Berita Harian, Khamis November 1, 2007
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Pasangan muda abai rancang kehamilan
GELARAN untuk menjadi ibu bapa adalah satu pilihan, bukan kebetulan. Justeru, perancangan keluarga adalah penting kerana kehamilan yang tidak dirancang boleh menjejaskan kesejahteraan pasangan, termasuk dari segi emosi dan juga perancangan hidup.
Dalam hal ini bukan wanita atau isteri saja, lelaki juga bertanggungjawab untuk mengetahui mengenai perancangan keluarga dan pencegahan kehamilan. Tanggungjawab sebagai ibu bapa hendaklah dipikul bersama.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Premitha Damodaran, berkata pada masa kini wanita perlu memenuhi pelbagai tanggungjawab, maka itulah perancangan keluarga amat penting. Perancangan keluarga memberi ruang kepada wanita bagaimana untuk memenuhi semua tugas itu.
Beliau berkata, dalam masyarakat moden hari ini kesihatan seksual dalam pelbagai aspek sudah diberikan keutamaan tinggi. Tetapi malangnya, penekanan terhadap pencegahan kehamilan dan jarak kehamilan tidak diberikan perhatian.
“Sebagai perunding sakit puan, adalah perkara lazim yang saya temui kebanyakan wanita sama ada sebagai individu atau bersama pasangannya terjejas emosi dan psikologi akibat kehamilan yang tidak dirancang. Perasaan itu berpanjangan dan kekal sehingga memberi kesan pada kehidupan masa depan mereka.
“Oleh itu, amat penting sama ada lelaki dan wanita, pasangan muda serta tua, yang berkahwin atau tidak diberikan didikan dan prihatin terhadap kepentingan kesihatan seksual serta perancangan keluarga,” katanya.
Banyak pilihan kaedah
Dr Premitha berkata, terdapat banyak pilihan kaedah perancangan kehamilan pada zaman sekarang dan pasangan boleh mendapatkan bentuk pencegahan yang paling sesuai untuk mereka.
Bagaimanapun, katanya apa yang paling penting selain pilihan kaedah ingin digunakan pasangan juga perlu memilih masa paling sesuai iaitu tidak terlalu awal, tidak terlalu rapat jaraknya dan tidak terlewat untuk menimang cahaya mata.
“Jika baru berkahwin, bukan bermakna sebulan selepas itu pasangan mesti menimang cahaya mata kecuali itulah yang mereka mahukan. Sebaik-baiknya, fikirkan soal kewangan dulu khususnya bagi pasangan yang masih muda. Bagi perancangan kehamilan yang sesuai untuk tidak terlalu awal menimang cahaya mata, pasangan bolehlah memilih bentuk pencegahan secara semula jadi iaitu tidak mengadakan hubungan seks atau pun penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seksual. Selain itu, pasangan berkenaan juga boleh mengamalkan pengambilan pil perancangan keluarga secara oral,” katanya.
Pemakaian IUD
Beliau berkata, pengambilan pil perancang keluarga dengan nasihat doktor selain dapat mengelakkan kehamilan turut memberi beberapa kebaikan kepada wanita yang mengambilnya seperti memperbaiki masalah darah haid yang banyak, mengurangkan kesan sampingan tidak dikehendaki seperti jerawat, sista ovari dan kesakitan pada payu dara, mengurangkan risiko barah ovari serta endometriosis.
Bagi yang ingin menjarakkan kehamilan selain perancangan kehamilan yang dinyatakan di atas, kaedah lain boleh digunakan ialah pemakaian alat intrauterin (IUD), implan atau pun suntikan. Kaedah perancangan keluarga menggunakan IUD dikatakan, berkesan 98 sehingga 99 peratus bagi mengelakkan kehamilan.
Pemakaian alat pencegahan kehamilan IUD juga lebih mudah dan boleh bertahan antara tiga hingga lima tahun berbanding pengambilan pil perancang yang mesti diambil setiap hari. Malah, sering terjadi wanita yang sibuk dengan rutin harian selalu terlupa untuk mengambil pil berkenaan.
Bagaimanapun, IUD mempunyai beberapa kelemahan termasuk, menyebabkan pendarahan haid yang banyak dan panjang serta boleh menyebabkan jangkitan.
Pemakaian IUS
Dr Premitha berkata, pasangan yang sudah mempunyai dua atau tiga anak bolehlah memikirkan untuk mengamalkan pencegahan kehamilan jangka panjang. Ini termasuklah, pemakaian Intrauterine System (IUS) yang mempunyai kelebihan berbanding IUD kerana penggunanya akan mengalami haid yang sedikit dan tempohnya lebih pendek di samping, berkesan 99.8 peratus mencegah kehamilan.
Begitu juga penanaman implanon yang boleh bertahan tiga tahun dan baik untuk wanita yang menyusukan badan. Tetapi implanon sering kali dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan perubahan mood.
.
FAKTA:
Perangkaan kehamilan bagi Asia/Pasifik
No comments:
Post a Comment