Berita Harian, Khamis April 14, 2016
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Elak anak jadi mangsa individu Pedofilia
Pedofilia adalah suatu kelainan seksual (dan kejiwaan) pada seseorang yang punya tarikan kepada kanakkanak di bawah umur. Perkataan pedofilia ini berasal dari istilah Yunani iaitu paidophilia yang berrmaksud - pais (kanak-kanak) dan philia (cinta, persahabatan).
Penderita pedofilia tidak terbatas hanya satu jenis jantina saja. Umumnya, mereka tertarik dengan kanak-kanak yang belum baligh.
Banyak faktor yang boleh menjadi penyebab pedofilia. Salah satunya, individu terbabit mempunyai sifat memendam rasa atau tertutup. Penderita pedofilia ini punyai kecenderungan takut untuk bergaul dengan rakan sebaya dengannya.
Ini berikutan, kegagalan individu terbabit ketika penyesuaian diri dengan lingkungan sosial dan gagal membina hubungan interpersonal. Justeru, mereka akan mencari orang yang lebih kecil dan muda sehingga boleh dipengaruhi.
Pakar psikologi yang juga saintis tingkah laku seksual dari University of Toronto, James Cantor, di dalam satu artikel dipetik sebagai berkata, bukan mudah untuk kita mengenali seorang pedofilia, iaitu individu yang mempunyai keinginan mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak.
Katanya, ini kerana individu pedofilia, begitu berahsia dan hanya segelintir saja yang sanggup mengakui dirinya seorang pedofil.
Tiada batasan usia
Tidak ada batasan umur pada penderita pedofilia. Ertinya, penderita boleh berusia berapa saja, sekalipun dalam kalangan yang berusia tua.
Penderita pedofilia juga tidak hanya dialami orang yang belum mempunyai pasangan, sebaliknya boleh terjadi dalam kalangan yang sudah mempunyai pasangan, bahkan punya anak.
Pedofil lazimnya, mempunyai beberapa sifat yang khas antaranya obsesif. Mereka akan mengetahui semua hal yang berhubungan dengan mangsnya.
Pedofilia juga bersifat predatori iaitu pelakunya akan melakukan segala upaya dan cara untuk memburu mangsa yang diinginkannya.
Selain itu penderita pedofilia ini biasanya mempunyai jiwa yang kurang stabil dan mudah berubah-ubah. Mereka melakukan pelbagai cara untuk mencapai tujuan.
Pertubuhan Psikiatri Amerika, mendefinisikan pedofilia sebagai minat seksual yang menetap, kuat dan berulang terhadap anak belum baligh yang berumur kurang daripada 13 tahun.
Minat itu muncul intensif minimum enam bulan dalam bentuk fikiran, fantasi, dorongan, ghairah atau aktiviti seksual. Jika minat itu tidak disalurkan, mereka akan stres, tertekan dan mengalami pelbagai masalah interpersonal yang membuatnya sukar bersosialisasi dan mengendalikan emosi.
Elak anak jadi mangsa
Sementara itu, kanak-kanak yang menjadi sasaran penderita pedofila adalah kerana mereka biasanya lemah, menurut kata dan mudah dipujuk atau diancam.
Pakar psikologi sependapat, hingga hari ini belum ada ubat untuk mengatasi gangguan pedofilia. Malah, penyebab pasti pedofilia juga belum diketahui.
Beberapa penelitian dan kajian mengenai pedofilia masih diteruskan, termasuk ahli neurologi, genetik dan psikologi bagi menemui jawapan yang lebih tepat.
Bagaimanapun, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi anak mereka supaya tidak menjadi mangsa penderita pedofila.
Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan kes, pelaku pedofilia adalah orang yang kenal dekat dengan mangsa. Justeru, perlu ada langkah pencegahan sewajarnya, sebelum terlambat.
PANDUAN
Antara perkara boleh dilakukan untuk melindungi anak daripada sasaran pedofilia.1. Percaya kepada apa yang dikatakan anak
Ketika anak mengungkapkan mereka mengalami gangguan seksual, hampir 98 peratus yang dikatakan adalah kebenaran.
2. Awasi anak
Gangguan seksual terjadi ketika seorang anak sendirian dengan individu pedofilia di dalam kereta, tandas, ruang kosong atau lorong, atau kawasan tersembunyi dari tempat umum seperti khemah ketika berkhemah bersama dan sebagainya. Hindari membiarkan anak sendirian tanpa pengawasan.
3. Pantau komunikasi
Jangan biarkan golongan dewasa yang tidak dikenali berkomunikasi peribadi atau sendirian dengan anak. Ini termasuk melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) WhatsApp, twitter, Facebook, panggillan telefon dan sebagainya.
Jangan lupa masalah kekerasan seksual kepada anak juga boleh membabitkan orang terdekat, seperti bapa saudara, jiran dan lain-lain lagi.
4. Kata yang benar untuk bahagian tubuh
Pastikan anak tahu dan menggunakan kata-kata yang benar untuk bahagian peribadi mereka: kemaluan, zakar, vagina, payudara, puting dan sebagainya.
Jika mereka mulai merujuk ke vagina sebagai sesuatu yang boleh 'dinikmati', anda harus mulai menanyakan secara terperinci kepada anak siapa yang memberitahu hal berkenaan pertama kepada mereka.
5. Situasi rumah tangga tidak aman
Bapa yang kurang peduli atau kedua-dua orang tua terlalu sibuk dan keluarga yang bercerai, boleh membuatkan anak kurang perhatian. Anak yang sedih, kesepian, atau penuh konflik lebih mudah untuk dimanipulasi oleh individu pedofilia.
6. Komunikasi yang baik
Jangan beri reaksi berlebihan ketika anak mulai bercerita pengalamannya yang mungkin bernuansa seksual. Dengarkan ceritanya secara lengkap. Reaksi berlebihan, bahkan menganggap anak berbohong, boleh membuatkan anak menyimpan sendiri ceritanya.
7. Bawa anak jumpa pakar
Jika anda tidak berdaya menangani masalah sendirian, jalan terbaik bawa anak berjumpa pakar. Ini kerana jika ibu bapa terus mendesak bercerita, anak mungkin berasa tertekan dan akhirnya, akan menyimpan rahsia atau penderitaan dialami.
No comments:
Post a Comment