Berita Harian, Selasa September 28, 2010
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Cerai ekspres
TIDAK pernah langsung terlintas dalam fikirannya, diceraikan hanya selepas beberapa hari dinikahkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi itulah perjalanan hidup dilalui Faizah Mohamad.
Perkahwinannya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim, hanya bertahan 12 hari. Baik buruk berkahwin dengan orang yang dikenali ramai, berita perkahwinan dan perceraian ekspresnya menjadi tumpuan.
Ramai orang memperkatakan mengenai perkahwinan singkatnya dan tidak kurang yang menuding jari kepadanya apabila pelbagai cerita pelik mula kedengaran.
Perceraian berlaku tanpa diduga dan dipinta itu bagaikan satu mimpi dalam hidup. Apatah lagi, sebelum berlaku perceraian itu tiada bibit pertelagahan dan persengketaan antaranya dengan bekas suami, malah berpendapat, tiada alasan munasabah untuk berpisah.
Tidak sempat kecapi kemanisan
Namun, wanita muda ini menerima perceraian itu sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk perjalanan hidupnya sekalipun tidak sempat untuk mengecapi kemanisan hidup rumah tangga dan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri.
"Saya tidak pernah menyesali perceraian itu berlaku, tetapi apa yang dikesalkan ia berlaku hanya dalam tempoh 12 hari perkahwinan kami. Tidak sempat lagi bernafas, perceraian pula berlaku. Penat buat kenduri majlis perkahwinan pun tidak habis lagi," katanya.
Mengimbau gelodak jiwa dirasakan apabila talak dilafazkan oleh bekas suami, Faizah berkata, ketika itu perasaannya bercampur baur, ada rasa terkejut, sedih dan keliru. Dunia yang terang dirasakan gelap seketika. Kebahagiaan dicari dan diimpikan dalam hidup berumah tangga seolah-olah tiada lagi, sebaliknya dilihat bakal melalui masa depan yang gelap.
Seminggu tempoh awal perceraian, perasaan tidak keruan terus menyelubungi diri sehinggakan tidur malamnya sering saja terganggu. Mujur, pada saat hati remuk dan kecewa, Faizah mendapat sokongan daripada keluarga, saudara-mara dan kawan rapat. Sokongan itu sedikit sebanyak memberikan kekuatan dalam dirinya untuk menempuh hari mendatang dan cuba menerima perpisahan itu.
"Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perceraian itu berlaku termasuklah masyarakat sekeliling. Tetapi tiada pula yang bertanya secara terus terang kepada saya, mungkin mereka menghormati perasaan saya ketika itu," katanya.
Mencari kekuatan diri
Faizah menguatkan diri. Selain semangat orang di sekeliling, dia mencari kekuatan dalam diri dan membina semangat baru, di samping sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta tidak putus berdoa supaya hidupnya diberkati dan dapat menerima ujian yang menimpa.
"Syukur, Allah memberikan kekuatan dan saya mempunyai hati yang cukup cekal berdepan dengan ujian itu.
"Sehinggakan, ada rakan abang yang turut kagum dengan keupayaan saya melalui peristiwa itu dan berkata, jika orang lain mungkin sudah lama `meroyan' tetapi saya tabah dan tidak banyak perubahan diri berlaku," katanya diiringi gelak kecil sambil bersyukur sudah berjaya memadamkan perasaan sedih di hati.
Faizah berkata, apa yang membuatnya sedikit terkilan ibunya mengalami tekanan emosi lebih teruk daripadanya, berikutan `perceraian ekspres' itu. Sehinggakan, hampir setiap hari, tidak kering pipi ibunya dibasahi air mata.
"Sebenarnya, ada juga hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada perceraian singkat itu. Saya berpendapat, apabila sudah menjadi suami isteri mesti ada komunikasi dan tolak ansur. Jika ada masalah yang ditimbulkan oleh unsur luar, perlulah ditangani dengan baik. Saya juga melihat, jangan terlalu cepat mempercayai orang luar kerana ada antaranya bersikap bermuka-muka," katanya.
Mengenai perancangannya pada masa kini, Faizah yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di syarikat swasta berkata, kegagalan perkahwinan pertama tidaklah mematahkan semangatnya untuk kembali hidup berumah tangga.
Namun, dalam mencari atau menentukan jodoh, dia lebih selesa mengikut arus. Paling penting, lelaki yang bakal menyinari hidupnya kelak mestilah bertanggungjawab, dapat menerimanya seadanya dan boleh menjadi khalifah dalam sebuah keluarga.
"Perkahwinan itu suci, jadi saya tidaklah perlu takut atau fobia dengan apa yang sudah berlaku. Kita berusaha dan selebihnya biarlah Allah menentukan," katanya.
Bukan kes terpencil
`PERCERAIAN ekspres' bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.
Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan.
Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.
"Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin," katanya.
Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.
Faktor cerai
Antara faktor lain berlaku `cerai ekspres' kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.
Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.
Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.
"Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh memberikan pengajaran kepada individu berkenaan. Dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya," katanya.
INFO
Tiga perkara membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan
* Pasangan disahkan gila.
* Pasangan berpenyakit sopak.
* Pasangan berpenyakit kusta.
(Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)
Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat
* Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
* Adakalanya pasangan seolaholah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.
* Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.
* Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
BEBAN NAFKAH
Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...
-
Berita Harian, Selasa Mei 14, 2002 Oleh Nor Affizar Ibrahim Kain sarung warisan bangsa SARUNG adalah pakaian tradisional masyarakat...
-
Berita Harian, 14 Julai 2011 Oleh Nor Affizar Ibrahim Pilih ketam terbaik KETAM walaupun agak sukar untuk dimakan kerana berkul...
-
Berita Harian, Khamis Januari 11, 2007 Oleh Nor Affizar Ibrahim Konflik tagih cinta isteri orang KISAH wanita belum berkah...
No comments:
Post a Comment