Berita Harian, Selasa Jun 12, 2012
Oleh Nor Affizar Ibrahim
Detik Kasih Sayang
MENYUSUKAN bayi antara detik penting dan istimewa bagi ibu mahupun bayi. Justeru, sebelum penyusuan dapatkan kedudukan paling selesa terlebih dulu apabila ingin menyusukan si manja.
Sebaik saja ibu dan bayinya membiasakan diri dengan cara dan kedudukan paling selesa, si ibu boleh menyusukan si manjanya di mana-mana saja dan menjadikan rutin ini satu pengalaman yang paling menyeronokkan!
Apabila menyusukan bayi di rumah, ibu mungkin mahu menyediakan ruang khas, hanya untuk dirinya dan si manja.
Lokasi
MANA-mana ceruk dalam rumah boleh dijadikan ruang menyusukan bayi, asalkan ibu boleh bersendirian dengan bayinya. Ibu yang mahukan suasana tenang, sepi dan tenteram boleh menjadikan mana-mana bilik dalam rumah atau bilik bayi menyusukan bayinya.
Dapatkan keselesaan
IBU memerlukan kerusi selesa untuk menyusukan bayinya. Untuk mencegah sakit belakang, ibu boleh meninggikan kaki dengan meletakkan kaki di atas tempat letak kaki. Jika perlu letakkan bantal di keliling untuk menyokong ibu dan bayi.Bertenang
TUGAS menyusukan bayi menjadi lebih mudah apabila ibu dan bayi dalam keadaan tenang. Jika ibu perlu menjalankan pelbagai tugas dan menjaga anak lebih besar dalam rumah, sebaik-baiknya tarik nafas panjang dan tenangkan perasaan sebelum menyusukan bayi.Ada kalanya ibu berasa seronok menghabiskan masa sendirian bersama si manja. Anda boleh memalapkan lampu, memainkan muzik perlahan dan membiarkan hormon penyusuan yang menenangkan serta membelai perasaan mengalir dalam seluruh badan.
Kedudukan
SEPERTI kata pepatah `alah bisa tegal biasa'. Selepas menemui cara dan kedudukan paling selesa menyusukan bayi dan membiasakan diri, kebanyakan ibu boleh menyusukan bayi hampir dalam apa saja kedudukan, pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.
Selepas agak puas menyusu, ibu akan mendapati bayi menghisap beberapa kali dan kemudian berhenti, menghisap lagi dan berhenti lagi. Selang tempoh berhenti menghisap ini kemudian semakin panjang. Di peringkat ini, jangan tarik puting dari mulut bayi. Ibu patut membiarkan bayinya menyusu tanpa gangguan hingga bayi sendiri melepaskan puting atau apabila bayi tertidur. Akhir sekali, jangan lupa sendawa bayi selepas setiap kali menyusu!
Bagi ibu baru tidak perlu bimbang kerana petua berikut dapat membantu anda mencari cara dan kedudukan yang paling sesuai dan paling selesa untuk menyusukan si manja.
INFO
Kedudukan apabila menyusukan bayi
1. Kedudukan lengan bersilang
Kedudukan ini sesuai jika bayi kecil atau sakit. Ia membolehkan ibu menyokong kepala dan juga badan bayi, memudahkan ibu baru menyesuaikan diri dengan kedudukan ini. Pastikan kepala bayi tidak dipegang terlalu kuat hingga mengekang pergerakan.
2. Kedudukan buaian
Lengan bayi anda melekap di sisi anda. Pastikan kepala bayi tidak terlalu jauh ke dalam lengkuk lengan dan payu dara tidak tertarik ke sebelah.
3. Kedudukan bawah lengan
Kedudukan ini amat sesuai jika ibu melahirkan bayi kembar. Ia membolehkan ibu melihat dengan jelas mulut bayi menangkap puting dengan betul. Pastikan bayi tidak membengkokkan leher hingga dagunya menekan dada.
4. Baring mengiring
Kedudukan ini membolehkan ibu berehat, lebih-lebih lagi jika melahirkan bayi menerusi pembedahan.
Pastikan hidung bayi pada aras yang sama dengan puting ibu dan bayi tidak perlu mendongak untuk menangkap puting ibu.
No comments:
Post a Comment