Monday, December 31, 2012

Hamil lewat usia

 Berita Harian, 3 Mac 2012

Hamil lewat usia

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2011/03/03

Walaupun berdepan risiko, masih ada yang mampu miliki zuriat

WALAUPUN ramai berpendapat usia 20-an dan awal 30-an adalah waktu paling ideal serta selamat bagi seorang wanita untuk hamil, tetapi aliran ketika ini menunjukkan semakin ramai wanita yang menuju usia matang tidak kisah untuk melalui detik kehamilan.

Meskipun sering mendengar risiko kehamilan oleh wanita usia 40-an, nampaknya peringatan itu makin kurang diberi perhatian kerana ada juga berpendapat, berapa pun usia menjangkau, wanita boleh hamil selagi tubuhnya sihat. Ada juga berpandangan, hamil pada usia muda tidak semestinya lebih baik kerana ada kala berlaku juga keadaan di luar jangkaan.

Justeru, ada yang tidak kisah untuk hamil dalam usia lewat walaupun kebanyakan rakan seusia dari awal-awal lagi sudah merancang `tutup kilang’ terutama apabila mencecah usia 35 tahun ke atas.

Walau apa pun keputusan dibuat, harus ingat, usia sememangnya boleh mempengaruhi kesuburan wanita. Apabila wanita sudah mencapai usia 30-an, mereka akan mengalami kekurangan tahap kesuburan. Apatah lagi, wanita yang sudah berusia 40-an.

Sebahagiannya mungkin disebabkan oleh kurangnya bilangan telur dan juga telur serta sperma yang kurang berkualiti. Malah, pada usia itu, kadar hubungan seks turut berkurangan selain pelbagai masalah kesihatan peranakan seperti endometriosis dan fibroid.

Perubatan moden memang boleh menolong wanita berusia lebih 35 tahun untuk menjalani kehamilan dengan selamat, namun, tidak harus lupa, komplikasi perubatan pada usia sebegini lebih tinggi berbanding wanita lebih muda.

Bagi Pengusaha Taska, Roslinda Othman, 47, kehamilan pada usia 40-an, lima tahun lalu sememangnya tidak pernah dirancang. Malah, baginya cukuplah dengan kehadiran empat anak dalam keluarga yang dibina sejak usianya 21 tahun.

Tetapi siapa sangka, meningkat usia 42 tahun, rupa-rupanya `ada lagi’ dan dalam perasaan terkejut serta gembira, Roslinda dan suami, Hassan Shariff, tidak menolak rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka.

“Kebetulan, jarak kelahiran usia semua anak kami agak jauh iaitu antara empat tahun dan lima tahun. Kerana itu, saya merancang untuk tidak bersalin lagi selepas mendapat anak keempat pada usia 37 tahun. Saya terfikir kalau hamil lagi, bermakna usia saya tentu sudah 40-an dan risikonya tentu ada.

“Namun, siapa sangka, tengok-tengok ada rezeki lagi,” kata Roslinda sambil tergelak kecil dan mengakui tidak pernah mengambil ubat perancang keluarga.

Menceritakan pengalaman hamil pada usia 40-an, Roslinda tidak menafikan ada rakan yang giat mengusiknya dan sedikit sebanyak timbul perasaan malu mengandung pada usia itu. Apatah lagi, ketika itu masih tidak ramai wanita yang mengandung pada usia demikian berbanding senario masa kini.

Mahu atau tidak, Roslinda perlu tahan dengan ejekan. Perasaan malu semakin meninggi apabila ada yang bertanya, tidak risau ke nanti kalau berjalan ada yang berkata anak bakal dilahirkan itu, cucu, terutama buat suami yang 15 tahun lebih tua.

Namun, Roslinda bersyukur, suami sedikit pun tidak kisah untuk menyambut `orang baru’ dalam keluarga dan sentiasa memberikan sokongan. Tambah pula, sepanjang kehamilan anak kelima itu, Roslinda mengalami alahan agak teruk sehingga tidak larat untuk memasak.

“Jika hendak dibandingkan dengan sebelum ini, alahan dialami sepanjang kehamilan anak bongsu memang lebih teruk. Kebanyakan kerja rumah diuruskan oleh suami tetapi saya tidak fikir ia disebabkan faktor usia 40-an ketika itu.

“Namun, saya akui mengandung pada usia 40-an lebih mudah dan cepat letih, kaki juga cepat membengkak. Jika sebelum ini, kaki mula membengkak apabila kandungan memasuki usia lapan bulan hingga sembilan bulan, tapi kali ini, baru enam bulan, bengkak sudah ketara.

“Begitu juga berat badan, bertambah lebih berat daripada 48 kilogram (kg) kepada 70 kg. Sebab itu, kandungan baru mencecah enam bulan, saya asyik terbaring saja dan badan pun sakit-sakit sehingga suami tidak benarkan saya bekerja,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan emosi ketika itu, lebih-lebih lagi menyedari risiko hamil dan bersalin pada usia 40-an, Roslinda memberitahu, setiap kali kehamilan dan bakal menyambut kelahiran perasaan trauma serta berdebar-debar sentiasa menyelubungi diri terutama selepas melahirkan anak pertama yang mengalami masalah sindrom down.

“Anak pertama sindrom down dan dilahirkan ketika saya baru berusia 22 tahun. Sejak kelahiran anak pertama, trauma sentiasa hadir dalam diri saya setiap kali mengetahui saya mengandung. Malah, saya ingat lagi ketika mengandungkan anak kedua, saya terpaksa melalui pelbagai ujian dan pemeriksaan bagi memastikan anak yang dikandung tidak mengalami kecacatan.

“Saya benar-benar letih dan serik melalui semua itu menyebabkan untuk kehamilan anak ketiga dan seterusnya, saya tidak beritahu doktor keadaan anak sulung.

“Alhamdulillah, Allah itu maha kaya. Anak bongsu walaupun lahir pada usia saya 42 tahun, keadaannya sihat dan normal,” cerita Roslinda yang turut berbangga anak pertamanya boleh diharapkan membuat kerja rumah walaupun tergolong kanak-kanak istimewa.

Berkongsi pengalaman melahirkan anak bongsu, Siti Nor Afiqah, Roslinda berkata, kerana kandungannya besar dan lewat lima hari dari tarikh yang dijangkakan bersalin, beliau terpaksa melahirkan secara pembedahan. Siti Nor Afiqah dilahirkan dengan berat 3.9 kg berbanding kakak dan abangnya antara 2.6 kg dan 3.5 kg.

Apa pun, Roslinda tidak menafikan, mengandung pada usia 40-an, emosi dan mental perlu lebih kuat dan bagi umat Islam, digalakkan membaca al-Quran selalu perasaan sentiasa tenang.

“Jika ditakdirkan hamil pada usia yang sudah banyak, jangan fokuskan sangat tidak ada duit untuk masa depan anak itu. Insya-Allah, belanja dan rezeki itu kerja Allah tetapi kita juga kenalah berusaha,” katanya.

Sentiasa berfikiran positif

MASIH dalam berpantang, Maizatul Akmar Razali, 41, yang baru saja sebulan lebih menyambut kelahiran anak keenam, berasa gembira dan bersyukur kerana menimang seorang lagi cahaya mata, sekali pun usia meningkat serta sudah dikurniakan ahli keluarga agak besar.

Mempunyai anak masih kecil dan sedang membesar dari usia dua tahun hingga 13 tahun serta bersalin pada usia dikatakan berisiko untuk hamil, Maizatul berfikiran positif dan menganggap dikurniakan rahmat dan rezeki yang mungkin tidak semua orang boleh kecapi.

“Kehamilan anak bongsu kami memang tidak dirancang, malah sebelum itu, saya sedang berkira-kira mendapatkan nasihat doktor untuk mengambil kaedah perancangan keluarga yang sesuai. Tetapi dalam berura-ura itu, `tersangkut’ pula,” kata Maizatul sambil ketawa kecil.

Eksekutif di syarikat swasta itu mengakui, pada awalnya memang ada perasaan berbelah bagi dan takut terutama apabila memikirkan tahap kesihatannya. Tambah pula, diri belum bersedia kerana anak kelima baru saja berusia dua tahun.

Kebimbangan itu diluahkan pada doktor, tambah pula Maizatul pernah berhadapan masalah tiroid ketika hamil sebelum ini sehinggakan kandungannya gugur. Doktor meyakinkannya, dirinya sihat dan tiada masalah untuk mengandung lagi. Namun, kata doktor, kehamilan itu seharusnya yang terakhir bagi mengelak risiko berikutan faktor usia.

Dengan nasihat doktor dan sokongan suami, Nu’man Izzat Abdullah, semua perasaan negatif itu berjaya dibuang-buang jauh, malah sepanjang kehamilan, dia sentiasa ceria dan tidak berdepan masalah perubatan kronik.

Bagaimanapun, tidak dinafikan sepanjang kehamilan anak bongsu, Amma Hakem, Maizatul mengambil langkah berhati-hati, termasuk menjaga pemakanan dari awal kandungan hingga bersalin dan lebih kerap berjumpa doktor terutama apabila mempunyai masalah kesihatan.

“Mengandung pada usia 40-an, bukan saja cepat penat, tulang belakang juga selalu sakit dan lebih kerap. Pergerakan pun agak lambat, mungkin usia sudah meningkat. Bayangkanlah, rumah saya dua tingkat dan kerana tidak larat, saya pastikan naik atau turun sekali saja, lebih-lebih lagi ketika hampir hendak bersalin, memang tak terdaya,” katanya yang melahirkan anak secara normal.

Nasihat Maizatul, wanita berusia 40-an yang bercadang untuk hamil, perlu merancang dengan baik dan dapatkan nasihat serta pandangan doktor terlebih dulu. Sepanjang kehamilan pula, patuhi jadual rawatan kehamilan dan segera berjumpa doktor, jika ada sebarang masalah kesihatan.

INFO: Hamil lewat usia

  • Risiko untuk melahirkan anak cacat menjadi tinggi apabila usia semakin tua. Ini mungkin disebabkan ketidaknormalan pada telur disebabkan oleh kromosom yang tidak normal. Secara kasarnya, 1 dalam 1,400 bayi dilahirkan oleh wanita pada usia 20-an mengalami sindrom down dan kadar ini menjadi 1 dalam 100 apabila ibu mencecah 40-an.

  • Penyelidikan menunjukkan risiko keguguran adalah antara 12 peratus hingga 15 peratus bagi ibu berusia 20-an dan meningkat kepada 25 peratus pada wanita berusia 40-an. Kenaikan itu berlaku kerana meningkatnya kes kromosom tidak normal dan telur yang tidak berkualiti bagi wanita lebih berusia.

  • Wanita hamil usia lewat juga lebih terdedah kepada masalah perubatan kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Rawatan optimum sebelum hamil dan semasa hamil akan mengurangkan komplikasi penyakit ini.

  • Kejadian bayi meninggal dalam kandungan juga tinggi bagi wanita berusia 35 tahun ke atas. Wanita berusia juga lebih cenderung untuk melahirkan anak yang lebih kecil saiznya.

  • Kelahiran secara pembedahan juga tinggi terutamanya bagi yang hamil anak pertama di lewat usia.
  • No comments:

    Post a Comment

    BEBAN NAFKAH

    Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...