Oleh Nor Affizar Ibrahim
Wanita punca maksiat?
Tersentak perasaan wanita (mungkin juga di kalangan segelintir lelaki) di negara ini apabila dikatakan, mereka adalah punca kepada masalah sosial dan merebaknya kegiatan maksiat seperti zina, rogol dan cabul di negara ini.
Adilkah kenyataan atau tuduhan itu? Wartawan Wanita & Keluarga Nor Affizar Ibrahim mendapatkan pandangan beberapa individu mengenai permasalahan dibangkitkan, berikutan kenyataan seorang pemimpin politik di negara ini, baru-baru ini.
WANITA dilabel punca maksiat bukan kenyataan dan dakwaan yang baru. Malah, tuduhan seumpama itu bukan saja pernah disuarakan dan ditujukan kepada wanita di Malaysia tetapi juga berlaku di luar negara.
Di Jordan misalnya, seorang ahli parlimen yang menerajui Jawatankuasa Undang-undang Parlimen, Mohammed Kharabsheh pernah berkata; "Wanita yang melakukan zina adalah bahaya besar terhadap masyarakat kita kerana disebabkan merekalah, perbuatan itu terjadi."
Menurut Kharabsheh, jika lelaki tidak dapat menemui wanita untuk melakukan zina, mereka secara tidak langsung akan menjadi baik.
Di Lubnan, seorang ketua suku kaum yang berpegang teguh pada adat, Trad Fayez pernah menyalahkan wanita yang kononnya, tidak pandai menjaga maruah diri. Trad Fayed secara terang bersikap mendiskriminasikan wanita dan melakukan ketidakadilan kepada golongan itu.
"Seorang wanita diibaratkan sebagai pohon zaitun. Apabila rantingnya diserang ulat, ia harus dicantas supaya kehidupan masyarakat tidak tercemar," ujar Trad Fayez.
Mempertahankan hak dan membela nasib wanita yang di diskriminasi, seorang aktivitis di Pusat Bantuan Guaman Wanita Mesir, Azza Suleiman pernah berkata;
"Lelaki menganggap hanya mereka mempunyai maruah sedangkan wanita tidak mempunyai apa-apa. Mereka meragut maruah kami dan mengangkat diri mereka sebagai penjaga," katanya.
Tetapi persoalannya, adakah wajar wanita saja harus dipersalahkan jika berlaku keruntuhan moral dan gejala sosial di kalangan masyarakat? Jika semua jari menuding ke arah wanita, apakah pula peranan dan alasan kukuh sehingga lelaki terlepas serta terhindar daripada sangkaan atau tuduhan yang boleh dianggap berat sebelah itu?
Tepuk sebelah tangan tak berbunyi
Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datin Dr Profesor Andek Masnah Andek Kelawa berkata, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, wanita bukan punca kepada masalah sosial dan merebaknya maksiat di negara ini. Dr Andek, juga berpendapat kenyataan seperti itu, adalah lebih kepada pendapat agama lain dan bukannya pandangan Islam.
"Di dalam ajaran Islam, wanita mendapat pengiktirafan sebagai manusia yang mempunyai kemanusiaan, kemuliaan dan keahlian sama seperti lelaki tanpa sebarang diskriminasi. Jadi, tidaklah wajar wanita dikatakan sebagai punca kepada masalah sosial dan maksiat di negara ini, sebaliknya ada faktor lain yang harus diambilkira.
"Apabila membicarakan punca maksiat, ia lebih terpulang kepada individu itu sendiri dan bergantung tahap keimanannya," jelasnya.
Dalam konteks ini, Dr Andek turut mengambil contoh, firman Allah dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud:
"Katakanlah kepada orang beriman lelaki supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian adalah lebih bersih bagi mereka. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan."
Ayat seterusnya Allah turut menegur kelakuan wanita "Katakanlah pula kepada orang perempuan yang beriman supaya mereka pun menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali yang zahir saja."
"Ayat yang diperturunkan jelas menunjukkan bahawa lelaki dan wanita disuruh menjaga tatasusila masing-masing bagi mengelakkan kemungkaran dan maksiat. Lelaki dan wanita sama-sama bertanggungjawab daripada melakukan dosa dan pahala. Sebab itu juga ada balasan baik dan buruk," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, mencari punca bukan keutamaan bagi menyelesaikan permasalahan maksiat dan gejala sosial. Untuk hidup dalam masyarakat harmoni, apa yang lebih penting individu dan masyarakat sentiasa menjaga maruah, peribadi dan tatasusila masing-masing.
"Jangan sekali-kali cuba ambil kesempatan, baik lelaki ataupun wanita. Adab pergaulan hendaklah dijaga setiap masa. Bak kata pepatah, kucing mana yang akan membiarkan ikan di depan mata. Oleh itu, batas pergaulan perlu ada dan iman yang teguh mesti diterapkan dalam diri supaya ia mampu mengehadkan segala tindak tanduk yang dilarang," tegasnya.
Tuduhan tidak adil
Pensyarah/Kaunselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Ali Sheikh Yacob juga berpendapat, kenyataan yang menyatakan bahawa wanita adalah punca kepada masalah sosial dan merebaknya kepada masalah sosial serta maksiat, satu tuduhan tidak adil.
Menurut beliau, dalam agama Islam, menangani maksiat adalah tanggungjawab bersama kerana ia boleh berlaku apabila ada faktor `pemula' dan `penarik'.
"Jika kita menilai faktor negatif dengan menyatakan pakaian wanita yang mendedah aurat dan tidak sopan boleh menjadi daya penarik, 50 hingga 70 peratus kepada punca maksiat. Tetapi bagaimana pula tahap peratusan daya tahan lelaki kerana jika daya tahan mereka tinggi dan kuat, tentu lelaki boleh membuat penolakan godaan wanita berpakaian seperti itu. Bagaimana pula dengan kes yang membabitkan wanita berpakaian sopan menjadi mangsa lelaki," katanya.
Menurut Ismail, manusia juga tidak boleh mengetepikan pihak ketiga iaitu makhluk Tuhan bernama syaitan yang sering mendorong dan menghasut ke arah kejahatan terhadap lelaki dan wanita di bumi ini. Katanya justeru, wanita bukan punca mutlak yang mengheret permasalahan maksiat dan gejala sosial tetapi ada banyak lagi faktor luaran boleh dikaitkan.
"Bagi mengelakkan maksiat dan gejala sosial berleluasa, lelaki dan wanita harus menentukan pergaulan dan menetapkan batas supaya ada sempadan dalam sesuatu hubungan, tindak tanduk, cara komunikasi dan lain-lain lagi.
Sebagai umat Islam, kepentingan pergaulan di antara lelaki dan wanita mesti diambilkira, sama ada ia dapat memberikan sumbangan positif ataupun negatif. Selain itu, bagi lelaki mereka perlu kawal diri dan perlu sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab atau tugas sebagai pemimpin yang memelihara keamanan dan bukannya perosak dunia.
Jika tahu wanita golongan yang lemah, jangan ambil kesempatan dan bersikap menguasai dan bermaharajalela. Sebaliknya, wanita yang perlukan pertolongan perlu dibantu tanpa perlu mengenakan sebarang syarat," terangnya.
Beliau juga mengingatkan, institusi keluarga kukuh yang sentiasa menerapkan nilai murni dan baik juga adalah tunggak membenteng segala maksiat dan gejala sosial di negara ini.
"Dalam menerapkan ajaran Islam yang sempurna, institusi keluarga memainkan peranan utama. Ibu bapa misalnya, boleh menggunakan kuasa mereka untuk menegur anak lelaki atau perempuan jika mereka terleka seperti sering balik lewat malam, berpakaian tidak sopan dan sebagainya," katanya.
Ada wanita timbulkan pandangan buruk
Sementara, Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz pula berkata, tidak dinafikan ada segelintir wanita masa kini yang berpakaian agak keterlaluan sehingga menimbulkan pandangan buruk di kalangan masyarakat.
Sehubungan itu beliau menasihatkan, sebagai gadis atau wanita yang bergelar isteri, ibu dan sebagainya, mereka perlulah tahu menilai dan menjaga kehormatan diri. Ia bukan saja bermaksud menjaganya daripada dicerobohi orang lain tetapi juga cara menjalani hidup yang merangkumi segala aspek.
"Islam telah berikan penghormatan dan status yang tinggi kepada wanita keseluruhannya. Jadi, pengiktirafan dan permartabatan itu harus dijaga dengan sebaik-baiknya. Begitu juga lelaki, mesti pandai menjaga nilai diri dan menjalankan tanggungjawabnya terhadap diri sendiri, isteri dan anak- anak" katanya.
Akhlak tinggi, iman kuat
Pensyarah Jabatan Usuludin dan Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Puan Sri Sohair Abdul Moneim Serry pula berkata, masyarakat perlu melihat dan mengkaji dua aspek lelaki dan wanita, sebelum menudingkan kesalahan kepada satu pihak saja, terhadap punca maksiat dan gejala sosial yang kian meningkat di negara ini.
"Lelaki dan wanita mesti berpegang kepada prinsip akhlak yang tinggi dan iman yang kuat. Andainya kita menyalahkan wanita dan mengatakan mereka yang berpakaian tidak sopan boleh merangsangkan nafsu lelaki, bagaimana pula pencerobohan atau kes rogol dan cabul yang berlaku terhadap kanak- kanak.
"Adakah kanak-kanak yang tidak berdosa itu juga boleh merangsang nafsu lelaki. Jadi, cuba fikir kebenaran fakta dilemparkan kepada wanita dan dikatakan, punca maksiat," katanya.
Beliau berpendapat, didikan keluarga, penerapan agama dan juga faktor sampingan yang menjurus kebinasaan mesti dititikberatkan bagi membendung maksiat dan membanteras gejala sosial.
"Hanya satu atau dua individu yang terbabit melakukan maksiat. Tetapi, tempiasnya dirasai banyak pihak. Oleh itu, jalan yang terbaik jangan salahkan satu pihak tetapi sama-sama beringat bagi mencari jalan kebaikan semua," katanya.
No comments:
Post a Comment