Sunday, December 30, 2012

TABIAT TIDUR BAYI BERI KESAN KESIHATAN


Berita Harian, Mac 2007

 

Tabiat tidur bayi beri kesan kesihatan

 Oleh : Nor Affizar Ibrahim


AMAT penting bagi bayi mempunyai pola tidur normal yang baik kerana jika tidak mencukupi, ia akan membawa kepada kelemahan pencapaian ketara, emosi dan masalah tingkah laku serta mungkin juga menjejaskan bayi itu secara fizikal, emosi, pembangunan sosial dan kognitif.

Paling membimbangkan, bayi yang tidak cukup tidur dengan baik kesannya akan timbul ketika remaja ataupun pada peringkat dewasa seperti penyakit vaskular, kencing manis, gangguan neurokognitif dan pertumbuhan.

Bagaimanapun, bukti klinikal terbaru ditemui mungkin dapat membantu ibu bapa yang ada anak mengalami masalah tidur. Kajian klinikal itu mendapati, dengan rutin waktu tidur baru yang ringkas dan mudah serta tiada tekanan membolehkan bayi tidur sepanjang malam.

Kajian itu turut mendapati, rutin sokongan emperikal waktu tidur bagi bayi pada masa sama, memberikan manfaat kepada ibu bapa seperti mewujudkan hubungan lebih kukuh dengan bayi, kurang tertekan, tidak terlalu letih dan lebih bertenaga.


Masalah tidur

Pengarah Bersekutu Pusat Gabungan Tidur di Hospital Kanak-kanak Philadelphia, Dr Jodi Mindell, berkata umumnya, masalah tidur adalah salah satu rungutan biasa daripada ibu bapa.

Beliau berkata, kajian nasional yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati, satu daripada empat bayi mengalami masalah tidur dan 76 peratus ibu bapa memberitahu, bahawa mereka ingin mengubah sebahagian tabiat tidur bayi mereka.

“Beberapa kajian mengenai masalah tidur di kalangan bayi dan anak kecil juga pernah dibuat di beberapa negara Asia. Di China misalnya, kajian terhadap 5,979 kanak-kanak yang berusia antara dua hingga 12 tahun mendapati 21 peratus daripadanya mengalami masalah tidur.

“Begitu juga di Jepun, kajian terhadap 344 bayi berusia tiga hingga enam bulan anak kecil berusia 18 hingga 21 tahun mendapati, 19 peratus bayi dan 65 peratus anak kecil mengalami insiden menangis waktu malam berkaitan tidur,” katanya pada taklimat media Kejayaan Tidur Untuk Bayi dan Anak Kecil anjuran Johnson & Johnson di Hotel Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pada taklimat itu, Dr Mindell turut membincangkan penemuan mengenai tiga langkah mudah rutin ‘Waktu Tidur Terkini’ bagi ibu bapa dan penjaga kesihatan profesional yang menunjukkan kemajuan penting dalam tidur bayi.

Beliau berkata, bayi tidak tidur nyenyak seperti orang dewasa. Tidur bayi ringan (tidur ayam) dan panjang serta mengambil masa untuk tidur kerana waktu malam mereka terjaga akibat beberapa masalah seperti menyusu, kepanasan dan pengambilan udara yang tidak terganggu untuk bernafas.

Kekerapan tidur

Tidur malam bagi bayi baru lahir hingga usia tiga bulan ialah antara sembilan sehingga 12 jam sehari dan mereka boleh tidur lama sehingga empat jam, sehingga tempoh penyusuan berikutnya. Berbeza, pada peringkat usia tiga bulan hingga satu tahun, bayi tidur sebentar pada waktu siang iaitu antara dua hingga empat jam,” katanya.

Beliau berkata, ketika mencapai usia sembilan bulan, 70 hingga 80 peratus bayi ‘tidur sepanjang malam’. Bagaimanapun, kekerapan tidur sebentar sehari berubah dari tiga hingga empat jam ketika mencapai tiga bulan dan dua jam pada usia satu tahun.

Dr Mindell berkata, lazimnya pada peringkat usia tiga bulan hingga satu tahun pola tidur bayi akan mula terbentuk. Perkembangan pada diri bayi seperti sudah boleh duduk, berdiri dan berjalan serta perasaan bimbang berpisah ada kala membuatkan bayi bangun tiga hingga enam kali ketika tidur waktu malam.

Katanya, bagi bayi yang ada masalah tidur, ibu bapa perlu melakukan beberapa strategi bagi membolehkan mereka tidur seperti rutin waktu tidur dan mententeramkan bayi supaya si kecil boleh tidur semula.

Jumlah waktu tidur bagi anak kecil berusia satu hingga tiga tahun pula ialah antara 12 hingga 13 jam sehari. Ketika mencapai usia 18 bulan, bayi tidak lagi tidur sebentar untuk kali kedua dan didapati, rutin waktu tidur sangat penting.

Pada peringkat itu masalah tidur adalah normal yang mana 20 hingga 30 peratus anak kecil mengalami sebahagian masalah demikian.

“Bayi dan anak kecil juga biasa terjaga malam. Ini berlaku membabitkan kaitan tidur yang negatif atau tiada keupayaan menenangkan diri. Apabila berlaku keadaan seperti itu, campur tangan ibu bapa diperlukan untuk membantunya tidur,” katanya.


Beliau berkata, gangguan biasa atau masalah tidur pada bayi antaranya ialah sukar untuk tidur, tidak mahu tidur dan tidak sensitif pada waktu siang atau malam, zon tidur bayi serta tidak cukup tidur sehingga membuatkan mengantuk waktu siang dan mudah meragam.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Dr Jodi berkata, pencegahan dan rawatan perlu dilakukan termasuk jadual tidur, rutin waktu tidur dan ada kala memerlukan penenang diri untuk tidur.

Katanya, dalam kajian klinikal bagi menguji tiga langkah rutin waktu malam bagi bayi, mendedahkan bahawa bayi tidur lebih cepat iaitu secara purata mengambil satu pertiga kurang masa untuk tidur. Kadar berjaga bagi bayi pula adalah kurang sehingga 50 peratus selepas ditentukan tidur mereka. Bayi juga didapati tidur lebih lama dan hampir 20 peratus sambung tidur.

INFO: 

Strategi tidur pada bayi
 # Tentukan waktu tidur dan masa rehat.

Masa tidur terbaik bayi adalah antara 7 petang dan 8.30 malam. Ibu boleh menetapkan waktu rehat bayi dengan cara sama. Rancang waktu khusus setiap hari.

# Bentuk rutin waktu tidur.
Bayi terikat dengan cara konsisten. Dibuktikan secara klinikal waktu rutin bayi. Tiga langkah mudah untuk memperbaiki waktu tidur bayi:
Langkah 
1: Mandi air suam; Langkah
2: Urutan lembut; Langkah
3: Tidur dengan senyap.

Rutin waktu tidur ini diakhiri dengan aktiviti senyap seperti membaca, mendengar muzik lembut dan membelai. Ini adalah cara terbaik untuk membentuk bayi tidur sementara kedua-duanya boleh menikmati detik ikatan hubungan yang lebih erat.

# Objek sementara
Seperti selimut dan alat permainan untuk membantu bayi rehat serta menenangkan dirinya.

# Menidurkan bayi ketika mula nampak mengantuk tetapi masih terjaga dan terawang-awang.
Bayi masih belum nyenyak sepenuhnya. Tunggu sebentar sehingga pernafasan bayi dan sekata, ototnya rehat sepenuhnya. Genggaman tangannya terbuka, manakala kaki dan tangannya juga rehat serta ringan.

# Bersabar apabila bayi menangis.
  

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...