Berita Harian, 8 Disember2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Wanita Perlu Sedia Hadapi Peralihan Era ICT
WANITA perlu peka dan bersedia dengan peralihan dalam teknologi komunikasi maklumat (ICT). Ini berikutan, pembangunan masa depan Malaysia turut bergantung kepada wanita yang kini menjadi hampir separuh daripada sumber tenaga kerja di negara ini.
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, berkata fungsi wanita penting dan kejayaan menguruskan perubahan dalam dunia masa kini juga bergantung kepada penyertaan cergas mereka dalam proses globalisasi.
“Globalisasi dan revolusi maklumat berkait rapat dengan ICT. Malah, ICT mengubah persaingan pada peringkat dunia. Dulu, kelebihan saingan sesebuah negara bergantung pada faktor buruh, tanah dan sumber asli. Tetapi, kini ia berdasarkan pada potensi untuk mengeluar, memperoleh, mengguna dan menyebarkan pengetahuan.
Justeru, wanita Malaysia perlu bersedia dan meningkatkan pengetahuan dalam ICT, terutama bagi memenuhi cabaran penyertaan mereka dalam k-Ekonomi,” katanya ketika berucap pada Seminar ICT Memperkasakan Wanita yang diadakan di Pusat Pameran Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini.
Seminar anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kebangsaan itu diadakan sempena Minggu ICT Malaysia 2002.
ICT berpengaruh
Nuraizah berkata, penyebaran ICT memberi banyak manfaat dari segi penghasilan, penyebaran maklumat dan pembinaan rangkaian dalam semua bidang. Kesannya juga positif dan begitu berpengaruh dalam kehidupan seharian pada masa kini.
“ICT tidak mengenali gender, kaum, peringkat umur dan juga kecacatan bagi golongan kurang upaya. Penggunaan ICT akan bertambah luas dan lebih penting kerana ia membawa banyak kebaikan dan meningkatkan kecekapan. ICT juga boleh menjadi alat pemudah dan pemangkin yang boleh mengambil alih pelbagai proses yang dahulunya dibuat secara manual,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, realiti ini menyebabkan masyarakat hari ini semakin bersaing, dinamis dan inovatif. Sehubungan itu, wanita perlu proaktif dari sekarang untuk melengkapkan diri sebarang cabaran yang sukar dijangka.
Tingkatkan kemahiran
Sementara itu, Ketua Eksekutif FSBM Internexia Sdn Bhd, Bismillah Kader, berkata wanita perlu memperkasakan diri dalam meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan kemudahan dalam ICT.
Katanya, wanita di Malaysia ada banyak peluang menyertai ICT. Negara ini ada agenda nasional, Wawasan 2020 yang menetapkan matlamat dan objektif tertentu bagi membangunkan peluang pembangunan jangka panjang dalam ICT.
“Malaysia sudah pun dikenali membangunkan Koridor Raya Multimedia yang menjadi langkah pertama dunia untuk membantu individu dan syarikat menguji batas teknologi dan persediaan diri mereka sendiri pada masa hadapan. Malaysia juga sudah melabur dalam persekitaran yang menggalakkan inovasi dan membantu kumpulan serta individu di Malaysia serta antarabangsa bagi mencapai medan teknologi baru itu,” katanya yang membentangkan kertas kerja bertajuk, ‘ICT dan E-Learning’.
Bismillah berkata, rancangan percubaan pertama kebangsaan, bengkel Latihan Rangkaian Wanita Elektronik (WENT) di Filipina, baru-baru ini, berjaya melatih 20 wanita dari pelbagai organisasi termasuk pertubuhan wanita, gabungan korporat, kesatuan perindustrian, kumpulan media dan lain-lain lagi.
“Di Bratislavia dan Slovakia juga ada melancarkan portal baru wanita sebagai sumber kunci talian terus bagi maklumat yang berkaitan wanita.
Begitu juga di Seoul, New York, Bogota-Colombia dan Dakar, Senegal yang ada projek bagi meningkatkan komunikasi dan rangkaian wanita memperkasakan diri mereka. Malah, di Kabul, 180 guru wanita dan 50 guru lelaki juga mengadakan bengkel latihan 10 hari, baru-baru ini, bagi tujuan meningkatkan maklumat komunikasi.
“Semua senario ini jelas menunjukkan, wanita di seluruh dunia ada potensi dan kemudahan untuk meningkatkan pengetahuan dan harus berterusan mempelajari sesuatu yang baru,” jelasnya.
Kata Bismillah, setiap era ada banyak cabaran yang menunggu. Namun, pada era hari ini, salah satu cabaran yang perlu dikenal pasti ialah bagaimana memastikan kesaksamaan peluang untuk semua bagi kemudahan pendidikan. Di samping, memikirkan bagaimana ICT boleh membantu dalam hal berkaitan bagi mewujudkan persekitaran untuk semua, terutama bagi golongan kurang upaya.
Kreaativiti model perniagaan
Pengarah Urusan Think Plus Consulting Bhd, Dr Norsaidatul Akmar Mazelan, yang membincangkan topik, ‘ICT dan Dunia Perniagaan’, berkata ada beberapa cara untuk membawa lebih ramai pembabitan usahawan wanita dalam ICT.
Antaranya ialah menerusi pembangunan usahawan dan memahami kreativiti model perniagaan. Selain itu, adalah penting memahami nilai dan platform perniagaan yang berjaya.
“Kebanyakan usahawan ada pengetahuan, kemahiran dan perniagaan tetapi tidak boleh berkembang jauh. Ini kerana kebanyakannya tidak mempunyai model perniagaan strategik bagi merebut peluang perniagaan seperti mendapatkan kontrak. Sebenarnya, kita perlu ada peraturan bagi mewujudkan nilai seorang usahawan,” terangnya.
Dr Norsaidatul berkata, kreativiti yang tinggi juga penting untuk seorang usahawan kerana ia membantu memindahkan pengetahuan yang sedia ada bagi meningkatkan perniagaan.
Alternatif gaya hidup
Turut membentangkan kertas kerja ialah pengasas Mothers For Mothers, Cheong Sheau Ching, yang menyampaikan tajuk ‘Kerja @ Rumah — Alternatif Pilihan’.
Cheong berkata, bekerja dari rumah ialah pilihan berdaya maju bagi alternatif gaya hidup hari ini, terutama mereka yang menggunakan ICT.
“Jika wanita memilih bekerja dari rumah dengan menggunakan kemudahan ICT, banyak kelebihan yang diperolehnya. Ia termasuk mengimbangi kehidupan di rumah dan kerjaya. Kasih sayang, perhatian dan tumpuan masa untuk anak dapat diberikan lebih berbanding bekerja di pejabat. Lebih-lebih lagi dengan pendedahan yang diterima oleh anak zaman sekarang dan sikap mereka yang kreatif, keadaan semasa menuntut ibu hari ini lebih cekap dan perlu meluangkan masa bermutu dengan mereka,” katanya yang sudah tujuh tahun membabitkan diri kerja dari rumah.
Cheong berkata, bekerja dari rumah juga dapat memberikan kepuasan tersendiri kerana individu tidak terikat dengan waktu kerja yang rutin setiap hari. Sebaliknya, ada kebebasan dan keanjalan waktu untuk melakukan kerja di rumah dan juga kerja yang memberikan sumber kewangan.
“Kerja dari rumah yang
menggunakan ICT terbuka luas pada masa kini. Antara kerja yang boleh
dibuat dari rumah adalah terjemahan, perniagaan menerusi ICT dan
teleperhubungan yang mewakili syarikat tertentu.
“Wanita bekerja yang mahu berhenti kerja, bercadang bekerja dari rumah, suri rumah yang mahu menambahkan pendapatan keluarga atau mencari kepuasan diri serta ibu tunggal atau isteri malang yang baru memulakan penghidupan baru, mungkin boleh memilih salah satu dari pekerjaan itu jika berhasrat bekerja menggunakan ICT dari rumah,” katanya.
“Wanita bekerja yang mahu berhenti kerja, bercadang bekerja dari rumah, suri rumah yang mahu menambahkan pendapatan keluarga atau mencari kepuasan diri serta ibu tunggal atau isteri malang yang baru memulakan penghidupan baru, mungkin boleh memilih salah satu dari pekerjaan itu jika berhasrat bekerja menggunakan ICT dari rumah,” katanya.
Beliau berkata, wanita bekerja dari rumah sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Cuma hari ini, pendekatannya sudah berubah, iaitu dengan menggunakan ICT dan ia bersesuaian dengan perkembangan teknologi.
No comments:
Post a Comment