Berita Harian, Selasa Julai 15, 2008
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Botox untuk kanak-kanak
SEBUT saja botulinum toxin (BTA) atau yang lebih popular dengan panggilan botox di kalangan masyarakat di rantau ini, mungkin ramai yang akan terus mengaitkannya dengan rawatan kecantikan antipenuaan. Tidak dapat disangkalkan, masyarakat di negara ini lebih tahu dan mengenali botox sebagai antara kaedah perubatan kosmetik yang menjadi pilihan wanita mahupun lelaki, khususnya mereka yang takut wajah tampak tua.
Malah, akibat terlalu ghairah dengan botox yang didapati berkesan menghilangkan kedutan pada wajah (walaupun tempoh sementara) dunia kosmetik di negara ini pernah gempar dan dilanda kontroversi terhadap
TAHUKAH anda, botox iaitu sejenis protein semula jadi yang dihasilkan oleh mikro organisme, Clostridium Botulinum sebenarnya sudah pun lama digunakan dalam beberapa rawatan perubatan untuk beberapa penyakit. Ini termasuklah, strok, migrain, kecederaan otak, palsi serebrum, sklerosis berbilang dan kecederaan saraf tunjang.
penggunaan kaedah rawatan berkenaan demi untuk kecantikan.
Perunding Perkembangan Pediatrik dan Neurologi, Dr Malinee Thambyayah, berkata kaedah perubatan suntikan botox sudah berkurun lama diperkenalkan malah digunakan secara meluas di kalangan orang dewasa mahu pun kanak-kanak bagi menangani beberapa masalah; terutama berkaitan neurologi yang menyebabkan gejala fizikal seperti lemah atau lumpuh, kehilangan mengawal pergerakan otot, kekejangan dan ketegangan otot secara tiba-tiba.
Beliau berkata, rawatan suntikan botox juga sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu bagi kanak-kanak palsi serebrum iaitu sejenis penyakit keabnormalan perkembangan otak yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan penyelarasan pada anggota tubuh.
"Bahan kandungan suntikan botox yang digunakan untuk rawatan kanak-kanak palsi serebrum adalah sama dengan kaedah rawatan kecantikan menggunakan botox bagi anti penuaan. Malah, kaedahnya juga sama iaitu melalui suntikan," katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Suntikan tingkatkan kehidupan
Dr Malinee berkata, suntikan botox meningkatkan kehidupan 10 daripada beribu-ribu kanak-kanak palsi serebrum. Di Barat seperti Australia dan Jerman, kaedah rawatan itu sudah pun digunakan lebih 20 tahun yang lalu.
Bagaimanapun
"Palsi serebrum adalah gangguan neurologi yang kedua paling lazim berlaku pada kanak-kanak dengan membabitkan lebih kurang tiga hingga lima dalam setiap 1,000 orang. Kanak-kanak palsi serebrum mempunyai masalah gangguan otak yang wujud sejak kecil lagi dan menyebabkan berlakunya kelemahan untuk mengawal pergerakan fizikal.
"Ada kanak-kanak mengalami keadaan ini sejak dalam kandungan ibu lagi, manakala yang lain berlaku ketika kelahiran sukar hingga menyebabkan bayi kekurangan oksigen. Palsi serebrum juga boleh berlaku kepada bayi pramatang yang menghadapi masalah pernafasan, menyebabkan pendarahan otak serta kekurangan oksigen. Punca lain ialah kecederaan teruk di kepala dan penyakit meningitis menyebabkan kecacatan pada bahagian otak yang mengawal pergerakan." katanya.
Walaupun palsi serebrum tidak boleh sembuh sepenuhnya, Dr Malinee berkata, botox sudah dibangunkan secara khusus bagi merawat kekakuan otot yang sering berlaku kepada kanak-kanak berdepan dengan penyakit itu. Selain itu sejak tiga tahun lalu iaitu dari 2001, doktor di Hospital Selayang membuat kajian mengenai terapi botox terhadap 37 kanak-kanak spastik.
di Malaysia, kaedah rawatan suntikan botox terhadap kanak-kanak palsi serebrum hanya bermula pada 1990-an, tetapi diperkenalkan dalam program teratur pada awal 2000.
Ingin tengok anak berlari
PERASAAN keibuan, Loke Mei Wan dulunya sering tersentuh apabila melihat anaknya, Lam Jeo Yan yang menghidap palsi serebrum tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak lain. Malah, hatinya lebih terguris apabila anak tunggalnya itu yang kini meningkat berusia tujuh tahun, sering mengadu ada masyarakat di sekeliling mempersendakan keadaannya itu.
Ibu berusia 24 itu berkata, sebagai ibu kesakitan dan kesukaran yang dihadapi anaknya itu turut sama dirasakan. Justeru, setiap kali Jeo Yan meluahkan kesedihan beliau akan berusaha menyabarkan dan memujuknya. Loke dan suami, Lam Sai Weng, 29, tidak pernah berputus asa untuk merawat anaknya agar pulih atau sekurang-kurangnya dapat berjalan bagi menikmati kehidupan lebih ceria seperti kanak-kanak normal lain yang seusia dengannya.
"Saya selalu cakap kepada Jeo Yan, orang lain tidak suka tidak mengapa asalkan saya dan ayah serta neneknya menyayanginya. Walaupun masih kecil, Jeo Yan memahami keadaan dirinya yang tidak sempurna dan mudah tersinggung. Apabila ini berlaku, saya turut simpati dan berasa sedih," katanya.
Loke akui sejak kecil lagi keadaan Jeo Yan tidak seperti kanak-kanak lain. Ketika mencapai usia satu tahun, keadaan Jeo Yan masih lagi seperti bayi yang terbaring tidur dan tidak boleh bergerak atau pun meniarap. Hanya ketika usianya mencapai dua tahun, barulah tahu merangkak, itupun dalam keadaan yang tidak stabil.
Loke turut memberitahu, ada rakan dan saudara mara yang menyarankan agar anaknya membuat rawatan tradisional termasuk akupuntur. Bagaimanapun, hatinya tidak tergamak untuk melihat tubuh Jeo Yan yang masih kecil dicucuk jarum. Lagipun, Loke dan suami lebih percaya kepada perubatan moden dan sebab itulah mereka berjumpa doktor bagi membuat rawatan.
Kekurangan oksigen pada otak
"Pada awalnya, saya dan suami berasa susah hati melihat keadaannya. Lebih menyakitkan hati apabila kami membawanya berjalan di pusat beli-belah, orang ramai asyik melihatnya. Tetapi kini perasaan itu ransur-ansur hilang apabila melihat perubahan Jeo Yan dari semasa ke semasa selepas membuat rawatan," katanya.
Loke berkata, ketika mencapai usia dua tahun doktor menyarankan, anaknya itu diberi suntikan botox. Baginya dan suami, memang tiada halangan untuk membuat rawatan itu asalkan, ia dapat mengurangkan kesakitan dan penderitaan yang dihadapi Jeo Yan terutama pada bahagian kakinya yang kerap kejang. Begitu juga dengan keadaan tangannya, tetapi kurang drastik mengalami kekejangan, cuma sukar untuk memegang pensil khususnya, tangan kanan.
Keluarganya yang menetap di Jerantut, Pahang terpaksa turun ke Kuala Lumpur sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu untuk membuat rawatan suntikan botox, rawatan fisioterapi dan juga melakukan pemeriksaan lain di Hospital Selayang. Jeo Yan, anak kecil yang tabah kerana setiap kali jarum tajam menusuk tubuh, hanya menangis sekejap saja dan selepas rawatan biasanya kembali ceria.
FAKTA
Jenis-jenis palsi serebrum
* Palsi serebrum spastik
Penghidap akan mengalami otot yang kejang dan sukar untuk bergerak.
* Palsi serebrum athetosis
Tidak terkawal, perlahan, pergerakan menggeliang geliut dan lebih kerap apabila kanak-kanak itu sedia atau teruja tetapi keadaan itu lenyap ketika tidur.
* Palsi serebrum ataxic
Jarang berlaku tetapi kanak-kanak berkenaan mengalami masalah mengimbangkan diri dan kerap terjatuh. Kadang-kadang bergoyang ketika berjalan dan tangan kejang atau mempunyai cara berjalan yang aneh.
* Palsi serebrum bercampur
Gabungan spastik dan ataxic tetapi sesetengah kanak-kanak mempunyai gejala berbeza antara satu sama lain.
Tanda-tanda palsi serebrum
* Anda sukar untuk mengetahui sesetengah kanak-kanak yang mempunyai masalah palsi serebrum kerana mereka tidak mempunyai terlalu banyak masalah pada otot mereka. Mereka mungkin hanya ada sedikit tanda tetapi ada yang mempunyai masalah besar seperti kaki bengkok atau siku dan pinggul bengkok.
FAKTA
Suntikan botulinum toxin (BTA) atau botox untuk kanak-kanak palsi serebrum
* Suntikan botox menjadikan pergerakan kanak-kanak palsi serebrum lebih mudah seperti dapat menjejakkan tumit kaki pada lantai, membetulkan bengkok pada kaki, berjalan lebih baik dan meningkatkan fungsi tangan.
* Suntikan bergantung keperluan kanak-kanak itu. Untuk satu atau dua suntikan, doktor mungkin menggunakan krim anestetik sebelum jarum dicucuk. Jika banyak suntikan diperlukan doktor mungkin memberi ubat untuk meredakan sakit.
* Selepas beberapa jam disuntik kanak-kanak itu boleh pulang ke rumah. Tiada langkah penjagaan khusus diperlukan dan kebanyakan kanak-kanak boleh pergi ke sekolah keesokan hari atau meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
* Kanak-kanak itu juga perlu melakukan fisioterapi sebelum dan selepas setiap suntikan bagi meregangkan otot yang disuntik termasuk menguatkan kumpulan otot bertentangan. Hasil kajian menunjukkan 12 peratus menunjukkan perkembangan antara minggu pertama rawatan, manakala 55 peratus menunjukkan perkembangan selepas satu minggu.
* Otot sekeliling sendi bekerja secara berpasangan. Apabila otot sebelah bahagian pada sendi kejang terdapat otot yang tidak seimbang. Otot yang tegang pada sebelah bahagian secara umumnya menarik sendi berkenan keluar daripada kedudukannya. Bahagian kiri yang tidak dirawat akan mencacatkan struktur anggota badan atau sendi berkenaan terkeluar.
* Apabila disuntik pada otot yang tegang, botox mengurangkan ketegangan otot itu dan ia membolehkan kanak-kanak berkenaan mengekalkan postur, kurang berasa tegang dan lebih tegap ketika berdiri atau berjalan. Kemahiran motor menjadi lebih mudah dilakukan. Fisioterapi juga lebih mudah untuk meregang dan menguatkan otot kanak-kanak itu.
* Penting untuk memilih otot yang betul dan sebab itu suntikan seelok-eloknya dilakukan oleh pakar neurologi kanak-kanak atau pembangunan kanak-kanak, pakar bedah otorpedik atau pun pemulihan fizikal.
* Sesetengah kanak-kanak palsi serebrum selalunya berdiri atau berjalan atas hujung kaki. Ada juga dalam keadaan dengan kaki membengkok. Keadaan itu menyebabkan ketegangan yang banyak pada lutut atau tulang pinggul dan lama-kelamaan, memburukkan keseimbangan otot dengan sendi yang terkeluar daripada kedudukan sebenar.
* Suntikan botox pada otot buah betis (bahagian belakang betis yang berisi di bawah lutut) akan membantu kedudukan kaki rata pada bawah dan mengurangkan jalan berjengket, manakala suntikan pada tendon di belakang lutut pula akan mengurangkan bengkok postur.
* Majoriti pesakit memerlukan sekurang-kurangnya dua suntikan setahun. Selain itu pesakit juga perlu disuntik dengan suntikan berkala. Ada juga didapati kurang daripada 10 peratus kes memberikan maklum balas menggalakkan iaitu hanya memerlukan satu suntikan dan kategori ini dipanggil, `golden response'.
* Kesan sampingan suntikan botox, amat minimum. Jika kesan sampingan kelihatan, ia biasanya pada minggu pertama suntikan dan hanya bersifat sementara saja.
* Suntikan botox bukanlah penyembuhan ajaib sepenuhnya bagi palsi serebrum, sebaliknya rawatan perlulah dilakukan bersama dengan terapi fizikal standard dan pemulihan yang lain. Ini kerana kesan pengenduran otot bermula antara seminggu daripada suntikan dan selepas sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan, ia akan kembali tegang serta memerlukan suntikan semula. Namun, melalui fisioterapi intensif serentak, kesan terhadap botox boleh bertahan lama.
* Apabila otot menegang, keadaan itu menyakitkan pesakit khususnya kanak-kanak. Jadi, dengan adanya suntikan botox kesakitan itu dapat diredakan dan kesannya paling baik ialah membuatkan kanak-kanak itu bergerak lebih mudah dan ini membantu meningkatkan kualiti kehidupannya.
* Suntikan botox untuk kanak-kanak palsi serebrum disarankan selepas meningkat usia 18 bulan atau dua tahun. Ini berikutan, jika dibuat sebelum itu ia akan memberikan risiko kerana kanak-kanak itu masih dalam peringkat pramatang. Bagaimanapun, persidangan Australian Academy of Cerebral Palsy & Developmental Medication 2008 yang berlangsung di Australia pada awal April lalu, menyarankan ia dimulakan pada usia 12 bulan.
No comments:
Post a Comment