Tuesday, December 11, 2012

Raja Air Tawar



Berita Harian,  29 September 2011, Khamis

Raja air tawar

Oleh Nor Affizar Ibrahim



MESKIPUN harganya agak mahal dan sering dikaitkan dengan kandungan kolesterol tinggi, tetapi bagi peminat udang galah semua itu tidak boleh menghalang selera untuk menikmatinya.
  
Justeru, tidak hairanlah jika permintaan terhadap udang galah yang ibarat raja air tawar tidak pernah sepi kerana peminatnya ramai. Keenakannya sentiasa tidak dilupakan, lebih-lebih lagi jika dapat menikmati udang galah segar dan manis serta dimasak dengan resipi enak yang mengecurkan air liur.
  
Mungkin ada yang tidak tahu, udang galah sebenarnya makanan yang sihat bagi individu dengan kadar kolesterol normal. Satu kajian antarabangsa mengenai khasiatnya mendakwa kandungan kolesterol udang galah cukup tinggi tetapi penelitian menunjukkan bahawa memakan sumber makanan itu tidak menaikkan kadar kolesterol secara keseluruhan.
  
Memang terjadi peningkatan LDL iaitu kolesterol tidak baik untuk kesihatan, namun kadar HDL yang dikenali kolesterol baik juga meningkat. Justeru, jika takut pada kolesterol yang ada pada sumber makanan itu, sebaik-baiknya bakar atau kukus dan nikmati beragam manfaatnya untuk kesihatan. Antara khasiat udang galah yang sering diperkatakan ialah dapat meningkatkan stamina.
  

Boleh dimasak aneka resipi

Pemilik Restoran Bisik-bisik yang beroperasi di Shah Alam, Norhaliza Md Yusop, berkata selain bakar atau kukus, udang galah boleh dipelbagai dalam pelbagai gaya masakan sama ada cara tempatan mahupun barat dan juga masakan Cina.

Norhaliza berkata, terpulang apa saja cara masakan digemari dan dapat memenuhi selera tetapi yang penting, apabila memasak udang galah pastikan jangan sampai hilang rasa kesegaran serta rasa manisnya.
  
 "Harga udang galah memang mahal dan boleh mencapai sehingga lebih RM50 sekilogram, walaupun harganya sedemikian, permintaan sentiasa ada. Tetapi mungkin ada yang tidak tahu, udang galah boleh disimpan lama dan boleh dikekalkan kesegarannya jika disimpan selama sebulan dengan cara yang betul. 

"Caranya, selepas dicuci masukkan dalam plastik atau bekas yang ditutup rapat. Masukkan dalam bahagian beku di dalam peti sejuk dan pastikan jangan kena ais bagi mengekalkan kesegarannya," katanya memberi panduan cara menyimpan dengan betul.

Cara pilih udang segar
 
Norhaliza berkata, untuk memilih udang galah yang baik atau segar antara caranya ialah lihat bahagian kepala udang berkenaan. Jika berwarna kuning, bermakna ia sudah lama dan tidak segar lagi. Begitu juga jika lembik apabila dipegang, lebih baik jangan beli udang galah berkeadaan seperti itu.
 Bagi mengekalkan rasa manis udang galah ketika memasak pula, disarankan jangan memasaknya terlalu lama atau lebih daripada empat minit. Bagaimanapun, bagi menilai rasa sedap, udang galah bersaiz kecil dikatakan lebih sedap berbanding yang besar. 
  "Udang galah besar memang menarik dan kelihatan cantik apabila dimasak bagi menyediakan sesuatu hidangan. Tetapi dari segi rasa, udang galah bersaiz lebih kecil atau sederhana yang lebih sedap dan manis isinya," katanya.
  
Resipi
 Mee Bandung (untuk 4-5 hidangan)
  
  Bahan A (dikisar)
   * Cili kering - 50g
   * Bawang besar - 3 biji
   * Udang kering - 100g
   * Kacang tanah goreng - 50g
  
  Bahan B
  * Udang galah - 5 ekor
  * Telur - 5 biji
  * Air rebusan daging secukupnya
  * Mee kuning (dicelur) - 200g
  * Tauhu (digoreng) - 4 keping
  * Sawi (dicelur)
  
  Caranya:
   1. Tumis bahan-bahan yang dikisar.
   2. Masukkan air rebusan daging dan udang galah. Masukkan gula, garam dan serbuk perasa secukupnya. Didihkan.
   3. Masukkan telur sebiji demi sebiji.
   4. Hidangkan bersama mee, tauhu goreng dan sayur sawi.
   5. Taburkan sedikit bawang goreng.
  
Terima kasih: Restoran Bisik Bisik Lot 9 & 10, Jalan Zirkon 7, Kompleks Anjung 7, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor.
  
INFO:
  
Udang galah
  
  * Sihat bagi individu yang berkolesterol normal
  
  * Mengandungi 21 peratus vitamin B12, iaitu nutrisi penunjang bagi pengeluaran sel darah merah sehingga dapat membantu mencegah penyakit anemia. Vitamin B12 itu juga membantu pembuatan DNA yang terdapat pada tiap sel. Hal ini akan membuat metabolisme protein, karbohidrat dan lemak dalam sel tubuh berkeadaan sempurna.
  
  * Udang kaya kandungan zat besi yang juga penting dalam pembentukan tenaga. Bagi yang kurang zat besi, digalakkan memakan udang galah. Tenaga yang akan diperoleh tidak akan berlebih kerana kalori yang dikandungnya tidak tinggi.
  
  * Udang galah termasuk dalam kelas Crustacea yang memiliki kandungan fosfor dalam tubuhnya. Kalsium dan fosfor adalah dua zat yang akan bekerja bersama-sama membentuk tulang dan gigi yang kuat. Jika memakan udang, sebaiknya dimakan bersama kulitnya kerana kulit udang mengandung glucosamine yang bermanfaat untuk membantu pembentukan tulang rawan pada sendi tulang.
  
  * Sama seperti ikan, udang juga mengandung asid lemak penting, Omega-3. Penelitian menunjukkan bahawa Omega-3 dapat memberikan perlindungan kuat terhadap kemurungan.
  
  * Udang juga sumber magnesium yang baik. Kajian terkini menyatakan, magnesium dapat membantu mencegah berkembangnya diabetes peringkat kedua.
  
  Tip simpan udang galah
  
  * Elakkan terkena ais bagi kekalkan kesegaran.
  * Selepas dicuci masukkan dalam plastik atau bekas yang ditutup rapat.
  * Letakkan dalam bahagian beku peti sejuk.



No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...