Monday, May 27, 2013

WANITA PERLU SENTIASA AMAL SIKAP WASPADA

Berita Harian, Rabu Januari 30, 2008


 Wanita perlu sentiasa amal sikap waspada
 Oleh Nor Affizar Ibrahim



WANITA dan gadis remaja mesti sentiasa menjaga keselamatan diri walau di mana berada serta hendaklah peka kepada persekitaran supaya dapat menghindarkan diri daripada sebarang bahaya atau mengelak kejadian buruk yang tidak diingini.
  
  Aktivis keselamatan, K Balasupramaniam atau lebih dikenali sebagai Bala, berkata setiap wanita dan gadis remaja perlu sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati terutama ketika berdepan dengan bahaya yang tidak diundang atau tidak disangka akan berlaku, selain tidak sesekali menganggap kejadian sebegitu tidak akan menimpa dirinya.
  
  Beliau berkata, soal menjaga keselamatan diri tidak sewajarnya dipandang remeh kerana setiap detik ada risiko atau bahaya tersendiri meskipun seseorang itu berada di rumah yang juga sering dianggap sebagai tempat paling selamat.
  
  "Dengan cabaran dan pelbagai kejadian bentuk jenayah atau perkara tidak baik yang berlaku pada masa kini, wanita serta gadis remaja perlulah pandai menjaga diri. Jangan terlalu percaya pada orang lain, lebih-lebih lagi dengan individu yang baru dikenali.
  
  "Percayalah juga pada naluri atau gerak hati sendiri kerana lazimnya, jika diri berasa sesuatu yang buruk atau ada yang tidak kena, ia seolah-olah memberikan petunjuk. Apabila ini dirasakan, adalah lebih baik individu berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya ketika ditemui selepas sesi kursus latihan, City Survival For Lady untuk pelajar Taylor's University College di Petaling Jaya, baru-baru ini.
  
  Bagi memahami dan menangani sesuatu bahaya serta sebagai langkah menjaga keselamatan diri, Bala menasihatkan individu menggariskan tiga zon warna iaitu zon merah, zon kuning dan zon hijau.
  
  Katanya, setiap zon berkenaan mempunyai maksud tersendiri dan ia boleh dijadikan panduan dalam kehidupan hari-hari ketika berada di mana-mana saja bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
  
  Zon hijau dikategorikan sebagai tempat yang selamat dan individu tidaklah perlu risau jika berada di dalam zon berkenaan. Tetapi seseorang itu perlulah berhati-hati apabila berada di dalam zon kuning yang seolah-olah memberi amaran dan dikategorikan sebagai tempat atau keadaan kurang selamat. Begitu juga dengan zon merah, bukan saja mesti berhati-hati, malah perlu dielakkan sama sekali kerana ia dikategorikan zon bahaya yang mendedahkan pelbagai risiko jika berada di situ.
  
  "Kaedah menggunakan tiga rangkaian zon warna itu boleh diambil kira sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri. Contohnya, ketika berjalan di suatu tempat kita mungkin berasa tidak terancam kerana berada dalam zon hijau yang selamat. Tetapi jangan lupa, zon hijau itu boleh bertukar kepada zon kuning dan merah yang boleh membawa ancaman serta membahayakan diri.
  
  "Misalnya, ketika berjalan dan tiba di satu lorong kita bertembung dengan seseorang yang tidak dikenali dan mencurigakan. Dalam keadaan itu kita masih lagi berada dalam zon kuning dan dengan adanya peringatan itu ia bermakna, kita masih mempunyai ruang dan peluang untuk menyelamatkan diri.
  
  "Oleh itu, ambillah langkah dan tindakan segera iaitu keluar daripada zon kuning tadi seperti tidak meneruskan hasrat melalui lorong berkenaan atau pergi ke tempat yang ada orang ramai. Jika diteruskan juga kita mungkin berada dalam zon merah yang membahayakan diri," katanya.
  
  Bala berkata, bahaya atau risiko berada di mana-masa saja termasuklah, di rumah, ketika memandu, menaiki pengangkutan awam dan berjalan seorang diri. Lazimnya, penyerang tahu siapa mangsanya tetapi anda sendiri mungkin tidak tahu dan tidak dapat menduga.
  
  Justeru, individu perlu bersedia dengan kejadian yang tidak diingini berlaku dan jika diserang, ada beberapa tindakan yang boleh dilakukan iaitu sama ada melawan balik, melarikan diri atau cuba berdalih yang boleh memperdayakan penyerang. Semua tindakan itu boleh dibuat berdasarkan pada pertimbangan kemampuan diri dan juga keadaan ketika kejadian berkenaan.
  
  "Kebanyakan wanita panik apabila diserang. Tetapi sebenarnya, dalam sesuatu keadaan yang tegang dan mencemaskan wanita didapati boleh bertindak lebih pantas. Berbanding lelaki walaupun lebih berani dan mempunyai kekuatan fizikal, kebanyakan tidak pantas berfikir," katanya.
  
  Beliau berkata, dalam keadaan terdesak untuk berlawan dengan penyerang, mangsa boleh menggunakan beberapa barang miliknya terutama yang ada dalam beg tangan sebagai `senjata' bagi mempertahankan diri. Ini merangkumi, sikat dan kad kerja pengenalan diri yang boleh digunakan menghiris muka atau mana-mana bahagian tubuh penyerang atau minyak wangi serta pemetik api yang disemburkan kepada penyerang.
  
  Malah, kunci juga boleh dijadikan `senjata' berkesan untuk melawan penyerang. Wanita juga boleh menyimpan wisel sebagai senjata di dalam beg tangan sebagai persediaan berdepan dengan detik cemas.
  
  Bala berkata, selain itu wanita dan gadis remaja juga dinasihatkan berwaspada dengan tipu helah golongan tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya. Dengan kecanggihan teknologi masa kini, termasuk penggunaan telefon bimbit dan komputer, golongan yang tidak bertanggungjawab boleh menggunakan pelbagai cara untuk mengaib dan seterusnya mengugut mangsa demi mendapatkan keuntungan berlipat ganda bagi diri sendiri.
  
  INFO
  
  Antara pendekatan atau strategi yang digunakan penyerang bagi mencari mangsa:
  
  * Penyerang berpura-pura atau merancang kemalangan dengan mangsa bagi membawa keluar mangsa daripada kenderaan dengan niat menyerang atau menculik.
  
  * Penyerang menyamar sebagai kakitangan daripada syarikat tertentu seperti pegawai kewangan dan insurans yang perlu berbincang serta berurusan dengan mangsa.
  
  * Penyerang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa seperti polis dan sebagainya bagi menunjukkan dirinya ada kuasa untuk menahan dan menangkap mangsa.
  
  * Penyerang melakukan sabotaj kepada mangsa seperti memancitkan tayar kereta atau meletak halangan di sesuatu tempat.
  
  * Penyerang berpura-pura inginkan pertolongan mangsa seperti meminta menunjukkan arah jalan sebelum menarik mangsa ke dalam kenderaan atau menyerang mangsa.
  
  Beberapa tindak balas yang boleh dilakukan apabila diserang:
  
  * Apabila diserang dari belakang dan penyerang cuba mencekak leher, apa yang boleh dilakukan ialah cuba bertindak balas dengan mematahkan jari penyerang.
  
  * Apabila diseret dari belakang dengan keadaan leher dicekik, seseorang itu perlu mengeraskan diri dan pada masa sama cuba bertindak memulas tangan penyerang.
  
  * Ada tiga tindak balas yang boleh dilakukan bagi melemahkan penyerang iaitu cuba menghantukkan kepala pada hidung penyerang, menyepak bahagian kemaluan dan mematahkan jari.
  
  * Mangsa juga berpura-pura pengsan atau tidak sedarkan diri sebelum cuba bertindak balas ketika penyerang sedang leka.
  
  * Pastikan sentiasa menyimpan peralatan seperti pemedih mata atau sekadar minyak wangi yang boleh disembur kepada mata penyerang.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...