Tuesday, February 13, 2018

WARNA CERMINKAN KEPERIBADIAN

Berita Harian, Isnin, Februari 10, 2003


Warna cerminkan keperibadian seseorang

Oleh Nor Affizar Ibrahim


`KITA adalah warna yang kita pilih'. Tentu ada yang tidak mempercayai dan menafikan kenyataan itu. Setuju atau tidak, kita tidak dapat lari daripada hakikat itu. Dalam kehidupan sehari-hari, tanpa sedar warna mempengaruhi peribadi dan ia juga cermin diri kita yang terselindung.
Pengamal dan pengajar rawatan alternatif Aura-Soma dari England, Collete Gerside, berkata warna berkait rapat dalam ruang lingkup kehidupan diri seseorang. Setiap pilihan barang yang dipakai mahupun dimiliki ada makna tersirat pada peribadi seseorang. Dan setiap warna yang digemari atau dibenci melambangkan keperibadian kita.
"Mengenali warna diri, sebenarnya anda mula mengenali personaliti anda yang sebenar. Tetapi tidak ramai yang menyedari dan memahami hal ini. Apabila hendak mengenali diri sendiri, ia harus bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan," kata Gerside yang singgah di Malaysia untuk berkongsi pengalaman mengenai Aura-Soma bersama rawatan alternatif ini.
Beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam terapi kesihatan holistik berkata, dengan mengenali dan menghalusi warna, seseorang juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda yang berkait rapat dengan inspirasi warna.


Suka warna tertentu


"Pada asasnya ramai menyukai warna tertentu sebagai kegemaran tetapi tanpa disedari itulah lambang atau curahan warna kelemahan dan kelebihan yang sedang dimilikinya. Selain itu, individu juga mungkin tidak menyedari bahawa potensi atau kecemerlangan diri amat berkait rapat dengan kekuatan dalaman atau gerak hati," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai Aura-Soma, beliau berkata, ia suatu kaedah terapi  holistik kejiwaan. Justeru, kuasa getaran warna, kristal dan aroma semula jadi bergabung dengan cahaya bagi mewujudkan perasaan harmoni pada badan, minda dan semangat individu.

Katanya, rawatan alternatif itu diasaskan pada 1984 oleh Vicky Wall, wanita Inggeris yang cacat penglihatan. Wanita mempunyai keistimewaan tersendiri itu menggunakan pengetahuan luas sebagai ahli farmasi untuk mengubati penyakit menggunakan bahan daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Malah, bidang itu sudah berkembang luas di seluruh dunia. Sehinggakan, sebuah kawasan seluas 240 hektar di Linclonshire, England, dijadikan ladang herba bagi kegunaan rawatan Aura-So-ma.
"Aura adalah manifestasi fizik. Justeru, jiwa setiap manusia memancarkan cahaya di sekeliling tubuhnya dengan warna-warni yang berubah setiap saat dan sesuai dengan keadaan jiwanya pada ketika itu. Seseorang yang sudah menguasai ilmu aura lazimnya akan mampu untuk mengetahui peribadi seseorang itu. Apakah dia berbohong atau tidak. Bahkan dengan ilmu ini, anda akan mampu mengenali lebih dalam jiwa seseorang," kata beliau.


Bantu kenali potensi


Katanya, melalui pendekatan terapi Aura-Soma ia dapat menyatakan desakan minda bawah sedar diri kita, siapa diri kita dan bagaimana pengalaman yang dilalui membentuk peribadi seseorang itu. Aura-Soma juga memandu dalam memahami mengenai warna yang kita pilih dan aroma yang berkaitan dengannya. Sekali gus, ia membantu kita mengenali potensi diri dan menjadi manusia yang lebih positif dan optimis mengenai kehidupan.
Gerside berkata, teknik terapi warna Aura-Soma menggunakan tiga rangkaian produk: Equilibrium, Pomanders dan Quintessences. Botol kecil equilibrium berisi lapisan cecair berwarna daripada minyak pati dan sari tumbuhan. Kebanyakan botol kecil ini ada dua lapisan warna dan ada 90 gabungan.
Lapisan atas mengandungi minyak pati dan kristal yang menghasilkan tenaga tersendiri serta melambangkan personaliti seseorang. Lapisan bahagian bawah pula berasaskan air yang diadun bersama herba, serbuk permata dan kristal yang mana ia mewakili jiwa atau perasaan seseorang.
"Berdasarkan gerak hati anda perlu memilih empat botol yang berisi paduan warna disukai. Kemudian, sapukan minyak pati pada kulit dan tiada batasan waktu berapa lama anda harus menyapu. Seterusnya, individu berkenaan diberikan pomander, iaitu pewangi berwarna yang mengandungi lebih 40 herba bagi mengembalikan tenaga dan membantunya melahirkan potensi diri yang terpendam.
"Quintessences pula mengandungi pati bunga-bungaan dan ia biasanya digunakan untuk membangkitkan semangat terutama untuk melegakan. Sepanjang sesi terapi, pengamal terapi Aura-Soma akan memberi garis panduan bagi memastikan anda memahami mengenai warna yang dipilih dan bagaimana ia berhubung rapat dengan kehidupan anda," jelas beliau.

Bayangkan warna diinginkan


Kata Gerside, ia boleh dipraktikkan sendiri. Bagaimanapun, cari tempat yang nyaman untuk duduk atau berbaring. Kemudian tarik nafas panjang- panjang, teratur dan perlahan. Bayangkan diri anda dikelilingi oleh warna tertentu yang diinginkan.
Ketika bernafas, bayangkan juga tubuh anda menghirup warna ini dan bayangkan warna itu menyebar di seluruh tubuh anda.
Ketika menghembuskan nafas pula bayangkan anda menghembuskan warna pasangannya dan akan dapat rasakan perubahannya. Malah, teknik ini elok dilakukan  sebelum tidur atau sebaik saja bangun pagi.




MENGENALI WARNA DAN SIFATNYA

Warna: Emas
* Positif: Banyak ilmu dan gemarkan kejayaan. Memiliki kemampuan kuasa semula jadi yang besar, sabar dan bijaksana serta suka menolong.
* Negatif: Gemar menyendiri dan bersikap terlalu tertutup.


 Warna: Putih
* Positif: Lebih mencerminkan sifat sabar, sopan santun, rendah diri, suka menolong dan gemar berjenaka serta mudah dipujuk apabila merajuk. Juga mempunyai fikiran yang bersih iaitu tidak banyak prasangka terhadap orang lain. Perasaan hati sentiasa tenteram dan hidup bertawakal.
* Negatif: Boros berbelanja

 Warna: Kuning
* Positif: Berjiwa lembut atau halus dan sentiasa mendapat perhatian. Penuh kasih sayang dan berhemah serta sentiasa ceria. Positif dan sangat optimis serta memiliki senyum yang luar biasa dan tidak suka didesak. Sangat setia kepada pasangan.
* Negatif: Sikap terlalu agresif mungkin membuat orang lain menjadi takut. Anda juga cengeng dan mudah menyerah.

Warna: Merah
* Positif: Bersikap berani, jujur, berdisiplin dan tegas. Sangat aktif dan disenangi serta bersikap terbuka. Anda juga senang menjadi pusat perhatian orang lain kerana kadang kala anda ingin mencuba segala-galanya. Suka tersenyum dan suka memberi atau menerima kasih sayang orang lain.
*  Negatif; Mempunyai perasaan pendendam yang tinggi, tamak dan mudah tersinggung

 Warna: Hijau
* Positif : Rajin dan jujur bekerja di samping, tekun serta sabar melakukan sesuatu. Pencinta keharmonian dan kedamaian serta sentiasa dahagakan ilmu.
* Negatif: Terlalu mudah percaya dan kadangkala pendirian yang teguh membuatkan anda seakan-akan kolot.

 Warna: Merah jambu
* Positif : Seorang yang tegas dan jujur. Anda juga suka membantu dan orang lain serta begitu teliti dalam semua perkara.
* Negatif: Tidak suka dibantah dan suka mendesak bagi memenuhi kehendak.

 Warna: Coklat
* Positif: Jika anda seorang wanita anda kaya dengan sifat keibuan. Suka merendah diri dan halus budi pekerti. Anda juga gemar menambahkan ilmu di dada.
* Negatif: Mudah dipujuk dan mempercayai orang. Cepat berasa was-was dan takut berbuat salah.

 Warna: Perak
* Positif: Mendengar kata dan pendengar yang baik dan disenangi orang lain.
*Negatif: Mudah putus asa dan cepat merendah diri.

Warna: Ungu 




* Positif: Humor dan rajin. Bersikap pemurah dan tidak suka diperintah. Mempunyai inisiatif yang keinginan yang tinggi dan meluap-luap.
* Negatif: Sombong dan sedikit emosi.

Warna: Hitam
* Positif: Prihatin, baik hati dan kuat menghadapi dugaan hidup. Tidak mudah dipengaruhi dan gemar berfikir serta setia pada pasangan.
* Negatif: Suka menyendiri dan cepat tersinggung, prihatin, tetapi cepat tersinggung.

Warna: Kelabu
*  Positif: Mendengar kata dan suka merendah diri. Sentiasa tenang dan suka mengalah, serta mudah berkorban.
* Negatif: Cengeng dan agak pemalas

Warna: Jingga
* Positif: Ramah, jujur dan rajin bekerja serta bercita-cita tinggi.
* Negatif: Cengeng dan cepat mengalah dengan tekanan.

* Warna: Biru
* Positif: Ada ketenangan atau kesejukan dalam diri anda dan juga menjadi warna kegemaran ramai. Cintakan kedamaian dan berharap dicintai ketika berada di mana-mana. Selain bertanggungjawab dan pandai menyimpan wang anda sering membuat orang lain berperasaan yang sama terhadap pandangan anda.
* Negatif: Bersikap terlalu memaksa orang lain terhadap kehendak anda dan ada kala bersifat angkuh.

No comments:

Post a Comment

BEBAN NAFKAH

Berita Harian, 19 Oktober 2012 Oleh Nor Affizar Ibrahim BEBAN NAFKAH Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas ...