Tuesday, January 1, 2013

SEKSI BUKAN HAK PERIBADI

 Berita Harian, 11 Julai 2007

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Seksi bukan hak peribadi

Selebriti tanah air patut beri pertimbangan, perhatian berkaitan pakaian semasa, elak kesan negatif, jadi ikutan masyarakat

SEKSI atau sekadar gaya yang mengikut aliran terkini dan hak peribadi bukanlah persoalan utama atau perlu dipertahankan. Sebaliknya apa yang dibimbangkan, pengaruh dan budaya yang dibawa kepada masyarakat dan akhirnya menjadi satu ikutan kepada generasi muda hari ini. 

Hakikat inilah yang harus diterima dan difikirkan golongan artis dan selebriti khususnya dalam penampilan.
Mahu atau tidak golongan berkenaan terpaksa akur dengan kenyataan, bahawa mereka ada pengaruh dan sentiasa menjadi ikutan kepada masyarakat. 
 
Gerak langkah diperhati

Bukan saja bakat yang dinilai dan diminati, tetapi gerak langkah dan cara berpakaian juga menjadi perhatian. Inilah juga harga yang terpaksa mereka bayar apabila sudah popular.
Justeru, tidak hairan jika banyak rungutan dan teguran yang diterima mengenai perasaan tidak senang masyarakat terhadap gaya dan penampilan artis pujaan mereka.

Artis dan selebriti wanita khususnya dibidas mengapa lebih suka mengenakan pakaian glamor gaya berkemban dan bertali halus ketika menghadiri majlis tertentu. Selain itu, ada yang diselar kerana memakai pakaian daripada fabrik telus dan terlalu sendat sehingga menampakkan susuk tubuh.

Bahangnya lebih dirasakan apabila Ahli Parlimen, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin (BN-Jerai), meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan garis panduan mengenai pakaian untuk artis yang hendak disiarkan melalui stesen televisyen pada persidangan di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Antara yang dibangkitkan Badruddin ialah mengenai pakaian artis yang dikatakan menjolok mata sehingga membantutkan usaha kerajaan mempertingkatkan budi bahasa, budaya sopan santun yang melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan konsep Hadhari yang diperkenalkan.

Guna garis panduan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin ketika menjawab perkara itu, berkata Jakim tidak boleh mengambil tindakan terhadap artis yang memakai pakaian menjolok mata, sebaliknya menggunakan garis panduan yang dikeluarkan agensi itu sebagai panduan dan rujukan kepada seluruh penggiat seni hiburan tanah air.

Katanya, selaku agensi yang bertanggungjawab hal ehwal Islam setakat ini, Jakim sudah mengeluarkan 40 garis panduan dalam pelbagai bidang dan yang terbaru ialah panduan hiburan dalam Islam.

Mengulas isu ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof, berkata
sememangnya tidak manis selebriti atau artis tempatan berpakaian seksi dan tidak menepati tata susila budaya kerana masyarakat di negara ini mempunyai imej sendiri sebagai rakyat serta bangsa Malaysia.


Budaya tidak suruh

“Budaya tidak suruh kita begitu jadi mengapa hendak berpakaian seperti itu. Jika tidak mendedahkan dada pun masih laku,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Mustapha berkata, pereka fesyen tidak boleh disalahkan jika menampilkan rekaan seperti itu kerana ia adalah kreativiti mereka menghasilkan rekaan masing-masing, sebaliknya artis atau selebriti sebagai individu perlulah menjaga imej, peribadi dan maruah sendiri. Ini bermakna jika tidak mahu atau tidak bersetuju dengan pakaian direka dan ditaja, artis terbabit perlulah berpegang kepada prinsip sendiri serta tegas untuk menolaknya.

Beliau berkata, artis sebagai ikon kepada masyarakat haruslah pandai membawa diri dan tidak terikut-ikut dengan rentak gaya di Barat yang tidak sesuai, meskipun pakaian ditampilkan adalah fesyen terkini.
“Jika kita kata kita rakyat Malaysia, mestilah menjaga budaya yang dibanggakan. Lima prinsip Rukun Negara yang kita pegang, sudah jelas menekankan agar kita menjaga kesopanan dan kesusilaan. Malah, dalam mana-mana majlis atau festival yang diadakan, Seniman selalu mengingatkan artis supaya hadir dengan pakaian bersopan,” katanya.


Pelihara tatasusila

Sementara, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) Papita M Daud Wahid turut tidak menafikan, tatasusila ketimuran mesti dipelihara dan tidak seharusnya dicemari mengikut sesuka hati individu untuk mencari perhatian.

Beliau turut bersetuju, pakaian tidak menjamin populariti seseorang artis dan memuji penampilan penyanyi popular, Siti Nurhaliza yang sejak dulu pandai menyesuaikan pakaian dipakainya tanpa perlu mendedahkan tubuh serta sering menjadi contoh kepada rakan artis lain.

Bagaimanapun, memperkatakan lebih lanjut mengenai persoalan pakaian artis menjolok mata M Daud berkata, perkara itu tidak boleh dilihat dan dinilai kepada artis tempatan saja sebaliknya, penampilan artis luar negara terutama yang dipaparkan di media juga harus diambil kira.

“Jangan artis Malaysia saja yang tidak dibenarkan, tetapi artis luar yang nampak pusat, lepas begitu saja. Kita mestilah seimbang antara artis tempatan dan luar negara dalam hal ini. Untuk menjaga budaya semua aspek perlu diberi perhatian, tambahan Malaysia negara Islam.

“Kita semua juga tahu bahawa sesuatu yang mengghairahkan akan memberikan rangsangan. Tetapi tengoklah kebanyakan rancangan yang disiarkan di televisyen dan membabitkan artis luar negara, penampilannya lebih teruk lagi,” katanya.

Bukan satu pihak

M Daud berkata, artis memakai pakaian menjolok mata juga tidak sewajarnya disalahkan satu pihak saja tetapi harus dilihat secara keseluruhan termasuk, media yang memaparkan atau menyiarkan artis dengan penampilan seperti itu.
Katanya, kadang-kadang bukan kehendak atau artis itu sendiri memilih untuk bergaya seperti itu, sebaliknya mereka terpaksa akur dengan keputusan yang sudah pun ditentukan oleh mereka yang terbabit menjayakan program atau rakaman penggambaran berkenaan dan sesi foto untuk majalah serta akhbar.

“Kita perlu lihat dari semua sudut dan jangan salahkan satu pihak saja. Antara persoalannya, mengapakah pihak berkenaan meminta artis menampilkan pakaian tidak sesuai seperti seksi dan sebagainya, adakah sebagai tarikan untuk program itu atau ingin melariskan majalah atau akhbar?


“Malah, dalam sesuatu majlis apabila melihat artis berpakaian seksi ada yang sengaja memfokuskan lensa kameranya pada artis berkenaan dan kemudian dipaparkan besar-besaran dalam media. Untuk apakah tujuan itu?

“Saya bukan hendak membela mana-mana pihak tetapi lebih adil jika dilihat secara keseluruhan kerana masing-masing ada tanggungjawab dan etika bagi menjaga budaya bangsa. Tidak dinafikan, artis boleh menolak jika tidak mahu mengenakan pakaian tidak sesuai baginya tetapi kita kena ingat tidak semua boleh berfikiran seperti itu.

“Kita sebagai manusia ada kelemahan dan kadang-kadang kelalaian membuatkan kita lupa banyak perkara yang tidak sepatutnya dibuat. Lebih-lebih lagi jika ada godaan syaitan. Bagi sesetengah artis yang ingin cari sumber pendapatan memang ada yang risau jika tiada publisiti di media. Jadi, ada yang tidak kisah apabila terpaksa menggayakan pakaian seperti itu,” katanya.

Timbul kegusaran

Beliau berkata, bagi menangani artis memakai pakaian menjolok mata semua pihak bertanggungjawab dan pendekatan diambil amat penting berbanding melihat perkara itu daripada pandangan yang jauh dan terus dijadikan bahan cerita.

Walau apa pun pandangan diberi, pokoknya artis yang mendedahkan tubuh memang tidak disenangi pelbagai pihak dan menimbulkan pelbagai kegusaran. Golongan itu seharusnya sedar, mereka mendapat perhatian berbilang masyarakat tidak kira tua, muda mahupun remaja.

Penampilan untuk cantik dan tambah bergaya memang tiada salahnya, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak meninggalkan kesan negatif sehingga merosakkan budaya apatah lagi bertentangan agama. Lagipun, apa yang perlu dibangunkan adalah dunia seni yang membantu memajukan masyarakat dan bukannya seni tubuh dengan perjuangan kebebasan berpakaian.

Jika ada yang mempersoalkan, mengapa artis zaman dulu boleh memilih pakaian agak menjolok mata, malah boleh berlakon berkemban di layar filem, tidak dipertikaikan. Pertanyaan itu seharusnya difikirkan semula dengan mengambil perubahan masa kini, di samping usaha kerajaan mempertingkatkan budaya yang melambangkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berkonsep Hadhari.

Seandainya, perkara itu lebih difahami, sudah tentu tiada perbandingan yang akan dibuat. Oleh itu, artis dan selebriti di negara ini tidak kira apa bangsa perlu menghormati budaya Timur yang mementingkan adab dalam berpakaian dan tidak perlu berpaksi kepada gaya fesyen Barat terutama, menjolok mata dan tampak jelek dipandang. Dalam mengejar dunia glamor, identiti dan imej budaya perlu disanjung setiap masa.
About these ads

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...