Oleh Nor Affizar Ibrahim
“MUMMY,
bawa balik bayi lelaki comel”. Dalam keadaan menahan sakit, Shariza
(bukan nama sebenar) masih terdengar pesanan anak ketika dibawa ke bilik
bersalin.
Pesanan anak
sulung itu jugalah yang menjadi harapannya. Syukur, sepanjang mengandung
sembilan bulan anak kedua, Shariza langsung tiada menghadapi sebarang
masalah. Bagaimanapun, ketika detik hendak bersalin, tempoh 13 jam amat
serik baginya.
Selepas selamat bersalin, Shariza terus diuji
apabila doktor memberitahu, bayi dilahirkan didiagnos sindrom down.
Berita itu amat mengejutkan dan membuatkan fikirannya mulai berkecamuk
dan kebingungan.
Beberapa hari selepas itu, doktor mengatakan
bahawa bayi dilahirkan turut mengalami masalah pendengaran, bisu dan
buta. Rentetan semua itu, Shariza terpaksa mendapatkan bantuan
psikiatrik selama setahun untuk menenangkan keadaan dan perasaan yang
tertekan. “Mengapa berlaku kepada saya?” Soalan itu sentiasa bermain di
fikiran.
Realitinya, amat mengharukan perasaan seorang ibu
apabila diberitahu doktor bahawa anak yang baru dilahirkan adalah tidak
normal. Ibu bapa akan melalui perasaan sedih, marah, rasa bersalah,
terharu dan seterusnya menyebabkan kemurungan.
Presiden Persatuan
Sindrom Down Malaysia (PSDM), Prof Madya Dr Sharifah Zainiyah Syed
Yahya, berkata reaksi awal kebanyakan ibu bapa apabila bayi didiagnos
sebagai sindrom down antaranya ialah mungkin penafian, rasa tidak
percaya dan pelbagai perasaan celaru serta muram.
“Fikiran dan
emosi akan berkecamuk dengan pelbagai soalan dan kemungkinan.
Bagaimanapun, lazimnya hubungan perasaan kasih sayang semula jadi antara
ibu dan anak akan timbul. Dari situ individu berkenaan akan mula
menerima hakikatnya.
“Reaksi dan perasaan ibu bapa dengan
kelahiran bayi sindrom down berbeza. Ada yang marah, terkejut, tidak
percaya, sedih, kecewa, rasa bersalah dan malu. Pada masa sama, terdapat
juga ibu bapa yang menerima berita ini dengan tabah dan tenang,”
katanya
Dr Sharifah Zainiyah menyedari masalah seumpama itu
mengasaskan PSDM pada 2000 bagi membantu dan memberi sokongan kepada ibu
bapa yang mempunyai anak sindrom down di samping, memberi khidmat
kaunseling kepada mereka mengenai kaedah perlu digunakan apabila
berdepan anak mengalami sindrom itu.
Beliau berkata, dengan
adanya organisasi seperti PSDM yang ditubuhkan khusus bagi memberi
perhatian terhadap keperluan kanak-kanak sindrom down di negara ini,
sekurang-kurangnya nasib mereka terbela dan mampu membesar seperti
kanak-kanak lain.
"Pada Februari 2003, rumah PSDM dibuka secara
rasmi, namun usaha memperkenalkan PSDM memerlukan usaha lebih keras
berbanding sebelumnya. Ini kerana bukan mudah untuk memberi kesedaran
kepada orang ramai, terutama ibu bapa yang ada anak sindrom down kerana
masih ramai enggan menerima anak seumpama itu,” katanya.
Bagaimanapun,
suatu perkara yang amat merangsangkan pada masa kini ialah senario
persekitaran sindrom down lebih baik dibandingkan 20 atau 30 tahun dulu.
Masyarakat sekarang banyak didedahkan dengan maklumat terbaru mengenai
sindrom membabitkan penyelidikan yang dilakukan dan semua ini menyumbang
peningkatan kualiti hidup kanak-kanak sindrom down.
Dr Sharifah
Zainiyah, berkata secara tidak langsung hasrat menjadikan PSDM sebagai
pusat operasi bagi membantu meningkatkan kemahiran, pembelajaran dan
perkembangan anak Sindrom Down juga
menunjukkan perkembangan positif, dengan bertambahnya ahli baru yang menyertai persatuan itu dari masa ke semasa
Beliau
berkata, PSDM disertai sekumpulan tenaga kerja sukarela yang membantu
kanak-kanak istimewa dengan memberi tunjuk ajar agar mereka mempunyai
kemahiran tertentu untuk menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.
“PSDM bersyukur kerana mempunyai banglo di Lingkungan U Thant yang boleh dijadikan pusat operasi
organisasi dan tempat bagi kanak-kanak sindrom down belajar mengenai kemahiran dalam bidang tertentu.
“Pusat
ini juga berfungsi sebagai pusat jagaan harian biasa bagi membantu ibu
bapa yang mempunyai anak sindrom down menempatkan anak mereka. Ini
kerana, ramai ibu bapa mengeluh dan menghadapi masalah dengan pusat
jagaan harian biasa yang tidak memenuhi keperluan anak mereka.
“Mereka
juga tidak yakin pusat jagaan biasa ini mampu membantu perkembangan
anak masing-masing dan lebih selesa sekiranya anak mereka diselia di
bawah program khusus oleh mereka yang berkemahiran,” katanya lagi.
Antara
program lain PSDM ialah rangsangan dan intervensi, kemahiran vokasional
dan kemahiran hidup, terapi, kaunseling, khidmat perubatan, ceramah,
seminar, bengkel untuk ibu bapa dan perjumpaan ibu bapa untuk berkongsi
masalah serta pandangan.
Mengenai masa depan anak sindrom down,
Dr Sharifah Zainiyah berkata setiap kanak-kanak itu mempunyai tahap
ketidakupayaan akal yang berbeza dan pendekatan lebih khusus perlu
dilaksanakan
“Pencapaian pelajar sindrom down di Malaysia ketika
ini belum boleh dibanggakan malah ada mereka masih hidup bergantung
kepada anggota keluarga dan tidak mampu berdikari. Malaysia harus
mencontohi negara maju jika hendak melahirkan golongan kurang upaya
seperti ini menjadi masyarakat yang mampu menyumbang kepada kemajuan
negara," katanya.
Beliau turut menegaskan, kanak-kanak sindrom
down sebenarnya ada kemampuan jika dilatih sejak bayi. Mereka boleh
berdikari jika dilatih dengan sabar menggunakan teknik pemulihan yang
betul. Paling penting semangat kental ibu bapa atau penjaga yang mesti
berusaha bersungguh-sungguh demi melihat kanak-kanak istimewa ini duduk
sebaris dengan kanak-kanak normal.
Beliau berkata, pendekatan
seperti ini harus dilakukan pada peringkat awal persekolahan dan pihak
berkenaan perlu memperkemas dan memperincikan lagi program pendidikan
khas dengan memberi penekanan kepada golongan pelajar yang bermasalah
dengan pembelajaran.
“Inilah juga yang diperjuangkan PDSM sejak
dulu dan Alhamdulillah, sudah ada beberapa perubahan dan kerajaan
semakin peka mengenai hal ini. Tumpuan membangunkan prasarana sistem
pendidikan khas untuk golongan bermasalah pembelajaran di negara ini
penting kerana Malaysia agak jauh ketinggalan berbanding negara maju
seperti Britain dan Amerika Syarikat.
“Sebagai contoh, sistem
pendidikan khusus di Amerika Syarikat berjaya melahirkan graduan dan
tokoh seni seperti ahli muzik serta penyanyi opera di kalangan golongan
sindrom down,” katanya turut menasihatkan ibu bapa agar tidak malu dan
tidak berterusan menyembunyikan anak sindrom down di rumah.
FAKTA
Sindrom down dihuraikan dengan terperinci oleh Dr John Langdon Down pada tahun 1866.
Sindrom
down adalah suatu kejadian rawak pada peringkat pembiakan sel bayi dan
kekerapannya dianggarkan satu dalam 800 kelahiran tanpa mengira jantina.
Perkataan ‘sindrom’ bermaksud, kumpulan yang mempunyai sifat tertentu seperti bentuk mata atau muka.
Walaupun
individu sindrom down mempunyai sifat tertentu, mereka secara amnya
berbeza dan akan mirip kepada ibu bapa atau keluarga.
Setiap
sindrom down adalah unik atas sebab darjah sifat yang diperoleh
berbeza. Kemampuan intelek mereka juga tidak bersandarkan sifat fizikal.
Sindrom
down ialah kepincangan kromosom yang kerap berlaku. Ia mudah dikenali
ketika kelahiran kerana ketegangan otot yang rendah, kedutan melintang
pada tapak tangan, bukaan di antara ibu jari kaki, bentuk muka yang rata
atau leper serta bentuk mata.
Pengesahan tepat sindrom
down hanya melalui analisa kromosom sebab tidak semestinya semua sifat
dinyatakan akan dilihat secara am.
Sindrom down bukan
sejenis penyakit tetapi adalah hasil daripada kejadian genetik yang
tidak diduga iaitu berlaku kelebihan satu kromosom dan sebabnya masih
tidak diketahui.
INFO
Persatuan Sindrom Down Malaysia
Ditubuhkan pada 11 Mei 2001.
Matlamat utama ialah meningkatkan kualiti kehidupan golongan sindrom down dan ahli keluarga.
Aktiviti
antaranya perkembangan sosial, kemahiran motor halus dan motor kasar,
lawatan sambil belajar dan rekreasi serta kraftangan, asas kemahiran
hidup dan urus diri serta permainan dan sukan.
Lokasi di No 79, Lingkungan U Thant, Kuala Lumpur.
Telefon: 03 42579818
Laman web: www.sindrom-down.org.my
No comments:
Post a Comment