Monday, December 31, 2012

Awas suri rumah!



 Berita Harian, 8 Disember 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim

Awas suri rumah!

HIV bukan `milik mutlak’ pekerja seks dan penagih dadah

AMAT membimbangkan apabila didapati kira-kira 10 rakyat Malaysia dikesan HIV positif setiap hari dengan suri rumah terutama Melayu berisiko lebih lima kali ganda dijangkiti Human Immunoidifiey Virus (HIV) akibat hubungan seksual berbanding pekerja seks yang mengamalkan seks selamat sepanjang masa bertugas.

Berdasarkan statistik Unit Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan pada 1986 hingga 2010, sebanyak 91,362 rakyat Malaysia dijangkiti HIV dengan 3,291 orang daripadanya adalah suri rumah berbanding 593 pekerja seks.
Statistik menunjukkan selain suri rumah, jangkitan HIV turut membabitkan seramai 312 pelajar, pekerja industri (6,4048) dan sektor swasta (1,500). Mengikut pecahan kaum pula, seramai 65,235 daripada keseluruhan pesakit HIV berbangsa Melayu, diikuti Cina (13,283) dan India (7,190).

Apa pun, peningkatan jumlah suri rumah mengidap HIV sejak dua tahun kebelakangan ini, berbanding pekerja seks dan pengguna dadah ternyata meresahkan banyak pihak.


Lebih ramai suri rumah dijangkiti HIV

WANITA tidak mampu berbincang dengan suami untuk mengamalkan seks selamat, termasuk meminta suami menggunakan kondom selain takut bertegas atau dikasari jika melakukan hubungan tanpa penetrasi dikatakan antara sebab mengapa kes HIV meningkat di kalangan suri rumah.

Selain itu, sikap terlalu percayakan pasangan, selesa dengan maklumat kesihatan diri suami sebelum ini, di samping tiada pilihan serta takut didera secara fizikal dan emosi apabila mempersoalkan status kesihatan suami menyebabkan wanita mengambil sikap berdiam diri sedangkan menyedari, dirinya berisiko tinggi dijangkiti HIV menerusi hubungan kelamin.

Lebih membimbangkan apabila Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun lalu, melaporkan jumlah pesakit HIV di seluruh dunia kini dianggarkan seramai 34 juta orang dengan 1.8 juta kematian setiap tahun dan kira-kira 7,000 jangkitan baru dikesan setiap hari.

Justeru, bagi menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai HIV dan AIDS, Majlis Aids Malaysia (MAM) melalui perancangan program tahunan berstruktur dengan matlamat bagi mengurangkan pendedahan HIV bagi kumpulan sasaran, mengadakan pelbagai program pencegahan, penjagaan serta sokongan.

Ini termasuklah menyertai Karnival Kesihatan anjuran Sekretariat Kebajikan Pergerakan Wanita UMNO, setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara.

Eksekutif Bahagian Latihan Majlis HIV dan Aids Malaysia, Raffie Jaafar, berkata Karnival Kesihatan itu adalah landasan baik untuk menyebar dan menyampaikan maklumat, khususnya kepada wanita, lebih-lebih lagi dengan peningkatan kes jangkitan HIV kepada suri rumah pada masa kini.

“Jika dulu, kita sering dengar jangkitan HIV di kalangan wanita adalah mereka yang bekerja sebagai pekerja seks dan pengguna dadah tetapi sejak dua tahun lalu, kes suri rumah dijangkiti penyakit berjangkit itu didapati terus meningkat sedangkan, jumlah kes jangkitan HIV di kalangan pekerja seks dan pengguna dadah menurun sebanyak 25 peratus,” katanya ketika ditemui di PWTC, baru-baru ini.

Raffie berkata, kehadiran ramai perwakilan dan pemerhati Wanita UMNO dari seluruh negara. termasuk dari luar bandar ke perhimpunan itu, secara tidak langsung membolehkan usaha menyebarkan maklumat mengenai HIV dan Aids menjadi lebih mudah dan meluas serta merangkumi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Penyebaran maklumat kepada semua adalah penting kerana sambutan hari Aids Sedunia 2011 yang disambut pada 1 Disember tahun ini bertemakan, Menuju Sifar. Jadi, besarlah harapan kami supaya tema itu dapat direalisasikan melalui usaha giat penyebaran dan penyampaian maklumat dilakukan kakitangan dan juga sukarelawan MAM.

“Tahun ini, MAM berganding bahu dengan Yayasan Aids Malaysia, yang membawa pelbagai produk seperti kemeja-T, topi dan payung bagi jualan amal untuk mengumpul dana tabungan membantu pesakit HIV dan Aids,” katanya.

Lebih menarik, sepanjang karnival berlangsung dari 29 November hingga 3 Disember lalu, kelibat sukarelawan muda semakin ramai kelihatan menjayakan kempen.

Penyertaan mereka memberikan mesej tersendiri dan bersesuaian dengan hasrat MAM yang ingin menggalakkan lebih ramai penyertaan orang muda dalam kempen bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai HIV dan Aids di negara ini.

Apatah lagi di Malaysia, lebih 50 peratus daripada mereka yang HIV positif berusia bawah 30 tahun.

Harus juga ingat, sebahagian daripada usaha untuk membanteras HIV dan Aids mestilah meliputi perubahan sikap dan tingkah laku lelaki muda khususnya dari aspek cara mereka mempertimbangkan risiko dan cara pergaulan untuk menjadi lelaki dewasa.

Nurhilmi Nurdin, 24, dari Pahang, yang baru habis pengajian dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata penyertaannya sebagai sukarelawan dengan MAM, dilihat sebagai satu tanggungjawab perlu yang ditunaikan.

“Selain ingin mencari duit poket, menambah ilmu dan pengalaman, saya ingin berkongsi pengetahuan apa yang saya tahu mengenai HIV dan Aids. Saya juga ingin menukar tanggapan masyarakat supaya jangan mendiskriminasi dan prejudis kepada mereka yang menghidap penyakit itu,” katanya.

Bakal pendidik, Rosidi Marzuki, 23, yang kini menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas di Cheras berpendapat, peranan orang muda adalah penting dalam sama-sama menjayakan kempen seumpama itu.

“Sebagai bakal guru, saya lihat pengalaman menjadi sukarelawan dalam MAM amat penting sebagai persediaan untuk mendidik anak murid kelak. Oleh itu, saya tidak kisah turun padang dan menerangkan apa saja berkaitan mengenai HIV dan Aids kepada orang ramai.

“Sepanjang menjadi sukarelawan, saya dapati orang muda lebih senang berkomunikasi atau meluahkan masalahnya kepada orang muda dan ini memudahkan maklumat disampaikan kepada kumpulan sasar,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rosidi yang berasal dari Mukah, Sarawak tidak menafikan ada cabaran apabila menyampaikan maklumat mengenai penyakit itu apabila berdepan dengan individu yang jarak usia lebih daripadanya.

Bercakap dengan orang muda kita mungkin lebih terbuka tetapi dengan individu yang jarak usianya jauh beza, saya perlu lebih bijak. Lebih-lebih lagi saya masih bujang dan apabila bercakap mengenai hubungan seks dan sebagainya dengan orang sudah berkahwin, tentu ada kesangsiannya terhadap saya.

“Berdepan dengan situasi ini, kita perlu lebih bersikap terbuka dan tidak wajar bersikap berselindung memberikan serta menjelaskan fakta,” ujarnya.

Sementara itu, penuntut jurusan Pengurusan Kesihatan di Universiti Kolej MasterSkill di Ulu Langat, Selangor, Haszuril Morhsidi, 22, berkata pengalaman dan ilmu yang ditimba menjadi sukarelawan bukan saja bersesuaian dengan apa yang dipelajari tetapi turut memberi keseronokan dapat berkongsi pengetahuan dengan orang ramai.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya, stigma negatif orang ramai terhadap pesakit HIV adalah masalah utama dan ia, jika tidak diperbetulkan boleh ‘membunuh’ pesakit berkenaan.

“Yang membunuh pesakit ialah stigma masyarakat yang memandang hina dan benci kepada mereka. Saya berasa perkara itu tidak patut berlaku kerana sesiapa saja boleh menjadi mangsa.

“Oleh itu, adalah penting untuk saya dan sukarelawan lain menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai supaya sokongan dapat diberikan kepada mangsa HIV,” katanya sambil berharap lebih ramai anak muda menjadi sukarelawan kempen seumpama itu.

INFO:

Objektif Majlis Aids Malaysia

• Meningkatkan kesedaran HIV/Aids
• Mencegah penyebaran HIV
• Menghapuskan diskriminasi, stigma dan prejudis yang berkaitan dengan HIV/Aids
• Menggalakkan dan melindungi hak asasi mereka yang terjejas oleh HIV/Aids
• Memastikan kualiti kehidupan terbaik bagi mereka yang dijangkiti HIV/Aids
• Menyediakan penjagaan dan sokongan kepada individu yang dijangkiti HIV/Aids

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...