Berita Harian, Rabu Mei 30, 2001
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Pelaksanaan Undang-Undang Keluarga Islam masih `hodoh'
PERJALANAN dan pentadbiran Mahkamah Syariah di negara ini sering menjadi perhatian masyarakat Islam, khususnya. Malah, perbincangan mengenai institusi undang-undang itu bukan saja terbatas pada seminar dan forum tetapi juga pada peringkat kabinet dan Parlimen.
Tetapi apa yang pasti, sebagai salah satu badan pemutus berkaitan Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga Islam, Mahkamah Syariah tidak dapat mengelak daripada menjadi tumpuan masyarakat, sama ada mengenai kuasa, tanggungjawab, prosiding dan hukuman yang dijatuhi.
Pensyarah Jabatan Syariah dan Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Raihanah Abdullah, berkata sejak beberapa tahun lalu, media dan masyarakat banyak membincangkan mengenai Mahkamah Syariah.
Katanya, walaupun gambaran yang dipaparkan di media mengenai Mahkamah Syariah dapat menjelaskan kepada masyarakat mengenai prosiding mahkamah itu tetapi imej yang diberi adalah negatif dan ini secara tidak langsung, menjejaskan reputasi institusi itu.
"Paparan mengenai pilih kasih dan prejudis terhadap wanita, kakitangan tidak cekap dan lemah pentadbiran adalah isu utama yang dipaparkan. Bagaimanapun, saya percaya laporan itu bukanlah kenyataan sembarangan tetapi berdasarkan aduan dan pengalaman mereka yang pernah terbabit dengan Mahkamah Syariah.
"Imej negatif itu bukan sekadar tanggapan mereka yang terbabit dalam prosiding mahkamah tetapi sudah berjangkit individu yang langsung tidak pernah berurusan dengan mahkamah. Kenyataan itu terbukti, hasil temu bual yang pernah dijalankan tiga tahun lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk Mahkamah Syariah: Mengikut Perspektif Masyarakat Awam pada Seminar Mahkamah Syariah Dan Wanita di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Turut menyertai sesi perbincangan itu ialah Pengerusi Pusat Aduan Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Kamilia Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Pintas Negara, Datuk Prof Dr Wan Halim Othman manakala Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Mohd Na'im Mokhtar diberi mandat mempengerusikannya.
Seminar sehari anjuran ZNS Usrah Management dihadiri kira-kira 100 peserta mewakili pelbagai pertubuhan dan badan kerajaan, peguam syarie, individu serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Antara isu utama seminar Mahkamah Syariah dan Wanita menyentuh mengenai pandangan media massa terhadap perjalanan dan pentadbiran Mahkamah Syariah, perkembangan terkini, prosedur tuntutan dan hak wanita dalam Undang-Undang Keluarga Islam.
Tamparan hebat
Raihanah berkata, apa yang jelas ketika itu, Mahkamah Syariah menerima tamparan hebat daripada masyarakat sehingga institusi itu tidak dipercayai.
"Hal ini tidak menghairankan kerana banyak peruntukan dalam undang- undang terutama berhubung peruntukan keluarga yang banyak masalahnya dan memerlukan masyarakat berdampingan dengan Mahakamah Syariah. Masalah itu termasuklah perceraian, tuntutan nafkah, hak penjagaan anak, pembahagian harta dan sebagainya," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, laporan negatif mengenai Mahkamah Syariah di media sejak akhir ini, sudah berkurangan. Malah, beberapa bulan lalu di Parlimen, ada pemimpin membangkitkan mengenai isu kekurangan kakitangan badan kehakiman itu dan bukan lagi memperkatakan mengenai isu pentadbiran yang lemah.
"Bentuk pentadbiran masa kini iaitu pemisahan di antara Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam adalah sesuatu yang baru. Begitu juga dengan peraturan bersistem yang diperkenalkan di Mahkamah Syariah, adalah sesuatu yang baru. Berbanding Mahkamah Sivil yang sudah lama kukuh.
"Tetapi, sesuatu yang baru itu tidak bermakna ia tidak boleh membuat sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat. Mahkamah Syariah harus ingat tanggungjawab dan bidang kuasanya sememangnya tidak boleh lari daripada berdampingan dengan masyarakat," katanya.
Raihanah berkata, yang menimbulkan masalah dalam kebanyakan kes kekeluargaan ialah wanita yang cuba mendapatkan hak pada masa segera sedangkan mahkamah tertakluk dengan beberapa prosedur dan peraturan yang perlu diikuti.
Menyentuh masalah penangguhan, beliau berkata, media juga banyak membangkitkan perkara itu. Sehinggakan timbulnya isu, `naik-turun mahkamah' yang dikatakan pasti berlaku kepada individu yang terbabit dengan prosiding Mahkamah Syariah.
Tetapi Raihanah berpendapat, penangguhan bukan saja berlaku di Mahkamah Syariah tetapi juga di Mahkamah Sivil. Cuma yang menjadi fokus kepada masyarakat awam ialah mahkamah yang mengendalikan kes kekeluargaan yang banyak membabitkan individu tertentu terutamanya wanita yang menuntut haknya.
"Penangguhan ini tidak dinafikan berlaku seperti hakim sakit atau menghadiri seminar tetapi ada juga orang awam yang membuat penangguhan seperti tidak hadir sehingga mahkamah tidak dapat meluluskan prosedur. Bagi mengatasinya, dicadangkan penghakiman diteruskan walaupun tanpa kehadiran satu pihak. Alasan tidak hadir, paling banyak boleh diterima dua kali," katanya
.
Tidak buat tohmahan
"Mana-mana mahkamah pun, tugasnya adalah menegakkan keadilan. Jika ada tohmahan, bagaimana tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan baik. Begitu juga dengan pelantikan hakim wanita yang pernah disarankan sebelum ini, belum tentu dapat menghapuskan masalah berat sebelah di Mahkamah Syariah," katanya.
Jantina bukan penentu keadilan, sebaliknya keadilan ditentukan oleh cara mahkamah mentafsirkan undang-undang dan memberi hukuman setimpal kepada pihak yang terbabit.
Apa yang dapat saya simpulkan daripada Undang-Undang Keluarga Islam yang ada sebenarnya cantik tetapi pelaksanaannya agak hodoh dan ia berpunca daripada manusia sendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment