Wednesday, May 22, 2013

MEMPERKASAKAN WANITA DALAM POLITIK

Berita Harian, Jumaat Ogos 16, 2002

Oleh  Nor Affizar Ibrahim


Memperkasakan wanita dalam politik


WANITA dan politik bukan sesuatu yang baru. Malah, penyertaan wanita di negara ini dalam bidang politik sudah bermula sejak belum merdeka lagi. Sama ada pembabitan itu secara langsung atau sebaliknya, tidak dapat dinafikan kehadiran wanita dalam `dunia politik' juga penting, khususnya untuk pembangunan negara dan membina sebuah kerajaan yang lebih stabil.
  
Apa yang harus diakui, wanita dalam politik tidak boleh dipandang sebagai sekadar `melukut di tepi gantang' tetapi mesti dilihat dan diiktiraf sama fungsinya dengan lelaki yang turut sama berkecimpung dalam bidang yang penuh cabaran dan pergolakan itu. Sehubungan itu, wanita yang memutuskan untuk menyertai politik mesti bersedia menghadapi sebarang masalah dan rintangan.
  
Hadapi cabaran dengan berani

Ketua Penaja Puteri Umno, Azalina Othman, berkata sudah tentunya wanita yang menyertai politik juga bermasalah.
   Kata Azalina, wanita berpolitik yang sudah berkahwin sering kali dilabelkan sebagai ibu dan isteri yang tidak baik kerana dianggap mengabaikan keluarga. Wanita berpolitik yang tidak berkahwin pula dijadikan bahan cemuhan dan sasaran perilaku tidak senonoh serta sering dijadikan jenaka diskriminasi di Parlimen.
   Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting ia cabaran yang mesti dihadapi wanita dengan berani. Ini kerana perjuangan untuk mencapai peluang kesamarataan masih perlu diteruskan.
   "Wanita dalam politik tidak mudah. Mereka yang menceburi politik ada yang berasa kecewa, hampa dan sedih. Namun, pada suatu peringkat, wanita yang memilih politik sebagai sebahagian kehidupannya harus mengakui, seseorang harus melakukannya dan akhirnya kita akan mendapati politik tidaklah begitu sukar. Semua ini berjaya ditangani jika kita berupaya menerima sebarang cabaran," kata Azalina pada seminar Kepemimpinan Wanita: Pencapaian dan Dimensi Baru, di Hotel Cititel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
   Seminar itu diadakan sempena Pameran Women's World 2002 dan anjuran Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) dengan kerjasama Le Proton Lima Sdn Bhd.
 Azalina yang membincangkan topik Menetapkan Agenda: Wanita Dalam Politik, berkata adalah penting untuk mengenal pasti apa itu politik sebelum memperkatakan lebih lanjut mengenai wanita dalam politik.
  
Katanya, apabila seseorang itu memperkatakan mengenai wanita dalam politik atau agenda politik untuk wanita, apakah yang sebenarnya dibayangkan terhadap wanita berkenaan - adakah wanita itu dibayangkan dalam Kabinet atau di Parlimen atau menjadi ahli dalam parti politik? Mungkin juga penting bagi wanita berminat menyertai dalam pembangunan politik sesebuah negara?
    "Apabila kita memperkatakan wanita dalam politik, ia berkaitan memperkasakan wanita dalam politik, meningkatkan kedudukan dan kuasa wanita untuk mempengaruhi serta mendapatkan peluang yang sama bagi keadilan gender," kata Azalina.
   Beliau berkata, untuk membawa perubahan, wanita mesti terbabit dalam politik. Wanita perlu membawa perubahan kerana mereka ialah separuh daripada jumlah penduduk di dunia. Di Malaysia, 33.79 peratus adalah tenaga kerja wanita.
   "Fungsi wanita sebagai pendidik dalam semua peringkat pembelajaran dan terdapat 56.63 peratus pelajar universiti di negara ini ialah wanita. Bagaimanapun, di Parlimen hanya ada 10.63 peratus wanita. Ini bermakna hampir 90 peratus undang-undang di negara ini dibuat oleh lelaki," tegas Azalina.
   Turut membincangkan topik yang sama ialah Ketua Wanita MCA, Dr Ng Yen Yen dan Ketua Wanita MIC, Senator Jaya Partiban.

Tanggungjawab utama tetap keluarga
 
Dr Ng berkata, jika wanita berkeinginan berkongsi kuasa, mereka mesti meletakkan diri mereka sebagai calon memilih, melantik kesatuan dan mesti disokong oleh wanita lain serta lelaki yang percaya amalan utama demokrasi.
   "Ketiadaan penyertaan wanita politik dalam pembuat keputusan akan membuatkan pembangunan bidang lain bagi wanita dan kanak-kanak berada dalam risiko. Kerajaan boleh memberi peruntukan, cadangan dan mengawasi tetapi mengambil langkah serta tanggungjawab bagi kesamarataan gender mestilah dikongsi oleh parti politik, media, kumpulan pelobi serta sudah tentunya wanita.

Ini kerana politik ialah perkongsian kuasa dan sumber - siapa yang dapat apa dan apa isu yang perlu diketengahkan serta membentuk hala tuju bagi kebaikan masyarakat dalam sesebuah negara," kata Dr Ng.
   Bagaimanapun, beliau menambah, walaupun wanita menyertai politik, mereka masih mengutamakan tanggungjawab kepada keluarga dan akan selalu meletakkannya tempat teratas sekali.
   Beliau turut menegaskan, sejarah sudah membuktikan bahawa wanita yang memerintah kerajaan boleh membawa keamanan, kestabilan dan kemewahan. Contohnya, pemerintahan empat permaisuri di Acheh pada kurun ketujuh dan Maharani Wu yang memerintah Dinasti Tang. Pada abad ke-20 muncul pemerintah seperti Margaret Thatcher, Indra Gandhi dan banyak lagi.
   "Pada abad ke-21, lebih banyak lagi pemimpin wanita yang mesti dilahirkan. Ia lebih bermakna jika penyertaan wanita sebagai pemimpin politik dan pembuat keputusan dapat menguasai teknologi baru, bahagia dalam perkahwinan pilihannya, mencapai kebolehan ilmu pengetahuan, wang, sumber bagi mencapai status dan pengiktirafan yang sebenarnya bahawa wanita mampu membawa kehidupan dunia yang lebih baik," kata Dr Ng yang berharap abad ke-21 akan membawa permulaan baik untuk lelaki dan wanita menjadi rakan kongsi yang adil dan saksama.
   
Peluang wanita tidak disekat

Sementara itu, Jaya Partiban berkata, dunia politik lazimnya dikuasai lelaki. Sekali gus, lelaki adalah berpengaruh. Walaupun lelaki mendominasi bidang politik, ia tidak menyekat atau mengekang wanita untuk turut serta dalam bidang itu.
    "Apa yang wanita perlu atau kekurangan ialah kebolehan untuk membawa apa saja usaha politik hingga ke penghujung. Ini kerana ada pelbagai `isu mengganggu' yang boleh mengurangkan wanita daripada menyedari matlamat pembabitannya dalam politik," kata Jaya.
   Beliau berkata, sukar bagi wanita memutuskan untuk terjun dalam bidang politik. Sekali wanita itu membuat keputusan, beliau mesti bersedia untuk suami, anak dan keluarganya.
   "Apabila berjaya menghadapi semua rintangan ini dan mendapat `tiket' untuk menyertai politik, kemudian hadir lelaki yang bercita-cita tinggi menentang wanita itu. Lelaki itu akan membuat pelbagai cerita mengenai wanita berkenaan.
 Apabila nama wanita itu dikemukakan kepada ketua parti, dia tidak akan dipilih kerana bimbang kehilangan kerusi," kata Jaya yang memetik kata-kata ahli Parlimen India, Sushma Swaraj.
   Jaya juga membangkitkan soal cabaran yang dihadapi wanita India di negara ini dalam parti politik.
   Katanya, dalam parti, tidak mudah bagi wanita dicalonkan untuk berfungsi sebagai pembuat keputusan. Malah, usaha dan tenaga yang dicurahkan wanita bagi meningkatkan parti juga kurang mendapat pengiktirafan.
   "Dalam parti, wanita juga bertungkus-lumus bekerja, menyumbang tenaga dan fikiran yang sama dilakukan oleh ahli politik lelaki. Tetapi apabila masa untuk memberi anugerah atau ganjaran, wanita dilupakan," katanya.
  

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...