Wednesday, December 12, 2012

Tangkal awet muda

 29 September 2011. Khamis

Tangkal awet muda 

Oleh Nor Affizar Ibrahim



KHASIAT ulam tidak dapat dinafikan lagi, memberi banyak manfaat untuk kesihatan kerana mengandungi banyak bahan antioksi dan yang mampu menghalang tindakan radikal bebas, selain sering kali dikaitkan sebagai `tangkal' awet muda.
  
Justeru, tidak hairanlah jika amalan makan ulam menjadi budaya masyarakat negara ini terutama Melayu, sejak turun-temurun. Realitinya, apabila makan ulam, anda sebenarnya membuat pelaburan pada kesihatan dan melewatkan penuaan.
  
Ulam boleh dikategorikan sebagai sayur mentah seperti salad dan umumnya tidak mendatangkan keburukan sekiranya dimakan setiap hari kerana tidak mengandungi kalori seperti sesetengah makanan lain.
  

Makan mentah

Selain jenis sayur-sayuran, ulam juga boleh didapati dalam bentuk buah yang lazimnya, dimakan secara mentah atau dijadikan pelbagai resipi enak dan biasanya diambil dengan nasi.
  
Antara ulam yang suka dimakan seperti petai, jering dan pelbagai jenis pucuk seperti pucuk paku, pegaga, pucuk ubi, daun selom, ulam raja dan sayuran hijau lain.
 
Walaupun berkhasiat, pakar pemakanan tetap menasihatkan pengambilan ulam perlu berpada-pada kerana kebanyakan didapati mengandungi tahap kalium yang tinggi.
  
Kalium adalah sejenis mineral semula jadi dalam makanan dan berperanan penting bagi aktiviti normal untuk otot dan saraf terutama jantung.

Bagaimanapun, sesetengah individu, pengambilan kalium berlebihan boleh memudaratkan jika terlampau tinggi kandungan dalam darah.
  
Kandungan kalium dalam darah boleh memberi risiko khususnya kepada penghidap buah pinggang.
Jika buah pinggang rosak menyebabkan badan tidak berupaya mengeluarkan lebihan kalium melalui air kencing, lantas keadaan mudarat seperti hiperkalemia mudah terjadi.

  
Harus juga diingat, ulam yang dimakan dengan sambal belacan tidak digalakkan untuk diamalkan setiap hari dan berlebih-lebihan kerana ia (sambal belacan) mengandungi kandungan garam serta kolesterol yang tinggi.
  
Mengenali lebih dekat dan ketahui khasiat ulam, minggu ini Dapur RATU paparkan empat jenis ulam iaitu antara yang digemari masyarakat di negara ini.
  
Pegaga
  
  * Pegaga mudah didapati dan biasanya tumbuh melata di keliling rumah mempunyai pelbagai khasiat. Kaya vitamin dengan A dan C serta zat besi yang sering dijadikan sayur-sayuran `rasmi' untuk wanita ketika berpantang.
  
  * Selain dimakan mentah dan dicicah dengan sambal belacan, pegaga juga sedap dibuat kerabu yang dicampur dengan kelapa parut, ikan bilis, cili dan beberapa ramuan lain. Ada yang menjadikan sebagai sayur dalam masak lemak cili api.
  
  * Ulam ini juga membantu membangkitkan selera makan, meredakan masalah penghadaman seperti buasir, menyejukkan badan, mempercepatkan proses penyembuhan luka dan melancarkan aliran darah, terutama wanita yang ada masalah haid serta keputihan.
  
  * Biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Ada yang yakin ia mampu memanjangkan usia dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam makanan harian mereka.
  
  * Lebih menarik, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengiktiraf pegaga sebagai herba menjana kecerdasan berfikir terutama kanak-kanak.
  
  Selom
  
  * Selom boleh dijumpai hampir seluruh kawasan Asia, dari India dan Pakistan hinggalah ke Jepun, Taiwan dan China, malah merangkumi bahagian utara Australia. Selom tumbuh liar di kawasan paya, di tepi sungai dan di kawasan tanah lembap.
  
  * Batang selom berbuku dan mempunyai ruas yang jelas berongga. Selain didapati dalam warna hijau ia juga kadang-kadang kemerahan dan lazimnya, pucuk muda atau daun muda dan batang yang masih lembut sering dimakan sebagai ulam dan biasanya dimakan dengan udang kering atau sambal kelapa.
  
  * Ulam ini turut dikatakan mempunyai nilai perubatan dan kegunaannya tersendiri. Daun dan batang, misalnya didapati boleh meredakan penyakit dengan melumatkan kedua-duanya dan menyapu ia pada bisul, tempat yang terkena gigitan ular, kala jengking dan sebagainya.
  
  * Air rebusan selom pula diminum sebagai penawar demam selesema, susah buang air kecil dan buang air bercampur darah. Biji selom digunakan sebagai penawar jika terlalu banyak darah dalam saluran darah. Buah selom pula digunakan sebagai perangsang buang air dan mengeluarkan angin dalam perut dan usus.
  
  Kacang botol
  
  * Kacang botol biasanya tumbuh secara segar walaupun tidak dibaja dan hidup di tanah yang kurang subur. Antara khasiat utamanya ialah mengandungi banyak protein, malah nilai kandungannya lebih tinggi jika dibandingkan dengan sayur-sayuran tropika lain yang daripada jenis kekacang.
  
  * Kandungan asid amino dalam kacang botol juga mempunyai persamaan dengan kacang soya. Kacang botol muda pula dikatakan, mengandungi banyak kalsium, besi dan vitamin A manakala daunnya juga mempunyai nilai pemakanan yang baik dengan kandungan protein dan vitamin A dan C serta garam galian.
  
  * Kacang botol mempunyai khasiat dan nilainya dalam perubatan. Bagi orang yang diserang demam campak, daun kacang botol yang direbus dengan bahan campuran lain boleh disapukan ke seluruh badan bagi melegakan penyakit. Air bancuhan daun kacang botol pula digunakan untuk mencuci mata yang bengkak dan bisul yang bernanah. Daunnya yang ditumbuk lumat juga boleh disapukan pada bahagian bengkak dan bisul serta daunnya juga boleh dimakan untuk mengubati ulser kulit.
  
  * Seperti pegaga, kacang botol juga sedap dibuat kerabu, malah ada yang menjadikannya sebagai bahan atau ulam utama untuk nasi kerabu.
  
  Jantung pisang
  
  * Jantung pisang adalah bunga pisang yang akan bertukar menjadi pisang apabila matang dan ia di dapati di kebanyakan kawasan Asia Tenggara.
  
  * Untuk dijadikan ulam, jantung pisang akan dicelur terlebih dulu sebelum dimakan bersama sambal belacan. Bagi penggemar kerabu, jantung pisang boleh dijadikan bahan utama menyediakan hidangan itu.
  
  * Cara menyediakannya juga mudah - potong jantung pisang yang sudah dicelur kecil-kecil dan masukkan ikan bilis, perahan air limau kasturi, cili, kelapa, bawang dan tomato serta bahan lain sebagai penambah penyedap rasa.
  
  * Jantung pisang juga kerap diolah bersama santan dan rempah ratus lain untuk dijadikan lauk berkuah. Rasanya lemak dengan tekstur berserat yang lembut dan empuk. Justeru, ia boleh dijadikan sebagai makanan alternatif untuk individu yang mengamalkan diet pemakanan sayur-sayuran kerana seratnya cukup memadai.
  
  * Dipelbagaikan dalam menu harian kerana mengandungi karbohidrat yang memberi tenaga, di samping protein, lemak, fosfurus dan zat besi.
  
  * Khasiat lain ia rasa kenyang yang lebih lama sehingga dapat mencegah obesiti. Pengambilannya turut membantu meningkatkan kesihatan saluran pencernaan dengan cara meningkatkan pergerakan usus besar dan mengurangi risiko penyakit jantung.
  
  Resipi
  
  Masak lemak pegaga keli bersalai
  
  Bahannya
  
* Ikan keli
* Pegaga
* Serai
* Santan pekat
* Santan cair
* Belimbing buluh
* Cili padi (dikisar)
* Bawang merah (dikisar)
* Kunyit hidup (dikisar)
* Garam
  
Cara menyediakannya:
  
  1. Ikan keli dibasuh dan direndam dengan air garam. Kemudian salai ikan keli di atas bara api.
  2. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk berserta dengan santan cair, belimbing buluh dan serai. Masak dengan api yang perlahan supaya tidak pecah minyak, kacau sekali-sekala.
  3. Biarkan hingga mendidih, masukkan pula pucuk pegaga. Apabila pucuk pegaga hampir masak masukkan pula ikan keli dan santan pekat masukkan garam secukup rasa.
  4. Apabila kuah mendidih kacau perlahan dan tutup api serta sedia untuk dihidangkan.


No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...