Monday, December 31, 2012

WANITA MENDEPANI CABARAN BARU

 Berita Harian, 24 Disember 2012


 SOROTAN 2012


 Wanita mendepani cabaran baru


Transformasi dan meningkatkan kemajuan serta keupayaan antara agenda penting terus menjadi kesinambungan bagi memperkasakan wanita di negara ini sepanjang 2012.
  
Justeru, tidak hairanlah pelbagai peristiwa membanggakan tersulam dan sejarah terlakar dalam dunia wanita di negara ini bagi tahun yang bakal ditinggalkan dalam beberapa hari lagi.
  
Sepanjang 12 bulan berlalu, hak wanita terus diperjuangkan dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial, sekali gus menunjukkan kerajaan serius membela dan memacu kejayaan wanita di negara ini.
  
Paling ketara ialah usaha kerajaan melipatgandakan usaha membebaskan kekangan dan tradisi yang terus membelenggu wanita di negara ini. Buktinya, menerusi pembentangan Bajet 2013 pada September lalu, kerajaan bukan saja mementingkan kebajikan, tetapi memberi pengiktirafan kehebatan wanita untuk sealiran dengan lelaki.
  
Antaranya, peruntukan RM10 juta dikhususkan bagi melatih 500 wanita mengikuti Program Pengarah Wanita (WDP) supaya dapat memastikan 30 peratus wanita berada pada peringkat pembuat keputusan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat awam tersenarai menjelang 2016.
  
Pengumuman itu menaikkan semangat wanita terus bersaing dengan lelaki bagi merebut peluang dalam pelbagai sektor. Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengadakan program khusus seumpama itu dan ini menunjukkan kerajaan bersungguh mengiktiraf peranan dan menitikberatkan kebajikan wanita dalam pelbagai aspek.
  
Program itu bagaikan 'hadiah' bernilai untuk wanita, tambahan hasrat untuk mencapai kesamarataan gender di dalam bidang perniagaan dan korporat sering disifatkan sebagai jurang di antara niat serta kenyataan.
  
Semangat baru
  

Wanita Malaysia pada masa kini hanya menduduki 7.8 peratus kerusi pada peringkat lembaga pengarah. Di dalam laporan Forum Ekonomi Dunia 'Jurang Gender Global 2012,' pula melaporkan Malaysia jatuh dari kedudukan ke-72 kepada kedudukan ke-100 daripada keseluruhan 135 negara. Peruntukan dan program WDP memberi suntikan semangat baru untuk wanita lebih yakin menunjukkan keupayaan mereka.
  
Insentif Bajet 2013 juga memperlihatkan habuan untuk setiap kumpulan sasar membabitkan kepentingan semua wanita dari yang berkerjaya hinggalah usahawan, ibu tunggal dan warga tua.
  
Ini termasuklah, menggalakkan ibu tunggal dalam bidang keusahawanan, program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT), Get Malaysian Business Online (GMBO) membantu 50,000 usahawan kecil, terutama wanita meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran RM1,000.
  
Kebajikan wanita dalam kesihatan juga diberi perhatian dengan memberi peruntukan RM25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram.
  
Keprihatinan dan keperluan terhadap wanita tidak terhenti di situ, menyedari peranan wanita wajar dijanakan secara berterusan tahun ini, pelbagai insentif diumumkan. Kemelut pekerja wanita berdepan masalah menghantar anak di pusat jagaan selain kos mengambil pembantu rumah asing yang terlalu tinggi diberi tumpuan.
Tidak pernah lepas pandang isu ini, kerajaan memberi insentif kepada majikan yang menyediakan elaun dan subsidi Taman Asuhan Kanak-kanak untuk pekerja sebagai langkah berkesan menarik minat tenaga kerja wanita kekal di sektor pekerjaan
  
Kegemilangan dibanggakan
  
 Tahun 2012 turut menyaksikan kegemilangan wanita meraih beberapa kejayaan dalam beberapa bidang. Malaysia berbangga apabila anak jati Sarawak, Pandelela Rinong Pamg, 19, muncul wanita pertama negara merangkul pingat pada Sukan Olimpik London 2012. Memenangi gangsa dalam acara platform 10 meter, perenang muda itu membanggakan 28 juta rakyat apabila bangkit pada terjunan terakhir acara itu untuk menjadi penerjun ketiga terbaik dunia ketika ini.
  
Pelumba elit wanita, Fatehah Mustapa turut merakamkan sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara memenangi emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia 2012 (ACC 2012). Fatehah mencipta persembahan membanggakan dan menghadiahkan emas dalam acara keirin.
  
Dr Nor Salita Ali, 42, pula diiktiraf sebagai satu-satunya doktor perubatan wanita negara ini dan di Asia yang mempunyai kepakaran dalam perubatan nuklear. Pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berjaya melakar sejarah baru bidang perubatan antarabangsa apabila dianugerahkan Sarjana Perubatan (Perubatan Nuklear) bersama empat lagi doktor lelaki pakar klinikal perubatan nuklear sulung di Asia.
  
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz terus cemerlang dan menunjukkan 
ketokohannya kerana disenaraikan Global Finance sekali lagi sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik Dunia. Beliau yang menerima pengiktirafan keempat adalah antara enam ketua bank pusat yang mencapai mata 'A' dalam Kad Laporan Ahli Perbankan Pusat yang diterbitkan majalah itu.
  
Usaha dan pembabitan wanita dalam pelbagai kegiatan juga bukan saja berjaya melonjak nama sendiri, tetapi menjadi contoh dan mengharumkan negara di mata dunia. Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu berkongsi gembira dan bangga apabila pemimpin kita mendapat pengiktirafan dari luar. Antara tokoh mendapat pengiktirafan luar negara ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang menerima Global Empowerment Award 2012, Mei lalu di London.
  
Pengiktirafan itu kerana pembabitannya dalam Kesatuan Pandu Puteri dan Pengakap Sedunia, selain gigih membantu pasangan yang tidak mempunyai anak menerusi Yayasan Fertili Tunku Azizah (TAFF).
  
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga menerima Anugerah Wanita Peneraju Kebajikan Asia pada Februari lalu sebagai tanda pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen beliau dalam pelbagai kerja amal.
  
Rosmah menjadi penerima sulung anugerah itu sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya dalam Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak (PERMATA) dan kerja amal seperti Majlis AIDS Malaysia dan Yayasan Institut Jantung.
  
Terus mendapat kepercayaan
  
 Wanita di negara ini juga terus diberi kepercayaan menerajui dan menjawat jawatan penting. Antara mereka ialah Hatipah Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan yang baru, menggantikan Datuk Borhan Dollah. Pelantikan itu menjadikan Hatipah sebagai wanita pertama memegang jawatan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang sebelum ini dimonopoli lelaki.
  
 Ahli Majlis Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim, pula dimasyhurkan sebagai Pro Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM). Pemasyhuran Puteri Sultan Kedah sebagai Pro Canselor menjadikannya wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Berdasarkan kejayaan dan pencapaian diraih sepanjang 2012, kesimpulan dibuat bahawa wanita sudah semakin bersedia mendepani cabaran baru dan membina keupayaan untuk bersaing serta berada selangkah di depan.
  
Sikap positif dan yakin semakin menjiwai wanita Malaysia dengan keupayaan diri untuk mengatasi apa saja halangan, sekali gus mampu meneroka peluang baru serta menjadi perintis dalam bidang masing-masing.
  
Namun, tahun ini negara juga bersedih apabila kehilangan tokoh wanita hebat, Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau Azah Aziz yang meninggal dunia akibat sakit tua dan angin ahmar.
  
Begitu juga dalam usaha mengubah dan meningkatkan kedudukan, wanita di negara ini masih tidak terlepas menjadi mangsa penipuan, keganasan serta kekejaman. Begitu jugalah pada 2012, tercatat beberapa titik hitam yang sememangnya tidak ingin berlaku.
  
Masih menjadi mangsa
  
Wanita sasaran utama menjadi mangsa penipuan 'jenayah emosi' yang mengheret nasib mereka dijadikan keldai dadah dan keldai akaun. Lebih menyedihkan, ada kes membabitkan mangsa wanita warga tua dan ibu tunggal. Pada Mei lalu, seorang ibu tunggal berusia 63 tahun menjadi mangsa penipuan sindiket itu apabila sanggup menjual aset dan menyerahkan hasil jualan sebanyak RM5 juta demi cinta kepada lelaki yang mengaku seorang jeneral tentera Amerika Syarikat dan dikenali menerusi laman sosial di internet.
  
Wanita yang boleh berperanan membina tugu keamanan sejagat 2012 tidak kecuali menjadi mangsa pembunuhan kejam. Lebih malang, ada di antara kes membabitkan pelaku yang sepatutnya menjadi pelindung pada wanita berkenaan. Namun, disebabkan dendam, cinta tiga segi, cemburu dan krisis berlaku dalam rumah tangga, wanita dijadikan tempat melampiaskan nafsu amarah, kecewa serta hilang kawalan diri.
  
Kini, kita sudah berada pada penghujung 2012 dan apa yang sudah berlaku tidak mungkin boleh berubah. Bagi kejayaan dicipta dan pencapaian dikecapi sudah tentu membanggakan, manakala noda hitam dan pahit serta meninggalkan parut yang dalam, seharusnya dijadikan teladan dan pengajaran.
  
Justeru, jadikan 2012 sebagai titik permulaan kepada penghidupan lebih bermakna. Kita juga harus bersyukur dengan apa dinikmati. Tetapi menyatakan syukur saja tidak cukup, sebaliknya perlu lebih bersedia dengan cabaran pada masa hadapan.
  
INFO

Kes pembunuhan wanita 2012
  
  * 4 Disember 2012 Ipoh - Mayat seorang wanita dalam keadaan tangan dan kaki diikat ditemui dalam bungkusan kanvas yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Meru Raya. Laporan bedah siasat turut mengesan kesan jerutan pada leher mangsa dipercayai menjadi punca kematian.
  
  * 22 Oktober 2012 Sarawak - Seorang wanita warga emas dibunuh kejam dengan beberapa kesan tikaman pada badan serta parah di muka dan hidung di rumahnya di Taman Desa Indah. Wanita itu dipercayai menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh individu tidak dikenali.
  
  * 21 September 2012 Penampang - Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan seorang wanita ditemui mati dengan lehernya dijerut serta kaki dan tangannya diikat di rumahnya bermotifkan cemburu. Polis sudah menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai teman wanita mangsa bagi membantu siasatan.
  
  * 18 Ogos 2012 Balakong - Ketagih seks dipercayai punca gadis 19 tahun dibunuh sebelum mayatnya dirogol di rumahnya di Taming Jaya, dekat Balakong. Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai ada hubungan kekeluargaan dengan mangsa.
  
  * 31 Julai 2012 Shah Alam - Polis menahan suami eksekutif TV9, Nur Syaleza Jaafar, yang ditemui mati di rumahnya di Pangsapuri Saujana, Damansara Damai. Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian bukan mati mengejut, sebaliknya dipercayai tidak boleh bernafas kerana jerutan di leher.
  
  * 30 Jun 2012 Ampang Jaya - Seorang kerani bank, P Yoga Ambiga, 27, saja dibelasah, malah turut dibakar hidup-hidup dalam kejadian di Kampung Ampang Campuran akibat dendam.bukan
  
  * 21 Jun 2112 Sungai Petani - Misteri kehilangan seorang pengusaha butik kecantikan terjawab apabila wanita itu ditemui mati, dipercayai dibunuh. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan telentang di atas motosikalnya.
  
  * 27 Jun 2012 Kuala Lumpur - Wanita yang melecur 90 peratus tubuhnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya dalam pertengkaran di rumah mangsa di Taman Segar, Cheras meninggal dunia. Mangsa dikatakan disimbah petrol sebelum dibakar teman lelakinya dipercayai berpunca masalah cinta.
  
  * 18 Februari 2012 Alor Setar - Seorang tukang tilik wanita, maut manakala anak angkatnya parah akibat ditetak di kepala dan beberapa bahagian anggota badan oleh bekas suaminya dalam kejadian amuk di rumah mereka di Taman Saga.
  
  * 12 Januari 2012 Johor Bharu - Cinta tiga segi dan cemburu dipercayai punca pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kempas yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mati dibunuh dalam rumahnya dekat Taman Kempas.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...