Saturday, December 8, 2012

MAT REMPIT

Berita Harian, 6 November 2006 

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Mat rempit lambang pemberontakan jiwa remaja

Keberanian mereka jadi pujaan gadis muda sehingga turut terbabit dalam gejala negatif

AKSI berbahaya dan menggerunkan! Kelakuan dan tindak tanduk mereka turut membuatkan ramai yang resah, termasuk orang ramai, polis dan ibu bapa. Sehinggakan ada yang melabelkan golongan ini sebagai kelompok tidak takut mati, tidak serik dan tidak pernah insaf.

Biar dikutuk dengan pelbagai kata yang tidak menyenangkan, penunggang motosikal yang digelar `mat rempit' terus gah menunggang melulu dan berbahaya sambil melakukan aksi ‘hebat’ seperti mengangkat tayar depan atau 'willie' dan ‘wikang’ serta menunggang ala-Superman.

Imej dan label mat rempit sudah cukup menerangkan betapa tidak semegahnya perangai anak muda yang membawa motosikal dengan pelbagai lagak ngeri dan mengancam nyawa, bukan saja pada dirinya bahkan orang ramai.

Kebanyakan melihat, apa saja perkara yang bersabit mat rempit tiada langsung baiknya. Semuanya buruk dan jahat serta tidak berfaedah.
 

Bagaimanapun, yang menghairankan di sebalik kata-kata dan cerita tidak sedap didengar itu, didapati ada gadis remaja menunjukkan minat dan keghairahan untuk berdamping dengan golongan mat rempit ini. Tanpa segan silu dan memikirkan risiko bahaya yang bakal dihadapi, ada di kalangan gadis ini suka dan merelakan diri menjadi pembonceng mat rempit serta sama-sama sanggup menempah maut.

Lebih menyedihkan, ada di antara gadis ini mudah sekali terperangkap menjadi ‘habuan’ mat rempit apabila diri mereka menjadi barang taruhan dalam sesuatu perlumbaan haram.
 

Lalu, tertanya-tanya dalam hati di manakah maruah dan harga diri gadis ini? Apakah gadis yang dianggap boleh berfikir secara matang ini tidak tahu untuk menilai baik buruk sesuatu perkara atau hilang pertimbangan dalam membuat keputusan.


Kenali Faktor


 

Pensyarah Psikologi Kaunseling Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata jika lelaki digelar mat rempit, gadis atau wanita yang membabitkan diri dalam kegiatan lumba haram atau berdampingan dengan kelompok itu pula lebih dikenali sebagai minah rempit.

Beliau berkata, pada dasarnya kebanyakan gadis yang terbabit dalam kegiatan ini adalah di kalangan remaja yang berada di Tingkatan Empat dan Lima, termasuk usia lingkungan itu yang tercicir persekolahan. Pelajar universiti mungkin terbabit, tetapi jumlahnya mungkin tidak banyak.

“Ada beberapa faktor yang menyebabkan minah rempit ini turut terjebak dengan aktiviti seumpama itu. Pertama, untuk memenuhi keperluan diri sendiri kerana ingin melarikan diri daripada kenyataan. Gadis itu mungkin tidak selesa berada di rumah atau berdepan dengan masalah lain. Contohnya, jika di rumah dia tertekan dan tidak senang hati kerana sentiasa dimarahi atau dileteri ibu serta bapa dan sebagainya.


“Kedua, faktor ruang dalam dunia mat rempit yang dianggap mencabar, memenuhi cita rasanya dan sebab itu gadis berkenaan memasuki kelompok ini bagi melarikan diri daripada kenyataan. Jika kegiatan mat rempit tidak menepati keperluan jiwanya, sudah tentu gadis berkenaan tidak mendekati, sebaliknya lebih baik dia senang duduk di rumah atau sekadar lepak di tempat tertentu,” katanya ketika menghuraikan mengapa gadis remaja turut terbabit dalam kancah dunia perlumbaan motosikal haram.


Dr Mohamed Fadzil berkata, golongan gadis seperti ini juga boleh dikategorikan golongan keempat dalam ciri yang dimiliki manusia ketika berusaha mengatasi masalah dan tekanan dihadapi.

Katanya, individu yang berada dalam kategori ini, lazimnya meluahkan perasaan melalui sikap dan tingkah laku memberontak serta tidak kisah jika dirinya turut binasa.

Berbanding kategori kedua dan ketiga yang tidak menunjukkan sikap begitu agresif serta sekurang-kurangnya masih ada pertimbangan, walaupun cara menangani masalah atau tekanan dihadapi bukan langkah tepat.

“Kategori empat paling bawah sekali dan boleh menghancurkan diri sendiri, manakala yang pertama adalah terbaik. Jika ada masalah, individu dalam kategori pertama boleh menerima secara terbuka dan mampu menghadapi serta menanganinya dengan tindakan positif.

“Berbeza dengan kategori keempat, tindakan diambil lebih melambangkan dirinya yang memberontak atau memprotes. Baginya apa hendak jadi, lantak lah dan padan muka emak serta ayah dan dirinya sendiri.

“Individu seperti ini turut tidak kisah apa akan berlaku dan sebab itulah soal maruah diri seperti kehilangan dara, melakukan seks bebas, ambil dadah atau risiko bakal ditanggungnya kelak tidak pernah dipertimbangkan. Yang penting aku dapat ikut aktiviti mencabar mat rempit,” katanya.


Beliau berkata, ketiadaan nilai diri, agama dan budaya pada gadis berkenaan menyebabkan beliau terus tenggelam, di samping sentiasa berada dalam kekeliruan. Walaupun tahu apa yang dibuatnya salah, individu sebegitu tidak dapat berfikir secara rasional. Kesedaran dalam diri begitu nipis dan sebenarnya gadis itu terperangkap dalam ‘alam tidak sedar’.

 

Tanggungjawab ibu bapa


Beliau berkata, gejala mat rempit yang membabitkan anak muda sama ada lelaki atau gadis secara keseluruhannya dikaitkan dengan faktor kekurangan nilai dalam diri sehingga gagal mencari peluang yang ada.

“Peranan ibu bapa penting. Sebagai orang tua, mesti tahu ke mana anak pergi dan dengan siapa anak berkawan. Bagaimanapun, apa yang berlaku hari ini ibu bapa semakin moden sehingga tidak kisah dengan tanggungjawabnya. Selain itu, ramai ibu berusia yang berhati muda dengan itu timbul lagi masalah lain. Bapa pula ada jenis yang tidak kisah. Itu yang menjadi bertambah sukar.

“Dalam rumah tangga pula, bagi wanita bebanannya lagi lebih kerana dia bukan saja kena jaga dirinya sendiri, tetapi suami dan anak. Terpaksa membuat pilihan dan ingin selamatkan perkahwinan, akhirnya keutamaan lebih diberikan kepada suami sehingga tanpa sedar, tumpuan pada anak yang perlukan perhatian diabaikan,” katanya.

Dr Mohamed Fadzil turut berpendapat, penggunaan motosikal yang semakin banyak dan dianggap semakin penting di Malaysia turut menyebabkan gejala ‘merempit’ di kalangan anak muda semakin menjadi-jadi.

Katanya, jika pada zamannya basikal menjadi kebanggaan anak muda untuk menunjukkan kehebatan dan lagak masing-masing, kini beralih kepada motosikal. Malangnya, ketiadaan pendidikan sosial pemanduan berhemah menyebabkan timbul gejala tidak sihat apabila menunggang motosikal.

INFO: Fitrah remaja


 -  Remaja perlukan idola untuk dijadikan contoh. Biasanya idola yang menjadi pilihan ialah individu yang rapat dengan dirinya, individu terkenal dan menjadi pujaan ramai serta orang dianggap hebat.
-  Krisis identiti dalam diri remaja menyebabkan ada yang keliru pada sendiri sebab itulah ketika dalam ‘fitrah mencari’ ada yang gagal, lebih-lebih lagi jika tiada sokongan daripada orang dewasa.
-  Dunia remaja sentiasa ingin berinteraksi dan jika tiada mereka cepat jemu. Untuk mengatasi masalah itulah biasanya remaja akan mencari sesuatu aktiviti yang boleh memenuhi jiwanya.
-  Remaja yang tiada bimbingan lazimnya, sering mengikut kata hati dan darah muda serta mudah terpengaruh.
-  Golongan remaja sukakan perhatian dan perangai menunjuk-nunjuk adalah naluri biasa remaja.


No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...