Tuesday, January 8, 2013

JERAT MISKIN BANDAR

Berita Harian, 2012/02/03

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Jerat miskin bandar

Sikap belanja melebihi pendapatan, gagal urus keutamaan jadikan warga merempat
 

HIDUP di bandaraya, khususnya Kuala Lumpur jika hanya bergaji RM2,000 sebulan untuk menanggung keluarga dan perbelanjaan lain, sememangnya tidak cukup, silap-silap terpaksa ikat perut terutama mereka ada anak ramai.

Malah, setiap bulan, ramai warga kota akan berkerut dahi dan menghela nafas panjang apabila gaji bulanan, mengalir keluar macam air saja selepas ditolak pelbagai perbelanjaan asas, yang tinggal cuma sejumlah kecil untuk digunakan sehingga bulan akan datang. Begitulah putaran dilalui setiap bulan oleh sebilangan warga kota.

Mungkin sebab itu kebanyakan warga kota keluar mencari rezeki, usai subuh dan kembali ke rumah hanya selepas Maghrib. Ada segelintir pula yang terpaksa kerja lebih masa untuk menambah pendapatan hingga ke larut malam. Realitinya, walaupun gigih mencari rezeki siang dan malam, masih ramai warga kota masih dibelenggu kemiskinan.

Sebab kemiskinan

Beberapa ahli sosiologi berpendapat, antara faktor kemiskinan bandar kerana golongan ini tidak sanggup atau tidak berupaya merebut segala peluang ekonomi disediakan kerajaan. Faktor lain, ada semata-mata berserah kepada nasib dan takdir, di samping institusi keluarga tidak stabil dan rapuh.

Isu kemiskinan bandar juga sering dihubungkan dengan produktiviti ekonomi yang rendah, pendapatan isi rumah kurang dan kesukaran mendapatkan kesampaian kepada kemudahan serta peluang ekonomi.

Presiden Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia, Dr Jariah Masud, berkata walau apa pun pendapat diberikan, isu kemiskinan bandar bersifat kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi berbeza.

Jariah berkata, banyak faktor berinteraksi secara dinamik, menyumbang ke arah senario itu dan ia membabitkan semua kaum di Malaysia serta memerlukan sokongan dan pembabitan keseluruhan sistem dalam negara ini bagi mengubahnya.

Katanya, kenaikan kos hidup memang berlaku tetapi harus ingat tempiasnya lebih dirasakan golongan miskin berbanding orang kaya atau berpendapatan tinggi. Apatah lagi di bandar besar. Justeru, sesuatu harus dilakukan, sekali pun tidak secara total ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah keluarga miskin di bandar. Ironinya, isu ini juga perlu dilihat dalam skop lebih luas merentasi masalah sosial semata-mata kerana tanggungjawab bukan hanya disandarkan pada kerajaan tetapi semua termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan individu.


Definisi miskin bandar

“Definisi kemiskinan di bandar, mengikut konsep relatif ialah isi rumah yang berpendapatan RM3,000 sebulan. 

"Kajian pernah dilakukan mendapati, perbelanjaan isi rumah keluarga di bandar sebulan ialah RM2,465, berbanding luar bandar hanya RM1,599. Ini mengambil kira isi rumah merangkumi suami isteri dan tiga anak. Lazimnya, bagi keluarga miskin jumlah anak lebih daripada jumlah itu,” katanya.

Jariah berkata, pendapatan isi rumah keluarga di bandar rendah tidaklah menghairankan kerana berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh 2010, kadar penyertaan tenaga buruh bekerja di bandar dengan jumlah paling tinggi ialah mereka yang berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu 39 peratus. Berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), 13 peratus manakala peringkat ijazah hanya 12 peratus.

Katanya, dengan tahap pendidikan SPM dan PMR sudah tentu gaji bulanan diterima tidaklah tinggi berbanding mereka memiliki ijazah, kecuali yang bekerja sendiri.

Bagaimanapun Jariah berkata, gaya hidup individu berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan juga menyumbang kepada penentuan ukuran tahap kemiskinan berkenaan.

Tambahnya, berbelanja sepatutnya mengikut keutamaan dan keperluan, namun apa yang berlaku pada hari ini, semua perkara dilihat keperluan, lantaran keperluan itu akan cuba dipenuhi walaupun hakikinya ia tidak diperlukan sama sekali.

Jariah berkata, contohnya apabila ada keinginan mahu minum kopi. Bancuh sendiri di rumah lebih menjimatkan tetapi jika ingin beli dan dapatkan yang murah, mungkin boleh minum di warung. Persoalannya, mengapa pergi ke kafe kopi mewah walaupun sudah tahu pendapatan cukup.

Apa keperluan asas

“Kita sebagai pengguna sewajarnya perlu seimbangkan perbelanjaan dan pendapatan yang diperoleh. Kena tahu apa itu keperluan asas. Oleh itu pengguna perlu lebih berpengetahuan dan ada kemahiran membuat keputusan untuk diri sendiri.

Jangan berbelanja ikutkan nafsu, perasaan atau terikut-ikut gaya orang lain. Hakikatnya kita selalu jadi tidak rasional,” katanya turut menegaskan ada segelintir yang tidak tahu dan pasti arah tuju kehidupan sendiri.

Jariah berkata, umumnya kemiskinan di bandar boleh dilihat berlaku kerana tiada duit atau pendapatan rendah, tiada jaringan sosial dan perkhidmatan sosial yang murah berbanding kehidupan di luar bandar.

Tegasnya, kehidupan di bandar semuanya perlukan duit dan membabitkan kos tinggi, termasuklah menguruskan anak dan beriadah berbanding, kehidupan di luar bandar selain kos hidup lebih rendah, mereka ada alternatif untuk menambah pendapatan selain bergantung sepenuhnya dengan hasil wang gaji bulanan.

“Di luar bandar, boleh manfaatkan tanah untuk bercucuk tanam secara kecil-kecilan yang boleh menampung keperluan harian dan selebihnya dijual. Ini membantu menjimatkan perbelanjaan dapur mereka.

“Lebih menarik, komuniti atau jalinan kejiranan di luar bandar lebih erat dan ini memberikan kebaikan.M isalnya, jika ibu bapa bekerja, jiran boleh memerhatikan anak dan tidak perlu hantar ke tempat pusat jagaan berbayar. Berbeza di bandar semuanya berasaskan perniagaan dan perlu dibayar.

Tiga waris kemiskinan

WARGA tua, remaja dan kanak-kanak adalah tiga golongan yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa dalam rangka perancangan membasmi kemiskinan di bandar bagi meningkatkan keseimbangan dalam kehidupan.

Jariah berkata, warga tua yang tinggal di bandar terutama yang hidup sebatang kara dan tiada punca pendapatan perlu dilihat serius untuk mengelak kemelaratan.

“Hidup mereka yang hidup bersendirian dan dalam usia semakin lanjut amat menyedihkan. Golongan warga tua berkenaan termasuklah yang datang berhijrah dari luar bandar ketika muda untuk mencari rezeki di bandar.

“Ada yang berjaya mengubah nasib tetapi tidak semua dan golongan inilah dibimbangkan. Golongan ini kebanyakan duduk di flet dan pangsapuri. Apabila sudah tua dan tidak sihat, langsung tidak keluar rumah dan kehidupan makin terpinggir. Hal ini perlu dipandang serius kerana dianggarkan, 70 peratus penduduk Malaysia di bandar adalah warga tua, menjelang 2020,” katanya.


Tumpuan

Kebimbangan lain diluahkan Jariah ialah kemungkinan anak di bandar akan mewarisi kemiskinan keluarga. Ini tidak mustahil berlaku kerana kemiskinan juga menyebabkan timbul pelbagai kancah sosial termasuk terjebak dengan dadah dan keciciran pelajaran.

Katanya, tumpuan perlu diberikan kepada golongan itu dengan memberi peluang lebih luas mereka memasuki sekolah berasrama penuh bagi menjamin pendidikan lebih cemerlang.

“Kelompok ini adalah generasi pewaris bangsa selain mengelak kitaran kelurga miskin yang berterusan pada masa depan,” katanya.

Justeru, Jariah berkata, penggembelengan komuniti di bandar perlu diperkuatkan supaya wujudnya sikap ambil tahu sesama ahli untuk mengesan masalah bermula di peringkat awal lagi.

“Contohnya, jika remaja itu tercicir sekolah, pemimpin dalam komuniti itu perlu ambil tahu dan tanya mengapa keadaan itu boleh berlaku. Ini bukan soal jaga tepi kain tetapi kita mahu membentuk masyarakat yang membangun dan berpendidikan, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat menengah. Segala masalah perlu dikenal pasti,” katanya.

INFO: 

Langkah atasi kemiskinan di bandar



  • Kerajaan perlu sediakan lebih banyak perkhidmatan sosial seperti pusat pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak untuk golongan berpendapatan rendah.
  • Pemimpin komuniti di bandar perlu lebih pro-aktif mengeratkan jalinan hubungan komuniti supaya memudahkan maklumat dan peluang mengenai ekonomi dapat disalurkan.
  • NGO dan swasta perlu membantu kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi kepada keluarga miskin di bandar.
  • Wujudkan Pegawai Pengembangan Masyarakat di kawasan bandar seperti yang pernah diwujudkan di kawasan luar bandar.
  • Agensi kerajaan perlu perkenalkan program khusus untuk keluarga miskin di bandar contohnya, Amanah Ikhtiar Malaysia yang memberikan peluang pinjaman.
  • Golongan berpendapatan rendah serta sederhana perlu seimbangkan antara pendapatan dan perbelanjaan mengikut keperluan.
  • Tukar sikap, jangan malas berusaha serta selesa dengan kehidupan miskin dilalui. Perlu berpegang dengan falsafah, esok mesti lebih baik daripada hari ini dan semalam serta letakkan sasaran - apa yang diinginkan dan dimahukan
  • No comments:

    Post a Comment

    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...