Berita Harian, Selasa, Februari 8, 2005
Kanta sentuh untuk lebih bergaya
Oleh Nor Affizar Ibrahim
MATA kucing, harimau, kuda belang dan banyak lagi. Tidak sampai seminit, sepasang mata normal boleh bertukar menjadi mata unik seperti itu. Canggih sekali! Tetapi itulah realiti dunia kecantikan hari ini.
Keghairahan manusia moden untuk menyerlahkan penampilan berbeza dan pelik sekali gus, menjadikan dunia kecantikan hari ini semakin rumit.
Begitu juga dengan revolusi terkini bagi kanta sentuh. Pemakaian kanta sentuh kini bukan saja untuk golongan mempunyai masalah penglihatan tetapi juga demi kecantikan. Maka itu, tercipta pelbagai kanta sentuh yang mempunyai kesan canggih seperti mata haiwan, air dan api selain daripada kanta sentuh berwarna.
Perubahannya memang jelas misalnya, daripada sepasang mata bagaikan orang mengantuk atau mata yang sentiasa kelihatan kecil, kanta sentuh berwarna mampu mengubah penampilan wajah. Mata yang layu pula boleh bertukar menjadi garang atau galak jika mengenakan kanta sentuh seperti mata harimau dan kucing.
Kanta sentuh seumpama itu, memang sesuai dipakai jika ingin bergaya ke parti yang berkonsep atau menggunakan tema tertentu. Hakikatnya, kanta sentuh yang menampilkan pelbagai kesan seper ti mata haiwan mahupun aneka ragam warna akan mendatangkan kesan berbeza pada si pemakai.
Persoalannya, adakah kanta sentuh seumpama itu selamat dipakai, lebih- lebih lagi mata adalah antara pancaindera yang sensitif?
Pelbagai jenis
Prof Madya, Dr Norhani Mohidin dari Jabatan Optometri, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata kanta sentuh atau kanta lekap terus digemari ramai, khususnya remaja dan profesional muda.
Memakai kanta sentuh bukan saja memberi lebih keselesaan dan memudahkan untuk membuat pelbagai aktiviti tetapi menjadikan seseorang itu lebih berkeyakinan, kelihatan muda dan bergaya.
Jika dulu, pemakaian sentuh diperkenalkan kepada mereka yang
menghadapi masalah penglihatan tetapi rimas menggunakan kaca mata, kini kegunaannya semakin popular dalam bidang kecantikan.
Bagaimanapun, katanya ada pelbagai jenis kanta sentuh, termasuk kanta sentuh lembut, separa keras, pakai buang, kosmetik dan terapeutik.
Beliau berkata, hasil kajian rambang di negara ini mendapati, pemakaian kanta sentuh 79 peratus lebih popular di kalangan wanita, 67 peratus berusia 21 tahun ke atas manakala 70.1 peratus bertujuan untuk kecantikan.
"Kanta sentuh adalah alternatif untuk individu yang rabun jauh. Antara kebaikannya ialah memberi kesan medan penglihatan yang lebih luas berban ding memakai kaca mata. Pada masa kini, golongan muda terutama wanita lebih gemar menggunakan kanta sentuh kerana mementingkan kecantikan mahupun penampilan diri yang berdasarkan profesion. Mungkin pemakaian kanta sentuh membantu menukar gaya kehidupan dan membuatkan seseorang itu lebih berkeyakinan berbanding kaca mata," katanya ketika di temui, baru- baru ini.
Tidak faham cara pakai
Dr Norhani berkata, pengguna kanta sentuh di negara ini dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan kerana bertambahnya mereka yang menghadapi masalah rabun jauh. Gaya hidup masa kini yang terdedah begitu lama dengan penggunaan komputer dan menghabiskan banyak masa menonton televisyen boleh menjadi antara faktor menyebabkan semakin ramai yang mengalami masalah rabun jauh.
Beliau berkata, memakai kanta sentuh tidak salah dan tidak membawa kesan besar seandainya, cara pemakaian dan penjagaannya mengikut arahan serta nasihat pakar. Begitu juga bagi yang gemar memakai kanta sentuh pelbagai warna dan kesan, tiada halangan untuk memakainya walaupun tidak mengalami masalah penglihatan.
Tetapi katanya, pengguna mesti ingat setiap kanta sentuh adalah berbeza dan sebab itu khidmat pakar optometri diperlukan bagi memastikan tiada masalah berlaku. Selain itu, sebelum pemakaian kanta sentuh, pemeriksaan mata perlu dilakukan di samping mengetahui mengenai sejarah latar belakang, mata pengguna.
"Apa yang menjadi masalah ialah ada pengguna tidak faham mengenai cara pemakaian dan penjagaannya. Selain itu, ada yang mendapatkan kanta mata daripada pusat kecantikan yang bukan pakar dalam bidang optometri dan ini sepatutnya tidak boleh berlaku.
"Mata apabila tidak dijaga dengan baik boleh mendapat jangkitan dan menyebabkannya rosak. Pemakai berisiko tinggi untuk mendapat ulser mata dan kesan paling teruk ialah tidak dapat melihat atau menjadi buta. Perkara seperti itulah yang dibimbangi akan berlaku. Oleh itu, pengguna kanta lekap seharusnya peka dan tahu apa yang perlu dilakukan jika rasa tidak selesa atau ada masalah lain ketika memakainya.
"Bagi yang tidak sihat, demam dan selsema misalnya, mesti ingat ketika kesihatan terjejas memang tidak digalakkan memakai kanta sentuh kerana mudah terdedah dengan jangkitan bakteria atau di hinggapi virus," katanya turut memberitahu penjagaan kebersihan kanta sentuh berwarna dan mempunyai kesan khas adalah sama seperti kanta sentuh yang ada kuasa.
Selain itu, kanta sentuh akan terdedah kepada komponen air mata yang lama-kelamaan akan terlekat kepada permukaan kanta dan jika keadaan berterusan. Ini membawa kesan buruk kepada mata. Bagi yang berkongsi kanta sentuh pula terdedah kepada risiko penyakit Hepatitis B dan Aids.
Hadkan masa pemakaian
Dr Norhani berkata, walaupun teknologi kanta sentuh semakin canggih dan kini ada yang boleh dipakai sehingga 24 jam, untuk penjagaan mata pemakaian kanta sentuh sebaik-baiknya dihadkan di antara lapan dan sembilan jam sehari. Jika digunakan melebihi tempoh itu, pengaliran oksigen ke dalam mata akan berkurangan.
"Lazimnya seseorang memakai kanta sentuh lebih daripada tempoh yang ditetapkan iaitu sehingga 12 jam sehari. Ini akan membawa kepada risiko `corneal hypoxia' iaitu kematian sel kornea yang disebabkan oleh kekurangan oksigen. Oleh itu, beri masa untuk mata rehat seketika," katanya.
Beliau berkata, bagi sesetengah kes masalah penglihatan, pemakaian kanta sentuh khas ortokeratologi adalah antara jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasinya. Ini termasuk, masalah terapeutik yang menyebabkan bahagian kornea ada kabus sehingga anak mata tidak kelihatan. Satu lagi ialah masalah keratokonus iaitu secara fisiologi memperlihatkan mata seseorang itu kelihatan tersembul.
"Penggunaan kanta sentuh memang ada beberapa kebaikan terutama, dalam mengatasi masalah seumpama itu. Ia bukan untuk kecantikan semata-mata tetapi mendapatkan kembali bentuk asal mata semula jadi. Bagaimanapun, penggunaan kanta sentuh khas seperti itu tentu lebih mahal berbanding kanta sentuh biasa dan sudah tentu kes seperti itu dirujuk kepada pakar optometri. Harga kanta sentuh khas ortakeratologi ialah RM1,000 berbanding kanta sentuh biasa yang berharga RM200 lebih," katanya.
Panduan pemakaian dan penjagaan kata sentuh:
* Bersihkan dan basmi kuman pada kanta sentuh setiap hari seperti yang disarankan dan pastikan sentiasa dijaga dengan baik.
* Jangan sekali-kali melebihi tempoh pemakaian kanta lekap seperti yang disarankan.
* Jangan pakai kanta sentuh yang sudah rosak.
* Basuh tangan setiap kali hendak memakai kanta sentuh.
* Kuku yang panjang boleh menyebabkan kanta sentuh terdedah kepada kerosakan serta kecederaan ketika memakainya. Bagi mengelakkan kejadian seperti itu, elok berkuku pendek.
* Gunakan pembersih kanta sentuh yang disarankan dan jangan guna air biasa untuk mencuci.
* Sebelum bersolek dan sebelum mencuci solekan, tanggalkan dulu kanta sentuh.
* Tutup kedua-dua mata ketika ingin menggunakan sebarang semburan.
* Jangan pegang kanta sentuh jika membawa bahan kimia.
* Apabila menyimpan kanta sentuh ke dalam bekas pastikan kanta sentuh itu berada kedudukan di tengah-tengah sebelum menutup bekas berkenaan.
* Jika terdapat gurisan atau apa saja tanda pada permukaan kanta sentuh, elak memakainya.
No comments:
Post a Comment