Tuesday, January 1, 2013

Peranakan jatuh

 

Berita Harian, 13 Januari, 2011 

Oleh Nor Affizar Ibrahim 

Peranakan jatuh 

Sering dialami wanita melahirkan anak besar



PERANAKAN jatuh! Bagi kebanyakan wanita, berdepan dengan masalah itu mungkin boleh menimbulkan pelbagai perasaan termasuklah takut, risau atau mungkin tertanya-tanya kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Perasaan itu boleh jadi juga semakin bercelaru apabila mendengar beberapa cerita atau melalui sendiri pengalaman tidak menyenangkan, sehingga boleh menambahkan lagi kebimbangan dan rasa takut. Antaranya ada yang mendakwa, sentiasa rasa kembang pada bahagian pintu faraj, vagina terasa pedih dan tidak selesa, malah ada yang berdepan dengan masalah hubungan seks dengan pasangan menjadi tidak selesa.

Perunding Jabatan Obstetik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nur Azurah Abdul Ghani, berkata peranakan jatuh yang lebih dikenali sebagai prolaps uterus (UV prolapse) atau rahim turun, boleh berlaku jika ada kelemahan pada otot pelvik yang menampung kedudukan rahim atau jika ada tekanan tinggi dalam abdomen yang boleh menyebabkan rahim turun atau berada di luar lubang faraj.

Dr Nur Azurah berkata, masalah peranakan jatuh boleh diklasifikasikan kepada tiga peringkat yakni bergantung kepada kedudukan rahim wanita terbabit.

Tahap rahim jatuh
 

Menjelaskan lanjut, katanya, Tahap 1 (1° UV prolapse) berlaku apabila rahim turun daripada kedudukan asal tetapi masih berada di dalam lubang faraj manakala Tahap 2 (2° UV prolapse) berlaku apabila sebahagian rahim sudah keluar dari lubang faraj.

“Tahap 3 (3° UV prolapse) pula dikenal pasti apabila seluruh rahim berada di luar faraj. Apa pun, masalah peranakan jatuh selalunya dialami oleh wanita yang sudah melahirkan anak, terutama mereka yang melahirkan anak yang besar atau melahirkan bayi secara instrumental (forceps/ vacuum). 

Tetapi ia juga boleh berlaku kepada wanita yang mempunyai anak ramai. Semua keadaan itu boleh menyebabkan kelemahan pada otot pelvik.

“Bagaimanapun, masalah peranakan jatuh juga sering dilihat kepada wanita menopaus. Ini disebabkan oleh kekurangan hormon estrogen dalam badan mereka, sekali gus menyebabkan kurang keanjalan pada otot dan ligamen pelvik mereka,” katanya.

Dr Nur Azurah berkata, masalah peranakan jatuh jarang sekali berlaku kepada remaja perempuan atau wanita yang belum melahirkan anak. Namun, ia masih boleh berlaku sekiranya golongan ini mempunyai masalah perubatan seperti sindrom Marfan atau Ehlers Danlos.


 Ini kerana mereka yang menghidap penyakit itu mempunyai otot kurang anjal menyebabkan kurangnya sokongan pada kedudukan rahim. Namun, hanya segelintir kecil saja yang menghidap penyakit berkenaan.

Beliau menambah, wanita lain berisiko tinggi untuk berhadapan dengan masalah peranakan jatuh adalah mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, berdepan masalah batuk atau sembelit kronik atau ada ketumbuhan besar dalam abdomen dan tidak terkecuali wanita yang sering melakukan kerja berat (mengangkat benda berat).


Tanda-tanda gejala

“Kebanyakan wanita tidak sedar mereka mengalami masalah peranakan jatuh, apatah lagi jika ia hanya tahap 1 (1° UV prolapse) yang kebiasaannya tidak mempunyai apa-apa gejala. Keadaan ini pada kebiasaannya tidak mendatangkan sebarang masalah pada wanita terbabit. Masalah peranakan jatuh hanya disedari apabila mereka jumpa doktor untuk pemeriksaan lain seperti pap smear.

“Wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh Tahap 2 atau 3 (2°/3° UV prolapse) mungkin akan berasakan hubungan seks akan menjadi tidak selesa. Mereka juga mengalami luka (ulser) pada permukaan rahim yang jatuh disebabkan ketiadaan sistem pengaliran darah efektif atau disebabkan geseran pada permukaan rahim,” jelasnya.

Dr Nur Azurah berkata, bagi wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh Tahap 2 atau 3 (2°/3° UV prolapse), selain dapat melihat sendiri bonjolan yang keluar dari lubang faraj, mereka juga sering memberi gambaran seperti sesuatu turun ke bawah atau berasa ngilu pada bahagian kelamin.

Bonjolan yang terkeluar dari lubang faraj kadang-kadang mengganggu ketika mengadakan hubungan seksual dengan pasangan. Sering kali juga wanita terbabit mengadu sakit belakang.

“Masalah peranakan jatuh sering kali berkait rapat dengan kejatuhan dinding faraj. Ini menyebabkan kejatuhan pundi kencing (yang berada di dinding depan faraj) dan usus dubur (yang berada di dinding belakang faraj).

 Keadaan ini boleh menyebabkan wanita itu menghadapi kesukaran atau merasa tidak puas ketika membuang air kecil atau air besar. Adakalanya, mereka perlu menolak bonjolan yang terkeluar masuk balik ke dalam faraj sebelum dapat membuang air kecil atau air besar,” katanya.

Mengenai kaedah rawatan perubatan Melayu bagi menangani masalah rahim jatuh dirawat menggunakan kaedah mengurut atau bersengkak, Dr Nur Azurah berpendapat amalan itu sudah menjadi lumrah di kalangan masyarakat Melayu selepas wanita bersalin. Ini berikutan, menurut pendapat orang dulu amalan itu boleh membantu dalam menaikkan peranakan yang telah turun selepas bersalin.

Bagaimanapun, Dr Nur Azurah berkata, setakat ini tiada kajian yang dapat membuktikan keberkesanan amalan berkenaan. 

Jika dikaji, kaum lain seperti Cina dan India tidak mengamalkan bersengkak, namun jumlah mereka yang mengalami masalah peranakan jatuh adalah lebih kurang sama dengan kaum Melayu.

“Secara tidak langsung, ini menunjukkan yang amalan itu mungkin tidak berperanan penting dalam menghindar masalah peranakan jatuh. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa mengurut secara amnya dapat memberikan ketenangan minda dan keselesaan tubuh pada wanita,” ujarnya.

Begitu juga dengan amalan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti jamu yang didakwa boleh ‘menaikkan’ rahim, Dr Nur Azurah menegaskan, setakat ini tiada bukti sahih yang dapat menyokong fakta itu, sebaliknya menurut kajian perubatan, rahim akan mengecut dan kembali ke kedudukan asal dalam tempoh enam minggu selepas bersalin.

“Sama ada pengambilan jamu membantu dalam proses menaikkan rahim masih tidak dapat ditentukan. Tetapi sapuan krim estrogen pada faraj wanita menopaus dikatakan, mungkin mampu menguatkan otot pelvik. Namun, penggunaannya dalam merawat masalah peranakan jatuh masih tidak dapat dibuktikan secara kajian,” tegasnya.

Dr Nur Azurah berkata, wanita yang mempunyai masalah peranakan jatuh 1° UV prolapse biasanya tidak memerlukan sebarang rawatan. Tetapi mereka digalakkan mengamalkan senaman pelvik (Kegel exercise). Senaman itu dapat membantu menguatkan otot pelvik dan menghindar dari masalah peranakan jatuh.

Bagi yang bermasalah peranakan jatuh 2° atau 3° UV prolapse, rawatan diberi bergantung beberapa faktor seperti usia, gejala yang dihadapi oleh mereka, keinginan untuk mengandung, keperluan seksual, tahap kesihatan serta impak kepada kualiti hidup mereka.

Wanita yang masih muda dan inginkan anak atau mereka yang sudah menopaus tetapi memilih untuk tidak menjalani pembedahan, gegelang digunakan untuk menyengkak peranakan supaya ia tidak jatuh ke dalam faraj. Ada pelbagai saiz gegelang, perlu dipakai setiap hari dan dicuci setiap tiga hingga empat bulan sekali.

“Bagi mereka yang sudah menopaus dan mempunyai tahap kesihatan yang bagus, pembedahan histerektomi (buang rahim) adalah pilihan yang terbaik. Pada masa sama, pembedahan pada dinding depan dan belakang faraj boleh dilakukan serentak jika perlu. Wanita yang sudah menopaus tetapi tidak mempunyai tahap kesihatan yang bagus, tidak sesuai menggunakan gegelang serta tiada keperluan seksual, pembedahan kecil boleh dilakukan dengan menjahit kedua-dua bibir faraj untuk menghalang peranakan turun. Hanya lubang kecil dibiarkan untuk membolehkan mereka membuang air kecil,” jelasnya mengenai beberapa pilihan kaedah rawatan boleh dibuat bagi menangani masalah peranakan jatuh.

Dr Nur Azurah berkata, antara kes pesakit yang berdepan masalah peranakan jatuh dan pernah dirawatnya ialah wanita berusia 61 tahun dan sudah menopaus sejak lapan tahun serta mengidap darah tinggi yang terkawal.

Wanita itu mengadu, ada bonjolan yang keluar dari faraj. Bonjolan itu akan lebih kelihatan semasanya berdiri atau membuang air besar. Bonjolan itu boleh dimasukkan semula jika dirinya berbaring.

“Pesakit itu juga mengadu sakit belakang. Bonjolan itu menyukarkan pergerakannya dan membuatkannya berasa amat tidak selesa. Pemeriksaan menunjukkan, wanita itu menghadapi masalah peranakan jatuh Tahap 2. Wanita itu memilih untuk menjalani pembedahan manakala pemeriksaan lanjutan juga menunjukkannya sihat menjalani pembedahan.

Kaedah rawatan

“Pembedahan histerektomi dijalankan ke atas wanita terbabit tanpa sebarang komplikasi. Pesakit itu dibenarkan pulang tiga hari selepas pembedahan dijalankan.
  Semasa rawatan susulan iaitu dua bulan selepas pembedahan, wanita itu datang bersama anak perempuannya dan kelihatan ceria serta tidak mengadu sebarang masalah,” katanya turut menasihatkan wanita segera berjumpa doktor dan jangan ragu-ragu membuat rawatan jika ada masalah.

Untuk mengelakkan masalah peranakan jatuh berlaku, Dr Nur Azurah menyarankan wanita mengamalkan cara hidup yang sihat dengan memastikan mereka mempunyai berat badan yang ideal, tidak merokok untuk menghindar dari batuk kronik, memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang boleh mengelakkan dari sembelit serta merancang kehamilan supaya tidak terlalu rapat dan kerap menggunakan kaedah perancang keluarga yang efektif.

Katanya, wanita juga harus mengamalkan senaman pelvik sejak dari awal lagi untuk menguatkan otot pelvik mereka. Senaman itu tidak memerlukan kos yang tinggi dan boleh diamalkan dalam apa saja keadaan.

 

INFO:

 Fakta mengenai peranakan jatuh atau prolaps uterus (UV prolapse):



  • Prolapse berasal daripada perkataan Latin procidere yang bermaksud terjatuh atau terkeluar. Ia adalah masalah yang kerap dialami wanita terutama mereka yang pernah melahirkan anak.
  • PUV proplase boleh mengganggu hidup wanita terutama pada ambang menopaus. Kebanyakan UV prolapse tidak mempunyai gejala dan sukar dikesan terutama pada wanita yang mempunyai ramai anak.
  • Dianggarkan hanya 10 hingga 20 peratus wanita yang mengalami UV prolapse mempunyai gejala. Umur juga mempengaruhi UV prolapse dan lebih separuh kes berlaku pada wanita berusia melebihi 60 tahun.
  • UV proplapse membabitkan pelbagai organ dan struktur. Amat kecil kes yang hanya membabitkan satu bahagian di pelvis.
  • Oleh kerana UV prolapse kerap berlaku pada wanita yang berumur dan mempunyai ramai anak, kebanyakan UV prolapse tidak dapat dikesan kerana tidak mempunyai tanda. Hanya sebahagian kecil yang mempunyai gejala.
  • Majoriti wanita yang mempunyai gejala akan berasa sesuatu benda keluar dari faraj. Benda atau bengkak lebih terasa dan boleh dilihat pada waktu petang apabila wanita melakukan kerja berat pada siang hari. Bengkak itu hilang jika mereka baring atau pada waktu pagi selepas tidur. Adakalanya mereka sakit pinggang belakang.
  • Bagi kes serius, UV prolapse dapat dilihat ketika buang air besar dan kecil. Bagi masalah lebih serius dan kronik, kulit faraj berkudis disebabkan geseran pada pakaian dalam.
  • Ada antara pesakit kerap kencing dan terkencing ketika ketawa, berjalan atau melompat. Berikutan air kencing yang selalu terperangkap, mereka mudah terkena jangkitan kuman pundi kencing dan kadangkala boleh membabitkan buah pinggang.
  • Walaupun diagnosa UV prolapse mudah dilakukan tanpa bantuan makmal, ada beberapa ujian yang perlu dilakukan untuk mengesan komplikasi UV prolapse.
  • Senaman kemutan juga membantu melambatkan atau mengelakkan UV prolapse menjadi lebih teruk, tetapi ia tidak mengubati atau memulihkan UV prolapse yang sudah berlaku.

    Wanita yang berisiko mengalami masalah peranakan jatuh atau prolaps uterus (UV prolapse):

  • Wanita yang sudah menopaus
  • Wanita yang sudah melahirkan anak, terutama mereka yang melahirkan anak yang besar atau pun melahirkan bayi secara instrumental (forceps/ vacuum).
  • Wanita anak ramai.
  • Wanita ada masalah perubatan seperti sindrom Marfan atau Ehlers Danlos kerana mereka yang menghidap penyakit itu mempunyai otot kurang anjal menyebabkan kurangnya sokongan pada kedudukan rahim.
  • Wanita berat badan berlebihan.
  • Wanita berdepan masalah batuk atau sembelit kronik atau ada ketumbuhan besar dalam abdomen.
  • Wanita sering melakukan kerja berat (mengangkat benda berat).
  • 1 comment:

    1. Docter sya nak tnya . Sy baru berkahwin 3 bulan sy berkerja saya tak tahu peranakkan saya jatuh . Saya tak datang haid 1 bulan rasa sakit pada ari2 dan pinggang belakang . Kmudian sy mngurut dan lepas ngurut haid saya jdi tak teratur dan datang haid hanya 1 hari . Saya risau adakah normal atau saya ad penyakit lain?

      ReplyDelete

    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...