Monday, January 28, 2013

KURUNG RIAU ANGGUN KLASIK

 

Berita Harian, 28 Ogos 2010

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Kurung Riau anggun klasik

Corak jalur dan berkotak serlah gaya eksklusif

MENJELANG Hari Raya, busana tradisional pasti tidak dilupakan kerana memberi aura tersendiri bagi menceria dan menyerikan sambutan perayaan itu. Namun, jauh lebih penting fesyen busana tradisional mampu membuatkan si pemakai tampak anggun dan manis.

Fesyen busana baju kurung Riau antara yang terus diminati, tidak kira tua mahu pun yang muda. Menyedari hakikat itulah, An Nuur Collections terus memberikan sanjungan pada busana itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Raya pada tahun ini.

Pemiliknya, Juhara Ibrahim berkata, koleksi istimewa diketengahkan ialah baju kurung Riau yang didatangkan dalam fabrik tenun bercorak jalur atau berkotak.

Katanya, pemilihan fabrik tenun dan corak demikian memang paling cocok untuk rekaan baju kurung Riau, malah sejak dulu ia adalah antara ciri asas diutamakan apabila ingin merekacipta busana tradisional itu.

Lembut beralun

“Fabrik tenun daripada kain kapas dan sutera sesuai sekali untuk rekaan baju kurung Riau kerana tidak terlalu lembut dan beralun. Ciri-ciri fabrik itu juga membuatkannya serasi dengan gaya ilusi pakaian baju kurung Riau yang menampilkan potongan pesak gantung. Jadi, apabila dipakai ia tampak terletak pada tubuh, sekali gus menyerlahkan keanggunan,” katanya.

Juhara berkata, koleksi baru ditampilkan menampilkan dua pilihan iaitu fabrik tenun sutera dan fabrik tenun 100 peratus kain kapas. Kedua-duanya, memberikan keselesaan pada si pemakai kerana tidak panas dan lembut.

Katanya, corak jalur dan berkotak pada busana itu memberikan impak tradisional dan gaya klasik. Justeru, tidak ada satu pun koleksi rekaan yang menampilkan gaya polos. Sesetengah koleksi pula ada yang menampilkan corak berkaki pada bahagian hujung lengan, baju dan sarung.

“Setiap satu rekaan mesti ada corak jalur atau berkotak, tidak kiralah sama ada ia jalur dan kotak sedikit atau yang lebar dan sebagainya. Untuk memberikan ciri-ciri eksklusif, corak yang ditampilkan didatangkan dalam edisi terhad dan tidak diulang-ulang rekaannya,” katanya.

Menutup tubuh besar

Corak yang tidak keterlaluan dan ringkas juga menjadi ‘penyelamat’ untuk menutup tubuh yang besar. Bagi yang berbadan besar disarankan memilih jalur panjang kerana ia menampakkan tubuh yang tinggi apabila dipakai manakala wanita bertubuh tinggi lampai lebih bebas memilih corak mana disukai.

Juhara berkata, sesuai meraikan hari yang menggembirakan, kebanyakan koleksi mengetengahkan rona ceria dan terang. Antara warna yang diminati ramai dan mendapat permintaan tinggi, termasuklah ungu, merah jambu dan merah.

Bagi menambahkan lagi tarikan mainan warna pada koleksi berkenaan, beberapa rona kontra digabungkan seperti hijau bersama merah, ungu disatukan dengan merah jambu serta sebagainya. Namun, ada juga koleksi yang hanya menggunakan satu warna tetapi diadunkan dalam beberapa ton.



Melaram ke majlis

Tanpa dihiasi dan ditambahkan dengan sulaman manik mahu pun labuci, koleksi rekaan baju kurung Riau dipaparkan tetap menawan dan anggun digayakan.
Juhara berkata, koleksi baru ditampilkan bukan saja cantik dan menarik untuk digayakan pada hari lebaran tetapi juga selepas musim perayaan, malah boleh dipakai untuk melaram bagi majlis tertentu.

Koleksi baju kurung Riau daripada fabrik tenun kain kapas dijual pada harga RM199 sepasang manakala daripada fabrik tenun sutera berharga RM239 sepasang. Koleksi berkenaan hanya boleh didapati di rangkaian kedai An Nuur Collections.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...