Monday, March 5, 2018

WANITA BANDAR CEPAT TUA

Berita Harian, Isnin Januari 23, 2017


Wanita bandar cepat tua

Susunan:  Nor Affizar Ibrahim


Kehidupan di bandar besar mungkin disenangi ramai kerana banyak kemajuan yang dicapai serta ada pelbagai kemudahan bagi membantu mempercepat dan memudahkan segala urusan atau tugas harian.
    Bagaimanapun, tinggal di kota tidak semuanya memberikan kebaikan atau baik belaka.

Ini berikutan, mereka yang tinggal di bandar, lebih terdedah kepada proses yang tidak menyenangkan iaitu penuaan -kulit lebih cepat kering, nipis, kedutan, kehilangan keanjalan dan sebagainya.
  Walaupun, hakikatnya penduduk luar bandar lebih banyak menghabiskan masa di bawah terik matahari dan lebih terdedah kepada kesan bahaya penuaan dari segi ultra lembayung, didapati mereka tinggal di bandar lebih banyak terdedah kepada beberapa kesan lain yang menyebabkan penuaan.
 

Kulit kedut usia 30  


Hasil satu kajian dijalankan sebuah syarikat pengeluar penjagaan diri dan kecantikan, mendapati wanita yang sering terkena pencemaran asap dari kenderaan dan persekitaran lainnya mengalami kulit kedut ketika usia mencapai 30 tahun.

  "Anda yang tidak ingin kelihatan tua atau selalu ingin awet muda lebih baik banyak mengambil makanan kaya antioksidan, seperti sayuran hijau dan lemak ikan. Dua makanan itu boleh meneutralkan radikal bebas," kata pengkaji.
    Pakar yang membuat kajian itu membuat kesimpulan, bahawa kulit mereka yang tinggal di bandar besar lebih terdedah kepada proses tidak menyenangkan iaitu penuaan.
  Ini merangkumi, kulit lebih cepat kering dan nipis, ditutup dengan kedutan, bintik serta kehilangan keanjalan.
  "Keputusan kajian kami menunjukkan, hidup di bandar besar mempercepatkan penuaan kulit sebanyak 10 peratus," kata pakar.
 

Punca pencemaran

 
Kajian itu membabitkan 200 wanita berusia 35 hingga 45 tahun yang mana separuh tinggal di bandar besar, manakala separuh lagi di kawasan luar bandar dengan masing-masing mempunyai gaya hidup hampir sama.

  Pakar berkata, pencemaran udara bandar berpunca daripada bahan kimia berbahaya, terutama oleh ekzos kereta dan pengeluaran perindustrian.
  Kesan udara kotor pada kulit begitu banyak sehingga sukar untuk menanganinya walaupun melakukan rutin penjagaan kulit.
  "Ia menyebabkan keradangan pada kulit dan kerosakan kolagen menyebabkan keanjalan berkurangan, sekali gus mempercepatkan pembentukan kedutan dan penuaan," kata pakar.
 

Fungsi krim tabir suria

 
Sementara itu, pakar dermatologi, Prof Dr Mona Gonahara dari Yale School of Medicine, berkata lebih kurang 90 peratus tanda penuaan disebabkan pancaran sinar ultra lembayung (UV).

  Katanya, kebiasaannya kebanyakan wanita yang hidup di negara tropika hanya mengenakan krim tabir suria ketika sedang berjemur di pantai, berenang, dan beriadah pada waktu pagi.

  "Krim tabir suria bukan pelengkap perawatan kecantikan saat anda beriadah. Anda harus mengenakannya setiap hari, meskipun banyak aktiviti dilakukan di dalam bangunan," kata Dr Gonahara.
  Beliau berkata, kulit yang sering terdedah sinar matahari lebih mudah beransur kedut dan mengalami penuaan.
  "Penuaan disebabkan faktor lain, selain sinar matahari, sering terjadi kepada wanita yang hidup di kota besar. Ini termasuk, radikal bebas hasil dari pencemaran udara sangat buruk untuk kulit. Sebab itulah penuaan dalam kalangan wanita bandar lebih cepat daripada wanita luar bandar," katanya. - AGENSI






No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...