Monday, December 10, 2012

TAMATKAN KEGANASAN


 Berita Harian 26 November 2012, Isnin


Oleh Nor Affizar Ibrahim


Tamatkan Keganasan



KEGANASAN terhadap wanita adalah masalah sejagat tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan atau budaya. Bahkan, di setiap negara ramai wanita dan gadis mengalami penderitaan serta kesengsaraan dalam pelbagai bentuk keganasan.
  
Ia berlaku di rumah, di jalan, di sekolah, tempat kerja, semasa konflik dan dalam keadaan keamanan. Hakikatnya, keganasan terhadap wanita bukan saja satu bentuk pencabulan ke atas hak asasi manusia, malah juga boleh dikategorikan sebagai satu jenayah.
  
Keganasan wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia turut menghalang untuk hidup secara terhormat dan menyekat mereka daripada mencapai potensi sepenuhnya.
  
Lebih buruk ia memberikan kesan negatif termasuk sosial dan ekonomi yang serius, menggugat serta memberi impak besar kepada masyarakat setempat dan kemakmuran dunia.
  
Apa yang dapat dilihat, usaha untuk menghentikan keganasan terhadap wanita banyak dibuat dan mendapat banyak sokongan tetapi jelas sekali tindakan serta program dibuat masih belum mencukupi.
  
Menyedari hal itu, sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada setiap 25 November, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, mengumumkan inisiatif baru yang akan menyoroti komitmen negara untuk menamatkan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, mencari tindakan berani serta kepemimpinan untuk menggemblengkan usaha menamatkan keganasan.
  
Lindungi hak wanita
  
Pengarah Eksekutif Wanita PBB, Michelle Bachelet, berkata pada masa ini, 125 negara mempunyai undang-undang yang menghukum keganasan rumah tangga.
  
Bagaimanapun, katanya sehingga kini tujuh daripada 10 wanita terus disasarkan untuk keganasan fizikal atau seksual dalam hidup mereka manakala 603 juta wanita hidup di negara iaitu keganasan rumah tangga masih dianggap bukan jenayah.
  
"Kita semua mesti melakukan yang lebih baik untuk melindungi wanita dan mencegahnya daripada berleluasa hingga melanggar hak manusia," kata Bachelet dalam satu kenyataan akhbar.

Inisiatif baru itu termasuk melakukan dan meminta kerajaan membuat komitmen yang akan dipamerkan di seluruh dunia dan menggalakkan negara untuk tampil dengan dasar baru untuk melindungi mangsa.
  
Tangani keganasan
  
"Kami berharap untuk melihat undang-undang baru dan lebih baik serta pelan tindakan kebangsaan yang menyediakan rumah yang selamat, perkhidmatan talian bebas dan kesihatan percuma dan bantuan guaman kepada mangsa," kata Bachelet.

  
Tambahnya, PBB bergantung kepada program pendidikan yang mengajar hak asasi manusia, kesamarataan, saling menghormati, memberi inspirasi kepada golongan muda untuk mengambil kepemimpinan dan menamatkan keganasan terhadap wanita serta gadis.
  
"Kita perlu meningkatkan bilangan wanita dalam politik, penguatkuasaan undang-undang, dan pasukan pengaman. Kita perlu peluang sama dalam ekonomi dan pekerjaan yang baik untuk wanita," tegasnya.
  
 Ada harapan tinggi bahawa kerajaan akan bersetuju dengan rangka kerja untuk menangani keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan pada Mac ketika sesi Suruhanjaya PBB seterusnya mengenai Status Wanita, yang dijangka memberi tumpuan kepada isu ini.
  
Pemahaman gender
  
Sementara itu, menyorot senario keganasan wanita di Malaysia, Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, berkata walaupun sudah banyak program dan ada beberapa akta khusus diperkenalkan, sejak dulu hingga sekarang masih berlaku penganiayaan serta penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, di negara ini.
  
Katanya, NCWO juga banyak terbabit langsung dalam program berkaitan menangani masalah keganasan terhadap wanita, termasuk isu memperdagangkan wanita, pelacuran tanpa rela, keganasan dalam rumah tangga dan gangguan seksual.
  
"Masih ramai menganggap keganasan hanya berlaku di rumah. Sedangkan, keganasan terhadap wanita berlaku di mana-mana, bila-bila masa dan boleh membabitkan orang yang dekat dengan wanita itu sendiri. Selain itu kita juga dapati, ada yang mengetahui ada akta tertentu untuk melindungi mereka tetapi tidak mahu membuat tindakan susulan. Antara faktornya ialah malu, takut dan tidak berdaya untuk bertindak untuk membela nasib mereka sendiri.
  
 "Semua ini juga ada kaitan dengan kuasa dan memperkasakan diri sendiri. Justeru, lazimnya, tertindas dan teraniaya adalah wanita yang sering dianggap lemah manakala menindas atau membuli pula adalah lelaki kerana golongan itu dilihat ada kuasa serta mendominasi hidup wanita. Akhirnya, wanita terus menjadi mangsa apatah lagi jika tiada perasaan hormat, belas kasihan dan tidak faham tanggung jawab sebenar perlu dimainkan," katanya.
  
Faridah berkata, konstruk sosial dalam masyarakat khususnya mengenai pemahaman terhadap gender perlu diperbetulkan supaya tidak timbul siapa yang lebih berkuasa, sebaliknya mesti ada satu perkongsian yang boleh mewujudkan rasa hormat, tahu peranan masing-masing dan saling memerlukan antara lelaki serta wanita.
  
Pada masa sama, Faridah turut menggesa supaya lebih banyak sistem sokongan diwujudkan di negara ini supaya wanita yang menjadi mangsa dapat dibantu dan tidak terdaya untuk membebaskan diri daripada masalah itu.
  
INFO

Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita
  
* Pada 17 Disember, 1999, Perhimpunan Agung PBB menetapkan 25 November sebagai Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita.
  
 * Keganasan wanita mengambil pelbagai bentuk fizikal, seksual, psikologi dan ekonomi.
  
 * Bentuk keganasan didefinisikan saling berkaitan dan menjejaskan wanita dari lahir hingga usia tua.
  
 * Sambutan di seluruh dunia lazimnya diadakan dengan pelbagai aktiviti oleh kerajaan, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai keganasan terhadap wanita.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...