Berita Harian, 6 Disember 2010, Isnin
|
KEKEMASAN sapuan bedak asas pada wajah adalah kunci utama yang akan menentukan paras kecantikan solekan seterusnya. Justeru, setiap kali ingin mengoleskan wajah, perlulah berhati-hati kerana mekap asas juga boleh menjejaskan penampilan seseorang wanita.
Mungkin kerana itulah juga ada yang beranggapan, bedak asas diibaratkan berfungsi sebagai kanvas kosong, yang mana solekan warna selebihnya akan diletakkan dan menjadi tapak dengan menyerlahkan kelebihan anda dan kekurangan yang ada disembunyikan.
Sehubungan itu, Artis Rekaan Warna Lancome, Ismie Osman, berkata penyapuan bedak asas pada wajah perlu dilakukan dengan sempurna supaya solekan cantik yang ingin diserlahkan dapat direalisasikan.
Ismie berpengalaman enam tahun bersama Lancome, berkata hakikatnya apabila menyapukan warna solekan atau mekap pada wajah, individu itu tentunya tidak akan terlepas mengenakan bedak asas. Malah, bahan kosmetik yang menampilkan rona kulit itu sering dipakai dulu kerana ia dianggap penting bagi menyerlahkan kesempurnaan solekan.
Kesilapan menyapa bedak asas
Ditemui ketika memperkenalkan bedak asas cecair baru, Teint Miracle dari Lancome, baru-baru ini, beliau berkata, antara kesilapan yang sering dilakukan individu ketika mengenakan bedak asas ialah tidak menyapunya dengan betul. Kebanyakan individu menempekkan terus pada wajah tanpa meratakan sehingga memberi kesan bertompok atau tampak cela.
Kesan cela itu lebih ketara apabila wajah mula berpeluh. Bagi yang mempunyai kulit jenis berminyak, lebih bermasalah jika sapuan bedak asas tidak diratakan.
Katanya, cara terbaik menyapukan bedak asas ialah melalui pergerakan pusingan. Dengan menggunakan pergerakan pusingan menyapu ke atas, dapat membantu merangsang dan menyegarkan sel serta menghasilkan paras wajah yang lebih sekata dan berseri.
Mengurut lapisan kulit paling dalam turut menjadikan kulit lebih gebu dan anjal bagi mendapatkan kesan yang menyegarkan manakala pergerakan selari dengansistem limfa dapat membantu mengurangkan toksin serta memberikan efek wajah berseri.
"Untuk menyapukan bedak asas, kuantiti yang diperlukan sebenarnya tidaklah banyak, sebaliknya memadai dengan sekali tekan. Namun, individu dengan raut wajah lebar mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua tekanan.
Sapuan sempurna
"Kemudian, bedak asas itu disapukan serata yang boleh pada wajah dan setiap kali sapuan, jangan lupa menepuk-nepuk sapuan bedak asas pada wajah, arah ke bawah. Ini pentingbagi menentukan hasil yang sempurna dan dapat bertahan lama," katanya.
Ismie berkata, ramai wanita yang malas atau tidak suka mengenakan bedak asas terutama jika hanya bersolek untuk ke pejabat. Antara alasannya, sapuan bedak asas akan membuatkan wajah seperti memakai `topeng' atau berasa berat.
Katanya, itu tidak benar kerana bedak asas ada pelbagai jenis dan individu boleh memilih yang sesuai untuknya. Sapuan pula boleh menjadi cepat dan mudah jika individu itu tahu teknik yang betul.
Ismie berkata, menyapukan bedak asas dengan menggunakan jari adalah cara paling mudah dan dapat menjimatkan berbanding menggunakan span. Selain mudah untuk meratakan, suhu panas jari akan menghangatkan bedak sehingga membuatnya menempel di kulit dan memberi impak lebih semula jadi.
Tiada beza sapuan bedak asas bagi solekan malam atau siang, jelasnya, kerana yang membezakan penampilan adalah solekan.
INFO
Jenis bedak asas
* Bedak asas cecair
Ia jenis yang paling popular kerana mudah disapukan pada wajah. Kelebihannya yang lain ialah sesuai digunakan untuk jenis wajah berminyak atau kering. Wajah berminyak boleh menggunakan bedak asas berasaskan air, wajah kering berasaskan minyak dan kedua-duanya jika mempunyai kulit kombinasi, dimulakan dengan jenis air.
* Bedak asas tabur
Untuk mendapatkan kesan wajah semula jadi, bedak asas tabur adalah pilihan tepat. Ia biasanya dipakai oleh wanita yang tidak ingin memakai mekap terlalu tebal. Ia tidak mengandungi pelembap tambahan dan sesuai untuk kulit berminyak.
* Bedak asas krim
Jika anda ingin menghadiri sebuah pesta atau acara penting lain yang perlu menghabiskan waktu cukup panjang, bedak asas krim paling sesuai dipakai sebagai asas mekap. Teksturnya yang lebih padat mampu menutupi noda hitam, jerawat, kerutan dan masalah lain di wajah. Ia disesuaikan untuk semua jenis kulit, kecuali kulit berminyak.
No comments:
Post a Comment