
yang terjalin antara beliau dan persatuan itu, dari awal hingga
berakhirnya ekspedisi berkenaan. “Saya terhutang budi dengan Peniagawati
kerana ketika saya menghadapi pelbagai rintangan dan dua tahun membuat
persiapan untuk meneruskan usaha saya merentasi Antartika, ada yang sudi
membantu. Oleh itu, kejayaan yang saya lakarkan itu ditujukan kepada
Peniagawati. Di samping, semua penaja serta individu dan pihak lain yang
bertungkus lumus menjadikan ekspedisi itu satu realiti,” kata Sharifah
Mazlina ketika ditemui di Hotel J W Marriot, Kuala Lumpur, baru-baru ini
Beliau yang kini turut menjadi ahli aktif Peniagawati berkata, sebelum
memulakan cabaran ekspedisi berkenaan ada beberapa pihak mencadangkan
agar bekerjasama dengan satu badan bukan kerajaan yang stabil khususnya,
bagi membantu hal berkaitan pengurusan kewangan dan melicinkan segala
perancangan. “Pada mulanya, saya berhasrat ingin bekerjasama dengan
persatuan yang khusus terbabit secara langsung berkaitan dengan kegiatan
ekspedisi seumpama itu. Namun, apabila mempertimbangkan semula, saya
mengambil keputusan bekerjasama dengan Peniagawati kerana yakin dan
kagum dengan kemampuan pertubuhan itu yang sudah setapak lebih maju
berbanding ahli persatuan wanita lain di negara ini,” katanya. Beliau
berkata, kebetulan matlamat Peniagawati bertepatan dan seiring dengan
hasratnya yang ingin mengharumkan nama Malaysia di persada dunia dan
membuktikan wanita boleh mengharungi cabaran serta rintangan. Sementara,
Presiden Peniagawati yang juga Pengarah Projek Ekspedisi Antartika
Sharifah Mazlina, Hazimah Zainuddin, berkata pada mulanya memang ada
kesangsian pada Peniagawati dan terdapat pandangan negatif segelintir
pihak terhadap ekspedisi yang ingin dilakukan oleh Sharifah Mazlina.
Namun, katanya Sharifah Mazlina datang berjumpa beliau di pejabatnya
dengan penuh keyakinan bersama kertas kerja yang lengkap dan berjaya
menarik perhatian Peniagawati untuk bekerjasama. “Apabila kerjasama
antara Peniagawati dan Sharifah Mazlina terjalin bagi memenuhi misi
ekspedisi ke Antartika, memang ada yang salah anggap mengenainya
malahan, ada yang berkata ‘satu kerja gila’. Tetapi tindakan berani
Sharifah Mazlina kini membawa makna besar kepada Peniagawati yang turut
mengharumkan Malaysia dan bagi persatuan pula memberi impak positif
untuk setiap ahli. Ini juga adalah permulaan untuk persatuan untuk
membabitkan diri dengan kegiatan bertaraf antarabangsa,” katanya turut
tidak menafikan ekspedisi berkenaan turut merapatkan hubungan beliau dan
Sharifah Mazlina biarpun pada mulanya bukan satu `permulaan' baik.
Beliau berkata, setiap wanita di negara ini terutama, ahli Peniagawati
perlu mencontohi semangat juang yang ditunjukkan wirawati itu. Tiada
kejayaan tanpa usaha dan ini membabitkan pelbagai kerjaya termasuk dalam
bidang perniagaan. “Jika sudah menceburi bidang perniagaan tidak boleh
berpatah balik, sekali pun ada rintangan atau risiko yang perlu dilalui.
Oleh itu, semangat dan kegigihan yang ada pada Sharifah Mazlina, memang
perlu ada pada semua ahli perniagaan wanita. “Saya juga suka dengan
penampilan Sharifah Mazlina kerana sejak dari awal hingga kini,
penampilannya sebagai wanita sentiasa dikekalkan walaupun aktiviti yang
dilakukan agak lasak,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
BEBAN NAFKAH
Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...
-
Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002 Oleh Nor Affizar Ibrahim Kain sarung warisan bangsa SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat...
-
Berita Harian, 14 Julai 2011 Oleh Nor Affizar Ibrahim Pilih ketam terbaik KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkul...
-
Berita Harian, Khamis Januari 11, 2007 Oleh Nor Affizar Ibrahim Konflik tagih cinta isteri orang KISAH wanita belum berkah...
No comments:
Post a Comment