Gangguan Seksual
Oleh Nor Affizar Ibrahim
GANGGUAN seksual boleh berlaku kepada sesiapa saja. Justeru, jika anda seorang daripada mangsa gangguan seksual, janganlah malu untuk membuat aduan atau mendiamkan saja perkara itu.

Namun, jika tidak terdaya menanggung sendirian masalah yang membelenggu diri, dapatkan bantuan kaunseling atau pakar bagi membantu merungkai kemelut dihadapi.
Jangan salahkan diri
Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal dari Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata apa yang lebih penting jika anda berada di tempat dan landasan benar, jangan salahkan diri sendiri.
Noor Aziah berkata, apabila memperkatakan isu gangguan seksual ada yang menyatakan perkara itu hanya berlaku kepada orang muda dan gadis cantik. Namun, kenyataan itu tidak benar kerana berdasarkan beberapa kes dilaporkan, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja, malah ada juga lelaki yang menjadi mangsa. Begitu juga dari segi usia, golongan yang sudah berusia tidak terkecuali menjadi mangsa gangguan seksual.

Ceramah berkenaan diadakan bersempena dengan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang berlangsung selama empat hari di pusat pengajian tinggi itu.
Definisi gangguan seksual

"Umumnya, gangguan seksual didefinisikan mengikut bidang kuasa dan tindakan. Kategori gangguan seksual boleh dilihat dua sudut iaitu paksaan seksual yang memberi kesan terus kepada status pekerjaan mangsa, untung atau rugi dalam pekerjaan mangsa. Satu lagi, kemarahan seksual iaitu perbuatan yang berkait dengan seks yang memperkecilkan, ganas kepada penerima tetapi tidak ada talian hubungan terus kepada pekerjaan seseorang," katanya.
Beliau berkata, jika dilihat dari sudut budaya sosial gangguan seksual adalah mengenai kuasa iaitu individu lemah diganggu oleh yang kuat. Hal ini lebih kepada ketidaksamaan kuasa gender dalam masyarakat.
Penggunaan seksualiti lelaki untuk melaksana dan memperkuatkan kuasa lelaki, di samping kawalan terhadap wanita. Ini juga adalah sesuatu yang semula jadi apabila lelaki ingin monopoli wanita. Malah, ada wanita yang tidak diganggu atau diusik berasakan dirinya tidak cukup cantik.
"Setiap wanita perlu ingat bahawa mereka bukanlah barang yang tidak perlu dihormati dan jangan anggap gangguan seksual adalah pelakuan yang tidak bahaya dan bukan satu masalah," katanya.
Berkuasa mempunyai kuasa
Noor Aziah berkata, gangguan seksual di tempat kerja juga adakalanya dikaitkan dengan struktur hieraki organisasi. Ini kerana yang berkuasa mempunyai kuasa yang sah terhadap orang bawahannya. Dalam hal ini, orang bawah dilihat berperanan sebagai simbol seks.
Menjelaskan kenapa kebanyakan wanita saja yang diganggu, beliau menjelaskan, antaranya kerana struktur sosial mengenai perbezaan seksual, peranan, tugas dan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan mengikut struktur sosial, yang mana kuat lawannya lemah manakala rasional berlawanan emosional.
"Selain itu, masih ada lagi tanggapan bahawa peranan wanita adalah di tempat kedua, hingga ada kala hilang perasaan hormat. Faktor lain ialah mereka yang berada dalam kedudukan kuasa dan lazimnya lelaki, mampu membuat keputusan atau bertindak untuk kepentingan mereka," katanya.
INFO:
Antara sebab gangguan seksual tidak dilaporkan:
* Malu
* Kesan publisiti
* Takut diperbodohkan
* Takut dibuang kerja
* Tiada prosedur membuat laporan
* Tiada keyakinan kepada sistem
* Kesan gangguan seksual:
* Kesan kepada syarikat
- Produktiviti menurun
- Ketaatan menurun
- Pekerja sering ponteng kerja
- Kos melatih pegawai baru meningkat
- Kos prosiding undang-undang
- Imej dan kredibiliti syarikat terjejas
* Kesan kepada mangsa
- Sakit kepala, sakit perut dan murung kerana takut.
- Tekanan
- Kurang puas hati terhadap kerja
- Kurang komitmen/motivasi terhadap kerja
- Gangguan kepada kerjaya
- Berhenti kerja
- Kesan negatif kepada keluarga
No comments:
Post a Comment