Saturday, December 8, 2012

BELIT HUTANG

Berita Harian, 6 April 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim

Belit hutang

Lalai, tak bijak urus wang antara punca berhutang

Kes 1


PENING kepala Azura (bukan nama sebenar), 31, selepas mengetahui pangsapuri dibelinya sebelum berkahwin, kini mahu dilelong pihak bank. 

Semuanya, gara-gara hutang tertunggak tiga tahun yang tidak mampu dibayarnya.
Aset itu dibelinya ketika berusia 21 tahun dengan bayaran ansuran sebanyak RM700 sebulan. 


Selepas berkahwin dan mendapat anak kedua, Azura berhenti kerja. Justeru, suaminya yang bekerja sendiri meneruskan bayaran ansuran rumah itu.
 

Bagaimanapun, apabila perniagaan suami Azura mengalami masalah, selain perlu membayar pinjaman rumah diduduki mereka sekeluarga, bayaran ansuran pangsapuri berkenaan mula tertunggak dari bulan ke bulan dan akhirnya menjadi bertahun-tahun lamanya. Ini menyebabkan hutang tertunggaknya mencecah sehingga RM80,000 termasuk jumlah kadar faedah lewat bayar perlu ditanggungnya.

Hutang tertunggak
 

“Hutang tertunggak itu ada kala menimbulkan konflik antara saya dan suami. Walaupun tiada pergaduhan serius, bebanan hutang ditanggung sedikit sebanyak membuatkan rumah tangga kami sedikit berkocak,” akui ibu muda dua anak itu.
 

Azura cuba mencari penyelesaian dan berhasrat membuka perniagaan tetapi disebabkan namanya sudah disenaraihitamkan, sukar untuknya ‘bergerak’ membuat pinjaman bank.
 

Akhirnya, empat bulan lalu dia mendapatkan pertolongan dari NPL Smart Solution bagi mengatasi masalah dihadapi. Dengan pertolongan diberikan, jumlah hutang tertunggak Azura berjaya dikurangkan menjadi RM53,000 manakala bayaran ansuran yang perlu dibayarnya kini, dikurangkan kepada RM415 sebulan.
 

“Lega rasanya apabila masalah hutang itu dapat diselesaikan. Siapa yang tidak risau dan susah hati jika rumah yang sudah lama dibeli serta dibayar bertahun-tahun, tiba-tiba ingin dilelong. Kejadian menimpa itu turut menyedarkan saya, apabila ada masalah perlulah diselesaikan dengan perancangan yang baik,” katanya.

Kes 2

MARIA (bukan nama sebenar), 28, seorang usahawan kecil yang membekalkan peralatan dan kelengkapan alat menulis di pejabat. Perniagaan diceburi mampu memberikan pendapatan lumayan sehingga RM15,000 sebulan.
 
Namun, perniagaannya ada pasang surut dan ada kala Maria terpaksa menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan bayaran daripada pelanggannya. Justeru, bagi menampung kekeringan wang bagi bulan tertentu yang langsung tiada pendapatan, Maria terpaksa berbelanja menggunakan dua kad kredit dimiliki.

Dua kad kredit itu membolehkannya ‘berhutang’ dengan had minimum penggunaan sebanyak RM5,000 dan RM3,000.
Bebanan kewangan dihadapi dan tidak mampu diselesaikan menyebabkan Maria menggunakan sepenuhnya kad kredit untuk menampung kehidupan. Akhirnya, hutang kad kredit meningkat sehingga RM30,000 apabila Maria mula tidak mampu membayar selepas setiap kali menggunakannya. 

 Terus meningkat
“Mula-mula itu, setiap bulan saya bayar juga hutang kad kredit secara sikit-sikit walaupun tidak sepenuhnya. Tapi apabila tidak pernah habis, sebaliknya jumlah hutang terus meningkat saya mula berasa bosan dan langsung tidak membayarnya sehingga dua tahun. 

Apabila jumlahnya tinggi dan saya menghentikan bayaran, akibatnya bank menyenaraihitamkan nama saya,” cerita Maria. 

 
Katanya, keadaannya semakin tertekan dan hidup menjadi semakin tidak tentu arah. Sehinggalah, Maria mendapat tahu mengenai perkhidmatan ditawarkan oleh NPL Smart Solution. Awal Januari lalu, Maria menggunakan bantuan khidmat syarikat itu dan dalam tempoh tiga minggu kesnya dapat diselesaikan.

“Hilang semua perasaan risau apabila kes saya dapat diselesaikan dan bersyukur amat sangat kerana cuma kena bayar RM1,000 lebih. Saya percaya, apa yang pernah saya alami ini juga pernah dilalui pemegang kad kredit lain yang terpaksa membayar faedah sebegitu tinggi kepada bank sedangkan jumlah perbelanjaan dibuat tiga empat kali ganda lebih rendah,” katanya turut menasihatkan sesiapa berdepan masalah seperti itu dapatkan khidmat pakar bagi membantu menyelesaikan masalah.



REALITINYA, dalam mengharungi kehidupan seharian ada pelbagai dugaan dan sememangnya, kita tidak dapat lari daripada hutang. Dua cerita dipaparkan, boleh dijadikan pengajaran kepada semua terutama dalam membuat pinjaman dan menguruskan pembayaran hutang.

Mujur, dalam kedua-dua kes berkenaan, penghutang tidak mengambil jalan singkat termasuk meminjam Along untuk menyelesaikan hutang yang membebani kehidupan mereka. Jika tidak, pasti kehidupan menjadi tidak tenteram dan bahana lebih teruk yang perlu mereka harungi.

Penasihat kewangan, harta dan kenderaan yang juga pengasas NPL Smart Solution dan NPL Risk Management & Services, Muhammad Rosland Mohd Arif, berkata wanita sering kali dikaitkan sebagai pembayar hutang yang baik dan jarang sekali culas untuk membayar semula pinjaman sudah dibuat.

Mewah dan boros

Bagaimanapun, kata Rosland ini tidak bermakna wanita tidak boleh terjerat dengan cengkaman hutang. Mewah dan boros berbelanja sehingga di luar kemampuan menggunakan kad kredit misalnya, tanpa sedar boleh menyebabkan wanita terbelit dengan masalah hutang bertimbun.

Katanya, lebih malang lagi, ada wanita terpaksa menanggung hutang yang bukan disebabkan pinjaman dibuatnya tetapi menjadi penjamin dan penghutang kepada orang lain. Sekali pun hanya sebagai penjamin, mahu atau tidak, wanita terbabit perlu membayarnya jika penghutang sebenar gagal menjelaskannya atau ‘melarikan diri’. Apatah lagi, jika wanita itu ‘meminjamkan’ atau mengguna namanya bagi membolehkan orang lain mendapat pinjaman itu.

“Begitu juga dengan penggunaan kad kredit...sikap ‘murah hati’ membenarkan individu lain menggunakan kad kredit tambahan sewenang-wenangnya, tanpa disedari perlu menanggung hutang berkepuk-kepuk di atas perbelanjaan yang dibuat oleh orang lain,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang, baru-baru ini.

Senarai hitam atau muflis

Rosland berkata, hakikatnya seperti lelaki, wanita juga tidak terlepas daripada diuji dalam kehidupan yang berkaitan dengan hutang dan wang. Contohnya, jika satu ketika dulu, wanita itu boleh membuat pinjaman dan mampu membayarnya secara tetap tetapi ditakdirkan, ada ujian terhadapnya sehingga gagal untuk membayar semula pinjaman berkenaan.

Akhirnya, bermulalah episod hutang terus tertunggak dan membelenggu kehidupan, malah ada namanya di senarai hitamkan atau muflis. Jika hutang atau pinjaman itu berkaitan dengan pembelian aset atau barang pula, tidak mustahil ada juga yang berdepan dengan kehilangan harta berkenaan seperti ditarik balik mahupun dilelong.

Begitulah antara risiko dan keperitan perlu dihadapi seseorang itu apabila menanggung hutang yang banyak serta tidak mampu untuk membayarnya.

Rosland berkata, hal seperti ini berlaku berpunca pelbagai faktor termasuklah akibat kelalaian dan masalah kurang bijak menguruskan kewangan. Oleh sebab itulah timbul berbagai masalah yang membelenggu kehidupan individu terbabit.

Tidak pernah selesai

Katanya, selain itu, faktor kecewa juga menjadi penyebab utama berlakunya hutang tertunggak. Contoh, ada penghutang yang pada asalnya penggunaan kad kreditnya hanya RM3,000 dan sudah membayar bertahun-tahun tetapi tidak pernah selesai, malahan bertambah berkali-kali ganda. Ini menyebabkan penghutang kecewa dan berasa diri tertipu serta mengambil keputusan membiarkan sehingga pihak institusi kewangan seperti bank terpaksa mengenakan tindakan drastik.

“Apabila berhutang ia bukan saja membabitkan persoalan mana hendak dapatkan wang untuk melunaskan dan menyelesaikan masalah itu. Sebaliknya, senario yang berlaku turut memberikan impak lain dalam pelbagai aspek kehidupan. Penghutang berasa tertekan, murung, hilang semangat untuk hidup dan berbagai lagi. Bagi yang sudah berkeluarga pula, ia pastinya membabitkan konflik institusi kekeluargaan. Ada yang mungkin bergaduh, berlaku penderaan dan bercerai.

“Saya juga percaya, mereka yang dihimpit masalah kewangan dan sangat terdesak sanggup melakukan jenayah seperti menipu, rasuah, mencuri, ragut dan sebagainya. Inilah yang amat membimbangkan kerana keadaan sudah kusut menjadi bertambah porak peranda hanya disebabkan hutang dan pinjaman,” katanya.

Masalah boleh diatasi

Bagaimanapun, Rosland percaya walau apa pun berlaku khususnya, membabitkan hutang dan pinjaman masalah itu boleh diselesaikan dan ada jalan keluarnya. Justeru, individu terbabit dalam kancah masalah seumpama itu sewajarnya jangan berputus asa.

“Saya percaya tiada sesiapa yang suka atau diminta supaya namanya disenarai hitamkan atau muflis. Namun, dalam satu laporan media menyatakan, tahun lalu seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di seluruh negara. Itu satu angka yang membimbangkan dan apakah akan jadi kepada mereka ini,” ujarnya.

Tambahnya, lebih menyedihkan, ada sebahagian institusi yang terbabit melantik orang ketiga bagi menyelesaikan masalah mereka. Malah beliau mendakwa, ada yang didapati bertindak melampaui batas dengan membuat pelbagai ugutan, desakan dan sebagainya. Malah, dalam sesetengah kes, jumlah hutang dituntut adalah kecil jika diambilkira kerjasama serta pembayaran yang sudah dibuat sekian lama.

“Saya tidak faham mengapa penghutang ini tidak diberi peluang atau ruang untuk memperbetulkan kesilapan mereka. Padahal, sebelum ini institusi kewangan terbabit itu sanggup memujuk serta menawarkan pelbagai keistimewaan sekiranya menerima tawaran diberikan. Adakah institusi kewangan berkenaan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan atau mempedulikan masalah yang dihadapi pelanggan mereka?” soalnya kembali.



Dapatkan bantuan

Menyedari, senario itu Rosland melalui syarikat miliknya, NPL Smart Solution yang ditubuhkan pada 1988, menawarkan perkhidmatan membantu menyelesaikan masalah kewangan dan kredit.

Rosland mengalu-alukan, sesiapa yang bermasalah berkaitan dengan kewangan bolehlah mendapatkan perkhidmatan syarikat diterajui.

Perkhidmatan diberikan bukan saja membantu menyelesaikan masalah orang muflis semata-mata tetapi merangkumi rundingan berkaitan dengan kewangan, tindakan saman oleh bank, pemulihan status muflis, pinjaman semula rumah, pinjaman bercagar dan juga pengurusan jual beli.

“Boleh dikatakan 80 peratus pelanggan yang datang punca masalah adalah disebabkan oleh kad kredit. Selebihnya masalah berkaitan rumah hendak di lelong, pinjaman kereta, diisytiharkan muflis dan sebagainya. Apa saja masalah, syarikat bersedia membantu mencari satu penyelesaian yang komperhatif atau menang-menang secara perundingan dengan peminjaman atau institusi terbabit.

“Bantuan diberi membolehkan mereka yang terbabit ada ruang dan peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan serta kehidupan yang membelenggu mereka,” katanya turut mengakui majoriti yang datang berjumpa adalah wanita.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...