Sunday, May 12, 2013

KASUT DATAR LEBIH SEKSI

Berita Harian - Rabu, 13 Mei, 2009

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kasut datar lebih seksi

JIKA diajukan soalan, kasut jenis bagaimanakah akan membuatkan seseorang wanita itu tampak seksi, anggun dan lebih feminin, tentu ramai menjawabnya yang bertumit tinggi. Untuk bergaya kasual atau santai pula, pasti ramai yang menyatakan sandal adalah paling sesuai.


Tidak dinafikan, kasut bertumit tinggi sememangnya membuatkan penampilan seseorang itu lebih bergaya dan tampak menarik apatah lagi jika dipadankan dengan fesyen pakaian yang sesuai.

Kasut bertumit tinggi juga sering dilihat amat cantik untuk digayakan dalam kebanyakan majlis.
  
Berbanding sandal terutama yang bertapak datar biasanya menjadi pilihan hanya dipakai di tempat tertentu saja dan tidak sesuai dipakai ke luar rumah, malah ada yang malu terserempak dengan orang lain jika memakainya ketika di luar.

Namun, anggapan seperti itu sudah tidak berasas lagi kerana sandal datar sudah beralih fungsi dan bukan lagi hanya dipakai untuk acara kasual saja, sebaliknya kini semakin digemari ramai untuk menghiasi kaki ketika berada di tempat umum dan apabila menghadiri acara tertentu.

Reka bentuk sandal datar kini ada pelbagai ragam daripada model sandal thong, terbuka luas, open-toes hinggalah yang bereka bentuk gladiator. Malah, ada yang didatangkan dengan aneka variasi aksesori yang melekat pada sandal berkenaan dan boleh disesuaikan dengan pakaian yang digayakan.
 



Antara kelebihan sandal datar ialah memudahkan kaki melangkah dan membuatkan si pemakainya berasa lebih bebas. Malah, sandal datar juga mampu menyerlahkan gaya kaki yang seksi seperti mana kasut bertumit tinggi. Bagaimanapun, untuk lebih selesa pilihlah sandal datar yang tapaknya dipadukan dengan bahan selesa dan empuk kerana ia adalah cara utama untuk mencegah kaki kejang dan mudah letih ketika berjalan.
  


INFO:
  
Tips memakai sandal

  
* Apabila anda memakai sandal, pusat perhatian atau tumpuan utama adalah kaki kerana hampir sebahagian besar kaki anda akan terdedah. Oleh itu, pastikan jari kaki dan sekelilingnya tampak bersih dan sebelum keluar dengan menggunakan sandal sebaik-baiknya lakukan perawatan pada kedua-dua kaki.


* Sandal tidak sesuai dipadankan dengan jeans baggy atau pun skirt paras lutut. Justeru, untuk tidak kelihatan jelek elakkan memakai kedua-dua pakaian berkenaan.

 

Sebaliknya untuk tampak lebih anggun dan feminin, padankan dengan skirt bergaya labuh sekurang-kurangnya bawah paras lutut.
  
* Elakkan memakai stokin atau legging hanya kerana ingin menyembunyikan bentuk kaki yang besar. Pemakaian stokin atau legging boleh menyebabkan penampilan anda kelihatan begitu pelik. Jadi, antara cara untuk `menyembunyikan' bentuk kaki besar anda ialah memakai sandal yang berukuran tapak lebar.
  
* Jangan terlalu banyak memakai aksesori apabila memakai sandal. Pemakaian sandal lazimnya bertujuan ingin berpenampilan kasual. Sebaik-baiknya, pilihlah aksesori yang sesuai dengan keperibadian anda seperti rantai, anting-anting atau gelang.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...