Tuesday, February 20, 2018

KONTROVERSI ATAU HAK?


Berita Harian, Selasa, Jun 5, 2012

Oleh Nor Affizar Ibrahim


Kontroversi atau hak?


SEKSUAL, hak dan reproduktif kesihatan ­ mengapa dituntut, dibincang dan dipersoalkan? Barangkali ada berpandangan sinis dan tidak senang, apabila ketigatiga perkara itu diaju dan dikatakan secara terbuka, malah isu berkenaan jika salah faham boleh juga mengundang kontroversi.

Realitinya, seksual, hak dan reproduktif kesihatan tidak tertumpu satu perkara saja, sebaliknya meliputi pelbagai isu dan aspek. Ini termasuklah, mengenai kesihatan dan kematian ibu, penghantaran bantuan, kehamilan selamat dan kesihatan bayi yang baru lahir serta sebagainya. Malah, ia juga berkaitan dan meliputi akses wanita untuk mendapatkan maklumat mengenai kesihatan seksual dan ibu, saringan serta rawatan kanser daripada merebak, kaedah perancang keluarga moden, rawatan kemandulan, saringan, rawatan dan pencegahan HIV serta banyak 
Justeru, penjelasan isu seksual, hak dan reproduktif perlu dibuat berterusan kerana seiring dengan perubahan aliran, ada cabaran mahupun isu baru perlu ditangani. Selain itu, ada banyak perkara berkaitan mengenai hal berkenaan, masih belum diselesaikan atau pun tidak difahami ramai.

Isu paling kontroversi

Pengarah Eksekutif (ARROW), Sivananthi Thanenthiran, berkata perbincangan isu apa saja yang berkaitan seksual, hak dan reproduktif kesihatan hakikatnya memberikan kebaikan dan manfaat untuk semua. Malah, membantu untuk mencapai ke arah kehidupan lebih baik bagi masa depan, khususnya membabitkan generasi muda hari ini.

Antara isu paling kontroversi adalah hak wanita untuk mengakses perkhidmatan pengguguran selamat, penerimaan dan ketersediaan pendidikan komprehensif seksualiti untuk golongan muda serta perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif, terutama perkhidmatan bagi kebanyakan penduduk berisiko seperti pekerja seks, orang yang berbeza orientasi seksual dan identiti jantina serta golongan miskin.




"Keperluan membincangkan isu itu memang ada kerana golongan muda perlu didedahkan dan diberikan pendidikan mengenai hal ini. Kita tidak mahu ada remaja atau orang muda `terperangkap' dalam keadaan tidak sepatutnya seperti kehamilan tidak diingini kemudian membuang bayinya. Mereka perlukan sistem sokongan tetapi masalahnya, golongan ini tidak tahu dan tiada sumber untuk dapatkan bantuan mahupun sokongan," katanya.
Sivananthi memberitahu, statistik terkini mengenai perkembangan Matlamat Pembangunan Millenium tahun 2015 yang diisytiharkan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), menganggarkan 215 juta wanita dan gadis yang ingin melewatkan atau mengelakkan kehamilan seterusnya, tidak boleh menjalankan hak ini apabila tidak mempunyai akses kepada kaedah moden perancang kehamilan.

Kematian tidak diingini

"Senario ini menyebabkan kehamilan tidak diingini, pengguguran tidak selamat yang menyebabkan lebih daripada 350, 000 kematian ibu setiap tahun. Ini termasuk gadis di bawah umur 18 tahun dan wanita lebih 35 tahun yang boleh mengakibatkan mereka berisiko lebih tinggi daripada kematian biasa atau hilang upaya akibat kehamilan itu manakala bayi mereka juga mempunyai banyak risiko kesihatan.
"Fakta menunjukkan, 99 peratus kematian ini berlaku di dunia membangun. Malah, dua pertiga kemiskinan dunia berada di rantau Asia Pasifik. Justeru, fokus seksual, hak dan kesihatan reproduktif penting terutama dalam menyelamatkan nyawa bukan saja wanita, tetapi juga anak mereka.
"Penting sebenarnya bagi rangka kerja pembangunan baru global PBB dimaklumkan menerusi aspek realiti dan keperluan penduduk yang tinggal di sini dan memastikan bahawa hak asasi manusia mereka sudah dipenuhi dengan sebaik mungkin," katanya.
Bagaimana dengan perspektif Malaysia dalam isu kesihatan reproduktif ini? Sivananthi berkata, pada masa ini, keadaan di Malaysia mencapai tahap lebih baik berbanding negara lain di rantau ini, khususnya, dan seharusnya dijadikan contoh.


Maklumat tepat penting

Sementara itu, delegasi Indonesia, Nur Hidayati Handayani, 23, mewakili pertubuhan sukarelawan NGO, Aliansi Remaja Independen, yang banyak membantu golongan muda bermasalah, berkata selain mudah terpengaruh dengan rakan sebaya, keinginan remaja untuk tahu perkara berkaitan seksual dan kesihatan reproduktif amat tinggi.
"Amat penting memberikan maklumat dan fakta yang betul serta tepat. Sudah sewajarnya perkongsian maklumat antara orang dewasa dan juga orang muda, digalakkan bagi mengelakkan mereka mendapat maklumat silap daripada rakan sebaya yang mungkin cetek pengetahuan.
"Orang muda juga mesti tahu hak mereka terutama membabitkan kesihatan reproduktif. Tetapi pada masa sama, bimbingan yang sewajarnya perlu diberikan kepada mereka," katanya.
Nur Hidayanti yang juga Koordinator Kebangsaan berkata, keahlian pertubuhan itu terbuka untuk mereka berusia 10 tahun hingga 24 tahun. Katanya, melalui aktiviti dan program dianjurkan ahli digalakkan membabitkan secara aktif serta bertanya apa saja berkaitan kesihatan reproduktif, seksual dan hak mereka.
"Disebabkan terikat dengan adat budaya dan pengetahuan terbatas di Indonesia, masih banyak `pantang' yang tidak boleh dibuat dilanggar meskipun tujuan ia dibuat untuk kebaikan wanita itu.
"Contohnya, ada suami tidak membenarkan isteri membuat ujian saringan pap smear (calitan di pangkal rahim).
"Sehubungan itu, bimbingan dan kaunseling mengenai seksual, hak serta kesihatan reproduktif perlu didedahkan seawal remaja supaya apabila dewasa kelak, mereka boleh menerima serta memahami hal seumpama ini," katanya.



Malaysia contoh kejayaan kurangkan kematian akibat bersalin

SEJAK dua dekad yang lalu, kesihatan reproduktif wanita adalah satu isu hebat yang diperkatakan. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini pernah melaporkan setiap tahun, lebih daripada sejuta wanita di seluruh dunia mati akibat komplikasi kehamilan.
Penasihat Serantau Kesihatan Reproduktif & Kehamilan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO), Datuk Dr Narimah Awin, berkata berikutan itu kesedaran mengenai isu ini sepatutnya sudah meningkat dan mungkin ada yang sewajarnya menjadi realiti.
Bagaimanapun, katanya selain meningkatkan kesedaran dan melakukan banyak usaha dilakukan pelbagai pihak tertentu mengatasi masalah itu, ada cabaran lain yang harus ditangani.
"Di Malaysia, kesihatan kehamilan misalnya, sudah banyak berubah dan kadar kematian akibatnya juga sudah lama berjaya dikurangkan.
"Malaysia juga adalah negara yang boleh dijadikan contoh kepada negara lain. Begitu juga negara seperti Sri Lanka juga berjaya mengurangkan kadar kematian. Dengan pengenalan teknologi baru, program kesihatan diperkenalkan kerajaan dan bekalan ubat yang sedia ada serta usaha lain dilakukan kadar kematian berjaya dikurangkan.
"Namun, di negara yang masih belum membangun seperti Nepal, Bangladesh dan beberapa negara Asia Pasifik lain yang belum maju, angka kematian masih lagi tinggi. Ini berikutan, sistem kesihatan di kebanyakan negara miskin masih lemah dan ramai
wanita tidak mempunyai pengetahuan hal berkaitan kesihatan reproduktif," katanya.

Terikat sosial budaya

Narimah yang bertugas di India sejak Ogos 2010 dan bertanggungjawab mengawasi 11 negara termasuk India, Sri Lanka, Maldives, Myanmar dan Korea Utara berkata, pembabitan kerajaan amat penting dalam memastikan semua usaha dilakukan berkesan dan mencapai matlamatnya. Namun, bagi sesetengah negara ini tidak mudah dilakukan berikutan, timbul beberapa masalah lain seperti tidak mempunyai sumber yang banyak dan sebagainya.

Katanya, terikat dengan amalan sosial budaya juga boleh menjadi penghalang walaupun tujuan dilakukan dikatakan boleh untuk menyelamatkan wanita atau bayi berkenaan seperti pengambilan perancangan keluarga, menggugurkan kandungan dan sebagainya.
"Di Filipina misalnya, perancangan keluarga amat dibantah. Masalah lain termasuklah juga kesaksamaan gender yang mana wanita tiada kuasa untuk bersuara walaupun membabitkan kesihatan dirinya. Dalam sesetengah keluarga pula, ibu mentua mempunyai lebih kuasa terhadap wanita itu," katanya.
Tambahnya, punca kematian wanita ketika bersalin merangkumi pendarahan selepas bersalin, penyakit sawan, mengalami masalah anemia terutama membabitkan pengguguran dan cara pengguguran tidak selamat terutama di kalangan yang tidak berkahwin.
Narimah memberitahu, pada masa kini lima komponen menjadi keutamaan WHO dalam kesihatan reproduktif iaitu penjagaan kehamilan, memastikan perancangan keluarga yang terbaik termasuk berkaitan kesuburan, mencegah pengguguran yang tidak selamat, mengatasi masalah jangkitan berjangkit seperti HIV/AID; dan kesihatan seksual.











1 comment:

  1. Online gambling and gambling in Colorado | Dr.MCD
    제주 출장마사지 gambling-online-gambling › gambling-online-gambling Oct 13, 2021 — Oct 13, 전주 출장마사지 2021 Online gambling 여주 출장마사지 and gambling 충청북도 출장안마 in Colorado is now available in Colorado. Online gaming is now 안성 출장샵 available in Colorado.

    ReplyDelete

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...