Monday, May 27, 2013

HIASAN ANTING-ANTING BOLEH SERLAH PENAMPILAN

Berita Harian, Sabtu, April 28, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim
 
Hiasan anting-anting boleh serlah penampilan


SESEORANG yang berpakaian cantik dan menarik, masih tampak tidak lengkap jika tidak diserikan dengan perhiasan diri. Malah, perhiasan diri bukan sekadar menambahkan gaya, tetapi juga memberikan kesan psikologi kepada pemakai supaya berkeyakinan diri dan memberi kepuasan hati.





  
Lazimnya, perhiasan apakah terlintas pada fikiran anda apabila setiap kali ingin menyesuaikan dengan baju yang melekat di badan? Salah satu daripadanya tentu saja mengenakan rantai pada leher, tetapi sebelum melangkah keluar sebaik-baiknya perhatikan telinga anda, sudahkah ia dihiasi sepasang anting-anting?
  
Memakai sepasang anting-anting mampu membuatkan wajah lebih menonjol. Hiasan anting-anting pada telinga boleh menyerlahkan perubahan penampilan secara drastik, meskipun saat itu anda hanya memakai jeans dan baju T-shirt.
  
Bagaimanapun, anda masih perlu berhati-hati apabila menggayakan anting-anting kerana pemakaian perhiasan itu sepatutnya boleh disesuaikan dengan jenis baju yang dipakai dan perlu ada gandingan serasi dengan perhiasan lain.
  
Misalnya, jika anda memakai anting-anting yang besar, pastikan aksesori lain seperti kerongsang dan rantai kecil. Bagaimanapun, perbezaan saiz mungkin tidak begitu menjadi persoalan untuk dijadikan gandingan sesuai seandainya perhiasan yang ada didatangkan dalam satu set koleksi.



Sesuaikan dengan pakaian
  
Anda juga perlu bijak menyesuai padankan pilihan anting-anting dengan busana yang digayakan. Pastikan gaya rekaan anting-anting senada dengan konsep atau imej yang ingin dipaparkan. Contohnya, anting-anting panjang bergaya vintage atau klasik dan eksotik tampak cocok apabila fesyen pilihan anda ialah bohemian atau victoria yang tampak feminin.
  
Selain itu, seperti memilih kacamata dan potongan rambut yang sesuai dengan bentuk wajah, begitu juga dengan pilihan anting-anting digemari. Ini kerana tidak semua anting-anting juga cocok dengan bentuk wajah anda.
  
Bagi yang mempunyai raut wajah oval atau lonjong anda dianggap paling bertuah kerana memiliki paras wajah semula jadi dan boleh menggayakan apa saja bentuk anting-anting dari yang berjurai, bergelang-gelang, berangkaian dan sebagainya.





Ikut bentuk wajah

Untuk gaya rambut tiada banyak syarat sebenarnya, tetapi apabila rambut diikat ke belakang, rekaan berjurai tampak terletak akan membuat anda lebih cantik, manakala rambut yang dibiarkan terurai akan semakin eksotik dengan anting-anting yang bergelang-gelang.
  
Anda yang berbentuk wajah persegi mungkin agak sukar kerana tampak `keras', tetapi untungnya, pemakaian anting-anting dengan reka bentuk bergelung-gelung dan berbuai boleh menyerlahkan kelembutan wajah.
  
Bagi yang mempunyai raut bulat dan ingin memperlihatkan impak bentuk wajah lebih panjang, pilih saja anting-anting yang berjurai. Rekaan model yang panjang apabila tergantung pada telinga sudah tentu `melangsingkan' wajah.
  


 

 FAKTA
  
  Penjagaan anting-anting agar kekal lama
  
  * Bersihkan anting-anting yang sudah dipakai dengan tisu lembut untuk menghilangkan peluh dan mencegah kusam serta karat. Peluh boleh cepat merosakkan anting-anting perak dan emas.
  
  * Simpan anting-anting dalam kotak tertutup dan pada suhu yang kering.
  
  * Jauhkan anting-anting dari peralatan tatarias dan jangan sampai terkena air.
  
  * Hindarkan anting-anting dari pada semburan minyak wangi dan semburan rambut kerana kedua-duanya mengandung alkohol dan zat kimia lain yang sangat cepat merosakkan perhiasan.
  
  * Sebelum memakai anting-anting, lebih baik berhias terlebih dulu agar terhindar dari percikan alat solekan yang disapukan pada wajah atau badan.
  

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...