Oleh Nor Affizar Ibrahim
Dilema Pencen
NILAINYA mungkin sedikit dan kurang daripada jumlah wang gaji penuh yang dinikmati ketika masih bekerja sebagai penjawat awam.
Namun, jumlah berkala diterima setiap bulan, menjadikan wang pencen diterima setiap bulan memberikan nilai tersendiri dan begitu bermakna bagi yang menerima habuan itu
Justeru, tidak hairanlah setiap kali apabila membincangkan isu pencen sentiasa ada beberapa perkara dibangkitkan, termasuklah ada yang akan mendakwa diri teraniaya atau dinafikan haknya. Selain itu ada juga yang meraih rasa simpati dan minta dikasihani serta meluahkan rasa ingin menuntut keadilan.
Pada masa sama, ada beberapa pihak atau individu yang berpendapat, sekali gus membuat permintaan dan tuntutan supaya pembayaran pencen untuk beberapa aspek tertentu dikaji serta dinilai semula.
Malaysia antara terbaik bayar pencen
Bagaimanapun, Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Malaysia, Datuk Yeow Chin Kiong, menegaskan pada masa ini pembayaran pencen di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia jika dibandingkan dengan negara lain.
"Pertama, penjawat awam langsung tidak perlu mencarum sesen pun sepanjang dalam perkhidmatan. Berbanding di kebanyakan negara Asia yang lain sudah pun memulakan pencaruman seperti ditetapkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), malah hampir banyak negara lain di dunia turut menggunakan kaedah itu bagi tujuan pembayaran pencen.
"Skim pencen perkhidmatan awam di Malaysia tidak perlukan caruman, sebaliknya semua wang itu menunggu selepas kakitangan terbabit bersara. Singapura contohnya, skim pencen yang tiada caruman diperkenalkan hanya untuk beberapa perkhidmatan tertentu saja, manakala yang lain perlu buat caruman. Ini kerana belanja pembayaran pencen adalah banyak," katanya ketika ditemui Berita Harian, barubaru ini. .
RM9,000 juta setahun
Di Malaysia, pembayaran pencen setahun membabitkan perbelanjaan kirakira RM9,000 juta bagi 580,000 pesara tanpa ada satu sen pun caruman daripada kakitangan awam dan inilah antara kebaikan pembayaran pencen di negara ini.
.Kedua, pencen di negara ini dibayar seumur hidup untuk balu dan duda. Hampir tiada negara di dunia memperkenalkan skim pembayaran pencen sedemikian. Kerajaan juga sentiasa memperbaiki skim pencen di negara ini dari semasa ke semasa, malah apabila ada kenaikan gaji untuk kakitangan awam, pesara juga turut menikmatinya.
Selain itu, beliau berkata, ada banyak lagi kebaikannya dan ia memang lumayan untuk pesara, namun pembayaran pencen kepada kakitangan awam pada masa kini turut menyebabkan tanggungan kerajaan meningkat setiap tahun.
Oleh itu, katanya, kakitangan perlu hargai apa yang diberikan dan perlu memberikan khidmat yang terbaik.
Siapa layak
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, pencen adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 147, yang menjelaskan pemberian pencen, ganjaran atau elaun lain kepada anggota perkhidmatan awam atau balunya, anaknya, orang tanggungannya atau wakil dirinya.
Yeow berkata, individu yang layak menerima faedah disebabkan kematian anggota atau pesara yang dipanggil pencen terbitan adalah balu, duda, anak yang di bawah usia 21 tahun dan masih belum berkahwin, termasuk anak tiri tanggungan, anak angkat, anak tak sah taraf dan anak cacat.
Pencen terbitan itu diperuntukkan di bawah seksyen 14 dan 15 Akta 227 serta seksyen 15 dan 16 Akta 239.
"Individu yang layak menerima pencen ditentukan oleh undang-undang. Pertama, pencen dibayar apabila pegawai meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan dan kedua, selepas penjawat awam berkenaan tamat berkhidmat selepas cukup tempoh umur persaraan. Pembayaran pencen tidak ada beza antara lelaki atau wanita. Jika suami mati, isteri dapat dan begitulah sebaliknya.
"Maksimum pembayaran pencen ialah 60 peratus daripada gaji akhirnya ketika berkhidmat. Namun, sehingga bilakah penghujungnya pembayaran itu perlu dibuat, tidaklah diketahui. Jika ditakdirkan pesara atau balu mahupun duda berkenaan hidup lama, maka selama itulah pencen itu dibayar kerana ada yang hidup sehingga usia 100 tahun," katanya.
Mengenai pencen terbitan kepada anak, Yeow berkata, pembayaran akan diteruskan selagi mereka tidak mencapai umur 21 tahun atau berkahwin mengikut mana yang terdahulu.
Bagi anak yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dan mendapatkan ijazah pertama, pencen terbitan akan diteruskan selagi mereka tidak berkahwin atau berhenti menuntut atau mendapat ijazah itu mengikut mana yang terdahulu. Namun, berbeza bagi anak cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal atau tidak berupaya menanggung diri sendiri, pencen terbitan akan diteruskan.
"Untuk anak misalnya, bagi yang bertemu jodoh umur 16 tahun dan sudah berkahwin, tidak layak terima pencen itu kerana konsepnya ada orang lain tanggung. Tetapi kalau mencapai umur 21 dan masih belajar di mana-mana IPT bagi peringkat ijazah pertama, masih boleh menerima pencen itu. Ini berdasarkan yang mana terkemudian," jelasnya.
Yeow turut memberitahu, selain anak kandung, pencen terbitan juga layak diterima oleh anak angkat, anak tiri dan anak tak sah taraf. Bagi anak tak sah taraf, jika Islam lazimnya mudah diketahui kerana anak itu akan mempunyai bin atau binti `Abdullah', manakala bukan Islam masih boleh tetap menerima, andai diketahui ia sememangnya adalah anak penjawat awam terbabit.
Sementara, bagi pesara yang meninggal dunia dan mempunyai lebih daripada satu balu serta semua dikahwini ketika masih dalam perkhidmatan, bermakna masing-masing layak menerimanya mengikut bahagian ditetapkan. Namun, pencen kepada balu/duda di mana perkahwinannya dengan gemulah (arwah) dilangsungkan dalam persaraan serta anak hasil dari perkahwinan itu akan dihentikan setelah 12 setengah tahun dari tarikh bersara.
Katanya, kerajaan juga berhak membahagi-bahagikan mana-mana bahagian pencen terbitan yang dihentikan kepada penerima yang layak.
Heret krisis keluarga
KISAH suami isteri yang sudah lama mendirikan rumah tangga dan bercerai mungkin sudah menjadi cerita biasa. Namun, perceraian yang berlaku itu mungkin boleh menjadi episod sedih dan malang kepada wanita itu jika berkahwin dengan seorang penjawat awam yang hampir mencecah tempoh persaraan.
Bayangkan nasib dan perasaan bekas isteri itu, selepas berkahwin lebih berpuluh-puluh tahun serta sentiasa memberikan sokongan dan banyak berkorban menjaga rumah tangga demi memastikan suami dapat berkhidmat dengan baik sehingga mendapat peluang kenaikan pangkat; tiba-tiba diceraikan dalam usia semakin meningkat senja.
Isteri baru dapat
Akibat perceraian itu, pencen yang sepatutnya dinikmati bersama suami bagi menghabiskan sisa-sisa usia, sebaliknya satu sen pun tidak dapat dikecapi. Lebih membuatkan hati bekas isteri itu terhiris jika bekas suami mempunyai isteri baru yang dikahwini sebelum bersara. Lalu, sudah pastilah wang pencen itu dinikmati isteri baru itu.
Ini kerana menurut peruntukan yang ditetapkan, isteri diceraikan sekali pun sehari sebelum tempoh persaraan oleh penjawat awam terbabit, sekali gus tidak layak atau boleh menerima pencen. Jika pesara itu berkahwin sehari sebelum besara pula, isteri yang baru dikahwini boleh atau layak menerima pencen. Dalam hal ini, ramai yang pasti akan bersimpati dengan nasib bekas isteri berkenaan kerana `kesenangan' waktu tua yang sepatutnya dikecapi tiba-tiba 'dirampas' oleh orang lain.
Mengulas senario itu, Yeow berkata, sememangnya kes sedemikian menyedihkan, malah turut bersimpati dengan nasib yang dialami bekas isteri terbabit.
Namun, Yeow menegaskan peruntukan itu memang jelas menyatakan perkara itu dan sewajarnya undang-undang yang ada di hormati oleh semua pihak.
"Perceraian suami isteri adalah satu detik putusnya hubungan seorang penjawat awam dengan pasangannya walaupun sudah 20 atau lebih 30 tahun berkahwin. Apabila berlaku perceraian yang pasti, ia memberikan kesan dalam hak menerima pencen kepada janda atau bekas suami terbabit.
Menyesal bercerai
"Dalam satu kes, ada janda yang sepanjang hidup bersama menjadi mangsa panas baran suami dan kerana tidak tertahan lagi seksaan dihadapi, akhirnya wanita itu menuntut diceraikan. Selepas dua bulan diceraikan, bekas suami yang bekerja sebagai penjawat awam meninggal dunia. Wanita itu datang dan mengadu, menyesal bercerai. Katanya, dia sudah diseksa bertahun-tahun takkan tidak boleh tahan dalam tempoh dua bulan.
"Dengan nada sebak wanita itu berkata lagi, dua bulan lalu dia bertaraf isteri dan sepatutnya ketika itu dirinya bertaraf balu dan bukan janda yang tidak mendapat hak apa-apa. Tetapi harus ingat, kes itu bukan saja berlaku kepada isteri, ada juga suami yang menerima nasib sama," katanya.
Yeow berkata, hakikatnya undang-undang pencen tidak mahu membabitkan hal rumah tangga yang penuh dengan seribu liku.
Malah, sehingga kini pihaknya belum lagi bercadang untuk mengubah atau meminda undang-undang dan akta yang berkaitan dengan hal seumpama itu kerana perkara seperti itu perlu dikaji betul-betul serta dinilai sedalam-dalamnya sebelum sebarang perubahan atau pindaan dibuat.
"Apa saja yang JPA buat pun akan ada yang tidak puas dan ada pihak berasa dirinya kerugian. Contohnya, katakan si A sudah lama berkahwin dengan Aminah kemudian bercerai dan berkahwin dengan Aisyah. Jika pencen itu dibahagikan kepada Aminah apa pula kata Aishah, lebih-lebih lagi dialah yang menjadi dalang perceraian itu. Aisyah yang akan berasa usahanya sia-sia, tentu tidak berpuas hati apabila tidak dapat pencen berkenaan.
Hormati undang-undang
"Kesimpulannya kita kena berhati-hati. Undang-undang ada pendirian dan semua pihak kena menghormatinya. Tetapi akta pencen akan sentiasa dilihat dari semasa ke semasa dan dari semua sudut. Namun, kita tidak mahu memperuntukkan sesuatu akta yang lebih timbul banyak masalah, lebih-lebih lagi membabitkan kematian. Kesannya juga adalah pada institusi kekeluargaan itu sendiri," katanya.
Yeow turut tidak menafikan, meskipun pembayaran pencen di Malaysia adalah yang terbaik, ada kala ia turut mengundang permasalahan tersendiri seperti berlakunya perebutan dalam sesebuah keluarga, timbul ketidakpuasan hati, berlakunya penganiayaan dan sebagainya.
Katanya, bagi menyelesaikan masalah yang timbul perkara itu akan dirujuk ke bahagian pencen dan individu terbabit akan diberikan penjelasan keadaan sebenar, hakikatnya yang berhak tetap berhak dapat serta begitulah juga sebaliknya.
"Jika jenazah pun ada yang berebut, apatah lagi duit. Perebutan pencen bukan saja berlaku khusus kaum tertentu saja, tetapi membabitkan semua kaum. Contohnya, perebutan antara anak dengan emak kandung atau emak tiri, abang dan adik serta sebagainya. Bukan itu saja, ada kes anak ambil pencen ibu atau ayahnya, kemudian meletakkan mereka di rumah kebajikan. Jika anak itu ambil wang pencen dan membayarnya kepada rumah kebajikan bagi menjaga orang tua tidak mengapa juga, tetapi masalahnya, dia ambil pencen itu dan bayar kereta barunya. Itu yang menjadi masalah.
"Selain itu ada juga kes si abang yang bekerja tidak mendapat pencen mengadu, mengapa diberikan pencen bapa kepada adiknya sedangkan dia sudah pun berkahwin. Ini juga masalah kerana anak yang menerima pencen terbitan itu sebenarnya bertanggungjawab memberitahu kami jika sudah berkahwin ataupun berhenti menuntut," katanya.
Yang berhak boleh tuntut
Yeow berkata, selain itu perebutan pencen terbitan juga boleh timbul apabila ada kes `balu baru muncul' selepas kematian pesara. Kadang-kadang, pencen sudah dibayar bertahun-tahun kepada isteri pertama, tiba-tiba muncul balu kedua yang tuntut hak. Dalam kes ini, undang-undang membenarkan bayaran dibuat jika individu itu berhak, sekalipun baru muncul.
Keadaan boleh menjadi kecoh apabila ada pihak yang menuntut, manakala satu lagi pihak pula mempertikaikan, malah masing-masing cuba mengemukakan bukti. Misalnya, mendakwa perkahwinan itu tidak sah dan sebagainya, malah ada yang kemukakan dokumen palsu untuk menuntut hak.
"Kes seumpama itu memang pernah berlaku. Dalam keadaan tertentu masalah bertambah rumit dan jadi kecoh sehingga kami hendak bantu pun payah. Tetapi sebagai pihak bertanggungjawab, bagi kami yang berhak tetap dibantu. Masalah utama kami, tentulah untuk mendapatkan kesahihan kerana hendak bertanya kepada pegawai berkenaan pun tidak boleh kerana sudah pun meninggal.
"Inilah yang menyusahkan dan keadaan ini lazim berlaku bagi kes berkahwin di seberang serta disorokkan. Sememangnya, ada individu ingin menyembunyikan perkahwinan itu walaupun ada syarat yang menetapkan, dia perlu memberitahu majikan. Sama ada pandai sembunyikan atau tidak mahu beritahu, bukan persoalan utama tetapi jika perkahwinan itu diketahui ia akan menjadi lebih senang.
"Pihak terbabit harus ingat jika perkahwinan itu tidak daftar, hak isteri kedua untuk mendapatkan pencen boleh dipertikaikan. Bagaimanapun, kedudukan wanita itu sebagai isteri boleh dibuktikan dengan dokumen sah," katanya.
Berhenti kerja, akhirnya bercerai
PANAS yang disangkakan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Itulah kisah jodoh perkahwinan Rodziah Ali (bukan nama sebenar) dengan bekas suaminya, yang bertugas sebagai kakitangan awam berpakaian seragam.
Melayari bahtera perkahwinan selama 15 tahun atas pilihan sendiri, akhirnya ia berkecai di tengah jalan apabila hadir orang ketiga dalam hidup mereka. Retak hati Rodziah apabila kebahagiaan hidup berkeluarga yang dibina dan dipertahankan sebelum ini, tidak sampai sehingga ke penghujung nyawa seperti diharapkan.
Kata, Rodziah sebelum itu demi sayangkan rumah tangga yang sekian lama dibina, dirinya sanggup berkorban apa saja termasuklah berhenti kerja apabila bekas suami menyuruhnya berbuat demikian.
Suami tidak ambil tahu
"Bukan tidak sayangkan kerjaya saya, tetapi atas kehendak bekas suami diturutkan juga katanya atas alasan untuk menyelamatkan rumah tangga. Meskipun, ketika itu saya sedar jika berhenti kerja akan ada masalah kewangan keluarga. Ini kerana sebelum ini dengan hasil duit gaji sayalah dapur di rumah boleh berasap.
Sedangkan bekas suami, walaupun bergaji tidak pernah hendak ambil tahu semua itu," katanya.
Rodziah berkata, malangnya selepas tiga tahun berhenti kerja apabila semakin tidak sehaluan, mereka suami isteri akhirnya bercerai. Keenam-enam anak hasil perkahwinan dengan bekas suami, semua diletak di bawah jagaannya. Ketika itu anak-anak berusia dari lingkungan 14 hingga 23 tahun dan kebanyakan masih bersekolah.
“Hendak cari duit dan menyara anak-anak, saya terpaksa buat nasi lemak dan jual di tepi jalan. Memanglah susah ketika itu kerana duit simpanan pun tidak ada berapa sangat. Bekas suami pula buat tidak kisah. Kalau dulu, kerja sebagai kerani di syarikat kontraktor, cukup tempoh sebulan dapat juga gaji tetap, tetapi berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan tentulah tidak banyak dapat," katanya.
Tidak terkilan
Bagaimanapun, Rodziah yang kini menetap bersama keluarga di Flat San Peng di ibu negara, berasa lega sudah pun dapat membina kehidupan yang lebih baik berbanding enam tahun lalu.
Dengan berniaga pakaian dan kain secara kecil-kecilan, pendapatan semakin bertambah. Lebih berbangga, dua daripada enam anaknya berjaya memasuki menara gading.
Katanya, apa yang diketahui bekas suaminya masih lagi berkhidmat dengan kerajaan dan akan bersara dua tiga tahun lagi. Ditanya, tidakkah dirinya berasa terkilan tidak akan menerima satu sen pun pencen terbitan bekas suami apabila mula bersara nanti, lebihlebih lagi, pernah hidup selama 15 tahun bersama dan banyak berkorban terutama dalam menjaga anak sepanjang bekas suami bekerja.
Rodziah berkata, tidak sedikit pun terkilan tidak akan dapat menikmati pencen terbitan bekas suami kelak, meskipun sebelum ini sudah banyak berkorban. Apatah lagi, ibu tunggal itu menerima qada dan qadar bahawa jodoh maut ditentukan Allah.
Kesetiaan isteri wajar dihargai
Bagaimanapun, Rodziah bersimpati dengan nasib wanita lain yang lebih lama mendirikan rumah tangga dengan suaminya, tiba-tiba bercerai terutama saat-saat suami akan akan bersara dalam beberapa bulan lagi.
"Saya berasa tidak adil macam itu dan lebih malang lagi, jika bekas suami itu berkahwin lain dengan wanita jauh lebih muda sebelum bersara. Sepatutnya, dalam keadaan itu pengorbanan dan kesetiaan bekas isteri patut diambilkira dan jika tidak bagi semua wang pencen terbitan itu, cukuplah dibahagikan sebahagian saja.
"Jika bekas isteri itu ada anak yang mahu menanggungnya, nasibnya mungkin terbela, tetapi bayangkan jika tiada zuriat atau sebatang kara, kepada siapa wanita itu hendak mengadu. Hendak bekerja, tentu sukar dan majikan pun tidak mahu terima. Lainlah kalau bekas isteri itu nusyuz, tidak bagi sebahagian pencen terbitan berkenaan pun tidak apa. Persoalannya sekarang, wanita itu diceraikan kerana suami ingin mencari orang yang lebih muda," katanya.
Rodziah turut berpendapat, jika bekas isteri yang pernah hidup bertahuntahun bersama tidak berhak mendapat pencen terbitan berkenaan, ibu kepada bekas suami itu adalah lebih berhak menerimanya dan bukan isteri baru yang dikahwini beberapa bulan sekali pun, perkahwinan itu berlaku ketika suami terbabit masih lagi berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
INFO
Tujuan skim pencen
* Memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkhidmatan cemerlang seseorang anggota yang sudah dicurahkan kepada kerajaan dengan penuh taat setia, dedikasi dan amanah;
* Berbentuk satu ikatan ke atas anggota perkhidmatan awam agar mereka terus berkhidmat dengan kerajaan;
* Memberi jaminan saraan hidup kepada anggota setelah mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan;
* Memberi saraan hidup kepada orang tanggungan anggota yang meninggal dunia sama ada ketika dalam perkhidmatan kerajaan atau selepas mereka bersara; dan
* Mewujudkan satu bentuk skim pampasan yang terbuka kepada anggota yang dikehendaki bersara atau meninggal dunia akibat mengalami kecederaan atau menghidap penyakit kerana terdedah kepada bahaya tertentu ketika menjalankan tugas rasmi mereka.
No comments:
Post a Comment