Berita Harian, Selasa Mei 2, 2006
Sikap ibu mentua antara punca utama cerai
JANGAN cepat menghukum dan melemparkan fitnah serta memandang rendah kepada wanita khususnya, ibu tunggal yang sudah bercerai atau kematian suami. Segala yang berlaku, bukan kehendak diri, tetapi suratan takdir dan tidak boleh diketepikan.
Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur, Mariam Abdul, berkata pengalamannya lebih 10 tahun membela nasib dan menjaga kebajikan ibu tunggal, tidak dapat dinafikan sehingga ke hari ini masih ada pandangan serong masyarakat, walaupun pelbagai pendekatan pendidikan dan pendedahan diberikan.
"Rasa sangsi dan cemuhan kepada wanita yang bergelar ibu tunggal sewajarnya perlu dikikis, malah sesiapa yang hendak berbuat demikian, mesti memandang dirinya sendiri terlebih dulu kerana perkara seumpama itu boleh berlaku kepada sesiapa saja.
"Saya bimbang, suatu hari nanti apa yang dikatakan, berlaku di depan matanya sendiri. Seseorang itu pastinya ada ibu dan jika tidak berlaku pada dirinya, mana tahu ia akan terjadi pada adik, kakak mahupun anak," kata Mariam yang turut kesal dengan kenyataan mengaitkan sikap gatal wanita punca perceraian.
Beliau berkata, berdasarkan pengalaman dan kes masalah rumah tangga yang dirujuk, didapati antara punca berlaku perceraian ialah suami mempunyai hubungan di luar dan campur tangan ibu mentua.
Dalam kebanyakan kes juga menunjukkan, suami mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga seperti tidak memberi nafkah, sering tidak balik ke rumah, tidak memberi kasih sayang kepada anak dan ada yang mendera perasaan serta memukul isterinya.
"Kebanyakan wanita terpaksa bertahan dan bersabar sehingga lapan atau 10 tahun bagi menyelamatkan rumah tangganya. Apabila perasaan sabar hilang dan marah sudah meluap serta diri sudah begitu menderita, barulah mereka membuat pertimbangan mengambil keputusan untuk bercerai.
"Wanita ini tidak pernah memikirkan dan mementingkan diri mereka sebaliknya, sentiasa mengambil kira masa depan anak dan juga menjaga maruah keluarga serta nama baik ibu bapa mereka. Jadi, tidak adil wanita dipersalahkan apabila berlaku perceraian," katanya.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Mahzan Arshad dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya dalam kertas kerjanya yang bertajuk, Intimasi Dalam Komunikasi Sebagai Asas Kebahagiaan Rumah Tangga, berkata perceraian berlaku kerana suami isteri tidak berasa bahawa diri mereka cinta kepada pasangan masing-masing.
Dr Mahzan berkata, kajian yang dilakukan dalam masyarakat di Eropah mendapati perkahwinan yang diasaskan percintaan, banyak mengalami kegagalan. Perasaan cinta itu tidak dapat dikekalkan kerana pelbagai faktor yang menjadi penghalang.
Ini merangkumi kesuntukan masa dalam hubungan, tekanan dalam alam pekerjaan, tekanan dari ahli keluarga, kesedaran baru terhadap tabiat pasangan dan juga ketidakpuasan dalam rutin harian seperti kepuasan seks.
Beliau berkata, perceraian sering berlaku apabila perasaan cinta itu mulai luntur. Ia bertambah serius apabila kurangnya intimasi dalam perkahwinan yang boleh menghapuskan perasaan cinta sama sekali dan timbul pula perasaan benci.
Pakar perunding perkahwinan dan perceraian turut meletakkan beberapa punca yang boleh mengakibatkan perceraian. Antaranya ialah hubungan tegang yang berlaku pada pasangan dan mengakibatkan pelbagai masalah.
"Kehidupan yang tidak dapat ditangani dengan baik antara punca perceraian berlaku. Masalah ini boleh berpunca daripada keadaan di tempat kerja, kewangan, kenderaan, sekolah anak, tempat tinggal dan sebagainya. Selain itu, kegagalan untuk berterus terang dengan pasangan turut menjadi punca perceraian.
"Senario yang berlaku dalam banyak hubungan perkahwinan terancam apabila ada pembohongan. Ia akan diikuti satu pembohongan lain bagi menutup pembohongan dilakukan sebelum itu," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
BEBAN NAFKAH
Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...
-
Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002 Oleh Nor Affizar Ibrahim Kain sarung warisan bangsa SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat...
-
Berita Harian, 14 Julai 2011 Oleh Nor Affizar Ibrahim Pilih ketam terbaik KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkul...
-
Berita Harian, Khamis Januari 11, 2007 Oleh Nor Affizar Ibrahim Konflik tagih cinta isteri orang KISAH wanita belum berkah...
No comments:
Post a Comment