Berita Harian, 30 Ogos 2001
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Aishah mahu wanita hargai kemerdekaan
Wawancara Nor Affizar Ibrahim dengan tokoh ulung wanita yang tidak asing lagi, Tan Sri Aishah Ghani mengenai aspirasi beliau sempena Hari Kemerdekaan Ke-44.
SEJARAH menunjukkan sungguhpun fitrah wanita lemah lembut, gerak langkah tertib dan bersopan, mereka mampu menyumbang untuk kemerdekaan negara.
Tokoh wanita terdahulu membuktikan, mereka bukan saja suri rumah tetapi berjaya menjadi penggerak masyarakat. Hingga kini suara dan semangat wanita masih berbisa dan menyala.
Sempena Hari Kemerdekaan Ke-44, Wanita & Keluarga meninjau aspirasi tiga generasi pemimpin wanita.
Untuk mukadimah, Nor Affizar Ibrahim menemubual tokoh ulung wanita yang tidak asing lagi, Tan Sri Aishah Ghani.
APA yang dimaksudkan dengan kemerdekaan?
Makna kemerdekaan bagi saya amat luas kerana sebagai pejuang seperti saya yang pada awal lagi turut sama terbabit memperjuangkan kemerdekaan, apa saja peristiwa ditempuh memberikan makna. Saya juga berbesar hati apabila Kementerian Belia dan Sukan beriya-iya mengajak rakyat mengibarkan bendera. Alhamdulillah, sekarang ini saya lihat banyak bend
era berkibar. Bagi saya bendera itu penting, lambang kemerdekaan sebuah negara.
Sebab itu, sejak dulu lagi memang ada tiang bendera di rumah saya. Di kawasan perumahan, rumah saya saja yang ada bendera. Apabila menyambut bulan kemerdekaan, awal lagi saya sudah kibarkan bendera. Di situlah, saya rasakan kemerdekaan itu sesuatu yang tidak boleh diambil enteng. Kemerdekaan memberi peluang kepada kita membeli segala-galanya, sama ada kemajuan atau mengadakan apa saja yang difikirkan. Dengan adanya kemerdekaan bermakna kita bebas menentukan corak hidup kita sendiri.
Pengalaman Tan Sri kali pertama menyambut Hari Kemerdekaan?
Memang jika kita mengimbau semula, pada saat mengibarkan bendera kita sudah tahu, bumi yang dipijak sudah merdeka. Ketika itu memanglah kita bertakafur dan bersyukur kepada Allah kerana tidak terfikir apa yang kita perjuangkan akan tercapai. Walaupun pada mulanya, kita berasa sangat susah hendak
Peristiwa yang ditempuh sebelum merdeka memang kita kena ingat. Orang Melayu masa itu semangat mereka sangat kuat. Jika orang ajak berkabung menentang Malayan Union, semua berkabung. Wanita juga turut serta. Saya ketika itu belum berkahwin, memang sanggup turut serta tetapi saya masih ingat, wanita sudah berkahwin jika diajak sama berjuang juga tidak menolak.
Ibu yang ada anak kecil sanggup kelek anak dengan kain batik. Terpaksa buat begitu sebab mana boleh tahan dukung anak sepanjang masa, runtuhlah pinggang. Kalau yang ada tiga anak, dua diseret dan seorang dikelek. Bayangkan bersemangatnya mereka, tidak ada tandingan dengan orang sekarang. Orang kini jika diajak, mereka minta duit. Minta disediakan bas. Orang dulu sanggup bersusah payah. Walaupun jalan kampung ketika itu tidak elok, mereka tunjukkan juga semangat. Berduyun-duyun pergi.
Kita tahu kemerdekaan dapat menebus kesusahan semua itu dan pada waktu itu kita sendiri sudah tidak tahan lagi dijajah. Jika dibiarkan terus, penjajah akan terus mencengkam bumi kita sebab itu semua bersatu. Kini, setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, kita kena ingat betapa besarnya nikmat Allah yang memberikan kita peluang hidup dalam sebuah negara merdeka.
Sebagai wanita, apa yang dimaksudkan dengan kemerdekaan?
Erti kemerdekaan bagi wanita tentu lebih bermakna. Sejak mencapai kemerdekaan, wanita dapat banyak rahmat dan nikmat serta peluang yang diberikan kepada mereka. Sebelum negara merdeka 1957, jumlah wanita yang terpelajar ketika itu boleh dikira dengan jari. Wanita pertama dapat ijazah sarjana hanya Zaharah Mokhtar. Dia wanita Melayu pertama dapat ijazah dari Universiti Malaya dan pada waktu itu sudah pun mencapai tahun 1960-an.
Jika tengok zaman emak saya pula, hendak baca satu benda pun tidak tahu. Dunia mereka di rumah, di ladang atau di sawah saja. Selepas merdeka, timbulnya titik permulaan wanita mengubah nasib mereka. Daripada orang yang duduk di dapur dan dikurung di rumah, mereka diberi peluang bersekolah, bekerja dan bersuara serta menyertai pelbagai lapangan, baik politik, ekonomi dan sosial.
Jadi, kita boleh katakan, selepas merdeka adalah permulaan wanita mendapat peluang dan diiktiraf sebagai rakyat. Pengiktirafan itu wajar kerana sebelum merdeka, wanita sudahpun berfungsi menolong pemimpin menundukkan penjajah. Kita mampu tunjukkan bahawa rakyat Malaya ketika itu bukan saja lelaki tetapi wanita turut berjuang.
Apakah bentuk pengisian yang sesuai untuk menyambut Hari Kemerdekaan?
Pengisian dibuat sesuai untuk wanita pada masa ini, saya lihat sesuai dengan zaman. Wanita diberikan pelajaran dan turut diajak membangunkan negara. Peluang itu tidak harus dipersiakan. Saya juga gembira hari ini, baik di kolej mahupun di universiti, pelajar wanita lebih tekun dan rajin berbanding lelaki. Ini satu hakikat dan kenyataan yang boleh dilihat jelas.
Apakah persediaan yang perlu ada bagi wanita untuk menghadapi cabaran baru selepas merdeka 44 tahun?
Wanita walaupun sudah maju tidak semestinya lupa tanggungjawab. Pertama, tidak boleh lupa tanggungjawab kepada keluarga. Jika kita tengok masalah sosial hari ini, kebanyakan berpunca tidak eloknya perjalanan keluarga itu sendiri terutama keluarga beragama Islam. Cerita tidak elok dan karut kebanyakan membabitkan anak orang Melayu. Ini sangat menyedihkan saya kerana yang memperjuangkan kemerdekaan dulu kebanyakannya orang Melayu. Nikmat hasil kemerdekaan itu sepatutnya dikecapi orang Melayu tetapi hari ini kebanyakan nikmat itu dikecapi bukan Melayu.
Sebagai orang dulu yang menyaksikan keadaan wanita sebelum merdeka dan selepas merdeka, saya lihat kita ini seolah-olah lilin yang hanya menerangi orang lain tetapi diri sendiri terbakar dan tidak dapat apa-apa.
Pada saya, wanita yang tidak dapat menyumbang harta benda pun tidak mengapa tetapi jika dapat menyumbang mendidik anak dengan baik dan memberi perhatian sehingga dapat membentuk anak berakhlak baik, itu satu sumbangan besar. Banyak orang hanya hendak nikmat kemerdekaan tetapi tidak memikirkan apakah sumbangan yang boleh diberikan kepada negara.
Apakah masalah dan halangan yang dihadapi wanita sebelum dan selepas merdeka?
Zaman sebelum merdeka, wanita tidak dapat pelajaran dan peluang menimba ilmu langsung diketepikan. Ketika itu, wanita dianggap hanya untuk membanyakkan zuriat, duduk di rumah, jaga anak dan layan suami. Bagaimanapun, wanita zaman itu dapat membuktikan, walaupun tidak dapat memberi sumbangan, mereka dapat memberikan didikan yang elok kepada anak.
Pada zaman ini, jika sumbangan wanita terhad di rumah merugikan juga kerana rakyat di negara ini sebahagiannya wanita. Seandainya, fungsi mereka tidak diperluas, tidak dijaga dan dibetulkan, wanita di negara ini juga yang rugi. Yang untungnya, halangan hari ini tidak banyak seperti dulu, banyak peluang kerajaan untuk wanita dan terpulang kepada mereka mencorakkannya.
Saya juga kecewa kerana kebanyakan wanita tidak memikirkan apakah sumbangan yang dapat diberikan kepada negara.
Kini, negara sudah maju tetapi masalah timbul apabila semakin ramai wanita lupa tanggungjawab dan menyalahgunakan peluang yang diberikan kepada mereka. Tidak dapat menjaga akhlak diri. Apabila keluar bekerja tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik terutama membina rumah tangga bahagia. Banyak yang gagal. Walaupun maju, wanita itu sudah gagal memberikan sumbangan membina rumah tangga bahagia.
Apa pendapat Tan Sri mengenai pembangunan wanita Malaysia setakat ini jika dibandingkan dengan wanita negara lain khususnya negara Asean?
Pembangunan amat maju dan wanita kita tidak terbiar baik di bandar, luar bandar dan kawasan estet, malah ibu tunggal juga terus diberi pembelaan. Ini satu perkembangan baik.
Cuma saya hendak ingatkan, tanggungjawab wanita pada keluarga jangan sekali diabaikan. Sungguhpun wanita kata, tanggungjawab itu sama-sama dipikul oleh bapa tetapi tradisi peranan ibu tetap utama dan wanita perlu berhati-hati.
Misalnya, dalam perlembagaan kita, perkataan jantina sudah ditukarkan tetapi kita harus ingat ia juga boleh memberi kesan yang tidak elok. Saya bimbang, suatu hari mungkin ada wanita menganggap tidak mahu terikat lagi dengan tanggungjawab kepada keluarga.
Hinggakan nanti ada yang berkata, "Kalau aku tidak masak, biar suami masak." Inilah yang saya risau, harap tidak sampai peringkat itu. Persamaan hak atau sama rata lelaki dan wanita boleh juga memberikan kesan buruk. Persamaan hak tidak boleh disalahgunakan kecuali untuk memulihkan keadaan.
Suami juga hendak diberi perhatian, kecualilah jika lelaki dapat menerimanya. Tentu ada rahmatnya apabila Tuhan jadikan kita wanita dan diamanahkan sebagai isteri dan ibu kepada anak. Lelaki pula dijadikan ketua rumah. Hakikat ini harus dipegang terutama, wanita Islam.
Namun, terpulang kepada wanita menentukan jalan yang dipilih. Cuma saya berpesan, jangan sampai terjadi sebab kita hendak ke depan, timbul lebih banyak perceraian. Tambahan, orang sekarang tidak menghargai institusi kekeluargaan.
Jika hendak selamatkan anak, jagalah institusi keluarga. Jika sudah berkahwin janganlah bercerai. Fikirkanlah baik-baik. Orang dulu, jika anak hendak buat tidak elok, ibu akan marahkan anaknya dan selalu berkata: "Jika kau hendak buat tidak elok juga, cuba tengok satu-satu muka anak engkau."
Tidak ada maknanya jika kita ada hak persamaan jika tidak dapat bekerjasama dengan pasangan yang kita kahwin. Kerukunan rumah tangga penting supaya anak yang dididik dengan sempurna, dapat bertanggungjawab dan menyumbangkan lagi kepada negara. Kalau tidak, negara akan hancur.
Jangan sampai dikorbankan agama dan nilai yang baik. Jika itu dipegang, Insya-Allah tidak ada apa-apa.
Harapan Tan Sri untuk melihat perkembangan wanita dalam tempoh lima tahun akan datang?
Kita ini boleh dikatakan, semuanya sudah dicapai. Saya harap persamaan hak itu tidak menimbulkan banyak masalah sebaliknya, memberikan sesuatu yang baik kepada wanita. Saya juga minta wanita jangan menimbulkan sesuatu yang merumitkan atau mendatangkan masalah kepada kerajaan. Biarlah perhitungan untuk kepentingan negara terlebih dulu walaupun kita menganggap ia dapat memberikan kebaikan kepada wanita.
Prinsip perjuangan saya sejak dulu lagi, tidak akan menyokong sesuatu perjuangan jika ia akan menggugat keharmonian negara walaupun, yang diperjuangkan itu memberi kebaikan kepada wanita.
No comments:
Post a Comment