Wednesday, May 22, 2013

Hilang Seri Jika Kulit Kekeringan


Berita Harian, Selasa, Januari  2, 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Hilang seri jika kulit kekeringan

  

WANITA yang gemarkan cabaran atau kegiatan lasak, masih boleh menjaga kulit dengan baik dan sempurna jika tidak memandang remeh mengenai penjagaannya serta membuat persiapan rapi sebelum menyertai sebarang kegiatan seperti itu.
  
Secara umum, dalam keadaan perubahan cuaca yang tidak menentu khususnya, terlalu panas dan sejuk masalah yang lazim dihadapi kebanyakan wanita ketika menyertai kegiatan lasak ialah kehidratan kulit. Akibatnya, kulit bukan saja tidak berseri tetapi juga kasar dan tidak selesa. Selain itu, kulit yang mengalami hidrasi turut tidak menyerlahkan kegebuan dan biasanya kelihatan kendur. Raut kulit yang lembut juga semakin hilang dan ditandakan oleh garis halus malah, perubahan iklim serta suhu mungkin menyebabkan seseorang itu mengalami kerengsaan.
  
Punca luaran


Perunding Kecantikan Biotherm Sophia Ng, berkata ada beberapa punca luaran yang menyebabkan kulit hidrat. Punca kelembapan misalnya, kulit amat sensitif pada iklim dan keadaan persekitaran. Contohnya, semakin rendah tahap kelembapan dalam udara, semakin tinggi kehidratan kulit.
  
Beliau berkata, jika tahap kelembapan merosot dari 90 peratus kepada 60 peratus, tahap kelembapan kulit akan turun sebanyak 30 peratus.
  
"Faktor iklim dan alam sekitar seperti pancaran matahari, haba, kesejukan dan angin turut membuatkan kulit menjadi hidrat. Oleh sebab itulah jika ingin menyertai kegiatan di luar kita perlu sentiasa melindungi kulit.
  
"Penggunaan serum adalah antara pilihan untuk menjaga dan melindungi kulit daripada unsur yang boleh menghidratkan kulit. Selain itu, jika berada di tempat yang sejuk digalakkan untuk mengambil banyak buah zaitun segar kerana ia boleh bertindak sebagai anti oksidan dan ada banyak pati sari dan mineral," katanya. Pilihan makanan pula digalakkan mengambil tuna dan
salmon kerana kedua-duanya, membantu merangsangkan hidrasi pada tubuh.
  
Mengenai penjagaan dan keupayaan sesuatu produk pelindung kulit Ng berkata, asas penjagaan kulit ialah keupayaannya untuk melindungi kulit pada waktu siang dan `merawatnya' pada waktu malam.
  
Penggunaan produk yang betul

Bagaimanapun, yang penting jangan mencampuradukkan penggunaan produk untuk badan dan muka kerana kedua-duanya dirumus dengan perbezaan tersendiri mengikut fungsi.
  

"Losyen badan misalnya, tidak sesuai untuk disapukan pada muka kerana teksturnya lebih tebal daripada losyen muka. Penggunaan tidak teratur juga dibimbangi membawa kesan sampingan lain seperti rasa gatal dan sebagainya," katanya turut menyarankan penggunaan skaf atau penutup muka bagi mengelakkan kulit wajah terlalu terdedah dengan pencemaran sekitar.
  
Penggunaan pelindung matahari juga disarankan ketika berada di kawasan suhu dan iklim sejuk seperti di Himalaya kerana ia membantu untuk melindungi kulit.
  
Pelindung matahari seelok-eloknya mengandungi rumusan pH15 dan untuk penjagaan kulit lebih berkesan, sapukan terlebih dulu dengan krim pelembap.
  
Katanya, pelembap dan serum melembapkan serta melindungi kulit dalam beberapa cara. Pertama, ia menarik kelembapan daripada udara dan meresapkan ke dalam sel kulit supaya segar serta lembap. Kedua, ia mengekalkan kelembapan di dalam manakala ketiga, membantu fungsi perlindungan supaya kulit kuat dan kukuh khususnya, menentang penyejatan air dalam kulit.
  
"Serum perlu disapu pada siang hari dan malam. Setiap kali ingin menyapukan serum semula, lebih baik bersihkan dulu wajah supaya habuk atau kotoran tidak melekat tebal. Bagi yang tidak dapat menyapukan serum atau pelembap seperti kehabisan bekalan dan sebagainya, seelok-eloknya lebih kerap membasuh muka dengan air sejuk untuk mengecutkan liang sekali gus, mengelakkan kulit tidak terlalu kering," katanya.
  
Sekembali dari pengembaraan, untuk merawat muka Ng menasihatkan, agar memakai topeng pelembap muka setiap hari sekurang-kurangnya untuk seminggu. Cara ini boleh membantu merawat wajah yang terdedah secara keterlaluan dengan pancaran matahari.
  
Selain itu, dinasihatkan tidak menggunakan penyental wajah buat sementara waktu sehingga kulit kembali pulih pada keadaan asal.
  

  FAKTA
  
  Panduan penjagaan kulit jika dalam pengembaraan:


  
  * Jika kulit hidrat jangan mandi menggunakan air panas sebaliknya gunakan air sejuk. Air panas boleh menyebabkan rangsangan terhenti kerana liang terbuka dan boleh menyebabkan kapilari pecah.
  
  * Jika kawasan persekitaran terlalu panas, buka tingkap bagi mengelakkan penghidratan kulit berlaku. Jika berlaku peluh yang banyak pada tubuh, kulit juga boleh jadi kering.
  
  * Makan lebih banyak buah seperti zaitun dan timun sebagai anti oksida serta ambil tuna dan salmon untuk mengurangkan penghidratan pada tubuh berlaku.
  
  * Elakkan menggunakan mandian hidro terlalu lama dan jika ingin menggunakannya pastikan anda merendamkan diri hanya antara 10 hingga 20 minit.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...